Wednesday, April 20, 2005

Undang-undang syariah seragam sebelum 2006

KUALA LUMPUR: Penyeragaman undang-undang mengenai Islam membabitkan semua 14 negeri ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata, ketika ini, 12 negeri, kecuali Kedah dan Wilayah Persekutuan sudah meluluskan undang-undang Islam yang berkaitan pada peringkat negeri untuk diseragamkan.

Katanya, daripada jumlah itu hanya lima negeri, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor sudah melulus dan mewartakannya.

Undang-undang Islam yang akan diseragamkan itu membabitkan Pentadbiran Agama Islam, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah, Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah..

Dr Abdullah berkata, Kedah dalam proses membentangkannya di Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan dan diwartakan serta diperakui oleh sultan, manakala Wilayah Persekutuan dijangka membentangkannya pada sesi Parlimen akan datang.

"Sebaik semua 14 negeri terbabit selesai melulus dan mewartakannya, kita yakin penyeragaman undang-undang dilaksanakan di setiap negeri.

"Ini sekali gus memudahkan pelbagai tuntutan berkaitan hal tertentu oleh umat Islam di mana-mana juga negeri di Malaysia kerana undang-undang itu sudah diseragam sepenuhnya.

"Sebelum ini, kita sedar perbezaan undang-undang menimbulkan dan mendatangkan masalah kepada rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Terdahulu Abdullah menjawab soalan Ahmad Shabery Cheek (BN-Kemaman), mengenai perbezaan undang-undang keluarga dan syariah antara negeri di Malaysia menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat.

Abdullah berkata, berdasarkan maklumat terkini, Terengganu belum melulus dan mewartakan Undang-undang Keluarga Islam manakala Kelantan belum melulus dan mewartakan Undang-undang Mal Mahkamah Syariah.

Justeru, beliau berharap negeri terbabit melaksanakannya sepenuhnya supaya tidak menimbulkan masalah serta penganiayaan terhadap umat Islam.

Beliau berkata, selepas penyeragaman Undang-undang Islam itu selesai, pihaknya akan memperkenalkan jawatan Peguam Negara Syarie yang akan berfungsi seperti Peguam Negara.

Menjawab soalan tambahan Abdul Fatah Harun (Pas- Rantau Panjang) mengenai kelewatan Wilayah Persekutuan melulus dan mewartakan undang-undang itu sedangkan ia sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain, Abdullah berkata:

"Draf sudah ada dan boleh dijadikan contoh kepada negeri lain, cuma ia belum dilulus dan diwartakan saja,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com