Tuesday, March 29, 2005

Sosej dua syarikat halal

KUALA LUMPUR 28 Mac - Dua syarikat yang disyaki mengeluarkan sosej mengandungi bahan haram didapati bebas daripada unsur berkenaan.

Tetapi kedua-duanya tidak terlepas daripada dikenakan kompaun kerana kesalahan masih menggunakan logo halal walaupun sijilnya telah luput tempoh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal berkata, kajian Jabatan Kimia mendapati sosej keluaran kedua-dua syarikat dari Lembah Klang itu tidak mengandungi sumber yang haram.

``Sebaliknya, syarikat Muller Sausage Haus Sdn. Bhd. di 81/2, Jalan Ipoh dan Pacific Refrigerating Sdn. Bhd. di alamat Lot 1025, Jalan 2, Selayang Baru, dikenakan kompaun kerana menggunakan logo Halal yang luput,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengumumkan hasil penyiasatan kementerian berhubung dakwaan kedua-dua syarikat itu menggunakan sumber haram bagi sosej keluaran mereka.

Shafie berkata, hasil penyiasatan kementeriannya mendapati sijil halal untuk kedua-dua syarikat itu luput pada 28 Januari.

``Ini bermakna kedua-dua kilang itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15, Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo yang tidak dibenarkan oleh agensi berkaitan,'' katanya.

Kedua-dua kilang itu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-dua sekali bagi orang perseorangan atau maksimum RM250,000 bagi syarikat korporat, katanya.

Kata beliau, kedua-dua kilang itu kini tidak dibenarkan beroperasi mengeluarkan sosej selagi mereka tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menggunakan logo Halal.

Shafie berkata, kementeriannya menjalankan siasatan ke atas kedua-dua syarikat itu pada 14 Mac atas permintaan JAIS selepas menerima aduan orang ramai yang mengesyaki sosej keluaran kedua-dua syarikat berkenaan mengandungi sumber haram dan penyalahgunaan logo Halal.

Menurutnya, pada hari operasi pegawai penguat kuasa kementerian menyita 150 karton sosej ayam daripada syarikat Muller dan 65 karton burger ayam dan lembu dari Pacific Refrigerating.

``Sejumlah dua sampel sosej bersarung dan sarung sosej kosong yang disita daripada syarikat Muller dihantar ke Jabatan Kimia pada 16 Mac dan 17 Mac manakala dua sampel burger ayam dan burger lembu yang disita dari syarikat Pacific Refrigerating dihantar untuk analisis pada 23 Mac,'' katanya.

Katanya, pada hari yang sama (14 Mac), pasukan penyiasat telah membuat siasatan lanjut di Medan Selera di IKEA di tingkat tiga, Bandar Damansara Utama dan menyita 60 karton sosej yang dibekalkan oleh syarikat Muller.

Beliau berkata, 24 batang contoh sosej dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis pada 22 Mac.

Shafie berkata, beliau menerima keputusan ujian Acid Deoxyribonucleic (DNA) daripada Jabatan Kimia ke atas sampel-sampel itu dan mendapati ia dari sumber haiwan ayam, manakala sarung sosej berkenaan dari sumber haiwan biri-biri.

Thursday, March 24, 2005

SISTERS IN ISLAM PERLU MINTA MAAF KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Minggu lepas, iaitu pada 19 Mac 2005 umat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan kemunculan Imam solat Jumaat pertama dari kalangan wanita, iaitu Dr. Aminah Wahdud iaitu salah seorang pendokong Islam Liberal dan antara pengasas awal Sisters In Islam di Malaysia.

Semalam iaitu 23 Mac 2005 Sahabat karib Aminah Wahdud dan anak muridnya iaitu Masjaliza Hamzah dan Datin Paduka Marina Mahathir telah membuat satu lagi kejutan di akhbar Utusan Malaysia. Kedua – dua makhluk ini yang mewakili proksi masing – masing iaitu Sisters In Islam dan Majlis Aids Malaysia telah membuat kenyataan bersama 50 NGO, untuk mendesak Kerajaan agar tidak menggunakan undang-undang bagi mengawal masalah keruntuhan akhlak dalam Negara.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa kesal kerana orang-orang yang sebegini yang kononnya memperjuangkan Islam telah menyalahgunakan peluang yang diberi dengan terus mempertahankan gejala keruntuhan akhlak dalam Negara. Mereka pernah berhujah dalam isu yang lebih kurang sama pada tahun lepas menggunakan firman Allah dalam Surah Yunus : ayat 99 iaitu;

“Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkan engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"

Dan Surah al-Baqarah, : ayat 256:
"Tidak ada paksaan (memasuki) dalam ugama (Islam)."

Sebenarnya, pihak Sisters In Islam telah menyalah tafsirkan ayat-ayat ini yang sebenarnya dikhususkan kepada orang – orang yang bukan Islam, yang mana mereka tidak boleh dipaksa memeluk Islam dan beriman kepada Allah. Walau bagaimana pun setiap Insan yang telah memeluk Islam wajib menunai amar ma’aruf dan nahi mungkar yang dituntut tanpa sebarang pengecualian.

Hakikat sebenarnya, isu keruntuhan akhlak di Malaysia merupakan tanggungjawab sosial semua agama. Tiada agama yang menghalalkan umatnya berpakaian tidak senonoh, berpesta arak, seks bebas, dadah, ragut, rompak, bunuh dan mendera makhluk lain sesuka hati atas dasar memelihara hak asasi manusia.

Di Thailand pada 20 Mac lepas, Sami-sami Buddha bangkit berdemonstrasi, dan berkempen bagi menentang penjualan arak yang keterlaluan dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan masalah keruntuhan moral dikalangan generasi muda.

Islam juga begitu dan tidak pernah bersetuju terhadap masalah sosial yang merosakkan masyarakat. Umat Islam diajar agar mematuhi peraturan dan undang – undang Allah dalam Al-Quran serta Sunnah Rasulullah s.a.w. Jika dalam Sembahyang pun ada undang-undang dan tatatertib yang perlu dipatuhi maka kehidupan seharian lain yang penuh cabaran juga perlukan undang-undang sebagai garis panduan agar tidak berlaku sebarang masalah sosial dan jenayah.

Kenyataan Masjaliza iaitu “cara seseorang itu berpakaian serta bagaimana, di mana dan dengan siapa mereka memilih untuk bergaul adalah perkara peribadi dan pilihan persendirian” amatlah mendukacitakan.

Cara pemikiran sebegini hanya layak bagi mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Allah atau tuhan bagi agama lain. Bagi mereka yang percaya kepada konsep ketuhanan maka haruslah mereka menunaikan apa yang diserukan oleh tuhan mereka dan tidak berbuat sesuka hati mengikut kehendak dan naluri sendiri seperti firman Allah iaitu;

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”
(Surah Al-Maidah : ayat 2)

“ Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak-anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji mereka daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya
(Surah Annur :ayat 31)

Gesaan Masjaliza yang meminta agar Kerajaan membubarkan semua peruntukan dalam undang-undang agama dan perbandaran atau pihak berkuasa tempatan yang kononnya menghalang rakyat dari mengecapi hak-hak peribadi tidak perlu dilayan. Permintaan ini seolah-olah menidakkan kewujudan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan secara keseluruhan yang mana Perlembagaan itu adalah induk kepada setiap undang-undang yang ada dalam Negara.

Tindakkan beliau yang cuba mewujudkan salah faham dan mempertikaikan kuasa pihak berkuasa ini sudah keterlaluan dan perlu disiasat segera. DPPWP khuatir dan sangsi akan dasar perjuangan Sisters in Islam yang sebenarnya lebih menjurus kepada perjuangan hak asasi tanpa batasan dan bukannya berjuang atas nama Islam. Dalam Islam hak asasi umatnya ada had dan hanya menjurus kepada perkara positif manakala perkara negatif seperti berpakaian tidak menutup aurat, minum arak, berzina, mencuri dan membunuh tetap perlu dihukum melalui pelaksanaan undang-undang.

Umat Islam juga diseru untuk bangkit menghapuskan kemungkaran, khususnya yang dilakukan oleh umat Islam sendiri dan menghukum para pesalah seperti firman Allah dalam surah An-Nisa’a : ayat 135;

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”

DPPWP mencabar Sisters In islam dan 50 NGO yang menyokong mereka dalam hal ini, untuk membuktikan dalil mana dan keterangan mana yang membenarkan tuntutan mereka? dan Agama mana yang ada dalam Negara ini yang membenarkan penganutnya melakukan apa jua sesuka hati termasuk minum arak berlebihan, berzina, sumbang mahram, membunuh dan sebagainya.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa adanya panduan dan undang-undang hidup. Jika dengan undang-undang yang sedia ada kini masalah jenayah dan keruntuhan akhlak masih tidak dapat di atasi, adakah pembubaran undang-undang agama yang ada dapat menyelesaikan masalah ini. Kita khuatir jika Sisters In Islam sendiri tidak memahami apa yang mereka sedang perjuangkan sebenarnya.

DPPWP ingin bertanyan; Apakah tindakkan mereka sekiranya ada orang yang datang ke Pejabat Mereka dan merosakkan peralatan pejabat yang ada serta merampas segala harta yang ada atas dasar hak asasi, yang mana setiap orang berhak melakukan apa sahaja yang ia ingin tanpa sekatan undang-undang?

Seterusnya, bagaimana cara mereka untuk memperjuangkan nasib seorang gadis yang dirogol oleh ayahnya sedangan Ayah gadis itu melakukannya atas dasar hak asasi dan gadis itu adalah anak jagaannya yang baginya boleh diperlakukannya dalam apa jua cara?

DPPWP tetap bertegas bahawa undang-undang yang sedia ada perlu diperketatkan dan bukannya dibubarkan. Hanya masyarakat yang tidak bertamadun dan barbarian sahaja yang hidup tanpa undang-undang. Nampaknya cara pemikiran Sisters In Islam telah ketinggalan beribu tahun terkebelakang dan tidak sesuai untuk guna pakai lagi kerana sudah expired.

Oleh itu DPPWP berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Majlis Agama di semua negeri dapat mengeluarkan kenyataan dan siasatan berhubung dengan akidah yang diperjuangkan oleh Sisters In Islam sebelum mereka pergi jauh dalam masyarakat.

Pemikiran songsang dan tidak bertamadun ini perlu diperbaiki serta dihentikan agar tidak mengelirukan rakyat. Jika benar Sisters In Islam memperjuangkan Islam maka mereka mestilah membuktikan bahawa tindakkan mereka, pemakaian serta percakapan mereka sesuai dengan kehendak Islam. Kita tidak mahu mereka mentafsir sebahagian ayat Al-Quran dan mengabaikan ayat lain dalam Al-Quran hingga menyesatkan orang lain.

