Tuesday, March 20, 2007

Kes ISA 7: Pemuda PAS desak kerajaan pinda Auku yang zalim

Oleh Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Hrkh) - Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya meminda Seksyen 15D Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, yang memperuntukkan mana-mana mahasiswa yang ditangkap secara automatik akan digantung pengajian mereka sehingga perbicaraan terhadap kes tersebut selesai,jelas Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Abdullah Abdul Karim.

Beliau bersetuju dengan kenyataan pihak peguambela Nik Norhafizi Nik Ibrahim, Amer Hamzah bahawa bekas pelajar tersebut telah kerugian masa dan peluang mereka untuk menyambung pengajian mereka.

"Ini secara tidak langsung telah menyebabkan mereka terhukum sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan bersalah, namun begitu mereka terpaksa menanggung kerugian dan akibatnya, ini adalah tindakan yang zalim ke atas mereka,"tambah beliau dengan panjang lebar yang merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan iaitu bekas pelajar universiti yang dikenali sebagai ISA 7.

Menurut Abdullah, kes ini dianggap sebagai kes politik kerana pihak pelajar telah digantung pengajian mereka selama enam tahun sedangkan mereka tidak pernah didapati bersalah.

DPP menyifatkan tindakan membicarakan enam pelajar yang telah dibebaskan sebelum ini sebagai suatu tindakan yang zalim ke atas bekas pelajar terbabit.

"Tanpa disedari, mereka telah dihukum tanpa dapat menyambung pengajian mereka yang tertunda selama enam tahun sedangkan mereka belum didapati atau dibuktikan bersalah," jelasnya ketika dihubungi oleh Harakahdaily baru-baru ini.

Perbicaraan kes bekas pelajar universiti tersebut yang lebih dikenali sebagai ISA 7 sebelum ini, baru sahaja bermula pada 15 Mac dimulai dengan Nik Norhafizi Nik Ibrahim dan akan disambung pada 24 Mei 2007 akan datang. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com