Wednesday, April 20, 2005

Pemuda PAS dakwa Umno 'bacul' rampas buku karangan Presiden PAS

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa Umno sebagai 'bacul' kerana bertindak mengarahkan pihak berkuasa merampas buku ‘Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari' karangan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, tindakan merampas buku tersebut adalah tindakan yang langsung tidak bertamadun pihak berkuasa yang diperguna Umno untuk menghalang percambahan budaya ilmiah yang secara sihat.

"Kita kesal kerana buku tersebut dirampas sedangkan ia sah di segi undang-undang dan diberi nombor indeks dan katalog oleh Perpustakaan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi sebentar tadi dalam mengulas dakwaan rampasan buku karangan Presiden PAS oleh pihak berkuasa Kementerian dalam Negeri (KDN) yang berlaku di Terangganu minggu lalu.

Selain itu Mazlan berkata, buku karangan Presiden PAS itu adalah berbentuk ilmiah yang tidak memberi sebarang ancaman kepada keselamatan awam.

Justeru tidak benar jika ada dakwaan buku tersebut memberi kemudharatan kepada keselamatan dalam negara.

"Jika Umno menganggap buku itu satu penghalang kepada usaha mereka menyebarkan fahaman Islam Hadhari, mereka sepatutnya menjawab secara ilmiah bukanya bertindak menghalang pengdaran buku tersebut," tegas Mazlan yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Sebelum ini katanya, kerajaan telah menyatakan akan mengharamkan buku tersebut, tetapi notis rasmi pengharaman belum lagi dikeluarkan.

Malangnya, pihak berkuasa digunakan secara sewenang-wenang bagi menghalang pengedaran buku itu.

Berikutan itu Pemuda PAS seterusnya mencabar Pemuda Umno yang dikatakan mempunyai barisan ulama mereka sendiri supaya menjawab secara ilmiah karangan Presiden PAS itu jika ia dirasakan bercanggah dengan Islam sebenar.

Katanya, Pemuda PAS mahu ulama dalam Umno segera menjawab secara ilmiah persoalan dan pertikaian yang dibuat Tuan Guru Abdul Hadi mengenai penyelewengan konsep Islam Hadhari dalam buku ‘Hadharah Islamiyah bukan Islam Hadhari'.

Selain itu Mazlan juga mempertikaikan tindakan kerajaan yang dilihat hanya membenarkan konsep Islam Hadhari anjuran Umno disebar sedangkan kritikan dan konsep Islam sebenar yang dibawa PAS tidak dibenarkan.

Senario itu katanya, hanya akan menyempitkan lagi ruang demokrasi di Malaysia memandangkan Malaysia dalam rencana sebuah majalah antarabangsa telah diletakkan sebagai negara yang menyempitkan ruang demokrasi.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS Setiu, Ustaz Shahrizukirnain Abd Kadir melahirkan rasa dukacita serta kesal dengan tindakan pihak KDN bertindak mahu merampas buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' itu.

Katanya, buku Presiden PAS itu telah diambil oleh pihak KDN dari Kuala Terengganu di beberapa buah kedai buku di sekitar bandar Jertih, Besut, minggu lalu.

“Beberapa hari lalu kebetulan saya berada di sebuah kedai buku di bandar Jertih, Besut telah didatangi oleh tiga orang berpakaian yang berlambangkan Kerajaan Persekutuan dan tertera Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Kuala Terengganu.

"Pegawai KDN itu kata, buku Presiden PAS telah ‘diharamkan’ kerana bertentangan dengan usaha kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Kita rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak KDN itu yang bertindak mahu merampas buku-buku itu yang berada di pasaran tanpa surat pengharamannya,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS kawasan kali ke-25 di Surau Wakaf Cagak, Batu Rakit.

Shahrizukirnain berkata, pegawai KDN itu telah meminta pihak peniaga kedai buku menyerahkan buku-buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' kerana ‘telah diharamkan’ oleh kerajaan dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.

Namun begitu, katanya pihak kementerian terbabit gagal menunjukkan sebarang bentuk surat pengharaman yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau beranggapan tindakan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KDN berkenaan kerana desakan politik serta arahan kerajaan BN. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com