DPPWP mengesa agar Sisters In Islam bersama 50 NGO lainnya membuat kenyataan akhbar bagi memohon maaf atas tindakkan bodoh mereka. Kita tidak mahu mereka memecahbelahkan kesatuan dan pemikiran rakyat dalam menentang gejala sosial. Kita tidak lihat sebarang cadangan konstruktif yang dapat dicadangkan oleh Sisters In Islam dalam memerangi gejala sosial yang melanda kini.

DPPWP juga menasihatkan agar lain-lain NGO dalam Negara ini berhati-hati dalam membuat kenyataan dan saranan berkaitan isu-isu agama agar tidak mewujudkan rasa kurang senang pada penganut agama lain. DPPWP berharap agar kemanan Negara dapat dijaga dengan menegakkan undang-undang bagi membanteras gejala sosial yang menjadi benih kepada perlakuan jenayah lain dalam masyarakat.

“Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


KELUCAHAN MEDIA MASSA SEMAKIN MENJADI-JADI

Media massa merupakan agen penting kepada penyebaran informasi kepada masyarakat. Namun, era globalisasi telah meruntuhkan tembok pertahanan media massa dalam Negara. Demi survival mereka dipentas massa, media dalam Negara semakin liar dan sukar untuk dikawal.

Menteri Besar Kelantan , iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini pernah menyifatkan kumpulan media yang tidak bertanggungjawab menjadi punca kepada berlakunya gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda melalui penyiaran artikel dan gambar – gambar yang tidak berfaedah dan separuh lucah. Kenyataan ini telah dibidas oleh segelintir pihak yang tidak pernah sedar akan kebenaran kenyataan ini.

Hakikatnya, rangkaian televisyen dalam Negara seperti Astro, NTV7, TV3, TV8 malah TV1 dan TV2 pada hari ini telah lari dari citra budaya rakyat Malaysia. Sebagai contoh rancangan “Dinner Treat :Anita, Dont Give Up” di NTV7 memaparkan cerita kehidupan seorang wanita bernama Anita yang mana drama ini turut disulami dengan pelbagai aksi dan fesyen pakaian yang mendedahkan tubuh wanita yang tidak sesuai bagi tontonan umum. Selain itu banyak lagi telenovela dan sinetron yang sedemikian rupa yang di import dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Negara Amerika Latin yang disajikan buat rakyat Malaysia tanpa pengawasan rapi.

Tidak cukup dengan itu rancangan “PILLOW TALK” yang telah masuk musim kedua yang dikendalikan oleh Jojo Struys gagal menafsirkan budaya dan aspirasi rakyat Malaysia yang sebenarnya. Rancangan yang disiarkan pada jam 12.10 malam di NTV7setiap hari Isnin ini hanyalah sekadar mempromosikan aksi pergaulan bebas lelaki dan wanita yang kononnya berdiskusi perihal isu kehidupan masyarakat masa kini. Konsep pakaian malam yang digunakan juga tidak sesuai untuk tontonan, begitu juga dengan ‘props ruang tamu ala bilik tidur’ yang digunakan.

Program “American’s Next Top Model” di 8TV dan ASTRO juga tidak memberikan apa-apa faedah untuk dikongsikan kepada penonton. Ianya sekadar meraikan kegilaan masyarakat barat yang gila glamour sehingga sanggup tampil seksi dan berbogel demi mendapatkan “Title American’s Next Top Model”.

Dalam masa yang sama, program iklan SmartShop dan Quantum Showcase yang kerap disiarkan oleh NTV7, ASTRO dan TV3 pada lewat malam pula, turut menayangkan iklan beberapa produk kesihatan yang memperaga tubuh wanita dan lelaki yang hanya berbaju dalam dan seluar pendek sebagai model.

Astro sebagai syarikat penyedia rangkaian televisyen global dalam Negara pula telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan dengan menambahkan lagi barah hiburan maksiat melalui program – program konsert, games, fesyen, drama serta filem – filem yang tidak bertapis dari luar Negara.

Akibat tekanan dan saingan mendapatkan penonton, TV1 dan TV2 juga telah mulai membuat perubahan dengan konsep ‘Saluran Infortaimen Anda’. Program fesyen, hiburan dan konsert ‘live’ turut disajikan kepada penonton. Carta muzik boleh dikatakan sebagai rancangan wajib bagi semua saluran.

DPPWP berasa hairan dengan senario ini, dan amat menyedihkan kita bila mana penguatkuasaan pengkategorian rancangan Televisyen seperti U untuk program umum dan 18SG, 18SX, 18PL untuk golongan dewasa tidak lagi diambil serius. Kebanyakkan rancangan Televisyen disiar terus tanpa tapisan yang teliti sehingga kadang kala melibatkan adegan bercium, raba, rogol, bunuh dan aksi ganas seperti rancangan WWE WrestleMania. Beberapa perkataan kesat dan lucah kadang kala kedengaran tanpa penapisan yang cermat.

Segala – gala adalah untuk tujuan hiburan semata. Kita tidak nafikan bahawa terdapatnya rancangan yang memberikan faedah kepada penonton, tetapi apa gunanya jika program yang bersifat hiburan picisan seperti yang ada pada hari ini terus dibiarkan memonopoli kaca televisyen.

DPPWP berharap agar Kementerian Penerangan dapat bertindak pantas dan tegas terhadap gejala yang tidak sihat ini. Dan kita harap agar ianya dimulai dengan membersihkan program-program sampah serta tidak berfaedah dalam TV1 dan TV2 dahulu. Kajian terperinci perlu dibuat bukan setakat mengira rating penonton pada setiap hari. Stesen – stesen televisyen lain perlulah dipantau agar tidak besar kepala. Pada awal tahun ini pun, kita dimaklumkan bahawa beberapa mesyuarat dan majlis pelancaran program anjuran Kementerian Penerangan Malaysia telah ‘diboikot’ oleh beberapa stesen televisyen yang enggan menghantar wakil. Ini sekaligus menunjukan bahawa Menteri Penerangan sudah tidak ‘bergigi’ lagi untuk mengarahkan mereka mengikut kehendak kerajaan, ‘belang’ Kementerian Penerangan Malaysia sudah lusuh dan patut ditukar ganti.

Walaubagaimana pun, DPPWP ingin menegaskan bahawa kita tidak mahu pada masa akan datang imej televisyen dalam Negara mirip kepada rangkaian Televisyen di Amerika yang mana Kerajaan sudah tidak mampu untuk mengawal aktiviti mereka dan mereka sudah berani untuk menidakkan arahan kerajaan. Justeru itu, tidakkan Kerajaan tidak boleh dilenggahkan lagi, amaran keras perlu diberi dan mana – mana stesen TV yang bedegil perlu ditutup tanpa mengira siapa pemiliknya.

Selain media elektronik, media cetak juga turut sama hanyut dalam arus globalisasi yang kian disalah ertikan. Identiti dan budaya bangsa dicampur aduk dalam pelbagai makalah dan akhbar harian atau mingguan. Majalah fesyen dan kewanitaan menguasai sindiket pengedaran majalah dalam Negara. Amat merisaukan bilamana gambar – gambar model fesyen yang memperagakan pakaian yang mendedahkan sebahagian tubuh model berkenaan dibiarkan dicetak dan disiar didalam majalah dan akhbar tempatan.

Laporan akhbar tabloid juga kadang kala memaparkan berita sensasi yang berkaitan dengan dunia artis secara keterlaluan. Lensa kamera dihalakan pada susuk tubuh artis yang berpakaian separuh lucah. Jika dulu kita banyak persoalkan kelucahan majalah Mangga, kini bukan setakat majalah tetapi akhbar biasa seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, KOSMO, The Star, Harian Metro, The Sun dan sebagainya turut sama memaparkan gambar-gambar separuh lucah. Setiap kali Perlumbaan Fomula 1 tiba di Malaysia, pasti ada gambar – gambar gadis litar yang menampakkan pusat mereka disiar didada-dada akhbar tempatan, begitu juga pada program konsert.

Perangai liar dan seksi artis tempatan disajikan dalam bentuk gambar melalui segmen hiburan. Bagi sesetengah artis Melayu khususnya, mereka tidak segan silu memakai skirt pendek atau baju yang hanya menutup bahagian atas dada. Aksi mempamerkan pusat artis wanita dewasa ini tidak mendapat tentangan dari mana – mana pihak. Mungkin mereka tidak sedar kesilapan mereka tetapi pihak Kementerian perlu mengeluarkan kod etika berpakaian bagi artis Malaysia agar tidak condong kepada cara hidup masyarakat di barat dan merangsang kepada bertambahnya gejala social dan jenayah rogol dalam masyarakat.

Jika zaman Tan Sri Mohamed Rahmat dulu kita lihat artis berambut panjang dan berpakaian tidak senonoh di’gam’ dari muncul dalam televisyen sekarang tidak lagi, malah gambar – gambar mereka yang keterlaluan didalam majalah dibiarkan berada dipasaran. Artis diberikan tempat seluas-luasnya bagi mempromosikan diri mereka dan Ulama serta ilmuan dianak tirikan oleh media massa.

Dalam masa yang sama, cerita – cerita tahyul, porno dan mistik turut diberi tempat. DPPWP khuatir akan wujudnya rangkaian pengeluar majalah yang menerbitkan cerita – cerita yang porno yang banyak diungkap dalam siri KISAH-KISAH BENAR. Ianya mudah diperolehi dikedai-kedai runcit yang menjual akhbar dan majalah. DPPWP berharap agar pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal – Ehwal Pengguna dapat membanteras perkara ini dengan segera dan merampas majalah – majalah separuh porno ini.

Kita tidak mahu budaya hidup dan pemikiran rakyat diracuni dengan budaya hedonisme tanpa batasan didalam masyarakat. Kita mahu penyebaran dan penyiaran program Televisyen, Radio, dan media cetak dibersihkan dari sampah-sampah yang meloyakan ini. DPPWP berharap agar media massa dapat memandang serius terhadap kepentingan membina budaya ilmu dalam masyarakat dan bukannya membina budaya berhibur kerana Negara tidak akan maju dan berjaya dengan hiburan tetapi dengan ilmu.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Yahudi anggap resolusi hanya khayalan Arab

BAITULMAQDIS 23 Mac - Israel hari ini menolak resolusi yang diluluskan oleh para pemimpin Arab yang antara lain menggesa negara Yahudi itu supaya menyerahkan kesemua tanah Arab yang didudukinya.

