Thursday, March 22, 2007

Penduduk Kampung Semarak rela, walau keadilan tidak memihak mereka

Oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Hrkh) - 'Sudah jatuh ditimpa tangga', demikian nasib malang yang menimpa para penduduk Kampung Semarak hari ini, apabila diarahkan untuk mengosongkan rumah serta merta, walaupun mendapat notis seminggu sebelum ini.

Sungguhpun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan tempoh selama seminggu kepada 109 penduduk di situ sebagaimana yang dijanjikan oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Mohd Saufi Muhammad sebelum ini, namun kenyataan tegas Ketua Pengarah DBKL selepas itu jelas sebaliknya.

"Kita akan kosongkan rumah hari ini juga," demikian tegas Ketua Pengarah DBKL, Dato' Salleh Yusuf ketika ditemui di Kampung Semarak pagi tadi apabila ditanya pihak media bagi mendapatkan kepastian tentang proses mengosongkan rumah oleh penduduk berkenaan.

Memandangkan apa yang difahamkan oleh Timbalan Pengarah Peguatkuasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Mohd Saufi Muhammad semasa berbincang dengan penduduk sebelum itu memaklumkan perpindahan penduduk dilakukan secara berperingkat mulai hari ini.

Tempoh perpindahan yang diberikan oleh pihak DBKL kepada 109 penduduk selama seminggu bermula hari ini.

Bagaimanapun apa yang dibimbangi penduduk setelah mereka diberi kunci rumah PPR, pihak DBKL akan bertindak meroboh rumah mereka keesokannya walaupun pada awalnya diberi tempoh seminggu untuk mengosongkan rumah berdasarkan pada kenyataan Ketua Pengarah DBKL itu.

Sebelum ini, hasil daripada perbincangan pagi tadi selama 30 minit, penduduk di ketiga-tiga kampung Semarak, Padang Tembak dan Loke Yew dengan rela hati untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disediakan oleh DBKL.

Mereka akur dengan perintah Mahkamah Persekutuan untuk segera mengosongkan rumah mereka biarpun tuntutan untuk memiliki rumah sendiri tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa.

Ketua Masyarakat kampung berkenaan, Azman Abdul Majid, 62, yang turut serta dalam perbincangan dengan pihak DBKL mengarahkan penduduk supaya bersikap profesional berhadapan dengan tindakan dan tekanan daripada pihak berkuasa walaupun keadilan tidak memihak kepada penduduk.

Di hadapan lebih seratus penduduk yang berkumpul di bilik gerakan, beliau meminta penduduknya jangan bersikap kurang ajar terhadap pihak berkuasa biarpun kekalahan memihak kepada mereka.

"Saya tidak mahu penduduk bersikap kurang ajar, ini bukan sikap kita, kita dah mohon, walaupun kita kalah tetapi pada hakikatnya kita tetap menang dari segi perpaduan dan kekuatan kita," kata Azman.

Beliau hendak mengikis persepsi masyarakat yang selalu mengatakan penduduk setinggan kurang ajar sebab itulah beliau merayu penduduk Kampung Semarak bersikap waras, adil dan bersih.

"Walaupun kita dalam keadaan sedih dan pilu dan marah tetapi kita tetapkan di hati kita tanamkan, Allah yang akan membalas apa yang mereka buat terhadap kita," katanya memberi semangat kepada penduduknya.

Beliau juga meminta kerjasama daripada DBKL untuk menyediakan dua blok flat PPR bagi menempatkan penduduk ketiga-tiga kampung berkenaan.

"Saya bertanggungjawab apabila blok tersebut siap, kemudian kita akan pindah, kami nakkan satu blok sebab keselamatan dan kebajikan kita bersama akan terjaga," katanya diikuti tepukan gemuruh daripada penduduk.

Semasa ditanya tuntutan mereka untuk memiliki rumah sendiri, wakil penduduk Sabariah Hashim, 38, menegaskan mereka akan terus berjuang menuntut untuk memiliki rumah sendiri setelah masalah ini selesai.

Sebanyak 52 lori dan 500 penguatkuasa DBKL dan hampir seratus polis berkampung di kampung terbabit untuk membantu melancarkan proses pemindahan penduduk. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com