Wednesday, April 20, 2005

Kerajaan belanja wang rakyat untuk kepentingan parti yang memerintah - Halim

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Bendahari PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kerajaan terlalu boros dalam membelanjakan wang rakyat untuk kepentingan parti kerajaan.

Misalnya ketika pilihan raya umum 2004 lalu, kerajaan telah habis-habisan belanja sehingga habis wang rakyat.

"Pertumbuhan ekonomi sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan sektor awam. Selama tujuh tahun kerajaan berbelanja besar.

"Pilihan raya umum ke 11 dalam bulan Mac 2004 telah mendorong kerajaan berbelanja besar, “taburkan” projek dan wang untuk memancing undi," kata Dato' Abdul Halim ketika membahaskan rang undang-undang Perbekalan Tambahan (2004) 2005 di Dewan Rakyat semalam.

Berikut adalah ucapan penuh beliau:

Dalam laporan tahunan terkini Bank Negara Malaysia (Laporan Tahunan 2004) dianggarkan kerajaan pusat telah berbelanja sebanyak RM118.9 bilion dalam tahun 2004 berbanding hasil sebanyak RM99.4 bilion. Ini bermakna kerajaan menanggung defisit sebanyak RM19.5 bilion bersamaan kira-kira 4.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada nilai pembeli.

Perbelanjaan mengurus tambahan kedua yang dipohon berjumlah RM15.1 bilion sementara perbelanjaan pembangunan tambahan kedua berjumlah RM0.6 bilion. Oleh itu perbelanjaan tambahan yang dipohon berjumlah RM15.7 bilion.

Dengan tambahan ini jumlah perbelanjaan bagi tahun 2004 menjadi RM138.6 bilion terdiri dari RM102.4 bilion perbelanjaan mengurus dan RM35.7 bilion perbelanjaan pembangunan. Kalau hasil bagi tahun 2004 kekal pada RM99.4 bilion, ini bermakna defisit akan melebar kepada RM39.2 bilion bersamaan 8.8% daripada KDNK pada nilai pembeli.

Dalam tahun 2003, perbelanjaan berjumlah RM113.5 bilion (Laporan BNM 2004) terdiri dari RM75.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM38.3 bilion perbelanjaan pembangunan. Defisit yang ditanggung oleh kerajaan pusat berjumlah RM20.9 bilion atau 5.3% dari KDNK pada nilai pembeli (GDP at purchaser’s value).

Berbanding tahun 2003, perbelanjaan kerajaan bertambah sebanyak 22%. Ini satu pertambahan yang amat besar. Defisit melonjak kepada 8.8%, jauh melebihi piawaian belanjawan berhemat yang diamalkan di negara-negara Euro (3.5% daripada KDNK).

Ini bermakna, pertumbuhan ekonomi sebahagian besarnya dipasu oleh perbelanjaan sektor awam. Selama tujuh tahun kerajaan berbelanja besar. Pilihan raya umum ke 11 dalam bulan Mac 2004 telah mendorong kerajaan berbelanja besar, “taburkan” projek dan wang untuk memancing undi.

Sebagaimana disebutkan di atas tambahan belanjawan yang dipohon adalah satu tambahan yang besar. Ia menyebabkan defisit belanjawan semakin membesar, bukan menurun. Ini membuktikan bahawa kerajaan tidak menghormati dan tidak patuh kepada displin belanjawan.

Janji-janji untuk berbelanja secara berhemat dan untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat tinggal janji kosong belaka. Belanjawan negara sudah dalam defisit selama 7 tahun berturut-turut, ini menyebabkan hutang kerajaan semakin meningkat dan ini membebankan rakyat dan pembayar cukai.

Hutang kerajaan (tidak termasuk syarikat kerajaan bukan kewangan) berjumlah RM217 bilion atau 51% daripada Gross National Product (GNP). Ini adalah satu jumlah yang tinggi.

Hutang luar negara telah meningkat dengan ketara daripada RM161 bilion dalam tahun 2000 kepada RM197 bilion dalam tahun 2004. Sebahagian besarnya dipinjam oleh kerajaan Persekutuan dan pelbagai syarikat kerajaan bukan kewangan. Hutang luar negara merupakan 47% daripada GNP. Ini amat tinggi berbanding dengan piawaian berhemat yang diterima (tidak melebihi 30% daripada GNP). Ini menyumbang kepada kelemahan nilai pertukaran antarabangsa Ringgit Malaysia.

Ternyata kita berbelanjaan besar dengan berhutang. Beban bayar balik hutang dan bunga tidak kurang daripada RM10-12 bilion setahun atau melebihi 10% belanjawan. Ini membebankan rakyat dan pembayar cukai.

Sejak awal tahun 1980an kerajaan telah melaksanakan dasar penswastaan. Perlaksanaannya semakin meluas dalam tahun 1990an dan diteruskan hingga kini. Tujuan penswastaan ialah untuk mengurangkan belanja kerajaan, mengecilkan saiz sektor awam dan meringankan beban cukai ke atas rakyat. Ini tidak berlaku. Perbelanjaan semakin meningkat, saiz sektor awam semakin besar dan beban cukai ke atas rakyat semakin tinggi.

Malah rakyat terpaksa menanggung beban berkembar – harga barangan dan perkhidmatan naik melonjak kerana peningkatan keefisyenan operasi dan kos yang diharapkan dari penswastaan tidak terjadi dan kuasa monopoli yang ada pada entiti yang diswastakan dan pada masa yang sama rakyat terus dibebani dengan cukai yang tinggi bagi menanggung belanja sektor awam yang besar.

Bukan itu sahaja, akibat dari krisis ekonomi tahun 1977-98, berbilion-bilion wang awam telah digunakan untuk menyelamatkan pelbagai entiti yang telah diswastakan bermasalah, menanggung rugi besar dan hampir bankrap, wang rakyat digunakan untuk memiliknegarakan semula entiti berkenaan. Kroni diselamatkan. Yang menanggung beban rakyat.

Swasta lebuhraya

Kerajaan telah menswastakan lebuh raya. Bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya telah meningkat berkali ganda, Bayaran tol juga telah naik berkali ganda. Namun, syarikat yang memiliki projek lebuh raya yang telah diswastakan ini dari dulu sampai kini tetap dalam defisit. Setiap tahun kerajaan kena bayar pampasan kepada syarikat berkenaan kerana tol yang dipungut tidak cukup untuk menampung kos penyelenggaraan.

Untuk tahun 2004, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM250 juta. Kini minta tambah pula RM181 juta lagi. Ini cukup membebankan rakyat. Sudahlah bayaran tol semakin tinggi, kena pula bayar pampasan lagi. Kenapa syarikat terbabit terus menerus rugi? Ini sukar difahami.

Gesaan supaya perjanjian konsesi didedahkan tidak dilayani. Rakyat kena tahu bagaimana bayaran pampasan ini dikira. Kenapa kerajaan tidak mahu bertransparensi dalam hal ini? Apa yang hendak disorokkan daripada pengetahuan rakyat?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com