Monday, March 19, 2007

TRAGEDI KG BEREMBANG: BUKTI UMNO TAK TOLONG MELAYU!

Oleh TARMIZI MOHD JAM
Setiausaha JPN PAS Wilayah Persekutuan

SEHARI selepas Tian Chua merempuh pintu pagar zing yang dibina pemaju “haram” mengelilingi Kg. Berembang, saya bersama Naib Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu menziarahi mangsa penindasan untuk menghulurkan beras dan sedikit duit.

Cuaca ketika itu, panas terik walaupun jam baru 11 pagi. Terfikir saya, bagaimanakah mereka yang dihalau dari Kg. Berembang boleh bertahan mendirikan khemah sementara di luar pagar pemaju, sepanjang laluan masuk di bawah kabel elektrik itu?

Cukup azab ujian yang dihadapi oleh mereka. Matahari menyinar terik di atas kepala. Bekalan air tiada. Agak saya, 30 ke 40 keluarga bertekad untuk mempertahankan hak mereka di Kg. Berembang itu. Anak-anak yang agak remaja, dapat merasai derita ibubapa mereka. Yang kecil dan masih “berhingus” mundar-mandir meneruskan kehidupan, bermain-main, berlari-lari di celah-celah timbunan perkakas rumah yang dipunggah dari rumah asal mereka.

“Cuba anta tengok, nasib orang Melayu 50 tahun meneroka Kg. Berembang. Kena halau. Siapa halau? Umno! Duduk bawah kabel elektrik,” bisik Muhamad Sabu kepada saya. Beliau meminta saya mengambil gambar yang menampakkan khemah-khemah sementara betul-betul berada di bawah kabel elektrik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin turut bersedih dan memeluk beberapa kenalan seusianya sebaik tiba bersama Cikgu Ezam Ahmad (Setiausaha Lajnah Buruh & Peneroka PAS Pusat), Badiul Azmi Razali, Abdul Halim, Mohd Radhi dan Ibrahim Awang, rakan-rakan dari Lajnah Buruh & Peneroka PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

Saya sempat menanyakan khabar kepada Mak Wan, iaitu veteran asal yang membuka, menerokai dan memberikan nama kepada Kg. Berembang. Dulu, Mak Wan adalah aktivis atau pemimpin kaum ibu Umno cawangan Kg. Berembang yang paling aktif semasa mudanya.

Sebut sahaja, siapa pemimpin Umno Selangor tahun-tahun 60an, 70an dan 80an yang tidak didampinginya? Semuanya ada ikatan atas tiket keaktifannya dalam Umno dulu. Harapannya untuk memiliki tanah di Kg. Berembang cair dibawa arus deras apabila Umno hari ini dipimpin oleh orang berhati batu.

Apa tidaknya, ketika Kg. Berembang berdiri megah dengan perpaduan dan jati diri tulen warganya, pemimpin-pemimpin Umno keluar masuk ke kampung ini menjanjikan itu dan ini untuk kesejahteraan mereka. Antara yang dijanjikan termasuklah untuk memberikan tanah yang mereka terokai itu sebagai milik kekal.

Sebagai aktivis Umno yang rapat dengan serambi kuasa, sudah tentulah Mak Wan tidak banyak mempersialkan janji-janji madu itu. Pakat-pakat percaya dan berangan-angan, pada suatu hari nanti Kg. Berembang yang berada di tengah kota kosmopolitan ini menjadi milik mereka.

Cuaca terik begitu terasa. Kami dihulurkan air batu sirap bagi membasahkan tekak. Terfikir saya, beginilah agaknya penduduk Kg. Berembang memerlukan rumah dan tanah di kawasan yang mereka terokai. Macam saya perlukan air untuk membasahkan tekak sebentar tadi.

Telah beberapa kali saya dan Cikgu Ishak Surin menjenguk Kg. Berembang, sebelum pemaju bertindak ganas menghalau terus penghuninya, yang kini sudahpun musnah. Kami menghantar beras, daging korban serta duit belanja dapur bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka. Bagi saya, kebinasaan Kg. Berembang adalah luka yang tidak akan sembuh. Masa depan mereka yang menentang tindakan MPAJ, sekutu kerajaan BN, belum ada kata pasti.

Kata Haji Muhamad Sabu, nasib khemah-khemah mereka di bawah kabel elektrik juga boleh dan akan “diganggu” oleh MPAJ. Puak Umno ini, boleh pengaruhi TNB kononnya bahaya menduduki tanah di bawah kabel. Pelbagai alasan lain boleh diada-adakan untuk menutup bukti skandal di Kg. Brembang.

Apa yang pasti, tidak seorangpun pemimpin Umno Bahagian Ampang termasuklah wakil rakyatnya datang menjengah mereka. Begitulah kerasnya hati mereka terhadap warga Kg. Brembang yang sebelum ini adalah pendokong gagah Umno bagi Parlimen Ampang. Khir Toyo tidak tahu jerih generasi awal Umno di sini menimbus lombong, meratakan tanah dan membangunkan kampung.

“Dia (Khir Toyo) apa tahu. Budak baru. Kira nak rampas saja. Gila sangat dengan pembangunan. Kami jadi mangsa Selangor Maju lah ni... Taubat kami nak sokong Umno. Cukuplah ini sebagai sempadan,” bisik seorang penduduk dengan wajah yang sayu.

