Wednesday, April 20, 2005

Penubuhan semula PRM bertentangan dengan Kongres Nasional PRM 2001

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh) - Bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Othman mendakwa penubuhan Jawatankuasa untuk mentadbir semula PRM bertentangan dengan keputusan Kongres Nasional PRM yang ke-34 pada 14 dan 15 Julai 2001.

Sekaligus juga beliau yang kini sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MPT), Parti KeADILan Rakyat (PKR) berkata, Kongres Nasional Khas di Johor Bharu pada 17 April lalu yang menetapkan Hasan Karim sebagai Presiden baru PRM tidak berhak untuk mengubah keputusan kongres tersebut.
Menurutnya, dalam Kongres tersebut lebih daripada 80 peratus perwakilan menyokong cadangan percantuman PRM dengan parti KeADILan Nasional untuk menjadi PKR.

Katanya, dalam keputusan kongres juga perwakilan bersetuju menyokong syarat-syarat persetujuan bersama yang dicapai oleh kedua-dua parti.

"Syarat-syarat tersebut termasuk persetujuan menjadi anggota PKR secara beramai-ramai atau 'en bloc' apabila pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan parti baru.

"Begitu juga dengan usul pembubaran PRM setelah selesai percantuman kami dapati hampir 70 peratus menyokong usul itu," katanya.

Setelah berlaku percantuman katanya, kongres bersetuju supaya PRM dibubarkan.

"Apabila ROS mengesahkan pertukaran nama parti kepada PKR semua anggota PRM dan KeADILan Nasional secara en bloc menjadi ahli parti PKR," katanya sebagaimana ditetapkan semasa Majlis Pimpinan Tertinggi (peralihan) pada 26 Jun 2004.

"Dengan keputusan itu bererti tidak ada lagi anggota PRM dan KeADILan Nasional melainkan mereka yang tidak mahu menyertai parti baru boleh menarik diri tetapi tidak ada seorang pun yang menyatakan untuk menarik diri," katanya.

Oleh kerana itu, Kongres Nasional membuat ketetapan tersebut termasuk soal pembubaran PRM setelah percantuman semua pimpinan dan semua anggota PRM perlu patuh dan menerima keputusan tersebut.

Bagaimanapun dakwanya, ada beberapa pemimpin yang dilantik dalam Kongres khas di Johor baru-baru ini memegang jawatan penting dalam PKR semasa (peralihan) antaranya Hassan Karim dan SK Song (Setiausaha Agung baru PRM).

Selain itu dakwanya, terdapat Ahli Jawatankuasa baru PRM itu yang bertanding atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2004 lalu.

"Ini menunjukkan mereka terlibat dengan PKR dan apabila mereka bertindak untuk mewujudkan semula PRM ia amat bertentang dengan keputusan kongres sedangkan dari segi disiplin parti mereka harus menerima keputusan kongres.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa pada masa ini PRM tidak mempunyai anggota lagi, semuanya menjadi PKR dan yang hanya dari segi pendaftaran selagi belum dimansuhkan," katanya lagi.

Sementara itu, memetik laporan laman web Malaysiakini baru-baru ini, Presiden baru PRM berkata, selepas PRM mengadakan Kongres Nasional Khas Ahad lepas, pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara memberikan ucapan tahniah kepada beliau atas usaha menggerakkan semula parti itu.

Katanya, Kongres Nasional Khas bertujuan bagi mendapatkan pandangan ahli untuk menggerakkan semula parti tersebut selepas bergabung dengan PKR.

Hassan berkata, kira-kira 100 ahli PRM yang menghadiri kongres tersebut sebulat suara setuju supaya PRM diaktifkan semula untuk bergerak menjadi sebuah parti politik seperti sebelum pencantuman dengan PKR.

"Kami akan menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membolehkan PRM terus kekal sebagai sebuah parti politik seperti yang dikehendaki oleh ahli," katanya. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com