Seorang pegawai kanan di pejabat Perdana Menteri Israel berkata: ``Malang sekali Liga Arab memilih khayalan perpaduan yang bersifat permukaan dengan meluluskan satu resolusi yang bertentangan dengan kesemua kemajuan yang dicapai setakat ini, terutamanya oleh Mesir dan Jordan. Resolusi itu tidak dapat diterima sama sekali.''

Mesir menandatangani satu perjanjian damai dengan Israel pada 1979 manakala Jordan memeterai perjanjian yang sama pada 1994.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Leon Ben Zour memberitahu televisyen Al-Jazeera bahawa sebarang inisiatif damai yang ingin dilancarkan mestilah menetapkan penempatan semula pelarian-pelarian Palestin di sebuah negara Palestin yang bakal dibentuk pada masa depan dan bukannya di negara Israel.

``Berdasarkan garisan sempadan 1967, resolusi 242 dan 338 yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) haruslah dijadikan asas untuk sebarang rundingan dan garisan sempadan itu haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, bukannya yang ditetapkan dalam satu inisiatif damai,'' tambahnya.

Resolusi itu, yang diluluskan pada sidang kemuncak Arab yang berakhir di Algeria semalam.

Resolusi itu menggesa Israel supaya berundur sepenuhnya dari kesemua wilayah Palestin yang didudukinya dan juga di Bukit Golan di Syria dan wilayah-wilayah di selatan Lebanon.

Ia juga menggesa supaya dibentuk sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat di Tebing Barat dan Genting Gaza, dengan Baitulmaqdis Times dijadikan ibu negaranya.

Pernyataan tersebut juga menuntut satu penyelesaian yang adil untuk masalah pelarian Palestin serta menjaminkan hak mereka.

Jika Israel bersetuju dengan kesemua syarat itu, maka kesemua negara Arab akan menganggap konflik Arab-Israel sudah berakhir dan akan menjalinkan hubungan normal dengannya. - AFP

Wanita perlu faham undang-undang syariah

Oleh Halina Mohd Noor

MAJLIS Kebangsaan Pertubuhan -Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), mengusulkan agar masyarakat diberikan penjelasan mengenai Undang-Undang Jenayah Syariah bagi mengelakkan tanggapan negatif ke atas imej Islam dan sebarang unsur berbentuk penindasan gender.

Usul berkenaan diketengahkan pada panel perbincangan “Undang-Undang Jenayah Syariah dan Wanita-Ke Arah mencari penyelesaian”. Ia dianjurkan NCWO sempena sambutan Hari Wanita Antara bangsa di Dewan Perdana Felda yang dihadiri oleh 150 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wanita dari seluruh negara. Ia bermatlamat memberi kefahaman jelas mengenai Undang-Undang Jenayah Syariah khusus berhubung dengan wanita dan peranan pihak berkuasa yang berkaitan di dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Majlis perbincangan dipengerusikan oleh Yang DiPertua NCWO, Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin bersama dua ahli panel, Ketua Unit Khidmat Masyarakat, Biro Kebajikan & Pembangunan Sosial Pergerakan Puteri Umno, Siti Azizah Omar dan Pengurus Program Sisters In Islam, Masjaliza Hamzah.

Dr Sharifah Hapsah berkata, “Islam sentiasa meletakkan kedudukan wanita di tempat tinggi tetapi kadangkala apa yang terjadi dan dilakukan oleh orang Islam itu sendiri seolah-olah memberi gambaran Islam menindas wanita dan penganutnya. Sebagai negara bermasyarakat majmuk, Malaysia boleh berbangga dengannya dan menjadikan ia sebagai satu kekuatan. Negara kita negara Islam tetapi tidak mendiskriminasi malah mengiktiraf wanita pada kedudukan tinggi dalam pelbagai perkara. Kita tidak mahu perlaksanaan undang-undang Islam yang tidak betul memecah belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Katanya bagi memastikan perlaksanaan undang-undang lebih profesional tanpa menimbulkan keaiban orang lain, unsur dalam undang-undang dan tatacaranya perlu dikaji semula. Ini bagi memastikan ia tidak melanggar peruntukan perlembagaan dan menghormati hak orang lain. Cara undang-undang dibuat berdasarkan fatwa juga perlu dikaji kerana ia mengakibatkan orang ramai tidak sedar mereka telah melanggar undang-undang kerana tidak mengetahui mengenai kewujudan sesuatu undang-undang.

“Kita juga ingin tahu apakah bentuk latihan yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa dan apakah bentuk latar belakang mereka dalam pengetahuan Islam sebelum mereka menahan orang lain. Apakah ‘polis moral’ (pegawai penguatkuasa) ini boleh jaga semua orang dari melakukan jenayah moral yang lebih kepada cara berpakaian, berpegang tangan dan berciuman di khalayak ramai. Mengapa mereka ini tidak menjaga kes lain yang lebih tidak bermoral seperti suami yang meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah. Polis moral atau pengawal moral hanya cenderung menjaga perkara yang senang,” katanya.

Masjaliza turut mengesyorkan layanan sama rata di antara wanita dan lelaki dalam soal penguatkuasaan undang-undang kerana apabila berlaku serbuan, wanita dan lelaki akan menerima layanan berbeza.

“Sesetengahnya dilaporkan dan selebihnya tidak yang membuatkan orang ramai mempersoalkan tindakan pegawai penguatkuasa. Dari sini kita sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan cara perlaksanaan ini. Kita tidak kata Islam tidak adil pada wanita tetapi terdapat bahagian di dalam undang-undang yang tidak berlaku adil pada wanita. Justeru, undang-undang sebegini perlu diasingkan daripada undang-undang syariah,” katanya.

Katanya undang-undang juga perlu jelas dari segi definisi agar orang ramai lebih memahami mengenai sesuatu kesalahan apabila mereka ditahan. Contohnya undang-undang berkaitan cara berpakaian dan berkelakuan tidak sopan gagal dijelaskan dengan sempurna menyebabkan orang ramai masih kabur dengan definisi sebenarnya. Misalnya pada tahun 1997, tiga peserta ratu cantik ditahan oleh pegawai penguatkuasa sebaik saja pertandingan tamat kerana dikatakan berkelakuan dan berpakaian tidak sopan.

“Definisi mengenai apakah cara berpakaian dan berkelakuan sopan perlu diperjelaskan kerana ia terlalu subjektif dan berbeza mengikut pandangan setiap individu. Perlukah ada ukuran tertentu misalnya untuk memakai skirt perlu berada di atas lutut atau bawah lutut bagi memastikan seseorang tidak melanggar undang-undang? Ini adalah antara perkara yang perlu dikaji sebelum perlaksanaan sesuatu undang-undang dilakukan. Pengertian yang terlalu luas dan kabur menyebabkan perlaksanaan undang-undang banyak bergantung kepada tanggapan pegawai penguatkuasa itu sendiri,,” katanya.

Katanya kaedah perlaksanaan Undang-Undang Syariah turut menimbulkan persoalan apabila ia tidak selari dengan falsafah Islam yang mementingkan keadilan, memelihara maruah dan menghormati agama lain. Undang-undang yang dibentuk juga tidak sekata mengikut negeri kerana sesetengahnya dibentuk berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh golongan berkelayakan.

“Fatwa tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu undang-undang kerana ia sekadar nasihat yang dikeluarkan oleh mereka yang berkelayakan seperti mufti. Tetapi di negara ini, fatwa digazetkan sebagai undang-undang tanpa perlu dibahas dan diperdebatkan. Ini menyebabkan orang ramai tidak tahu ia sudah menjadi undang-undang yang secara langsung memberi kesan kepada kehidupan sehari-hari. Cara aplikasinya tidak sekata dan tidak adil seolah-olah pergi memancing untuk menangkap mereka yang bersalah kemudian pilih berdasarkan tanggapan penguat kuasa” katanya.

Sementara itu Siti Azizah Omar berkata, lebih banyak taklimat dan penerangan perlu diberikan oleh Jabatan Agama Islam kepada orang ramai mengenai undang-undang syariah. Katanya banyak perkara yang tidak diketahui atau disedari oleh orang ramai mengenai undang-undang syariah yang wujud hari ini.

“Kita mendesak Jabatan Agama Islam untuk menerangkan apa peranan mereka dan berapa jumlah pegawai penguatkuasa yang mereka ada. Ini termasuk latar belakang dan taraf pendidikan agama masing-masing. Ini penting untuk mengetahui apa sebenarnya keperluan penguatkuasa ini, sama ada mereka ini mendapat latihan profesional atau kursus tertentu,” katanya.

Katanya lagi pendidikan secara rasmi dan tidak rasmi perlu diberikan kepada semua lapisan masyarakat khususnya mengenai undang-undang Islam. Selain itu cara perlaksanaan perlu dikemaskini dan orang ramai lebih memahami peranan sebenar pegawai penguatkuasa.

______________________________________________________

Komen pemudawilayah;

Inilah masalahnya bila mana mereka berjuang atas nama Feminisme. Sisters In Islam nampaknya tidak memahami firman Allah dalam
Surah Annur ayat 31 yang mafhumnya berbunyi:

Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak-anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji mereka daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

Sureheboh bertukar menjadi Perkampungan Hadari di Terengganu

Oleh : Azmi Che We, Manir

Mereka hendak bermain wayang. Tetapi mereka tidak boleh menipu ramai manusia ketika sebahagian manusia jelas tertipu dengan strategi licik mereka. Mereka menukar tajuk karnival mereka agar bertukar dari sebutan yang bunyinya agak sosial menjadi sebutan yang agak islamik.

Siapa mereka ? Mereka ialah UMNO. Tidak lain tidak bukan mereka ialah UMNO. Siapa rakan kongsi mereka ? Rakan kongsi mereka kali ini ialah TV3.

Karnival sureheboh yang selama ini gah dengan acara hiburan dan konsert telah bertukar menjadi Perkampungan Hadari apabila mereka berkunjung ke Kuala Terengganu hujung minggu ini. Hujung minggu di Terengganu ialah hari Jumaat dan Sabtu yang tentunya berbeza dengan pantai barat.

