Sunday, July 30, 2006

'Rebranding' Nisa' Wilayah Persekutuan meriah

Oleh Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Rebranding Nisa' seluruh negeri berakhir dengan Wilayah Persekutuan sebagai negeri terakhir yang melaksanakan majlis tersebut dan ia dijayakan dalam suasana yang sungguh meriah.

Majlis rebranding tersebut yang berlangsung pada hari ini, bertempat di Dewan Heng Gok Hai, SJK (C) Sentul dan dirasmikan oleh Timbalan Peseuruhjaya 1 Wilayah Persekutuan, Dr Azhar Yaakob.

Pengarah Nisa' Malaysia, Mastura Mohamad dalam ucapannya menegaskan walaupun Wilayah Persekutuan negeri terakhir mengadakan rebranding, namun ia satu kejayaan bagi Nisa' negeri ini kerana mengadakan majlis di dewan milik kaum Tionghua.

Tambahnya lagi, Nisa' Wilayah Persekutuan juga negeri pertama menjalankan kempen pencegahan jenayah.

Selain sesi penerangan mengenai Nisa', peserta juga dipertontonkan persembahan multimedia , 'Nisa' WP Bersamamu'.

Majlis yang dihadiri kira-kira 400 peserta itu diserikan lagi dengan persembahan kumpulan nasyid Huffaz serta cabutan nombor bertuah.

Selain itu, sebagai negeri pertama menjalankan kempen pencegahan jenayah, majlis rebranding tersebut juga mempersembahkan demonstrasi "Jenayah Seksual:Katakan Tidak!! " yang dilakukan oleh Kamal Affendy dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Kamal yang akan menulis berkaitan pencegahan jenayah dalam web Nisa' melalui demonstrasinya menerangkan tindakan yang perlu dilakukan apabila wanita diserang serta bagaimana menjaga keselamatan diri.

Menjelang tengahari Konsert Sinar Kasih menghiburkan hadirin yang hadir dengan persembahan nasyid. Antara kumpulan nasyid yang membuat persembahan ialah Serikandi Jawahir, Al-Insyirah, All for One dan Senandung Warisan. Mereka diiringi muzik tradisional yang dimainkan oleh beberapa pemuzik wanita.

Pengarah program, Mai Suharah Basaruddin yang ditemui Harakahdaily mengharapkan selepas rebranding ini, Nisa' Wilayah Persekutuan akan dapat 'merekrut' ahli-ahlinya melalui 'team building' di samping memperbanyakkan aktiviti untuk golongan remaja. - mks.

Mahasiswa berlagak 'samseng' di UPM, jejas budaya penyuburan ilmu

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Minggu haluansiswa di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telahpun berlalu, bagaimanapun minggu suai kenal di beberapa IPTA dicemari dengan insiden lagak ala 'samseng' beberapa mahasiswa yang disyaki dari kumpulan Aspirasi.

Presiden Gagasan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Mohd Haniff Baderun berkata, tindakan samseng beberapa anggota mahasiswa yang disyaki dari kumpulan yang direstui pentadbir universiti amat mengecewakan

Malah budaya menghalang yang dianggap sebagai 'monopoli aktiviti' ini hanya akan menjejaskan budaya penyuburan ilmu di menara gading. (Klik gambar untuk melihat rakaman video)


Photobucket - Video and Image Hosting Photobucket - Video and Image Hosting

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang medianya di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Petaling Jaya hari ini.

Semua ini berlaku kerana perjalanan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) itu sendiri yang tidak telus, malah ianya hanya diperguna kepada mahasiswa yang tidak menyokong aspirasi kerajaan, katanya.

Pentadbir universiti seharusnya menghormati hak kebebasan berpesatuan, beragama, beraktiviti dan bersuara mahasiswa sebagai mendokong prinsip demokarsi di negara ini, katanya.

Insiden yang berlaku di UM, UPM dan USM jelas menunjukkan budaya 'samseng' kini menular di universiti dengan pentadbirnya tidak bertindak menghalang budaya tersebut, katanya.

Menurut jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kong Wee Cheng pada 11 Julai 2006, sekumpulan mahasiswa yang bernaung di bawah Gerakan Mahasiswa Maju (GMM) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah membuka kaunter khidmat mahasiswa di Kafeteria Kolej ke 12 dan 14.

