Tuesday, April 19, 2005

‘KDN’ rampas buku karangan Presiden PAS

SETIU, 19 April (Hrkh) – Ketua Dewan Pemuda PAS Setiu, Ustaz Shahrizukirnain Abd Kadir melahirkan rasa dukacita serta kesal dengan tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak merampas buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' karangan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, buku Presiden PAS itu telah diambil oleh pihak KDN dari Kuala Terengganu di beberapa buah kedai buku di sekitar bandar Jertih, Besut, minggu lalu.

“Beberapa hari lalu kebetulan saya berada di sebuah kedai buku di bandar Jertih, Besut telah didatangi oleh tiga orang berpakaian yang berlambangkan Kerajaan Persekutuan dan tertera Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Kuala Terengganu.

"Pegawai KDN itu kata, buku Presiden PAS telah ‘diharamkan’ kerana bertentangan dengan usaha kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Kita rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak KDN itu yang bertindak merampas buku-buku itu yang berada di pasaran tanpa surat pengharamannya,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS kawasan kali ke-25 di Surau Wakaf Cagak, Batu Rakit.

Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.

Shahrizukirnain berkata, pegawai KDN itu telah meminta pihak peniaga kedai buku menyerahkan buku-buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' kerana ‘telah diharamkan’ oleh kerajaan dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.

Namun begitu, katanya pihak kementerian terbabit gagal menunjukkan sebarang bentuk surat pengharaman yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau beranggapan tindakan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KDN berkenaan kerana desakan politik serta arahan kerajaan BN.

Katanya, pemimpin politik Umno dan kerajaan BN bimbang dengan kehebatan penjelasan buku yang ditulis oleh Presiden PAS berhubung isu Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari.

“Masyarakat kita hari ini terkeliru dengan gagasan baru Islam Hadhari yang dibawa oleh pemimpin Umno dan kerajaan BN, Pemuda PAS bersedia untuk berdepan dengan mereka (Umno) dan inilah cabaran kepada kita sekarang,” tegasnya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 11 April lalu, beberapa orang wakil rakyat BN semasa membahaskan Titah Ucapan Sultan dengan lantang mendesak kerajaan Terengganu ‘mengharamkan’ pengedaran buku-buku tersebut.

Mereka mendesak buku yang menjelaskan berhubung buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' itu supaya bukan sahaja diharamkan di negeri ini malah di seluruh dunia. – kam/ayu/lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com