Sunday, April 08, 2007

PENDIRIAN DPPWP BERHUBUNG ISU PEMECATAN MUFTI PERAK

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah menerima penjelasan rasmi dari Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Saudara Ma Woei Chyi pada 6 April 2007 yang lalu berhubung isu resolusi pemecatan Mufti Perak.

Kenyataan rasmi dari akhbar The Star pada 7 April juga mengesahkan bahawa kenyataan YB. Dr. Tan Kee Kwong berhubung isu berkenaan telah dibuat atas kapasiti individu dan bukannya butiran resolusi persidangan parti tersebut.

Secara politiknya DPPWP menerima penjelasan ini. Walaubagaimana pun DPPWP berpandangan bahawa isu ini belum selesai. Selagi mana YB. Tan tidak membuat kenyataan terbuka bagi memohon maaf maka ianya masih lagi menjadi isu kepada umat Islam.

DPPWP melihat bahawa tanggungjawab YB. Tan sebagai pengerusi kepada Biro Agama dan Perhubungan Antara Agama (Inter-Faith and Religion Bureau) Parti Gerakan Rakyat Malaysia telah banyak mempengaruhi tindak-tanduknya.

Walaupun kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut ini adalah atas kapasiti individu tetapi beliau harus bertanggungjawab kerana beliau adalah salah seorang pemimpin besar dalam Parti Gerakan dan juga Ahli Parlimen.

Sebagai wakil rakyat pelbagai lapisan dan kepercayaan beliau seharusnya menanamkan rasa hormat dan tidak membuat kenyataan sewenang-wenangnya. Parti Gerakan harus mengambil tanggungjawab bersama dalam hal ini dan menasihati beliau bagi menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf.

Walaupun kes ini melibatkan pendapat seorang individu tetapi ketika temuramah oleh wartawan The Star dilakukan, ianya adalah atas kapasiti Pengerusi Parti Gerakan Wilayah Persekutuan. Jadi selagi beliau menjawat jawatan tersebut, maka apa yang terkeluar dari mulut beliau akan dianggap sebagai pendapat Parti Gerakan Wilayah Persekutuan.

DPPWP juga mempertahankan tindakan mengadakan demontrasi pada hari Jumaat yang lalu kerana ianya adalah satu tindakan yang wajar bagi memperingatkan kelompok dan individu yang suka memperlekehkan hak dan amalan umat Islam. Ianya bukan ditujukan kepada Parti Gerakan atau YB. Tan sahaja tetapi kepada semua kumpulan yang masih lagi giat menyusun strategi bagi menjatuhkan institusi Mufti dan hak Istimewa Umat Islam dinegara ini.

Jika YB. Tan berani mengeluarkan pendapat sedemikian dan tiada sebarang bantahan, mungkin esok hari akan lebih ramai lagi individu yang berani berbuat demikian. Oleh itu, bagi DPPWP tindakan mengadakan dialog dan demontrasi adalah wajar sebagai satu peringatan kepada yang lain agar tidak melakukan perkara yang sama di masa akan datang.


DPPWP tidak perlu menunggu tindakan atau respon dari UMNO kerana semua rakyat sedar bahawa UMNO sememangnya tidak serius dalam mempertahankan agama Islam. Mereka hanya berpolitik dan melaungkan slogan Islam Hadhari yang kosong tanpa sebarang erti atau rasa bertanggungjawab terhadap masa depan Islam.

Sekali lagi DPPWP mengingatkan agar YB. Tan menarik semula kenyataan beliau dan meminta maaf kepada Mufti dan Sultan Perak serta umat Islam secara terbuka seperti mana beliau membuat kenyataan terdahulu.

DPPWP akan meneruskan misi bagi mengadakan rundingan bersama Parti Gerakan bagi menyelesaikan isu ini secara baik. DPPWP juga menolak sebarang unsur provokatif yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini bagi menimbulkan suasana yang buruk kepada perhubungan antara kaum dan agama.

Kemerdekaan 50 tahun negara kita adalah simbol perpaduan yang harus diteruskan. DPPWP menghormati hak setiap agama dan bangsa di negara ini. Selaras dengan itu, DPPWP berharap agar semua rakyat dapat hidup sejahtera, aman damai dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kamaruzaman Mohammad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com