Mereka memilih kampung Losong, Kuala Terengganu untuk berkampungnya karnival mereka itu. Tempat karnival mereka pula adalah merupakan sebuah Muzium yang terbesar di Malaysia iaitu Muzium Terengganu. Hairan juga mengapa mereka memilih tempat tertutup sedemikian rupa apabila mereka datang ke Terengganu. Apakah mereka bimbang akan keselamatan mereka apabila mereka datang ke sebuah negeri yang masih kuat dengan pengaruh PAS ? Nampaknya mereka ini bersetuju bahawa PAS masih kuat di Terengganu sehinggakan mereka amat berhati-hati dalam melangsungkan karnival mereka ini di Terengganu. Jika mereka percaya PAS lemah dan tidak berpengaruh di Terengganu, mengapa mereka menukar tajuk karnival daripada sureheboh kepada Perkampungan Hadari ? Mengapa mereka tidak mengadakan karnival ini di tempat terbuka seperti di pusat peranginan Pantai Batu Buruk ? Pantai Buruk sebelum ini adalah tempat ‘rasmi’ acara hiburan atau penganjuran ekspo bahkan sehinggalah kepada ceramah Anwar Ibrahim pun diadakan di Pantai Batu Buruk. Lebih enak lagi, suatu masa dahulu ketika era pemerintahan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dataran Pantai Batu Buruk menjadi tempat sembahyang Tarawih. Jadi apakah helah sebenar Derih Jusoh dan TV3 mengalihkan karnival mereka itu ?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah karnival TV3 diadakan di tempat tertutup seperti yang dirancangkan di Muzium Terengganu ini. Pelik memang pelik. Apakah mereka ingin mempelajari teknik membuat keropok Lekor di Losong ? Mungkin juga kerana ramai orang KL berminat untuk mengetahui rahsia membuat keropok Lekor Terengganu yang terkenal sedap itu dimana Kampung Losong adalah pusat pengeluar utamanya.

Previu Perkampungan Hadari di TV3 menampilkan segmen-segmen agama dimana ditampilkan penceramah-penceramah agama termasuk Ustazah Mashitah, pengacara bertudung litup dan rancangan Jejak Rasul. Langsung tidak ditampilkan artis membuat persembahan terloncat ke kiri dan ke kanan di atas pentas. Jika begitulah keadaannya saya terfikir di dalam hati, adakah TV3 sudah insaf ? Apakah karnival TV3 selepas ini akan berkonsepkan seperti ini juga ditempat-tempat lain di negara kita ini ? Atau adakah ianya hanyalah sekadar lakonan semata-semata, dimana apabila datang ke negeri kuat PAS seperti Terengganu ditampilkan imej islamik dengan tema Perkampungan Hadari tetapi apabila karnival ini berkunjung ke Johor Bharu ianya bertukar menjadi konsert sureheboh yang menampilkan artis seksi dan penonton lelaki dan wanita berhimpit-himpit seperti menaiki Bas Mini di KL suatu masa dulu ?

Ingatlah wahai UMNO dan TV3, kalian semua tidak dapat membohongi kami para cerdik pandai Terengganu. Cerdik pandai di Terengganu adalah para penyokong PAS. Lantaran kecerdikan itulah maka para cerdik pandai ini tidak terpesona dengan UMNO walaupun ajakan kepada UMNO begitu menggoda dan menarik hati. Dengan Puteri UMNO yang cantik jelita, dengan wang ehsan 300 rial seorang, dengan habuan makan percuma dan bermacam-macam habuan lagi kami para penyokong PAS masih bertahan di Terengganu. Sedikit pun tidak berganjak. Kekukuhan kami di atas pendirian ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit mahupun wanita.

Jaga-jaga sedikit wahai TV3 dan Kerajaan Derih Jusoh. Jangan sampai merosakkan Muzium Terengganu apabila ramainya manusia berkunjung ke situ untuk melihat dengan lebih dekat lagi Ustazah Mashitah berceramah.

Sesungguhnya kubur Ulama besar Terengganu yang bertaraf wali iaitu Tok Ku Paloh amatlah dekat dengan Muzium Losong Terengganu. Jangan sampai kebingitan karnival Perkampungan Hadari membingitkan Kampung Losong yang suasana asalnya tenang dan damai.

Penduduk Manir dan rakyat Terengganu yang cintakan kebenaran hakiki menentang apa saja karnival yang indah dari segi bahasa tetapi bertujuan menyimpang di sebaliknya. Suatu masa dahulu di zaman Nabi S.A.W, Baginda mengarahkan dirobohkan sebuah Masjid yang dibina oleh golongan munafik yang membina Masjid tersebut bukan untuk tujuan perkembangan islam tetapi untuk tujuan memecah belahkan umat. Lalu masjid tersebut dirobohkan.

Saya juga percaya Perkampungan Hadari juga bukan sesuatu yang ikhlas untuk perjuangan islam. Jika ikhlas bagaimana di Terengganu boleh diadakan Perkampungan Hadari tetapi di tempat lain ditukar kepada Karnival Sureheboh yang jelas songsang dari segi syariat islam ? Tepuk dada Tanya selera.

Imamkan solat Jumaat: Dr Amina berpandukan akal semata-mata

KUALA LUMPUR,(Hrkh) -Sembahyang yang diimamkan oleh wanita yang makmumnya terdiri daripada lelaki dan wanita adalah tidak sah.

Bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib berkata, begitu juga apabila wanita menjadi imam dan membaca khutbah dalam solat Jumaat, maka sembahyang pada hari itu tidak menjadi sembahyang Jumaat. Jelasnya, perempuan tidak wajib berjemaah malah tidak dituntut mengerjakan solat Jumaat, dan apabila perkara tidak diwajibkan maka ia adalah satu kelonggaran yang diberikan agama Islam kepada umatnya.
Menurut Ustaz Taib, dalam hukum fiqh wanita Islam tidak boleh menjadi imam solat kecuali jika ia dimakmumkan oleh wanita sahaja.

"Kalau di dalam jemaah itu ada lelaki maka lelaki itu harus menjadi imam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, misalnya di luar negara umat islam adalah golongan minoriti mereka dibolehkan menunaikan solat Jumaat tetapi ia wajib diimamkan dan dikhutbahkan oleh kaum lelaki dengan syarat dalam jemaah itu ada kaum lelaki.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang mengatakan seorang professor Pengajian Islam di Virginia Commonwealth University mengimamkan dan menyampaikan khutbah solat Jumaat di New York semalam.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Ustaz Salleh Ahmad berkata, professor itu tidak ada asas ajaran Islam dan tidak faham ilmu fiqah, beliau hanya berpandukan akal semata-mata dan tidak berpijak kepada wahyu.

Jelasnya, wanita tidak wajib berjemaah begitu juga dalam mazhab-mazhab lain dan wanita tidak dibenarkan mengimami jemaah yang terdapat kaum lelaki.

"Apa yang dibuat oleh Dr Amina itu tidak munasabah langsung, Dr Amina hanya melihat kepada Islam liberal dan pandangan yang berasaskan akal semata-mata," katanya. SH/mns






Wednesday, March 23, 2005

B. Mandarin: NGO selar syarikat

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan tindakan syarikat yang hanya mempelawa pemohon fasih bertutur bahasa Mandarin untuk bekerja di syarikat mereka sebagai tindakan diskriminasi kaum.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Mohd. Jafar Abdul Carrim berkata, setiap rakyat negara ini patut menghormati polisi negara yang telah ditetapkan oleh Parlimen bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi.

``Kita boleh terima jika bahasa Mandarin digunakan dalam perniagaan tetapi janganlah sampai menjadi kemestian untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan.

``Syarat fasih bahasa Mandarin tidak wajar sebagai kelayakan untuk memohon kerja,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai banyak iklan jawatan kosong dalam akhbar-akhbar tempatan yang mensyaratkan hanya mereka yang fasih berbahasa Mandarin sahaja layak memohon kerja dalam syarikat-syarikat tertentu.

Menurut Mohd. Jafar, walaupun ia tidak melanggar etika pengiklanan tetapi melanggar dasar kerajaan daripada segi pembangunan negara dan bangsa Malaysia.

Bagaimanapun katanya, syarat ini mungkin dibenarkan jika ada sebab yang benar-benar sesuai seperti tugas sebagai guru bahasa Mandarin atau bagi urusan perniagaan dengan negara China.

``Kita bukannya hendak menimbulkan isu bahasa, hormat atau tidak tetapi ini berkait dengan nasionalisme negara.

``Perkara ini akan membangkitkan banyak tentangan dan tidak selari dengan aspirasi negara,'' jelasnya sambil meminta supaya perkara itu dihentikan segera.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, tindakan ini sekali gus cuba menafikan hak kaum lain untuk bekerja di syarikat tersebut.

``Sebagai rakyat Malaysia, seseorang itu mesti fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu.

``Ini secara tidak langsung menafikan hak orang Melayu untuk bekerja di syarikat tersebut,'' ,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Ahmad Azam, dia tidak nampak rasional pemohon yang mesti fasih berbahasa Mandarin kecuali syarikat tersebut membuat urusan perniagaan dengan syarikat dari negara China.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, iklan seperti itu adalah tidak wajar sama sekali.

``Perkara ini seolah-olah menidakkan bahasa Melayu dan mengutamakan kaum tertentu,'' tambahnya.

Menurut Suhaimi, ia alasan untuk tidak mengambil orang Melayu untuk bekerja di syarikat itu.

Ahmad Harraz juara pertandingan sains AS

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

KUALA LUMPUR 22 Mac - Seorang rakyat Malaysia, Ahmad Harraz Mohd. Reza, 11, murid sebuah sekolah rendah di Amerika Syarikat mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan sains melalui penyelidikannya bertaraf universiti, 7 Mac lalu.

Murid pintar dari Sekolah Rendah Spring Creek di Laramie, Wyoming itu menghasilkan penyelidikan mengenai kunyit sebagai agen untuk mencegah kanser ovari.

Penyelidikan peringkat junior kategori Perubatan dan Kesihatan itu bertajuk Can Curcumin, an Ingredient Found in Turmeric, Inhibit the Growth of Human Ovarian Cancer Cell Line SKOV-3 in Vitro?

Bapanya, Mohd. Reza Razali berkata, pada pertandingan itu, Ahmad Harraz berjaya menewaskan 12 peserta yang lain dalam kategori tersebut.

Ahmad Harraz, 11, dipilih menyertai pertandingan itu di bawah Program Kecerdikan dan Berbakat (G.A.T.E) sekolahnya.

Katanya, kemenangan Ahmad Harraz itu amat membanggakan kerana dia adalah peserta termuda dalam kategori yang dikhususkan untuk peserta berusia antara 11 hingga 14 tahun.

``Penyelidikannya telah dibantu oleh dua orang kakitangan Universiti Wyoming iaitu Pengarah Jabatan Biologi Molekul, Prof. Dr. Dale Isaak dan Penyelia Makmal di jabatan yang sama, Carole Hertz.

``Isaak juga membenarkan Ahmad Harraz menggunakan makmal peribadi beliau malah turut membantu mencari dan menyediakan sel kanser ovari bagi tujuan penyelidikan tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Berikutan kemenangan itu, Harraz telah menerima pencalonan untuk menyertai pertandingan peringkat nasional Cabaran Saintis Muda Discovery Channel di Washington pada Oktober ini.

