Wednesday, March 14, 2007

Padang Balang antara cawangan PAS terawal di Lembah Klang

Oleh: Adnan Ibrahim

Suasana kampung agak nyaman, tenteram serta khabar mengatakan PAS akan memindahkan operasi pentadbiran di Taman Melewar dari Pejabat PAS di Jalan Pahang Barat, antara faktor ahli dan penyokong PAS yang bekerja di Kuala Lumpur berminat menetap di Kampung Padang Balang.

Ada yang membeli tanah di kampung tersebut dan ramai juga menyewa dengan tuan rumah kebanyakkan berasal dari Minang. Orang Minang dikatakan mendominasi perkampungan tersebut sejak konfrontasi Indonesia pada tahun 50an. Kebanyakannya memiliki tanah 2 ekar seorang.

Reka bentuk tradisi Minang masih boleh dilihat di kampung ini pada atap rumah mereka yang melengkung. Makanan tradisi lemang pada hari perayaan. Hubungan kekeluargaan yang masih erat dan wujud sehingga kini walaupun dicemari perebutan harta. Saliratulrahim mereka seumpama masyarakat perkampungan di luar bandar.

Masjid Syaidina Ali, Kampung Padang Balang sentiasa ramai jemaah setiap kali solat lima waktu. Solat Subuh, Zohor atau Asar paling sikit satu setengah saf. Masih hebat kalau hendak dibanding dengan masjid gah di Putrajaya yang tidak sampai satu barisan.

Keadaan tersebut ditambah lagi dengan kehadiran orang Umno yang menetap di kampung itu menyertai PAS iaitu Syed Abdul Malek Shahabudin. Walaupun penyokong PAS dan kerja parti telah wujud di kampung sekitar Kuala Lumpur terutama Kampung Puah tetapi PAS Cawangan Padang Balang antara terawal didaftarkan pada 1983 di Lembah Klang.

Selepas penubuhan PAS cawangan ini, barulah ada usaha mendaftarkan cawangan bagi mengatur organisasi yang lebih tersusun dan teratur.

Ahli Jawatankuasa Penaja pada 1982 diketuai, Syed Malek dan dibantu naibnya, Rahim. Wan Azman Wan Abdullah lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan dilantik Setiausaha. Bendahari, Sohaimi Zainol manakala Ketua Pemudanya, Mohamad Zain Hashim (petugas sistem suara di Markaz PAS Taman Melewar).

Ahli Jawatankuasanya iaitu Abdul Wahab Othman, Nawawi Abu Bakar, Nawawi Hussain dan Jailer Sidin. Bagaimanapun mereka ini bukanlah penduduk asal kampung Padang Balang.

Putus hubungan

Sebahagian mereka ini telah terputus hubungan dengan ahli jawatankuasa sekarang. Syed Malek yang memegang jawatan Pengerusi Tetap cawangan itu, cuba mengingat kembali kisah dahulu dalam Mesyuarat Agung PAS Cawangan Padang Balang pada 4 Mac lalu, di Markaz PAS cawangan itu.

Katanya, "PAS Cawangan Padang Balang menyambut penubuhannya ke-24, mungkin sukar mempertemukan golongan veteran tersebut jika tidak ada langkah memperingati dan mengenang pejuang lalu diambil bagi menyambung kembali saliratulrahim."

Beliau yang ditemui cukup gembira hadir ke mesyuarat cawangan walaupun keadaan kesihatan beliau agak uzur. Namun begitu beliau masih kelihatan segak walaupun sering kali menyuarakan hasrat untuk berundur kerana umur sudah lebih 70 tahun.

Pada mesyuarat tersebut, kebanyakan ahli jawatankuasa lalu masih dikekalkan pada pemilihan kali ini serta menaikkan kembali muka lama Wan Azman dengan undi tertinggi.

Mesyuarat Agung cawangan tersebut pada 4 Mac lalu mengekalkan Ketuanya, Samsuddin Yacob, Naib Ketua (Haji Rosdeen Mohd Yassin), Ketua Pemuda (Mohd Rafaie Abd Razak) dan Ketua Muslimat (Maznah Yunus).

Turut dipilih ahli jawatankuasa ialah Ahmad Pauzi Kamaruddin, Nazarusman Zaidi, Abdul Rais Abdul Rahman, Abdul Rauf Abdul Rahman, Sofiah Said, Shahidan Ariffin dan Abdul Ghani Abdul Wahab.

Ustaz Fadzil rasmi penubuhan

Allahyarham, Datuk Ustaz Fadzil Mohd Noor telah merasmikan penubuhan cawangan tersebut dalam satu majlis ceramah di rumah Syed Malek, di Kampung Padang Balang, pada 7 Mac 1983. Ustaz Fadzil ketika itu Pemangku Timbalan Yang Dipertua PAS.

Hubungan Syed Malik dengan Ustaz Fadzil sejak dibangku sekolah rendah di Kedah memudahkan urusan beliau mendapatkan khidmat Ustaz Fadzil untuk menubuhkan dana cawangan kerana ceramah pada malam tersebut mendapat kutipan derma sebanyak RM4,000.

Pada esoknya, mesyuarat agung pertama diadakan di rumah beliau dirasmikan Setiausaha PAS Kawasan Setapak, Abdul Malek Hussin (telah isytihar keluar PAS). Turut hadir Yang Dipertua PAS Kuala Lumpur Bandar, Ustaz Othman Abdul Razak dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Setapak, Abd Razak Ayub.

Sebagai orang yang baru menyertai PAS ketika itu, Syed Malek mampu mengingatkan ahlinya supaya menghayati kehidupan Islam sepenuhnya, mengambil iktibar daripada perjuangan umat lalu dan sentiasa mengamal konsep hidup berjiran bagi menjamin keagungan Islam, dalam ucapan pertamanya di mesyuarat tersebut.

Di bawah beliau juga, jawatankuasa Masjid Syaidina Ali dikuasai orang PAS. Ustaz Hassan Shukri pernah mengajar tafsir al-Quran di masjid tersebut.

Cawangan ini juga pernah melahirkan idea mengwujudkan Institut Latihan Mujahid Islam (Kader Pemimpin Islam) diperingkat pusat bagi melahirkan ahli gerakan Islam yang padu, komited dan iktizam terhadap gerakan Islam.

Pada mesyuarat agungnya yang kedua, ia dirasmikan Haji Subky Abdul Latif sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Setapak, pada 18 Februari 1984.

1 Comments:

At 12:13 AM, Anonymous Anonymous said...

Apa khabar bekas ahli-ahli Padang Balang? Masih berjuangkah atau lena diulit mimpi di dalam alam zon selesa?

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com