Sunday, April 08, 2007

PENINGKATAN JENAYAH KL MEMBIMBANGKAN

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) berasa amat khuatir terhadap pendedahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 April 2007 semalam berhubung dengan peningkatan sebanyak 40% Indeks Jenayah di Kuala Lumpur.

Indeks ini dicatatkan bagi suku tahun pertama tahun 2007 berbanding dengan jumlah yang dinyatakan tahun lepas.

Merujuk kepada Indeks Jenayah yang dimuatkan dalam laman web rasmi Polis DiRaja Malaysia pula, didapati jumlah kes jenayah diseluruh Negara meningkat dalam 2 tahun kebelakangan ini.

Kes Jenayah Harta Benda yang dilaporkan pada tahun 2005 hanyalah 138,095 kes dan ianya meningkat kepada 156,279 kes pada tahun 2006. Kes yang melibatkan Jenayah Kekerasan pula meningkat dari 33,509 kes pada tahun 2005 kepada 42,343 kes pada tahun 2006. Bagi kes Jenayah Komersial ianya turut meningkat dari 6,029 kes pada tahun 2005 kepada 7,300 kes pada tahun 2006. Hanya kes Jenayah Narkotik sahaja yang mengalami sedikit penurunan, iaitu dari 20,384 kes pada tahun 2005 kepada 19, 914 kes pada tahun 2006. Ini adalah rekod bagi tahun 2005-2006, bagaimana tahun 2007?

Secara keseluruhan DPPKT melihat bahawa Malaysia kini semakin trauma terhadap angka-angka yang dilaporkan. Rakyat Malaysia khususnya yang berada di Kuala Lumpur berasa tidak selamat.

Sentul yang kini sedang pesat membangun dengan projek mega, Sentul West dan Sentul East telah menjadi pusat tumpuan peragut. Keadaan ini sekaligus menunjukan bahawa keadaan dan keselamatan penduduk semakin diancam.

DPPKT tidak bermaksud ingin menakut-nakutkan penduduk tetapi satu tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi menangani masalah ini.

Kita tidak boleh membebankan tanggungjawab menjaga keselamatan awam ini kepada pihak Polis sahaja. Rakyat, khususnya yang berada di Kuala Lumpur perlu bersikap sensitif terhadap isu ini.

Rukun Tetangga dan pasukan sukrelawan bagi membuat kawalan disekitar kawasan kediaman dan pangsapuri penduduk perlu diwujudkan atau diaktifkan semula. Kempen memerangi jenayah perlu diperkuatkan dengan mengadakan ceramah-ceramah menangani isu keselamatan awam.

Tindakan Polis Kuala Lumpur melancarkan program Rakan Cop sebelum ini amat memberansangkan cuma ianya perlulah diaktifkan dan dilakukan secara meluas khususnya bagi kawasan kediaman disekitar pangsapuri yang ramai penduduk.

Pondok-pondok Polis juga perlulah diletakan di kawasan strategik bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan rujukan. Kerjasama penduduk dan Polis amatlah penting bagi kita memastikan gejala jenayah yang berlaku dapat dikurangkan.

Para ibubapa perlulah memerhatikan anak-anak mereka dan selalu menasihati anak-anak mereka agar mereka tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti jenayah atau mejadi mangsa jenayah seperti rogol dan ragut.

DPPKT dan PAS Wilayah Persekutuan bersedia dan akan turun bersama masyarakat bagi membasmi jenayah. DPPKT membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bergandingan bagi membanteras jenayah. Bersama-samalah kita berjuang bagi memastikan kawasan kediaman dan bandaraya kita ini bebas dari sebarang aktiviti Jenayah.

Bandaraya Kita, Tanggungjawab Kita!

Herman Samsudeen
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com