Kata Mohd. Reza, pencalonan itu hanya diberikan kepada 10 orang peserta peringkat junior bagi seluruh negeri Wyoming.

``Ahmad Harraz yang mempunyai cita-cita untuk menjadi pakar bedah otak juga aktif di dalam sukan renang dan ski.

``Baru-baru ini, dia memenangi tempat kedua di dalam acara renang 50 meter gaya bebas dan kuak kupu-kupu untuk kumpulan B peringkat Wyoming dalam satu kejohanan yang disertai 600 peserta dalam kumpulan umur lapan hingga 15 tahun,'' ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak berniat untuk bermegah atas pencapaian Ahmad Harraz tetapi beranggapan kejayaan itu sebagai bukti anak Melayu mampu untuk cemerlang dalam pelbagai bidang tidak kira di mana dia berada.

SIRIM BHD - pelacuran dan kakitangan ditipu

LAPORAN KHAS
Malaysia Today

SIRIM Berhad merupakan salah sebuah organisasi yang sangat dikenali di negara ini. Lihat sahaja barangan elektrik pasti sahaja akan tertera logo SIRIM bagi menandakan bahawa peralatan elektrik tersebut selamat digunakan. Pendek kata apabila disebut SIRIM orang pasti akan teringatkan logo SIRIM pada barangan elektrik.

Bagaimanapun apa yang hendak dipaparkan di sini bukanlah perihal logo tersebut, sebaliknya masalah-masalah di dalam SIRIM berhad yang memerlukan pembelaan dan pemantauan. Ada dua masalah yang hendak dipaparkan di sini iaitu masalah perumahan kakitangan dan juga masalah pelacuran.

Pelacuran tersorok

Pelacuran, pelacuran dan pelacuran. Suatu masalah yang tidak pernah selesai. Malah ada pendapat mengatakan bahawa pelacuran adalah suatu kerjaya paling tertua di dunia. Pusat kegiatannya pula boleh dikategorikan kepada pusat pelacuran tertutup dan pusat pelacuran terbuka.

SIRIM Berhad yang pada asalnya merupakan sebuah badan kerajaan yang mengeluarkan sijil-sijil ISO mula dikorporatkan pada 1 September 1996. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini nampaknya SIRIM Berhad bukan saja mengeluarkan sijil-sijil ISO, malah SIRIM Berhad mungkin bakal mengeluarkan anak-anak haram. Ini kerana terdapat sebuah pusat pelacuran tersorok yang beroperasi di dalam premis SIRIM Berhad.

Mengikut hasil intipan yang dijalankan, pusat pelacuran ini mulai beroperasi selepas waktu pejabat iaitu pada pukul 5.00 petang. Kalangan para pelacurnya pula terdiri dari Tukang Pembersih (cleaner). Lazimnya pekerjaan ini hanya dijawat oleh pekerja dari Indonesia. Di SIRIM Berhad memang terdapat ramai Tukang Pembersih yang berasal dari Indonesia. Mereka ini barangkali tidak mempunyai kewangan yang mencukupi bagi menampung keperluan harian, lantas mereka terjebak dalam perbuatan tidak bermoral ini.

Menurut satu sumber, terdapat satu sindiket di dalam SIRIM Berhad yang menguruskan kegiatan pelacuran ini. Tugas sindiket ini adalah untuk memantau jika sekiranya terdapat agen-agen yang tidak boleh dipercayai yang berkemungkinan akan menghancurkan kegiatan mereka. Sindiket ini juga berfungsi bagi membawa orang-orang tertentu untuk melanggani para pelacur di bawah jagaan mereka.

Bagaimanapun kegiatan pelacuran di SIRIM Berhad akhirnya mungkin hampir dapat dibongkar setelah pada minggu lepas beberapa pengawal keselamatan yang diketuai oleh Mejar (B) Sajari bin Haji Sarman menangkap dua orang pelanggan yang sedang bersetubuh dengan pelacur di dewan serbaguna SIRIM Berhad. Setelah disoal siasat, sang pelacur mengakui bahawa kegiatan keji tersebut telah lama dijalankan.

Namun kita percaya bahawa kegiatan pelacuran di dalam premis SIRIM Berhad masih lagi berjalan seperti biasa. Kegiatan ini perlu dibongkar sepenuhnya agar premis SIRIM bersih dari gejala yang tidak sihat. Justeru pemantauan perlu dilakukan segera bagi membendung gejala tidak bermoral ini dari membiak menjadi barah.

Penipuan projek perumahan

Masalah kedua yang hendak dipaparkan di sini adalah penipuan dalam projek perumahan bagi kakitangan SIRIM Berhad. Pada tahun 1999, kakitangan SIRIM Berhad mulai merasakan impian mereka untuk memiliki sebuah rumah akan tercapai pada penghujung tahun 2003 apabila Koperasi Anggota SIRIM Berhad atau KASB telah memperolehi tawaran tanah pada lokasi strategik di Seksyen 29 dan 30 Shah Alam. Lokasi ini boleh ditukar status tanah untuk dibangunkan rumah-rumah kediaman kakitangan SIRIM Berhad.

Mengikut rancangan, kawasan perumahan itu akan dibangunkan bermula pada awal tahun 2001 dan akan siap pada tahun 2003. Siapa jua kakitangan SIRIM Berhad yang berminat memiliki rumah sendiri perlulah mengemukakan deposit. Oleh kerana terlalu ingin memiliki rumah sendiri, maka semua kakitangan yang terlibat dalam pembelian projek perumahan SIRIM Berhad terpaksa memberi deposit yang mencecah belasan ribu ringgit kepada KASB.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, namun rumah yang mereka harapkan masih tidak wujud. Rumah yang sepatutnya siap pada tahun 2003 masih tidak nampak bayangnya. Tahun 2004 juga telah lama berlalu dan kini sudah sampai ke bulan Mac 2005, namun rumah yang mereka tunggu itu bagaikan semakin jauh dari mereka. Berbagai spekulasi dan andaian dibuat oleh kakitangan SIRIM Berhad seperti KASB telah menelan buta-buta wang deposit mereka.

Terdapat ramai juga kakitangan SIRIM Berhad yang tidak tahan dengan penantian yang tidak pasti. Mereka fikir lebih baik mereka beli sahaja rumah sendiri daripada bergantung-harap dengan KASB. Akhirnya terdapat beberapa kakitangan yang menarik diri dari projek perumahan SIRIM Berhad. Dalam kes ini kami paparkan satu surat dari Khairul Aimi Kamaludin yang menarik diri dari membeli projek perumahan SIRIM Berhad. Di dalam surat tersebut juga beliau menuntut KASB agar memulangkan kembali wang deposit beliau sebanyak RM16,000 ringgit kerana wang tersebut sangat beliau perlukan bagi membiayai pembelian projek perumahan lain.

Jelaslah di sini bahawa KASB telah menipu kakitangan SIRIM Berhad bahawa projek perumahan kendalian mereka kononnya akan siap pada 2003. Kita tidak tahu apakah yang terjadi kepada wang deposit yang dikutip dari kakitangan SIRIM Berhad. Apakah wang tersebut telah hangus?

Harus diingat bahawa terdapat ramai dari kalangan pembeli adalah terdiri dari golongan berpendapatan sederhana seperti kerani. Mereka ini terpaksa hidup berjimat cermat dan terpaksa menyimpan wang sedikit demi sedikit bagi membeli sebuah rumah. Jika wang deposit mereka ditelan dan rumah juga tidak nampak bayang, maka ini merupakan satu perbuatan jahat yang wajar ditangani segera.

Ubah sistem peperiksaan disokong

KUALA LUMPUR: Sistem peperiksaan sekarang perlu diubah dengan mengambil kira prestasi harian pelajar supaya penilaian lebih tepat dan menyeluruh terhadap seseorang pelajar dapat dilakukan, kata tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Murad Mohd Noor.

Beliau berkata, penentuan prestasi pelajar tidak sepatutnya hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata seperti sistem sekarang.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan (kini Pelajaran) itu berkata, antara elemen boleh diambil kira ialah kerajinan, tumpuan, minat dan prestasi pelajar dalam kerja rumah bagi sesuatu mata pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, ini tidak bermakna peperiksaan dimansuhkan, sebaliknya penilaian berasaskan sekolah itu mungkin membabitkan 40 peratus daripada keseluruhan markah sesuatu mata pelajaran.

“Penilaian berkenaan boleh diselenggarakan guru, manakala peringkat pusat pula menyediakan garis panduan dan menyeragamkan untuk semua sekolah.

“Langkah ini sudah dilaksanakan di luar negara tetapi kita mampu mencipta acuan sendiri kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia memiliki kepakaran mencukupi,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bahawa dasar pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan sekarang akan diubah kepada pembangunan menyeluruh keperibadian pelajar, khususnya aspek kebijaksanaan dan kemahiran.

Sambil mengalu-alukan hasrat kementerian itu, Dr Murad berkata, memang dasar pendidikan sekarang terlampau berorientasikan peperiksaan sehingga mendorong ibu bapa menghantar anak mereka tuisyen seawal tahun dua persekolahan.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Awang Mohmad, meminta Kementerian Pelajaran memberi penjelasan telus dan terperinci mengenai perubahan yang akan dilakukan terhadap dasar pendidikan sedia ada.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bina, pula berkata Falsafah Pendidikan Negara sebenarnya sudah memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan seimbang kepada pelajar.

“Dalam konteks ini, ‘sentuhan kemanusiaan’ harus diberi penekanan dalam pendidikan supaya pelajar tidak pergi ke sekolah sekadar untuk lulus peperiksaan,” katanya.

Putrajaya ‘lesap’ dalam jerebu

PUTRAJAYA: Kebakaran tanah gambut di Timah Langat, Dengkil serta beberapa kawasan berdekatan sejak empat hari lalu memberi kesan jerebu teruk di pusat pentadbiran negara di sini, semalam hingga menjejaskan jarak penglihatan serta kualiti udara.

Malah, sebahagian besar kompleks kerajaan serta rumah kediaman bagaikan 'hilang' daripada pemandangan mata kasar, terutama pada sebelah petang berikutan jerebu.

Sejak Sabtu lalu, lebih 20 hektar kawasan tanah gambut di Timah Langat serta sebuah pusat pelupusan sampah berdekatan pekan Dengkil terbakar. Bagaimanapun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan jalan raya setakat ini.

Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Sepang dan Cyberjaya yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di semua kawasan sejak minggu lalu, dijangka memerlukan beberapa hari lagi bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya, terutama di kawasan tanah gambut Timah Langat.

