Saturday, March 17, 2007

MENGAPA SYARIKAT KONSESI LEBIH POWER DARI KERAJAAN

Oleh PROTES

SAMY VELLU memberitahu dalam perjanjian di antara kerajaan dan pemilik konsesi, syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tol mengikut tempoh yang dipersetujui. Tetapi sekiranya kadar kenaikkan tidak dipersetujui, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi.

Ini yang menjadi persoalan. Kenapa kerajaan menaikkan kadar tol sebanyak 20% hingga 60%?

Menurut Samy Vellu lagi, sehingga kini kerajaan telah membayar ganti rugi sebanyak RM2 billion. Dengan itu kerajaan telah mengeluarkan subsidi berjumlah RM2 billion bagi mengelakkan rakyat membayar kenaikkan tol tersebut.

Timbalan menteri, S Veerasingam pula berkata bahawa kerajaan tidak ada pilihan selain daripada menaikkan kadar tol. Jika tidak kerajaan akan berterusan membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat konsesi. Kerajaan juga menyatakan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan tentang perjanjian yang telah dibuat di antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi tersebut.

Jika begitu halnya, siapakah sebenarnya yang mentadbir negara kita? Ditinjau dari penjelasan Samy Vellu dan S Veerasingam dan kerajaan seolah-olah syarikat konsesi yag mewakili golongan kapitalis dan kroni inilah yang lebih berkuasa dari kerajaan.

Tidakkah perjanjian di antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ini berat sebelah. Yang untung hanya mereka dan yang rugi di pihak kerajaan atau rakyat. Ini jelas dari apa yang diterangkan oleh Samy Vellu memberi makna kerajaan seolah-olah tiada kuasa ke atas syarikat-syarikat konsesi tersebut.

Soalnya mengapa kerajaan bersetuju dengan perjanjian berat sebelah ini? Perjanjian ini telah dijalankan secara tidak telus dan terlalu banyak rahsia. Kepentingan syarikat-syarikat konsesi sentiasa diutamakan dari kepentingan rakyat dan negara.

Diperingkat manakah dalam perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi dinyatakan bahawa harga tol boleh dinaikkan? Sejak dari awal perjanjian ditandatangani oleh mereka. Bahkan sebagai contoh kadar kenaikan tol di LDP telah siap ditentukan sejak awal lagi. Inilah perniagaan mudah membuat keuntungan tanpa menghadapi rasiko kerugian.

Soalnya, mengapa kerajaan dengan begitu mudah bersetuju dengan kenaikan yag terkandung dalam perjanjian tersebut? Sebagai contoh kadar tol yang dipersetujui oleh kerajaan di LDP pada tahun 1988 adalah RM1.50. Tetapi tol yang dikenakan pada pengguna ialah RM1.00. Ini bermakna kerajaan membayar RM0.50 untuk lapan tahun bermula 1998 hingg tahun 2006.

Seperti dalam kes LDP, kenapa dari awal lagi kerajaan tidak runding untuk tetapkan harga tol kepada RM1.00? Dengan itu kerajaan tidak dibebankan membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi berkenaan?

Perjanjian seumpama ini telah ditandatangani oleh kerajaan seolah-olah bagi membolehkan kerajaan menyalurkan wang rakyat kepada syarikat-syarikat konsesi. Ia bermula dari perjanjian yag tidak telus dan pelbagai andaian boleh dibuat terhadap integriti dalam perkara ini.

Apa yang pelik, kerajaan nampaknya begitu beriya-iya mahu melindungi syarikat-syarikat konsesi ini. Apakah syarikat-syarikat ini telah mengalami kerugian teruk hingga terpaksa dipapah oleh kerajaan?

Laporan Tahunan 2006 Litrak, iaitu pemilik konsesi LDP menunjukkan keuntungan bersih sebanyak RM80 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 43% dari keuntungan bersih RM56 juta pada tahun 2005. Laporan itu juga menunjukkan Litrak mencatat rekod baru dengan kutipan sebanyak RM243 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2006 berbanding dengan kutipan sebanyak RM227 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimana LDP boleh membuat untung sebegini? Pada awalnya LDP dibina bagi menampung 1 juta kenderaan setahun. Namun bilangan kenderaan telah meningkat kepada hampir 3 juta setahun. LDP berada di tengah-tengah jalur perdagangan cergas Bandaraya Kuala Lumpur. Perhatikan sahaja kesesakan kenderaan di tol tersebut pada waktu-waktu puncak.

Terdapat banyak lagi fakta lain yang tidak diketahui oleh rakyat berkenaan isu tol ini. Kerajaan tidak mendedahkannya untuk rakyat faham kerana dikhuatiri mennimbulkan tentangan sengit. Contohnya, walaupun bermula dari 2007 kadar tol di LDP adalah RM1.60, tetapi kadar sebenar dalam perjanjian adalah RM2.10.

