Friday, April 22, 2005

Kaji balik OSA jika serius tangani rasuah

KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Kerajaan didesak mengkaji balik Akta Rahsia Rasmi (OSA) jika serius mahu mencegah rasuah, kata Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Dato' Ibrahim Ali.

Bagi Ibrahim, bekas Ketua Umno Pasir MAS yang dipecat, OSA adalah antara undang-undang yang mengekang pendedahan salah laku rasuah.
Ini kerana, akta itu akan menghalang mana-mana pihak yang mahu mendedahkan salah laku rasuah.

"Lihat kes Ezam Mohd Nor. Jelas sekali, kerana OSA dia terdedah kepada tindakan undang-undang apabila mahu membanteras salah laku dan rasuah dalam kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ibrahim, banyak fakta atau bukti kes rasuah terdapat dalam dokumen-dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia oleh kerajaan dan badan-badan berkanun kerajaan.

Apabila ada pihak yang mahu mendedahkan kes rasuah ini, dia akan sentiasa takut kepada OSA yang akan digunakan ke atasnya jika mendedahkan dokumen itu kepada orang ramai hatta mahkamah sekalipun.

"Jadi saya cadangkan, OSA hanya yang melibatkan dokumen keselamatan negara sahaja seperti senjata, bilangan tentera atau alatan keselamatan negara bukan dokumen biasa yang lain," kata Ibrahim.

Perkasakan BPR

Satu lagi pendekatan yang perlu diambil, kata Ibrahim adalah menaikkan taraf Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari jabatan di bawah Perdana Menteri kepada satu suruhanjaya di bawah Parlimen.

Anggota suruhanjaya ini pula, katanya, hendaklah dilantik oleh Yang Dipertuan Agung dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen untuk dibincang dan diawasi secara telus segala tindakannya.

"Jika keadaan berterusan sebagaimana sekarang, orang akan takut untuk mendedahkan rasuah kes rasuah kerana faktanya banyak dilindungi OSA manakala pegawai BPR pula tertakluk kepada budibicara Jabatan Perdana Menteri," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, MTRK sebagai sebuah NGO akan memperjuangkan perkara ini bagi melawan rasuah di negara ini.

- ZS

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com