Keadaan bertambah buruk sejak pagi semalam, dengan jerebu mengehadkan jarak penglihatan serta suasana kelam dan kabur dirasai di pusat pentadbiran negara ini hingga jam 7 petang. Sesetengah penduduk di sini mengadu mata pedih.

Terbaru, taman hijau Cyber Park di Cyberjaya, dekat sini turut terbakar meliputi kawasan dua hektar yang mula dikesan petang semalam.

Turut dilaporkan terbakar ialah kawasan terbuka di Landasan Dua, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Jalan KLIA-Salak Tinggi, dekat sini dan Labu Lanjut, Salak Tinggi.

Penolong Penguasa Bomba Balai Cyberjaya, Hussin Abdullah, berkata pihaknya menggunakan lima pam air bagi memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut di Timah Langat, sejak Jumaat lalu.

"Kita dijangka memerlukan beberapa hari lagi untuk memadamkan kebakaran di Timah Langat. Asap masih berkepul di kawasan itu kerana ia tanah gambut.

"Kita tidak menolak faktor kebakaran terbuka menyebabkan Putrajaya menghadapi masalah jerebu agak teruk semalam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hussin berkata, pihaknya juga memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah berdekatan pekan Dengkil sejak kelmarin, manakala api dijangka tidak marak lagi hari ini.

Katanya, petang semalam kerja memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah itu dapat diselesaikan.

5 dibebas ISA boleh ke IPT

IPOH: Lima pelajar yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin, boleh meneruskan pengajian mereka di universiti tempatan dengan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata empat pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh memohon terus kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Semua mereka sudah dibebaskan tetapi masih diletakkan di bawah sekatan tahanan yang membawa maksud mereka masih perlu berada dalam kawasan yang ditentukan.

"Mereka juga mempunyai peluang untuk memasuki universiti, jadi perkara yang perlu dilakukan adalah membuat rayuan kepada kementerian dan kami akan pertimbangkan," katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Perdana Sempena Maal Hijrah 1426 di Masjid Ibnu Salam di Pengkalan Pegoh dekat sini, semalam.

Ceramah anjuran Gerak Wanis Gerakan Belia 4B itu disampaikan penceramah bebas, Siti Norbahyah Mahmood dan dihadiri lebih 1,000 umat Islam.

Kelmarin, kerajaan membebaskan enam tahanan ISA termasuk bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Min Wan Mat dan lima pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM, baru-baru ini.

Empat pelajar lepasan SPM ialah Abi Dzar Jaafar, 18; Eddy Erman Shahime, 19; Mohd Radzi Abdul Razak, 19 dan Mohd Ikhwan Abdullah, 19, manakala Mohamad Akil Abdul Raof, 21, lepasan STPM.

Kadar baru tambang dijangka diumum hari ini

Oleh Kadir Dikoh

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini dijangka membuat keputusan muktamad mengenai kadar kenaikan tambang pengangkutan awam, termasuk teksi, bas ekspres dan bas henti-henti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dijangka mengumumkan kadar baru itu selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya jam 3.30 petang ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, Mohamed Khaled akan membentangkan kertas Kabinet mengenai cadangan yang sudah disiapkan baru-baru ini pada mesyuarat Jemaah Menteri.

"Jika Kabinet bersetuju, maka menteri akan mengumumkan kadar tambang baru. Kita belum pasti sama ada Kabinet akan menerima atau menolak cadangan itu. Kabinet juga boleh meminta kajian lanjut.

"Sekiranya Kabinet menolak, kementerian terpaksa meneliti semula kadar itu dan merangka kertas Kabinet baru untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kertas Kabinet itu tidak membuat sebarang cadangan bagi kenaikan tambang bas sekolah kerana ia sudah dinaikkan pada September 2001.

Beliau berkata, Mohamed Khaled dijangka menjelaskan lebih lanjut mengapa tambang bas sekolah tidak dinaikkan jika pengumuman itu dibuat hari ini.

Baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan mengambil kira kemampuan orang ramai sebelum menetapkan jumlah kenaikan tambang nanti tetapi pada masa sama, orang ramai perlu menerima hakikat kos yang terpaksa ditanggung oleh pengangkutan awam meningkat berikutan kenaikan harga minyak.

Akhir tahun lalu, pengusaha kenderaan perdagangan, termasuk teksi, bas ekspres dan bas henti-henti memohon menaikkan tambang berikutan kenaikan kos operasi akibat peningkatan harga petrol dan diesel.

Malah persatuan bas ekspres, bas henti-henti, teksi atau kereta sewa dikatakan mahu kenaikan antara 20 dan 80 peratus.

Awal bulan ini, Mohamed Khaled berkata, kementerian mendapatkan maklum balas beberapa kementerian lain, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berhubung cadangan kenaikan tambang.

Beliau dipetik sebagai berkata, semakan tambang perlu mengambil kira profil industri, struktur kos operasi, kenaikan kos, prestasi pengusaha dan langkah mengurangkan bebanan pengguna.

Baru-baru ini, Persatuan Bas Sekolah Malaysia mahu mengemukakan rayuan kepada kementerian itu untuk menaikkan tambang perkhidmatan secepat mungkin.

Presidennya, Chee Ah Tey, berkata walaupun kerajaan sudah menaikkan tambang bas sekolah dua tahun lalu, tetapi harga diesel mengalami kenaikan beberapa kali selepas itu, manakala kos yang perlu ditanggung pengusaha bas sekolah adalah untuk gaji pemandu, diesel dan kos penyelenggaraan.

Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Yusof Lahir, pula berharap kerajaan mempertimbangkan permintaan memandangkan harga minyak naik beberapa kali sebelum ini.

Ahli Parlimen minta penjara peniaga tipu logo halal

Laporan Veena Rusli dan Jami'ah Shukri

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Rakyat semalam, termasuk pembangkang dan yang bukan beragama Islam, sepakat meminta kerajaan bertindak tegas dengan memperuntukkan hukuman penjara dan sebat, terhadap pengusaha dan peniaga yang menipu dalam penggunaan logo halal.

Sambil menyifatkan golongan itu sebagai pengkhianat, mereka berpendapat soal halal haram adalah perkara serius yang tidak sewajarnya dipersenda serta dipandang remeh oleh mana-mana pihak.

Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) berkata, umat Islam tidak boleh bertolak-ansur atau berdiam diri terhadap pihak yang cuba memperalatkan agama Islam dan menjadikannya landasan mengaut keuntungan.

“Kerajaan perlu tegas bertindak dan kita harap badan bukan kerajaan (NGO) serta individu turut memberi kerjasama. Saya cadangkan kedai menjual makanan tidak halal mempamerkan tanda ‘tidak halal’ besar-besar supaya orang Islam tidak salah faham.

“Bagi yang mempermainkan logo halal, kita minta kerajaan tutup terus premisnya kerana denda saja tidak mencukupi,” katanya ketika membahaskan usul mengenai isu sosej dicemari usus babi menggunakan logo halal dan dijual kepada umat Islam membahaskan usul berkenaan di Dewan Rakyat, semalam.

Persidangan Dewan Rakyat ditangguh selama sejam pada 4 petang semalam bagi membahas usul Salahudin Ayub (Pas-Kubang Kerian) itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika membenarkan usul itu berkata, ia memenuhi ketiga-tiga kriteria yang diperuntukkan dalam Perkara 18(1) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu perkara tertentu, perkara yang perlu disegerakan dan berkepentingan orang ramai.

Salahudin ketika membentangkan usul itu antara lain berkata, pengusaha produk makanan di negara ini sepatutnya sensitif terhadap keperluan masyarakat beragama Islam dan memahami larangan agama sesuatu kaum.

“Fokus kita dalam isu halal dan haram ini bukan setakat kepada makanan tetapi juga produk lain seperti pakaian serta barang kegunaan harian lain. Kerajaan perlu bertindak tegas ke atas golongan tidak bertanggungjawab ini bagi memastikan kepentingan umat Islam terpelihara sepenuhnya,” katanya.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) pula menyarankan mereka yang menyalahgunakan logo halal dikenakan hukuman sebat.

Beliau berkata, pesalah terbabit wajar dikenakan hukuman sebat tanpa mengira kedudukan bagi memastikan perkara itu tidak diambil mudah oleh sesiapa saja.

Sementara itu, Datuk Liow Tiong Lai (BN-Bentong) yang diberi laluan mencelah ketika Badruddin berucap, mendapat tepukan apabila menyatakan pendiriannya berhubung isu penyalahgunaan logo halal.

“Saya bukan seorang Muslim tetapi saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu kerana soal mempermainkan halal haram memang kita tidak boleh maafkan.

“Dalam hal ini, kita bukan mahukan sekadar tindakan tegas tetapi kerajaan perlu menggubal akta khusus memperuntukkan hukuman drastik dan penalti lebih berat kepada mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan,” katanya.

Ketika Badruddin memuji kenyataan Liow yang dilihat mempertahankan maruah umat Islam dan mengatakan ia adalah lambang keunikan konsep Ahli Parlimen BN yang menerima hakikat Malaysia sebagai negara Islam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam, meminta laluan dan berkata:

“Kami dalam MIC pun turut sokong usul ini dan memahami isu halal haram.”

Datuk Suhaili Abdul Rahman (BN-Labuan) pula meminta media massa menyiarkan jenama sosej yang dikatakan dicampur dengan usus babi supaya pengguna khususnya yang beragama Islam, tidak tertanya-tanya atau was-was dengan produk di pasaran.

“Kita ada televisyen dan akhbar, jadi pihak berkenaan mesti umumkan segera jenama sosej yang disahkan dicampur usus babi itu sebab kalau dah termakan, susah kita nak samak.

“Saya sokong cadangan supaya mereka itu disebat, malah kalau boleh digantung,” katanya.

Ismail Noh (Pas-Pasir Mas) mahu syarikat yang dikenal pasti menyalah guna logo halal dipulaukan sehingga mereka mendapat pengajaran sewajarnya, manakala Idris Haron (BN-Tangga Batu) meminta lebih banyak NGO bersikap proaktif seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membongkar isu sosej menggunakan usus babi baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, ketika menggulung perbahasan berkata, pihaknya akan menyenarai hitam pemilik hingga ke peringkat ahli lembaga pengarah syarikat yang didapati menipu pengguna dalam soal halal haram.

“Kita boleh lakukan berdasarkan peruntukan Akta Pendaftaran Syarikat dan perbuatan mereka itu tidak harus diampunkan kerana ia cukup keji.

“Untuk melaksanakannya, kita tidak harus ada rasa simpati. Saya sendiri pernah dimarahi oleh rakyat kawasan sendiri ketika bertindak dalam isu penyeludupan diesel tetapi saya tetap akan berpegang kepada amanah yang sudah diberikan,” katanya.

