Tuesday, April 17, 2007

PAS Letak Calon Bukan Islam Dalam Pilihan Raya Umum

Oleh pemudatitiwangsa

"Ulasan Ust. Nasharudin Mat Isa berhubung persediaan PAS bagi Pilihanraya Umum akan datang dalam BERNAMA pada 15 April lalu agak menarik.

DPPWP dapat merasakan bahawa akan terdapatnya satu perubahan besar terhadap strategi PAS dalam menghadapi UMNO dan serangan bertali arus Barisan Nasional dalam Pilihanraya akan datang.

Siapa pun calonnya, biarlah pihak akar umbi yang tentukan, itulah yang Ust Nasa katakan pada media.

Bagi DPPWP, calon yang dipilih kelak haruslah seorang yang memahami Islam dan kehendak kontemporari rakyat.

Calon bukan Islam adalah satu idea yang baik, tapi mungkin boleh ditonjolkan di kawasan yang pengundinya lebih ramai masyarakat bukan Islam. Bagi DPPWP, perkara ini bukanlah satu perkara yang mustahil kerana PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS dari kalangan Kaum Cina dan India.

Tindakan terkedepan ini akan membuatkan UMNO resah dan terpaksa memainkan modal busuk mereka seperti :

"PAS sudah mula hilang arah tuju'"

"PAS adalah agen Cina dan India"

"PAS main silap mata lagi"

"PAS dah abis modal"

ntah...banyak lagi fitnah yang bakal kita dengar...tapi lantaklah mereka. Biarlah mereka berpencak dengan keris kontot mereka. yang penting kita harus pastikan calon tersebut benar-benar sesuai dan memahami Islam dan budaya Melayu bagi memudahkan mereka menjadi Jambatan kepada kesejahteraan rakyat.

Tentang persaraan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat , DPPWP beranggapan itu adalah satu lagi rahmat dari Allah kerana pemergiannya akan digantikan dengan seorang lagi pemimpin Islam yang insyaAllah, kita harap akan dapat mengekalkan prestasi baik Tuan Guru. Ini sekaligus akan membuktikan bahawa PAS ramai lagi pemimpin pelapis yang berkaliber dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus menjadi contoh bagi generasi mendatang.

Walaupun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang untuk bersara dari menjadi Pesuruhjaya dan menteri Besar Kelantan, DPPWP berharap agar beliau terus menjadi ahli Majlis Syura PAS.

Kita masih memerlukan beliau kerana banyak lagi yang kita mahu pelajari dari beliau,. Semoga Allah lindungi dan panjangkan umur beliau.

----Pemudawilayah


***********************************************************

KOTA BAHARU, 15 April (Bernama) -- Barisan calon PAS bagi pilihan raya umum akan datang akan menyaksikan perubahan terutama di Kelantan yang akan meletakkan calon bukan Islam selain pertambahan bilangan calon wanita.

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata parti itu akan mengemukakan barisan calon yang seimbang sama ada daripada kalangan profesional atau yang berpendidikan agama.

"PAS juga akan menambah calon wanita dalam pilihan raya umum tetapi ia bergantung kepada pencalonan dari peringkat akar umbi," katanya kepada Bernama di sini.

Secara peribadi, Nasharudin berkata calon bukan Islam boleh bertanding atas tiket PAS tetapi ia tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

"Saya tidak melihat sebarang masalah dalam hal ini kerana ia kini menjadi amalan gerakan Islam di seluruh dunia dan tidak pelik jika ia berlaku di Malaysia," katanya.

Nasharudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pilihan Raya PAS berkata perkara itu tidak memerlukan pindaan besar kepada perlembagaan parti dan ia mungkin akan dibangkitkan dalam Muktamar PAS ke-53 di Kota Baharu mulai 1 hingga 3 Jun ini.

Beliau berkata barisan parti pembangkang juga bersepakat mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang bagi menumbangkan Barisan Nasional.

"Tidak timbul PAS akan bertanding di kawasan yang ditandingi DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kami sudah solid dengan keputusan satu lawan satu dengan BN," katanya.

Nasharudin juga yakin peralihan kuasa bagi jawatan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berjalan dengan baik apabila tiba waktunya.

"Tidak boleh dinafikan bahawa beliau tidak akan duduk di kerusi itu sampai kiamat tetapi khidmat dan pengalamannya masih diperlukan oleh pemimpin pelapis yang banyak belajar daripada cara beliau berpolitik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura beberapa pemimpin tertinggi PAS Pusat termasuk Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar yang dijangka bertanding di Dewan Undangan Negeri di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang bagi mengisi tempat Nik Abdul Aziz.

Mengenai muktamar kali ini, beliau berkata perbahasan dijangka lebih bertumpu kepada strategi, calon dan kerusi yang akan ditandingi dalam pilihan raya umum ke-12.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com