Bagaimanapun, dua mahasiswa yang menggelar diri mereka sebagai Majlis Tertinggi Kolej Ke-12 (MTM) telah datang dan mengganggu kaunter yang dibuka GMMUPM.

Kemudian selepas itu,datang pula pegawai keselamatan dan pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang terus merampas barang-barang dan risalah yang di letak di kaunter tersebut, katanya.

Seorang pegawai yang dikenali sebagai Yusof bercakap dengan nada yang keras dan menolak seorang mahasiswa, Ooi Tze Min (Simon) secara kasar hingga terlanggar kerusi berhampiran, kata Wee Cheng.

Dalam masa yang sama, beberapa pegawai mendekati seorang lagi rakan Simon, Wong Keen Yee dan cuba merampas kamera milik Keen Yee, katanya.

Dalam kekalutan itu, Keen Yee cuba untuk menghalang Yusof dari mencampakkan risalah dan barang milik GMM, bagaimanapun beliau dihalang dengan tindakan kasar hingga tangannya tercedera.

Akibat dari tindakan itu satu laporan polis telah dibuat oleh SMM di beberapa lokasi Balai Polis di Selangor termasuk Seri Kembangan, katanya.

Tidak sudah dengan kes itu, pada 17 Julai 2006, anggota GMM dikasari oleh sekumpulan pelajar yang disyaki dari kumpulan pro aspirasi ketika GMM sedang menjalankan kaunter perkhidmatannya di Kafeteria Ke-12.

"Ketua kumpulan tersebut berkelakuan seperti samseng dengan menjerit, memaki dan memaksa kami untuk beredar dari kawasan tersebut. Ini mengganggu hak kami untuk bebas berhimpun menjalankan aktiviti di kawasan kampus," katanya.

Akibat dari enggan beredar, anggota beberapa anggota GMM telah diasak dengan kasar oleh kumpulan pelajar terbabit hingga dua dari mahasiswa GMM terjatuh, katanya.

Seorang pemberita dari Merdekareview.com turut dikasari oleh beberapa mahasiswa yang berkelakuan ala samseng hingga kamera dan peralatan lainnya rosak, katanya.

Meskipun seorang pegawai keselamatan berada di tempat terbabit, kelakuan samseng kumpulan mahasiswa itu tidakpun dihalang, malah pihak GMM terpaksa menghubungi polis, katanya.

Beberapa minit kemudian pihak polis sampai untuk meleraikan kekecohan yang berlaku, katanya.

Di Universiti Malaya (UM) pula, aktivis mahasiswa yang bernaung di bawah nama UMANY turut menerima tekanan ketika mengadakan perjumpaan dengan pelajar baru pada 2 Julai lalu.

Tan Yu Keong dan Teh Hoong Keat telah diekori oleh lima individu yang disyaki antaranya kakitangan HEP, pembantu mahasiswa dan pegawai kolej, katanya.

Ketika mahu beredar dari lokasi perjumpaan di Kolej ke 12 UM, beliau telah dihalang oleh kumpulan lelaki yang mengekorinya dengan begnya dirampas kumpulan terbabit, kata Hoong Keat.



Lagak seorang mahasiswa 'sakit'Akibat insiden itu, satu laporan telah dibuat kepada pihak keselamatan UM, bgaimanapun hingga kini tiada sebarang respon dari pihak keselamatan, katanya.

Di Universiti Sains Malaysia (USM) pula, minggu haluan siswa telah dicemari dengan kata-kata ugutan dari pentadbir universiti ke atas pelajar baru, kata Setiausaha Antarabangsa Dema, Lee Huat Seng.

Menurutnya, pihak universiti telah mengugut pelajar supaya tidak menghadiri aktiviti anjuran SPF (satu organisasi mahasiswa yang didakwa pro pembangkang), katanya.

"Mereka mengugut akan membatalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika pelajar baru menyertai aktiviti SPF," katanya.

Sehubungan itu SMM dan seluruh gabungan mahasiswa mendesak pentadbir universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak terbabit segera menyiasat insiden pencabulan hak asasi ini, malah mengarahkan budaya' samseng' di kalangan mahasiswa ini dihentikan, kata Huat Seng. - mks.

Protes harga minyak: Perhimpunan dihentikan setelah diberi amaran tiga kali

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak dan barang-barangan dihentikan apabila pihak polis memberi amaran sebanyak tiga kali untuk menyuraikan perhimpunan tersebut dengan kekasaran.

