Monday, April 09, 2007

Ahli PAS perlu komitmen yang tinggi untuk menang pilihan raya

Oleh Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 8 April (Hrkh) - PAS sukar mengecapi kemenangan dalam pilihan raya memandangkan cara pertandingan yang selama ini diadakan berdasarkan padang yang tidak sama rata.

Menurut Pengarah Centre for Educational Research and Innovation (CERI), PAS Pusat, Dr Wan Abd Rahman Wan Abd Latif, untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, merancang strategi seperti memastikan daftar pemilih amat penting tetapi jika terlalu menumpukan perkara teknikal sehingga melupakan dimensi agama ia belum tentu menjamin kemenangan.

Oleh itu katanya, ramai pejuang Islam terlupa bahawa doa merupakan senjata penting dan menyumbang kemenangan dalam pilihan raya.

Beliau berkata, tarbiyah memainkan peranan penting dalam konteks komitmen ahli jika tarbiyah kurang maka komitmen pejuang PAS terhadap gerak kerja parti akan terjejas.

Menurutnya, pilihan raya merupakan strategi bagaimana petugas-petugas parti daripada parti yang bertanding mahu memenangi hati dan fikiran pengundi.

Katanya, untuk berada di tahap itu pekerja parti perlu memenuhi prasyarat kemenangan dalam perjuangan iaitu komited pada tarbiyah.

Beliau merupakan bekas Pensyarah Sains Politik, UKM dan bergerak aktif serta memberi sokongan kepada perjuangan PAS sejak tahun 1984.

Abd Rahman mencadangkan supaya petugas PAS mengamalkan solat tahajud, membaca al-Quran, menghafal doa-doa dan sentiasa berada dalam keadaan wudhu.

"Saya yakin dalam kaedah ini jemaah Tabligh lebih komited untuk bangun tengah malam, membaca al-Quran dan mengajak orang datang ke masjid dengan cara pergi dari rumah ke rumah," katanya.

Tambah beliau, PAS akan meraih kemenangan dalam pilihan raya jika kaedah Tabligh itu digunakan oleh petugas-petugas parti.

1 Comments:

At 2:21 PM, Anonymous Anonymous said...

Duniawi semua ni....nak kejar kekayaan dunia...kalau dasar manusia ni gila kuasa memang sampai bila-bila pun gila kuasa

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com