Ini bermakna kerajaan akan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak RM0.50 sehingga tahun 2015! Rakyat tambah dari saku sendiri RM0.50 dan kerajaan tambah lagi RM0.50 sen dari wang rakyat. Pi mai pi mai tang tu juga. Rakyat yang menjadi mangsa. Apapun syarikat konsesi yang kaya raya.

Jika begitu kenapa kerajaan masih meluluskan kenaikkan kadar tol? Inilah salah satu daripada kepincangan dasar pengswastaan kerajaan yang terlalu memihak kepada syarikat konsesi, kroni dan golongan kapitalis serta sekaligus tidak mengendahkan kepentingan rakyat.

Kerajaan bersikap berlepas tangan dalam kerja-kerja untuk terus memajukan sistem jalanraya dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan dengannya. Layanan EPU (Economic Planning Unit di bawah Jabatan Perdana Menteri) terhadap projek-projek jalanraya kendalian JKR amatlah sepi berbanding projek-projek syarikat konsesi.

Itulah antara sebab mengapa kerajaan sanggup terlibat dengan perjanjian yang begitu berat sebelah dengan syarikat konsesi. Dan sebab itulah juga kerajaan tidak berminat membuka tender terbuka sebaliknya lebih membuka “tender gelap” melalui kaedah runding terus dengan syarikat-syarikat konsesi terpilih.

Jika kerajaan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi, sudah tentu pampasan yang terpaksa dibayar oleh kerajaan menjadi lebih tinggi daripada pembinaan lebuhraya. Samy Vellu menyatakan bahawa kos pembinaan semua lebuhraya di atas tidak termasuk Guthrie adalah RM4.13 billion. Setakat ini kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM4.86 billion. Ini bermakna tapa mengswastakan pembinaan lebuhraya sekalipun, kerajaan mampu membina lebuhraya-lebuhraya tersebut.

Tidak ada sebab kerajaan mahu menswastakan jika ia mampu dilakukan oleh kerajaan sendiri. Tentulah ada maksud tersirat dan kepentingan lain, di sebalik pengswastaan ini dan apatah lagi penggelapan perjanjian dari diketahui rakyat, membuktikan hanya ketidaktelusan melampau telah berlaku.

Hakikatnya, kerajaan boleh membina lebuhraya tanpa diswastakan. Contohnya, pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan pembinaan Lebuhraya KL-Seremban peringkat pertama dahulu. Disebabkan tindakan tergesa-gesa untuk menjalankan dasar pengswastaan, agensi kerajaan yang telah menjayakan kedua projek ini ditukar menjadi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan peranannya diperkecilkan hanya untuk menyelaras perjalanan projek yang diserahkan kepada syarikat-syarikat konsesi.

Semasa menaikkan harga petrol kerajaan menyatakan bahawa tujuan kenaikkan tersebut Tidak mungkin rakyat dapat manfaat dari omong kosong berkenaan. Ini kerana, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Sulaiman pada 13 Disember 2006 memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan berbelanja sehingga RM11 billion untuk mengambilalih (sebenarnya bailout) tujuh syarikat yang mengalamai masalah pengurusan dan kewangan selepas diswastakan terutamnya Star LRT, Putra LRT dan MAS.

Bagaimana kedudukan ekonomi kita sekarang, jika beginilah keadaannya? Kucar-kacir! Kenaikkan harga minyak pada 28 Mac 2006 merupakan yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Pada awal tahun 2006 cukai pintu dan cukai tanah telah dinaikkan. Pada awal Februari 2006 pula tambang bas sekolah turut dinaikkan.

Tidak lama selepas itu, pada bulan Jun 2006, kadar tarif elektrik juga dinaikkan. Ini disusuli pula dengan kenaikkan tarif air sebanyak 15% oleh Syabas di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Perak. Kadar inflasi pada bulan Mac 2006 adalah 4.8% iaitu paras yang tertiggi dalam tempoh enam tahun.

Menteri Kewangan Malaysia, Pak Lah yang juga Perdana Menteri Malaysia adalah orang yang bertanggugjawab memastikan keadaan kewangan dan ekonomi negara berada dalam keadaan sejahtera. Tetapi hakikatnya tidak begitu. Ekonomi kian merudum dan kucar-kacir. Yang jadi mangsa ialah rakyat. Terpaksa memikul bebanan hutang negara dan terpaksa membayar “ufti” kepada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya!

Kini kenaikkan harga tol pula untuk menjimatkan RM2 billion. Adakah rakyat mendapat manfaat dari penjimatan ini?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com