Ini adalah pengajaran penting seluruh rakyat Malaysia terhadap Umno dan para pemimpinnya. Berhati-hati sepanjang masa. Mereka akan mengunyah tebu ketika ada manisnya dan akan menyepahkannya, bila sudah jadi hampas. Hal ini juga terjadi kepada peneroka bandar di Kg. Semarak, Kg. Banjar Gombak, Kg. Wira Damai Batu Caves dan banyak lagi.

Feel hodoh pemimpin Umno ini, bukanlah rahsia lagi. Kg. Brembang menyaksikan. Walhal, datuk-nenek dan ibu-bapa mereka yang dihalau, telah menerokai tapak lombong bijih timah ini sejak tahun 1958. Iaitu setahun selepas merdeka, melalui sokongan MB Selangor, Datuk Harun Idris. Malah pihak Istana Selangor juga telah mengizinkan tanah tersebut diterokai dan dijadikan penempatan penduduk.

Sehingga kampung tersebut dibantai MPAJ hingga ranap, telah ramai anak-anak peneroka Kg. Brembang lahir dan sudah menjadi penghuni genarasi ketiga, ketika ini. Menurut Mak Wan, yang berumur 70an, penduduk pernah memohon tanah tersebut dari Majlis Daerah Gombak sekitar tahun 1968 dan ditemuduga pada 26.12.1969. Mak Wan adalah peneroka awal dan orang yang memberi nama tempat itu sebagai Kg. Berembang, seperti yang saya ungkapkan diawal tulisan ini.

Permohonan mereka dapat sokongan dari Tengku Bendahara Selangor, YAM Tengku Azman Shah Al-Hajj melalui sepucuk surat bertarikh 1.2.1973 dengan ada: “...saya telah dapat kesempatan melihat keadaan kampung itu dengan lebih dekat... adalah sewajarnya permohonan dari mereka itu mendapat perhatian, kerana semua mereka yang duduk di tanah itu adalah orang-orang Melayu (Bumiputera) yang tidak mempunyai tanah tempat kediaman yang tetap selain dari menumpang kawasan tanah itu.”

Tiba-tiba apabila Kg. Berembang hendak dimusnahkan, tidak pasal-pasal tanah ini sudahpun siap diagih-agihkan oleh Pejabat Daerah Gombak kepada individu ternama dan kerabat diraja pada tahun 1984 lagi. Penduduk melihat sendiri senarai pemilik tanah ini di Pejabat Tanah dan ianya pernah disiarkan oleh akhbar arus perdana. Ia sudah menjadi tanah anugerah kepada orang-orang elit. Rakyat musdha’afin menebas menebang, menimbus merata, akhirnya jadi milik orang lain.

Ini bermakna, tanah itu bukanlah tanah kerajaan seperti yang didakwa sebelum ini. Sudah ada yang punya sejak 1984 lagi. Saya terkejut. Cikgu Ishak terkedu. Bila mengetahui mereka yang dianugerahkan tanah itu terdiri dari nama-nama tersohor dan orang kaya-raya macam Datuk Buyong Abdullah, Tan Sri Mahfoz Khalid, Tan Sri Wan Hamzah Wan Mohamed, Tan Sri Nasaruddin Borhan, Datuk Mohd Sopiee Sheikh Ibrahim, Datuk Dr. Syed Mohd Alwi Al-Hady, Datuk Zainal Abidin Endut, Tan Sri Jamal Abdul Latiff, Datuk Ismail Ibrahim, Tan Sri Yaakob Hitam, Datuk Abu Hassan Abdullah, Tan Sri Zakaria Mohd Ali, Tan Sri Shamsudin Abd Kadir, Tan Sri Jamil Mohd Jan, Datuk Mohamad Hoessain Enas, Datuk Abdullah Mohd Hanafiah, Datuk Mohd Nazim Ab Hamid, Datuk Ibrahim Mohaidin, Datuk Mohamed Pilus, Raja Abdul Aziz Raja Addruse. Sekadar menulis beberapa nama besar yang dipetik dari Sunday Mail 13 Mac 2005 halaman 3.

Mak Wan yang sudah 48 tahun mendiami Kg. Berembang, menggerakkan wanita UMNO atau kaum ibu, tentulah paling sedih dan kecewa kerana baktinya selama ini tidak langsung dihargai. Tiba-tiba ketika susah begini, pembangkang pula yang tidak henti-henti menolong dan membantu. ADUN DAP Klang bermurah hati mengambil kes mereka. JERIT dan pelbagai NGO lain gigih memandu arah.

Matahari makin terik menyinar, tekak terus kering, debu-debu berterbangan kering, udara di bawah khemah juga meluap-luap hangat, akhirnya, rombongan kami menyerahkan sumbangan beras dan sedikit duit kepada wakil penduduk, Sdra. Noralizan pada majlis ringkas.

Sebelum beredar, Haji Muhamad Sabu berjanji dengan wakil penduduk akan membantu mereka dengan membawa barangan dapur dari masa ke semasa dan meminta penduduk memasak secara gotong-royong. Saya dan Cikgu Ishak sempat menemui beberapa aktivis Jawatankuasa Bertindak Penduduk dan memberi sedikit nasihat, meminta mereka bersabar.

Kami meninggalkan Kg. Berembang dengan perasaan sedih, terkedu dan terharu... mengenangkan diari harian mereka, sepanjang berkhemah di bawah kabel elektrik itu. Dalam kereta, saya catatkan dalam buku hijau yang saya usung ke mana-mana, bahawa Kg. Berembang adalah bukti Umno tidak pernah ada niat mahu tolong bangsanya yang bernama Melayu!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com