Perhimpunan aman anjuran Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes) mula berhimpun di hadapan Dataran KLCC jam 3 petang, dipengerusikan oleh Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Badrul Hisham Shahrin diikuti dengan ucapan Ketua Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Dalam ucapan itu, beliau telah memaklumkan kepada pihak Polis di Bukit Aman bahawa perhimpunan itu diadakan secara aman bagi menyatakan rasa tidak puashati terhadap kenaikan harga minyak dan barang-barangan.

Menurut beliau, walaupun sudah lima bulan berlalu kenaikan harga minyak tetapi keperitan itu amat terasa ditambah pula dengan kenaikan harga barang-barang keperluan asas manakala bekalan gula pasir pula sering kehabisan.

Katanya, baru-baru ini Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan membuang pekerja seramai 6000 orang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang untung berbilion ringgit juga mahu buang pekerja begitu juga dengan Syarikat Automobil EON dimaklumkan akan membuang pekerjanya.

Ini kerana, tambah beliau disebabkan ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 30 peratus yang dianggap masalah remeh oleh pimpinan kerajaan BN. Ketika berkata demikian, helikopter PDRM kelihatan berpusing di sekitar kawasan perhimpunan.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Penerangan KeADILan, Thian Chua; Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung PSM, R. Arvechaleven; wakil Jim, Suhaimi; Gamis; Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit); Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Muslimat Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan; AJK Lajnah Pengguna PAS Pusat, Athirah Aiman Al-Jundi dan beberapa pimpinan PAS lain.

Badrul Hisham Shahrin mengajak pendemo melaungkan `Polis-polis jangan pukul', 'Polis baik rakyat baik', 'Polis beli minyak mahal', 'kami pun beli minyak mahal'. Ketika slogan ini dilaungkan kelihatan beberapa anggota polis tersenyum.

Wakil pelajar Malaysia, Hanif turut berucap mengatakan, sebagai rakyat Malaysia kita berhak menuntut hak kita yang dirampas.

"Pihak kerajaan jangan sekali-kali merampas hak rakyat, walaupun kami mahasiswa tetapi kami tetap merasai keperitan akibat kenaikan harga minyak. Kos pengajian turut naik," katanya.

Menurut beliau, apabila negara mengalami kerugian rakyat yang terpaksa menanggung segala-galanya tetapi apabila negara mendapat keuntungan semuanya dikaut oleh pimpinan BN.

Timbalan Setiausaha Agung KeADILan, Zahir Hassan yang ditangkap dan dibelasah di hadapan isteri dan anaknya dalam perhimpunan yang sama pada 28 Mei lalu turut berucap.

Beliau mengucapkan tahniah di atas keperihatinan mereka yang datang berhimpun bagi menyatakan bantahan di atas kenaikan harga minyak.

Ketika beliau berucap, Pegawai Polis (Ahmad) memberi amaran supaya perhimpunan itu disuraikan dengan alasan tidak ada permit.

Bagaimanapun, ucapan diteruskan dengan giliran Mohamad Sabu yang menyatakan kebimbangan terhadap maruah negara yang bertambah teruk ekoran kejadian mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disembur gas pemedih mata di Kelantan.

Beliau berkata, bagaimana imej negara Malaysia kalau mantan PM boleh disembur dengan gas pemedih mata manakala nasib rakyat boleh dihentam sahaja.

"Kita nak perhimpunan aman, kita tidak mahu negara seperti Israel yang tidak tahu menghormati demokrasi. Kita mahu kebebasan media dan kita juga mahu kebebasan bersuara dan rakyat berhak untuk menentukan corak pemerintahan negara," katanya.

Pihak Polis memberi amaran sekali lagi; "Sila bersurai jika tidak kami akan mengambil tindakan untuk menyuraikan perhimpunan."

Bagaimanapun, Mohamad Sabu melaungkan slogan; "Rakyat-rakyat naik minyak, rakyat sudah naik minyak, hidup rakyat".

Ketika itu kenderaan seperti bas, kereta turut menyokong bantahan tersebut apabila mereka memberi isyarat membunyikan kenderaan masing-masing.

Ketika Thian Chua berucap, Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung orang ramai yang berada di perhimpunan tetapi pendemo tetap tidak berganjak daripada kawasan perhimpunan tersebut.

Enam trak FRU dan satu trak `water cannon' dibantu pula dengan polis bantuan serta polis cawangan khas (SB) berada di hadapan Dataran KLCC.

