Friday, April 06, 2007

Ketua Pemuda Gerakan KL dakwa kenyataan Kee Kwong bukan resolusi


Oleh : Wan Nordin dan Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - Resolusi parti Gerakan Wilayah Persekutuan yang mendesak Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria dipecat kerana didakwa terlibat dalam isu penyebaran sms berhubung dakwaan murtad membabitkan Dato' Azhar Mansor mengundang kemarahan umat Islam di negara ini, dan hari ini sahaja beberapa perhimpunan aman membantah kenyataan 'biadap' itu diadakan di beberapa lokasi termasuk di Masjid Kampung Baru, selepas solat Jumaat.

Begitupun, sebelum himpunan itu diadakan, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan telah mengadakan dialog bersama wakil Gerakan di pejabat Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, di Jalan Thamby Dollah, dekat sini.

Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohammad Nor Mohamad; Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad; Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Noor; Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Azemi Azman Johari dan beberapa pemimpin PAS kawasan.

Sementara Gerakan diwakili Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi; Ketua Biro Ekonomi Pemuda Gerakan Wilayah, Julian Ong dan beberapa pemimpin pemuda parti itu.

Pertemuan yang lebih mirip kepada 'forum bertukar fikiran' itu dikejutkan dengan kenyataan Ma Woei Chyi yang mendakwa kenyataan Tan Kee Kwong dibuat atas kapasiti individu dan bukannya butiran resolusi persidangan parti tersebut.

luar persidangan

Sebaliknya ia dibuat ketika satu sidang media bersama wartawan di luar dewan persidangan, dan Ma sendiri mengakui tidak tahu-menahu apa yang berlaku dalam sidang media itu.

Ma beberapa kali cuba menyakinkan Haji Mohammad Nor bahawa resolusi yang dibahaskan Gerakan Wilayah Persekutuan tidak langsung mengandungi desakan supaya MUfti Perak dipecat. Salinan dokumen resolusi itu diserahkan Ma kepada Mohamad Nor untuk disemak.

Mengulas memorandum yang diserah Pemuda PAS Wilayah kepada Gerakan, Ma memahami tuntutan berupa desakan supaya Gerakan memohon maaf dan menarik semula resolusi berkenaan.

Tambahnya, tuntutan yang dibuat oleh PAS itu adalah hak PAS yang mewakili orang Islam dan memahami sensitiviti umat Islam terhadap isu yang dicetus oleh Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dato' Dr Tan Kee Kwong.

Beliau berjanji akan menyerahkan seluruh isi perbincangan tersebut kepada mesyuarat Badan Perhubungan Gerakan Wilayah Persekutuan.

Beliau juga akur bahawa isu yang dibangkitkan Pengerusinya itu telah menyentuh bidang kuasa Raja-raja Melayu mengenai agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Begitupun beliau menghargai usaha yang dibuat PAS Wilayah Persekutuan untuk bertemu dengan Gerakan dan menyifatkan ia satu langkah ke arah persefahaman antara dua parti ini.

Kenyataan rasmi

Sementara itu dalam sesi dialog, Mohammad Nor menegaskan bahawa PAS memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang dilapor akhbar The Star dan menyifatkannya sebagai kenyataan rasmi kerana disuarakan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan.

"Kita pandang serius soal Gerakan mahu campur tangan dalam urusan umat Islam kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan kuasa memecat atau melantik Mufti hanyalah ada pada tangan Sultan, dan bagi negeri Perak, Sultan Perak yang berhak menentukan kedudukan mufti.

"Dalam isu sms murtad pelayar negara, Dato' Azhar Mansor, Sultan Perak telah memanggil Ustaz Harussani untuk memberi penjelasan, dan setelah penjelasan dibuat Sultan telah berpuas hati dan kami di kalangan umat Islam sendiri telah 'reda' dengan isu itu," jelas beliau.

Bagaimanapun setelah ia ditimbulkan oleh Gerakan, isu itu kembali menjadi 'barah' kepada umat Islam dalam situasi perpaduan negara berada pada tahap kurang baik, kesal beliau.

Mohon maaf secara terbuka, atau saman akhbar

"Soal kenyataan Tan Kee Kwong berlainan dengan resolusi, itu saya sangsikan; tetapi jika benar itu bukanlah resolusi Gerakan, saya mendesak Tan Kee Kwong memohon maaf kepada umum dan umat Islam kerana kesilapannya, atau jika ianya satu kesilapan, akhbar yang melapor isu itu perlu disaman (kerana menyiarkan berita palsu)," katanya.

Sementara itu Ustaz Riduan pula melontarkan nasihat kepada Gerakan supaya menjaga sensitiviti rakyat berbilang kaum dan mengelak mengeluarkan kenyataan menyinggung mana-mana pihak.

"Kita tidak mahu peristiwa (perbalahan kaum) yang menjadi sejarah negara berulang. PAS tidak mahu ia terjadi, biarlah kita hidup dalam keadaan aman," ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com