Monday, March 21, 2005

PAS akan terus memilih demokrasi selagi peluang masih ada

Oleh Azmi Yusof dan Khairul Azlam Mohmad

MARANG, 21 Mac (Hrkh) - Presiden PAS mengingatkan anggota pemudanya, PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi walaupun penuh dengan kelemahan dan kejahatan dan anggota PAS wajib berjihad dengan cara ini selagi peluang masih ada.

Sehubungan itu, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli-ahli PAS supaya tidak terpengaruh dengan pendekatan lain yang cuba ditonjolkan kerana kepatuhan kepada jamaah hukumnya adalah wajib.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk `Tarbiyah Islamiyah al-Harakah” Aplikasi Dalam Parti Islam Se-Malaysia’ pada Ijtimak Perdana Pemuda PAS SeMalaysia di Masjid Rusila, kelmarin.

Ijtimak yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Pemuda Terengganu selama dua hari itu dihadiri oleh lebih 2,500 pemuda dari seluruh negara.

Presiden PAS itu juga menegaskan, dasar Islam yang dibawa oleh PAS wajib dipelihara dan dipertahankan.

Ini kerana, Islam menjadi rahsia ketahanan PAS sepanjang perjalanannya yang penuh cabaran.

Menurutnya, pasang surut perjuangan PAS tidak terpancar hanya melalui keputusan pilihan raya tetapi kematangan parti dan kesinambungan kepimpinan dan pengikut.

“Kerana kita membangun bersama Islam dan membina keperkasaan juga dengan Islam, rebah bangun tetap bersama Islam dan dengan Islam kita mendapat pertunjuk yang sebenar,” ujarnya.

Selain Ustaz Abdul Hadi, turut membentangkan kertas kerja ialah Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertajuk ‘Islam Hadhari: Cabaran Terhadap Umat Islam’ dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Harun Taib dengan tajuk `Persiapan Dan Akhlak Para Dai (Pemuda) Untuk Kemenangan Islam’.

Majlis perasmian dilakukan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu menyempurnakan acara penutup.

Ustaz Abdul Hadi menambah, takwa adalah penting yang menjadi syarat bagi mendapat pertolongan Allah dan perjuangan yang diberkati.

Katanya, semua perkara yang dilahirkan oleh tarbiyyah yang berjaya dalam segala aspek disimpulkan di dalam perkara yang dinamakan takwa.

Menurutnya, banyak ayat al-Quran yang menunjukkan betapa eratnya sifat takwa yang lahir daripada iman, amal dan jihad melalui tarbiyah yang bersumberkan Kitab Allah dan sunnah Rasulullah itu dengan gerakan Islam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, proses dakwah dan motivasi sehingga mengubah fikiran adalah yang terbaik dan pertama dilakukan.

- zs

PAS cadang tubuh badan khas kendali barangan halal

Oleh HELMI KHALID

ALOR STAR, 21 Mac (Hrkh) - PAS mencadangkan agar satu badan khas yang merangkumi pelbagai disiplin ditubuhkan bagi memantau persoalan makanan halal/haram di negara ini bagi memastikan rancangan untuk menjadikan Malaysia pusat barangan halal atau 'Halal Hub' mencapai matlamatnya.

Pengerusi Lajnah Hal-Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, undang-undang yang ada sekarang berkecamuk ditambah pula dengan tenaga kepakaran yang terlalu sedikit menyebabkan isu tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian.

Selain itu katanya, sikap pengguna yang mahu mementingkan gaya berbelanja dan 'gaya makan' juga menjadi punca pengeluar makanan mudah menggunakan kesempatan mencampuradukkan dengan yang halal dah tidak halal.

Menurut Mahfuz, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hanya mengeluarkan logo halal, Kementerian Pengguna pula berperanan mempastikan di setiap barangan yang dijual di pasaran ada atau tidak logo tersebut, sementara Kementerian Kesihatan pula memastikan kebersihan persekitaran tempat menyediakan produk.

"Dari sini kita lihat ia tidak seragam, sebab itu PAS mencadangkan agar soal label halal ini ditentukan oleh satu badan yang perlu ditubuhkan yang di dalamnya diwakili semua pihak yang boleh memberi satu keputusan terbaik sebelum label halal dikeluarkan.

"Jika seperti sekarang, pengusaha boleh memohon dari Jakim, selepas itu sijil halal dikeluarkan, tetapi Jakim tidak boleh memeriksa produk tersebut di kedai, Kementerian Kesihatan pula bila lihat ada logo halal bagi mereka produk itu bersih untuk orang Islam.

"Kementerian Pengguna pula bila dapati ada label halal, maka bagi mereka Jakim telah meluluskannya dan produk itu telah menepati syarat, sampai bila pun isu ini tidak akan selesai," ujar beliau.

PAS katanya, berharap apabila tertubuhnya badan itu nanti ia mesti diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan disertai oleh pelbagai kepakaran yang ada bagi menyelesaikan kerumitan yang timbul sepanjang masa ini.

Budaya makan

Sementara itu katanya, budaya berbelanja dan 'budaya makan' masyarakat hari ini juga menyebabkan timbulnya satu keadaan sebegini rupa.

"Bukan kita menghalang masyarakat untuk makan sosej, tetapi kena bijak memilih, ada produk oleh orang Islam, jadi pilihlah sewajarnya.

"Seperkara lagi adalah, sosej itu sendiri sebenarnya bukanlah makanan tradisi Malaysia, jadi disebabkan masyarakat sekarang terlalu ghairah untuk meningkatkan 'life style' maka mereka mudah mengambil apa saja jenis makanan demi untuk dilihat 'up to date'" ujar Mahfuz lagi.

Sebagai contoh lain sambung beliau, orang Melayu hari ini lebih gemar membeli ayam atau daging di pasaraya-pasaraya besar, ini kesilapan yang ditempah oleh masyarakat itu sendiri.

"Seeloknya, belilah makanan seperti itu di pasar, pasar malam atau pasar tani kerana kita boleh mengenali penjual dan yakin ia telah disembelih dan sebagainya.

"Sebaliknya, jika ayam yang dibeli di pasaraya, kita tidak boleh mempastikan siapa yang membekalkan barangan tersebut, bukan kita mahu memburukkan pasaraya, tetapi ini adalah satu cadangan yang mungkin boleh mengatasi kemelut ini," sambung beliau lagi.

Haji Mahfuz berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan PAS Kedah bersama Pengerui Lajnah Hal-Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Kedah, Haji Adnan Saad.

Haji Adnan yang juga Ketua Pemuda PAS Kedah berkata, sememangnya pengguna Islam sekarang ini cukup tidak prihatin ketika membeli sehinggakan ada logo ejaan halal dalam huruf jawi yang silap pun mereka tidak menyedarinya.

- zs

Amerika Di Lindungi, Rakyat Di Perangi

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam keras tindakkan Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengunakan Water Canon dan gas pemedih mata dalam menyuraikan perhimpunan aman anti perang dihadapan kedutaan amerika pada hari ini-20 Mac 2005 dihadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.

Perhimpunan yang disertai lebih 1500 orang itu bermula dalam pukul 10.30 pagi dan dipaksa bersurai pada jam 11.15 pagi oleh pihak Polis. DPPWP berasa kesal kerana pihak Polis tidak memberikan kerjasama yang baik pada hari ini dan melihat rakyat Malaysia yang hadir sebagai musuh mereka. Kedutaan Amerika dilindungi oleh lebih 150 orang pegawai Polis pelbagai pangkat dengan bantuan 2 trak water canon.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Anti Perang ini turut disertai oleh Barisan Pimpinan PAS yang diketuai oleh Dr. Hatta Ramli dan Tn. Hj Mohd Nor Mohd-Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan beserta ratusan ahli PAS dari Wilayah Persekutuan dan Selangor.

DPPWP juga bertegas dan berharap agar Kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini bersikap serius dalam menangani Kemelut Peperangan yang melanda dunia, khususnya dalam konteks penjajahan Amerika di Iraq dan Afghanistan kini. Kemelut yang diterajui oleh Amerika ini patut dihentikan dan memberikan kebesasan sepenuhnya kepada rakyat Iraq dan Afghanistan bagi menentukan masa depan mereka sendiri.

Amerika yang sudah sekian lama digelar ‘Polis Dunia’ itu semakin besar kepala dan menganggap Negara lain sebagai mangsa buli mereka yang bisa diperlakukan apa sahaja. Tindakkan penjajahan Amerika ke atas bumi Afganistan dan Iraq sudah cukup untuk menceritakan pelbagai kezaliman mereka. Kempen anti keganasan yang diwujudkan kini hanyalah topengan dan batu loncatan untuk mereka memerangi Negara – Negara Islam diserata dunia.

Kita minta agar pihak Polis tidak lagi menjadi balaci kepada Kedutaan Amerika sehingga sanggup memerangi rakyat sendiri yang hakikat hanya datang berhimpun secara aman tanpa membawa sebarang senjata. DPPWP berasa pelik dengan tindakan Polis Malaysia pada hari ini. Jika diteliti, sepanjang siri demontrasi yang diadakan dihadapan Kedutaan Asing hanya Kedutaan Amerika sahaja yang sering menyaksikan pertembungan kezaliman pihak Polis terhadap Rakyat Malaysia. Kebanyakkan Demontrasi yang diadakan dikedutaan lain kita mendapat kerjasama yang baik oleh pihak Polis.

Adakah pihak Polis Malaysia telah turut dipengaruhi oleh aksi Keganasan Amerika diluar Negara atau Kerajaan Malaysia kini telah tunduk berlutut mengikuti telunjuk Amerika. Sebagai rakyat Malaysia, DPPWP berasa amat duka cita dengan sikap yang ditunjukkan oleh pihak Penguasa yang memusuhi rakyat sendiri dan dalam masa yang sama melindungi kezaliman yang dilakukan oleh Amerika.

Malaysia Sebagai Pengerusi OIC nampaknya gagal memainkan peranannya dalam memastikan Amerika keluar segera dari Iraq dan Afganistan. Kita tidak mahu Pemimpin Malaysia hanya bercakap kosong dan menyalak dimata dunia, tetapi bila dihadapan pemimpin Amerika menjadi seperti tikus yang telah dikembiri. Malaysia patut mencadangkan agar sekatan ekonomi dunia dikenakan kepada Amerika sebagai tanda protes dan sekaligus bakal menyaksikan pembebasan ekonomi dunia dari belenggu penjajahan US Dollar.