"Saya mohon semua bertenang dan kita akan bersurai secara aman," katanya menenangkan keadaan orang ramai.

Perhimpunan disuraikan jam 3.50 petang tadi setelah menerima tiga kali amaran daripada pihak polis manakala FRU pula mengepung kawasan perhimpunan bagi menakut-nakutkan pendemo. - mks.

Demo Israel : Hujan rahmat semarak api kemarahan umat Islam

Oleh Wan Nordin dan Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Hrkh) - Hujan lebat jam 2.00 petang yang turun membasahi lebih 50 ribu manusia yang berarak dari Masjid Kampung Baru ke Pusat Konvensyen KLCC dan akhirnya ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah kezaliman Israel terhadap umat Islam Lubnan dan Palestin sedikitpun tidak melonggarkan hayunan langkah mereka.

Photobucket - Video and Image Hosting

Kehadiran Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang bersama-sama hingga basah kuyup menjadi azimat kepada aktivis untuk terus berada di bawah hujan lebat yang penuh rahmat.

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Laungan 'Allahuakbar', 'Hancur Israel', 'Hancur Amerika' dan 'Jahanam-jahanam Yahudi' menghiasi jalan raya dari Kampung Baru menelusuri Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang hingga ke Jalan Tun Razak.

Tuan Guru serah memorandum pada OIC

Di Pusat Konvensyen KLCC, Tuan Guru Abdul Hadi bersama pimpinan lain termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Presiden Teras, Azmi Abdul Hamid; Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Noor berusaha untuk menyerahkan memorandum kepada wakil pemimpin OIC.

Photobucket - Video and Image Hosting

Bagaimanapun, hasrat bertemu Pengerusi OIC tidak kesampaian, dan hanya Setiausaha OIC sahaja yang menerima memorandum mengesa tindakan pantas pertubuhan itu mengadakan sidang tergempar OIC untuk memberi tekanan kepada kuasa besar dan PBB menghentikan serangan Israel terhadap Lubnan dan Palestin.

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Dalam ucapannya selepas itu, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS serta umat Islam lain tetap bersatu untuk memastikan kekejaman Israel terhadap negara umat Islam itu dihentikan segera.

"Kami tidak rela darah umat Islam tumpah lagi. Amerika dan Israel perlu ingat, umat Islam pantang diusik, jika mereka berani untuk meneruskan agenda jahat mereka itu, umat Islam akan bangkit menentang," katanya sambil melaungkan 'Allahuakbar'.


Kita tidak bermusuh dengan rakyat Amerika atau orang Yahudi tetapi kerajaan Bush dan Ehud Olmet (Israel) yang membunuh umat Islam sesuka hati mereka," katanya lagi.

Photobucket - Video and Image Hosting

Sementara itu perhimpunan juga turut diperdengarkan dengan kritikan pedas terhadap Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyambut baik kedatangan Setiausah Negara Amerika, Condoleeza Rice di Malaysia.

Naib Presiden PAS, Haji Muhammd Sabu menyifatkan Condoleeza sebagai 'betina garit' yang dilayan Abdullah di negara ini tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

Malah Muhammd Sabu sepakat dengan Ustaz Nasharuddin menggelar Abdullah sebagai penakut dalam hendak menyatakan bantahan secara terbuka kepada Condoleeza meskipun PM itu adalah Pengerusi OIC.

Seketika di Pusat Konvensyen, walaupun hujan lebat peserta demonstrasi yang terdiri dari kanak-kanak, wanita, orang tua, remaja dan yang bertongkat tetap mengharungi jalan raya menuju ke Kedutaan Amerika sambil polis hanya menyaksikan, kebetulan perhimpunan ini berpermit.

Photobucket - Video and Image HostingPhotobucket - Video and Image Hosting

Di Kedutaan Amerika, sekali lagi laungan menghentam Amerika, takbir dan tasbih bergema, hingga jalan raya sekitar Jalan Tun Razak sesak dengan lautan manusia di kiri dan kanan jalan.

Pimpinan Muslimat turut turun padang bantah

Sementara itu, Berhadapan Kedutaan Amerika bermula sejak jam 2.30 petang sebahagian daripada pendemo melaungkan takbir serta mendesak kerajaan AS berundur dari bumi Palestin dan Lubnan.

Turut serta isteri Presiden PAS, To' Puan Zainab Ibrahim dan Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan yang setia berdiri di hadapan Kedutaan walaupun hujan lebat.

