Saturday, April 23, 2005

ISA 7 dibebaskan setelah hak pendidikan mereka dinafikan selama empat tahun

KUALA LUMPUR, 22 April (Hrkh) - Tujuh mahasiswa dari pelbagai institusi pendidikan di bebaskan hari ini dari dakwaan di bawah Akta Polis oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mereka dibebaskan selepas terpaksa berulang alik ke Mahkamah Majistret beberapa kali hatta ada yang telah dipecat dari tempat belajar mereka.


Mereka dibebaskan setelah pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ketujuh-tujuh mereka ditahan setelah menyertai perhimpunan membantah ISA di Masjid Negara pada 8 Juan 2001.

Mereka dituduh di bawah seksyen 27(5) Akta Polis 1967 dan mereka dikenali sebagai ISA 7.

Mereka yang terlibat ialah Rafzan Ramli, Helman Sanuddin, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Khairul Amal Mahmud, Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, Ahmad Kamal Abdul Hamid dan Zulkefle Idris.

Mereka merupakan mahasiswa dari UiTM, UKM, UM dan UTM

Wakil (ISA7), Helman Sanuddin bersyukur kerana semua rakan-rakannya telah dibebaskan daripada dakwaan menganjurkan perhimpuanan atau menyertainya.

Menurut beliau, "Kami memang tidak terlibat dengan perhimpunan tersebut cuma kebetulan kami keluar daripada masjid dan program itu juga diadakan di hadapan masjid."

Katanya, keputusan mahkamah telah berpihak kepada kami dan ini merupakan langkah permulaan untuk kembali semula ke kampus dan meneruskan pengajian di mana pihak universiti telah menggantung pengajian mereka selama empat tahun.

"Kita berharap pihak universiti dapat menerima keputusan mahkamah dan kita juga minta supaya pihak universiti menghentikan tuduhan kepada kami sebagai penderhaka kerana melawan pihak kerajaan," katanya.

Turut ditahan ketika itu adalah Tian Chua, Ketua Penerangan PKR sekarang. Tian Chua turut berada di mahkamah hari ini.

Sementara itu, salah seorang dari yang tertuduh, Rafzan Ramli berkata, selama empat tahun tuduhan ke atas mereka telah menyaksikan hak mereka terhadap pendidikan telah dinafikan.

"Sebelum didakwa di bawah Akta Polis 1967, kami merupakan pelajar universiti awam. Namun setelah kami dihadapkan ke mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur pada 19 Julai 2001, pihak universiti telah menghukum kami sebelum dibuktikan bersalah oleh mahkamah dengan menggantung pengajian dengan serta merta.

"Tindakan menggantung pengajian ini tidak demokratik serta melanggar prinsip asas keadilan sejagat," kata Rafzan dalam satu kenyataannya.

Menurut Rafzan, selama empat tahun mereka dinafikan hak pendidikan kerana kes mahkamah yang berlanjutan.

"Kami terpaksa mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan kami dan keluarga," katanya.

"Kini kami berazam untuk memperbaiki kehidupan kami dan pada masa yang sama tetap terus menyatakan bantahan keras terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 yang tidak berperikemanusiaan dan demokratik itu," katanya lagi.

Sehubungan dengan itu juga, Rafzan bagi pihak kawan-kawannya memohon Kementerian Pendidikan Tinggi agar membenarkan mereka menyambung pengajian kembali tanpa sebarang syarat mahupun diskriminasi.

Beliau juga meminta Perdana Menteri menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 yang telah mencengkam dan menghapuskan daya kreativiti mahasiswa sejak lebih tiga dekad lalu.

"Sesungguhnya, kes ISA 7 telah berakhir namun kami berpendirian tegas bahawa perjuangan mahasiswa menentang kezaliman AUKU 1974 masih belum berakhir dan harus diteruskan," kata Rafzan lagi. - SA/ZS/mks

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com