Saturday, April 23, 2005

Tempoh konsesi PLUS dilanjut

Oleh Magendran Rajagopal dan Azli Ayob

KUALA LUMPUR: Plus Expressways Berhad (Plus) akan menaik taraf Lebuh Raya Utara-Selatan daripada laluan empat lorong kepada enam lorong sehala dari Seremban ke Air Keroh dan Rawang ke Tanjung Malim selain menaik taraf laluan mendaki Tanjung Malim ke Sungkai menjelang November 2007.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata mengikut skop kerja baru dalam Perjanjian Konsesi Tambahan Ketiga itu, Plus akan membiayai separuh daripada kos pembinaan dan sebagai balasan, tempoh konsesi ditambah sebanyak lapan tahun tujuh bulan lagi sehingga 31 Disember 2038.

“Kos kerja pelebaran lebuh raya, naik taraf jalan, pengalihan plaza tol Jelapang serta pembinaan kawasan rawat dan rehat (R&R) ini berjumlah RM1.043 bilion dan akan dikongsi bersama oleh Kerajaan Pusat dan Plus.

“Apabila selesai, projek ini melicinkan perjalanan terutama pada musim perayaan atau cuti sekolah dan beberapa langkah keselamatan seperti pengalihan Plaza Tol Jelapang yang dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan akan dilaksanakan serentak.

“Plus sudah menyiapkan 90 peratus reka bentuknya dan kerja pembinaan dijangka bermula bulan depan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi tambahan ketiga antara Kerajaan Pusat dan Plus, di sini, semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Ahmad Dhaman Huri Mohd Ali, menandatangani bagi pihak kerajaan dengan disaksikan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk George George manakala Plus diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pegawai Eksekutif UEM Berhad, Datuk Ahmad Pardas Senin selaku saksi.

Kerja pelebaran jalan antara Seremban-Senawang sejauh 6.7 kilometer (km) bermula Mei, Senawang-Ayer Keroh sejauh 61 km, Rawang-Tanjung Malim (45 km) dan Tanjung Malim-Slim River (27 km) pada Ogos ini.

Samy Vellu berkata, Lebuhraya Utara-Selatan harus dibangunkan sebagai penanda aras bagi lebuh raya di rantau ini dan dimanfaatkan kontraktor tempatan untuk mengeksport kemahiran mereka dalam bidang pembinaan lebuh raya.

Katanya, projek seperti Lebuh Raya Utara-Selatan yang dilaksanakan melalui Dasar Penswastaan Negara mampu menjadi pemangkin pembangunan negara dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2020.

Lebuh Raya Utara-Selatan mula dibina pada Mac 1988 oleh United Engineers (Malaysia) Berhad dan diberi hak mereka bentuk dan mengendalikannya, termasuk mengutip tol selama 30 tahun iaitu sehingga 31 Mei 2018.

Pada 20 Julai 1988, UEM menyerahkan segala tanggungjawab terhadap Lebuh Raya Utara-Selatan kepada Plus dengan persetujuan kerajaan dan Perjanjian Konsesi Tambahan Pertama ditandatangani bagi meningkatkan kadar tol serta melanjutkan tempoh konsesi sehingga 31 Mei 2030.

Pada 11 Mei 2002, Perjanjian Konsesi Tambahan Kedua ditandatangani untuk menyemak semula baki tempoh konsesi kadar kenaikan tol bagi menyelaraskan pampasan tol berikutan ketetapan kerajaan hanya menaikkan tol sebanyak 10 peratus daripada 11.24 sen setiap km kepada 12.36 sen satu km.

Kadar itu jauh lebih rendah daripada kenaikan 18 sen yang diminta Plus tetapi kadar yang dipersetujui itu hanya untuk tempoh 1 Januari 2002 hingga 31 Disember 2004 dan selepas itu disusuli peningkatan berjadual tol kelas 1 sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com