Saturday, April 23, 2005

Atasi krisis diesel

KUCHING: Persatuan Pengusaha Lori Sarawak (SLTA) meminta campur tangan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam usaha mengatasi krisis diesel yang berlarutan di negeri ini sejak enam bulan lalu.

Presiden SLTA, Jong Foh Jit, turut memberi jaminan tidak akan melancarkan mogok kerana percaya krisis itu dapat diselesaikan dengan cara baik, lebih-lebih lagi dengan campur tangan kerajaan negeri.

"Kita menasihatkan ahli supaya bersabar sementara menunggu kerajaan mencari penyelesaian. Kita berharap tidak ada ahli yang bertindak keterlaluan.

"Biar kita selesaikan krisis ini dengan cara baik, mesti ada jalan penyelesaiannya. Lebih baik kita berbincang dan sama-sama cari jalan untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SLTA di sini.

Pada mesyuarat yang dihadiri kira-kira 70 daripada 163 ahli berdaftar SLTA, krisis diesel yang semakin meruncing di negeri ini menjadi topik perbincangan utama.

Jong berkata, beliau diberitahu sekiranya tiada langkah serius diambil bagi menangani krisis diesel, ahli tiada pilihan lain kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan pulih seperti biasa.

"Kita pun tahu, segala polisi yang dilaksanakan ketika ini lebih merumitkan keadaan. Kita sudah memberikan pandangan dan cadangan kita kepada kerajaan untuk mengatasi krisis ini.

"Kita berharap masalah ini diatasi secepat mungkin kerana jika dibiarkan, ia dikhuatiri menimbulkan lebih banyak masalah, selain menjejaskan perkembangan industri dan pembangunan yang dirancangkan kerajaan," katanya.

Diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, SLTA sentiasa menyalurkan perkembangan terkini mengenai krisis diesel di negeri ini kepada ahli mereka, terutama menerusi media massa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com