Zainab turut membantah keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh tentera AS dan Israel terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.

"Kita sebagai umat Islam perlu bersatu padu dan bekerjasama dalam menentang kezaliman serta keganasan rejim Israel terhadap umat Islam. Amat tidak wajar tentera Israel melakukan tindakan keganasan begitu," katanya.

Katanya, ini merupakan kali kedua beliau menyertai demonstrasi dan kali pertama di kedutaan Denmark iaitu ketika PAS membantah karikatur menghina Rasulullah s.a.w.

"Insya-Allah saya akan bersama-sama dengan pimpinan PAS untuk turut serta menyatakan bantahan dalam perhimpuanan yang akan datang," katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Sementara menunggu kedatangan pimpinan dan ahli PAS yang berarak dari Masjid Kampung Baru, pendemo yang menanti kedatangan mereka tetap melaungkan bantahan walaupun ketika itu hujan lebat.

Mereka membawa kain rentang `Khalifah penyelamat', bendera kalimah 'La illa Ha Illa Allah' serta laungan 'Yahudi laknatuAllah'.

AJK PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik yang ada di situ turut berkata, "kita bersumpah akan menuntut bela di atas kematian umat Islam di Palestin dan Lubnan."

Katanya, Allah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam jika umat Islam bekerja untuk memenangkan agama Allah.
Kedutaan Amerika biadap

alam pada itu, pemimpin perhimpunan yang dikepalai Tuan Guru Abdul Hadi ketika mahu menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan, bagaimanapun mereka hanya menerima di luar bangunan sahaja dengan wakilnya hanya memakai kemeja-t untuk menerima memorandum.

"Sungguh kurang ajar.Ini satu perbuatan yang biadap. Mereka melayan kami di pintu sahaja," kata Ustaz Nasharudin sambil kata-kata itu disahut dengan laungan kemarahan peserta terhadap layanan kedutaan itu.

Api kemarahan makin menyala, malah dalam ucapan Tuan Guru Abdul Hadi di hadapan kedutaan, beliau meminta umat Islam dan rakyat berdoa serta menyerahkan bantuan kepada umat Islam Palestin dan Lubnan.

Beliau juga turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat termasuk yang bukan Islam dan NGO serta pasukan keselamatan yang memberi kerjasama jitu bagi melancarkan perhimpunan aman itu.

Perhimpunan berakhir pada jam 5.00 petang. - mks.

Sunday, July 23, 2006

Sokongan luar biasa terhadap penentangan IFC, isu murtad

Oleh Anis Nazri

Photobucket - Video and Image Hosting Photobucket - Video and Image Hosting

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Belasan ribu umat Islam melimpahi perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, pagi tadi bagi menyatakan sokongan dengan menandatangani borang bantahan penubuhan Jawatankuasa Antara Agama (IFC).

Photobucket - Video and Image Hosting

Orang ramai mula membanjiri masjid berkenaan sejak jam lapan, sebelum progam forum bermula jam sembilan pagi. Mereka memenuhi dewan di mana forum berlangsung, hingga menutupi pintu-pintu masjid.

Photobucket - Video and Image Hosting

Forum "Islam dan Cabaran" anjuran Pesatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi Islam muktahir ini, khususnya mengenai kes Azlina Jailani atau Lina Joy, IFC dan Artikel 11.

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Forum tersebut membariskan beberapa ahli panel terdiri dari kalangan pensyarah, peguam, tokoh agama dan wakil badan bukan kerajaan (NGO). Mereka terdiri daripada Tuan Hj. Sulaiman Abdullah, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Abdul Aziz Bari, bekas Mufti Pulau Pinang, Dato? Sheikh Azmi bin Ahmad, Pengerusi Pembela, Zainur Zakaria, dan Yusri Mohamad.

Photobucket - Video and Image HostingPhotobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting Photobucket - Video and Image Hosting

Manakala penggulung kepada forum berkenaan ialah Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria, di samping moderator, Pengerusi Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Para hadirin sedikit pun tidak berganjak dari tempat mereka biarpun forum tersebut berlangsung selama hampir empat jam.

Photobucket - Video and Image Hosting Photobucket - Video and Image Hosting

Antara perbincangan yang menarik perhatian hadirin ialah isu Lina Joy, di mana pemimpin negara dikatakan tidak berbuat apa-apa dengan kes berkenaan, serta usaha-usaha untuk menghalang pihak bukan Islam mencampuri urusan agama Islam.