DPPWP menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bangkit menyatakan penentangan mereka terhadap dasar Kolonial Amerika ini. Kita cabar agar pemuda UMNO, MCA, MIC dan BN yang lain untuk turun berhimpun bersama dihadapan Kedutaan Amerika dalam tempoh terdekat ini, dalam menyatakan kebenaran dan memastikan Amerika Keluar dari Negara Iraq dan Afghanistan dengan segera.

Bebaskan Afghanistan, Bebaskan Iraq, Bebaskan Palestine, Bebaskan Dunia dari belenggu kezaliman dan peperangan

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Thursday, March 17, 2005

PRODUK HARAM- PENIAGA JANGAN DEGIL, PENGGUNA JANGAN GELABAH

Serbuan demi serbuan yang dijalankan oleh pihak JAKIM kebelakangan ini telah mendedahkan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh para pekilang dan peniaga di Negara ini. Pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan syabas dan terima kasih atas usaha gigih yang ditunjukkan oleh pihak JAKIM dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam usaha membanteras penyalahgunaan tanda logo HALAL.

Pihak DPPWP berasa terkilan kerana masih ada lagi pengkilang dan peniaga yang berani melanggar peraturan undang – undang dan tidak memahami sensitiviti umat Islam terhadap masalah produk HARAM. Isu sosej yang bersalutkan usus babi dan rumah penyembelihan yang HARAM baru – baru ini telah menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pengguna Muslim.

Pihak DPPWP ingin mengingatkan para pekilang dan peniaga bahawa perbuatan mereka ini bukan sahaja akan menjejaskan perniagaan mereka tetapi akan menyebabkan gangguan besar dalam sistem ekonomi Negara sekiranya pengguna mengambil sikap memboikot produk tertentu dalam pasaran selepas ini. Kita berharap agar adanya kesedaran dikalangan peniaga khususnya peniaga restoran dan Hotel yang menyediakan rangkaian makanan muslim untuk mempastikan produk yang dibawa masuk ke dalam dapur mereka adalah dari kumpulan produk yang Halal sahaja.

Pihak DPPWP berasa hairan bagaimana Hotel-hotel besar di Negara ini tidak begitu sensitif dan proaktif dalam menangani isu HALAL HARAM ini. Jika ditinjau ke kafe dan Restoran di beberapa Hotel besar sekitar ibu kota Kuala Lumpur ini, tidak banyak yang mempamerkan tanda HALAL. Kita juga dimaklumkan bahawa hanya Hotel THE ROYAL BINTANG KUALA LUMPUR sahaja yang disahkan HALAL oleh pihak Jabatan Agama Islam Persekutuan. Beberapa lagi hotel Seperti KUALA LUMPUR INTERNATIONAL SDN. BHD., LEGEND HOTELTKT, GRAND CENTRAL (KL) SDN BHD pula sedang dalam proses memperbaharui Sijil HALAL.(Sila rujuk http://www.halaljakim.gov.my)

Jika inilah suasana yang berlaku maka kehadiran pengunjung muslim ke Hotel-hotel di Malaysia pastinya akan berkurangan pada masa depan. Perkara ini amatlah mendukacitakan bila mana Malaysia kini sedang menumpukan kepada program promosi pelancongan untuk rakyat tempatan dan juga dari luar Negara khususnya pelancong dari Timur Tengah (Negara Muslim). Ia juga bertentangan dengan Visi Malaysia yang ingin menjadi Malaysia sebagai Negara pengeksport produk HALAL terkemuka (HALAL HUB) pada masa akan datang.

Justeru itu, kesedaran kepada para Pekilang dan Peniaga haruslah dipupuk melalui program pendidikan dan penerangan kepada semua pekilang dan peniaga dalam Negara. Kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Penerangan, Kem. Pertanian dan Industri Asas Tani, Kem. Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan yang lain perlulah proaktif bagi menangani isu ini secara bersama. Kita tidak boleh membiarkan JAKIM membuat kerja pemantauan dan penyiasatan ini secara bersendirian bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri Sahaja..

Jika diteliti kepada pengakuan Pengarah JAKIM, Datuk Mustafa Abdul Rahman dalam Berita Harian semalam (17/3/2005), jelas menunjukan bahawa tiadanya inisiatif serius oleh Kerajaan untuk menangani isu ini. Amat mustahil jika 6 orang pegawai penguatkuasa JAKIM diminta untuk membuat pemeriksaan diseluruh Negara dengan hanya dibantu oleh beberapa orang pegawai Jabatan Agama Negeri.

Selain terpaksa bekerja hingga lewat malam, kakitangan penguatkuasa ini juga berhadapan dengan gangguan dan ancaman dari pihak samseng yang dupah oleh syarikat berkenaan. Pihak DPPWP berasa prihatin untuk menyarankan kepada kerajaan untuk memberikan elaun tambahan kepada mereka bagi memastikan kebajikan mereka dijaga dan juga mengelakkan mereka dari menerima rasuah pada masa akan datang.

Disamping itu, permohonan pihak JAKIM untuk menambahkan seramai 120 orang pegawai penguatkuasa diseluruh Negara perlulah diluluskan segera. Mereka juga perlu diberikan perlindungan dengan memberikan latihan seni mempertahankan diri serta diiringi oleh pihak Polis dalam setiap serbuan yang dilakukan.

Sekali lagi, DPPWP memberikan amaran kepada kepada para pekilang dan peniaga di Negara ini agar sentiasa peka terhadap keperluan dan sensitiviti pengguna khususnya penguna muslim di Negara ini jika tidak mahu perniagaan mereka ditutup. Pihak DPPWP dan PAS sedia bekerjasama dengan pihak JAKIM dan badan-badan kerajaan lain untuk memastikan usaha membasmi penyalahgunaan tanda halal dan penipuan para peniaga dihapuskan.

Kita berharap agar pengguna di Malaysia juga peka terhadap produk baru yang berada dipasaran dan tidak panik dalam berhadapan dengan pendedahan yang sebegini. Pengguna yang bijak tidak perlu terlalu risau sehingga memboikot semua barangan yang ada dipasaran. Bertanya kepada peniaga tentang produk adalah tidakkan bijak dari terus memboikot atau risau tanpa usul periksa.


“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Hanya enam pantau halal



Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Ketika umat Islam menyuarakan kebimbangan berhubung penyalahgunaan logo halal, ramai mungkin tidak tahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cuma mempunyai enam pegawai penguat kuasa bagi memantau pengeluaran dan penjualan produk berkenaan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman ketika mendedahkan perkara itu berkata, bahagian penguat kuasa Jakim pada awalnya mempunyai dua penguat kuasa dan kini meningkat kepada enam pegawai yang bertanggungjawab mengawal selia barangan halal dan haram.



“Mereka kerja siang malam, kadangkala sampai jam 3 atau 4 pagi. Cuma saya nak kata kita sekarang perlu lebih ramai pegawai.

“Jabatan cukup memahami kebimbangan pengguna Islam apabila satu demi satu kes penjualan makanan yang diragui kesuciannya dibongkar serta dilaporkan media seperti penjualan sosej menggunakan usus babi.

“Kita tahu langkah paling berkesan membendung masalah itu ialah melalui pemantauan yang lebih ketat. Namun, Jakim berhadapan masalah mendesak iaitu kekurangan tenaga penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mustafa mengulas desakan umat Islam supaya kerajaan bertindak segera berikutan kes dua kilang memproses sosej di Selayang yang didapati menggunakan usus babi sebagai sarung bahan makanan.

Isnin lalu,dua kilang terbabit diserbu dan diarah ditutup selama dua minggu, berkuat kuasa serta merta. Sebuah kilang terletak di Kompleks Selayang manakala satu lagi berhampiran Pasar Borong Selayang.

Antara barang dirampas ialah 200 kotak berisi sosej, kotak kosong dengan logo ‘halal’ yang tidak sah, pelekat dan sarung plastik.

Selain itu, sebuah restoran di gedung perabot terkemuka di Damansara Utama, yang dipercayai menjadi pelanggan utama kilang sosej itu turut diserbu dan 50 kotak berisi produk berkenaan dirampas.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan akan menyegerakan penguatkuasaan penggunaan logo halal baru yang dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat bagi mengelak lebih ramai peniaga menipu pengguna.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada Jakim berhubung perkembangan terbaru cadangan menguatkuasakan penggunaan logo halal baru yang mula diperkatakan tahun lalu itu.

Mustafa mengesahkan Kabinet juga sudah mengarahkan Jakim memperkemaskan pemantauan terhadap pengeluaran produk halal dan haram, tetapi menegaskan pihaknya kini berhadapan dengan masalah kekurangan pegawai penguat kuasa.

Sehubungan itu, katanya, Jakim sedang berusaha mendapatkan tambahan 120 penguat kuasa bagi membolehkan tindakan lebih tegas dan terancang dikendalikan.

“Kita sedang menyiapkan kertas permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan amat berharap ia diluluskan segera. Kita akan mempercepatkan semua usaha bagi mendapatkan lebih ramai kakitangan penguat kuasa.

“Kabinet sudah mengarahkan Jakim memperkemaskan pemantauan terhadap pengeluar produk halal dan haram. Itulah yang sedang kita usahakan termasuk mengemukakan kertas cadangan lengkap kepada JPA untuk dipertimbangkan,” katanya.

Mustafa berkata, enam pegawai penguat kuasa yang ditugaskan sekarang, meskipun mendapat bantuan 73 pegawai jabatan agama Islam negeri, tidak mencukupi bagi memantau pengeluaran dan pengedaran produk halal dan haram, termasuk kira-kira 1,000 produk yang mempunyai logo halal.

“Sehingga November tahun lalu, 586 premis diperiksa di seluruh negara dan jumlah itu dianggap membanggakan jika mengambil kira faktor keupayaan dan jumlah logo halal yang dikeluarkan jabatan,” katanya.

Beliau berkata, caj yang dikenakan bagi semua pihak mendapatkan logo halal daripada Jakim amat minimum, iaitu antara RM100 hingga RM700 yang boleh ditanggung pengeluar terutama syarikat besar.

“Kita mengenakan bayaran RM100 bagi pengusaha industri kecil dan sederhana mendapatkan logo halal. Begitu juga pengusaha restoran yang dikenakan RM100 bagi setiap dapur yang digunakan,” katanya.

Mustafa berkata, Jakim kini di peringkat akhir menyiapkan kertas cadangan memperkenalkan logo halal yang dilengkapi cip keselamatan khas bagi mengelak penggunaan tanda palsu.

“Kita jangka kertas cadangan itu dapat disiapkan bulan depan.

“Sehubungan itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan semua pengeluar termasuk persatuan pengilang bagi mendapatkan maklum balas bagaimana logo halal baru boleh digunakan,” katanya.