Muhammad SAW Utusan Terakhir: Kembali kepada sunnah cabaran umat akhir zaman
Oleh Mohd Zamri Shafie
HAKIKAT yang wajib diimani, diyakini dan disyukuri oleh umat Islam adalah lahir sebagai umat nabi akhir zaman iaitu umat Nabi Muhammad SAW.
Allah mengutus Nabi di tengah-tengah masyarakat yang tidak tulen pengabdiannya kepada Allah baik dalam akidah mahupun syariat. Masyarakatnya juga sangat pincang dari segi akhlak, budi pekerti dan budaya.
Nilai etika dalam perjalanan kehidupan mereka juga amat meruncingkan. Masyarakatnya bersengketa, menzalimi dan dizalimi sesama sendiri hinggakan menumpah darah dan berlarutan puluhan tahun.
Gambaran hidup mereka dinukilkan Zubir bin Abi Salma, penyair terkenal ketika itu dengan berkata dalam syairnya: "Sesiapa saja yang tidak menjaga kehormatan diri dan kebebasannya dengan pedang dan senjatanya, dia akan dimusnahkan orang. Begitu juga sesiapa yang tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain, dia akan menerima kezaliman orang lain ke atas dirinya.”
Keadaan masyarakat jahiliah juga digambarkan oleh Saidina Jaafar bin Abu Talib yang juga Ketua Rombongan Hijrah ke Habsyah. Katanya kepada Raja Habsyah: “Wahai Raja! Ketika kami masih pada zaman jahiliah, kami menyembah patung, suka makan bangkai, cinta kepada segala bentuk kekejian, tidak pernah bersatu dengan keluarga, mahupun tetangga dan yang kuat selalu menindas yang lemah.”
Bagi mengubah keadaan itu, Allah mengutuskan Muhammad bin Abdullah sebagai utusan-Nya. Baginda ialah jati diri manusia sebenarnya. Rasulullah diutus membawa sinar cahaya iman dan Islam kepada seluruh alam supaya dapat memandu umat manusia ke jalan yang diredai oleh Allah.
Firman Allah bermaksud: “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang kafir dan mengerjakan maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari akhirat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisa', ayat 165).
Baginda menghadapi pelbagai tentangan dalam dakwahnya. Keperitan dan kesusahan Rasulullah tiada tolok bandingnya. Seruan tetap diteruskan di kalangan sahabat dan keluarga serta umat manusia seluruhnya.
Rasulullah dibenci walaupun terbukti kebenaran yang dibawanya. Selama 23 tahun, Baginda menanggung keperitan dengan berbagai tentangan berbentuk seksaan, ejekan dan penghinaan.
Sebagai umat Islam yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Muhammad, pastinya tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata, kesan penentangan terhadap diri Baginda dan pengikutnya dalam menyebarkan dakwah risalah Islam.
Perjuangan menyebarkan dakwah Islam diteruskan walaupun Baginda terpaksa mengorbankan seluruh hidupnya demi menegakkan agama Allah. Dengan keimanan teguh dan keazaman serta semangat juang kental, Baginda menyahut seruan Allah itu bagi memastikan Islam tertegak di muka bumi Allah.
Dengan inayah dan hidayah daripada Allah, umat akhir zaman ini dapat menerima ajaran suci ini tanpa bersusah payah menanggung beban kesusahan. Cuma yang pasti, kesusahan umat akhir zaman ini ialah untuk menghayati perjuangan Baginda dan mengamalkan sunnah yang ditinggalkan olehnya.
Sempena sambutan Maulidur Rasul, umat Islam akhir zaman wajib bersyukur dengan meningkatkan keimanan dan berazam dalam diri untuk menjadi umat Muhammad terbaik. Kita mesti melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Kita juga hendaklah menghayati sunnah Baginda yang juga cara hidup yang mesti dicontohi oleh setiap Muslim.
Tiada sesiapa yang dapat dijadikan contoh terbaik oleh umat Islam seluruhnya selain diri Rasulullah. Baginda seorang yang amat istimewa. Nabi Muhammad ialah contoh terbaik dalam perkara berkaitan urusan kehidupan dan kesempurnaan akhlak.
Mereka yang beriman selepas kewafatan Nabi, diberi penghargaan dan akan menikmati kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Umamah bermaksud: “Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali ganda mereka yang tidak melihatku, sedangkan mereka beriman kepadaku.” (Riwayat sahih Ibn Hibban).
Penghargaan Rasulullah terhadap umatnya adalah pendorong kuat yang mempunyai motivasi tinggi bagi umatnya ke arah melaksanakan perintah Allah dengan cara terbaik. Umat Islam sewajibnya merealisasikan penghargaan itu dengan mengisi cara hidup Islam sebenarnya. Hal ini sejajar dengan firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).
Firman-Nya lagi bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya), melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah mengenai kebenarannya, (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya.” (Surah Ali Imran ayat 19).

0 Comments:
Post a Comment
<< Home