Photobucket - Video and Image Hosting Photobucket - Video and Image Hosting

Turut hadir dalam forum berkenaan ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Ustaz Badrul Amin Baharun, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, dan Tengku Razaleigh Hamzah. - mns

Friday, July 21, 2006

Demontrasi Membantah Kezaliman dan Keganasan Israel Diteruskan

Kuala Lumpur, 21 Julai 2006-Lebih 1000 orang umat Islam telah berhimpun diperkarangan Masjid Jamek Kg. Baru bagi menyatakan bantahan dan kutukkan terhadap kebiadapan Israel yang kini semakin rakus dalam menyerang dan membunuh umat Islam di Palestine serta di Lubnan.

Photobucket - Video and Image Hosting

Perhimpunan aman ini telah di Ketuai oleh YB. Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Pusat bersama AJK-AJK PAS Pusat seperti Dr. Hatta Ramli dan Dr Syed Azman Syed Ahmad. Turut kelihatan, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Sdr. ahmad Sabki Yusuf bersama pimpinan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor. Perhimpunan ini berjalan lancar dengan di pengerusikan oleh Sdr. Kamaruzzaman Mohamad, Pemangku Ketua DPPWP.

Dalam Ucapan para pemidato pada petang ini rata-rata menyatakan kutukan kepada Israel dan meraih simpati rakyat Malaysia agar terus memberikan sokong kepada perjuangan Umat Palestine. Khatib Masjid Jamek dalam khutbahnya pada hari ini, juga turut sependapat dengan para pemidato dengan menegaskan bahawa, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam diseluruh dunia untuk menghulurkan bantuan dana dan terus berdoa pada Allah bagi keselamatan Umat Islam di Palestine, Lubnan dan seluruh negara.

Photobucket - Video and Image Hosting

Dalam pada itu, Dr. Syed Azman dalam ucapannya turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bangkit bagi menolak kehadiran Setiusaha Negara Amerika Dr. Condoleezza Rice ke Malaysia pada 27-28 Julai depan. Kehadiran beliau bagi melobi Malaysia untuk menyokong kempen-kempen keganasan Amerika-Israel dan juga berkaitan dengan rundingan FTA Malaysia-Amerika, wajib mendapat tentangan seluruh rakyat kerana beliau dan Amerika bertanggungjawab terhadap kezaliman yang dilakukan oleh Israel pada seluruh Umat Islam.

Photobucket - Video and Image Hosting

Selain itu, Kerajaan Malaysia juga digesa agar menarik diri dalam rundingan FTA Malaysia-Amerika yang ternyata menjadi ruang kepada Amerika untuk meminta pelbagai perkara yang bakal menghancurkan umat Islam dinegara ini. Antara permintaan Amerika adalah pengecualian kolej-kolej atau Intitusi Pendidikan Tinggi Amerika di Malaysia dari mengajar subjek yang dikategorikan sebagai "Negative Category'" iaitu matapelajaran Islam.

Selain itu, Amerika juga meminta agar Malaysia memansuhkan penguatkuasaan logo halal, khususnya bagi barangan Import dari Amerika. DPPWP juga mendapat maklumat bahawa Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri masih lagi mengeluarkan AP bagi pengimportan barangan elektronik dari negara haram Israel. Yang terbaru adalah permohonan dari syarikat elektronik gergasi, IBM- yang beroperasi dalam negara, yang memohon bagi mendapatkan material import dari Israel.

Photobucket - Video and Image Hosting

Justeru itu, DPPWP bersama dengan seluruh umat Islam akan meneruskan bantahan dan juga berdoa agar Allah menurunkan bala kepada Israel dan juga tangan-tangan busuk yang menyokong mereka

Photobucket - Video and Image Hosting

Disamping itu DPPWP, juga telah mengedarkan Risalah Kempen Kesedaran Terhadap Bahaya Murtad diperkarangan Masjid Jamek Kg. Baru kepada orang ramai sebelum solat Jumaat. Diharapkan agan Umat Islam seluruh negara dapat mengadakan solat Hajat dan juga kempen bagi menyedarkan Umat Islam lainnya terhadap bahaya Murtad dan juga kejahatan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam pada hari ini.

Photobucket - Video and Image Hosting


Photobucket - Video and Image Hosting

DPPWP juga menyeru kepada semua umat Islam agar menyertai himpunan 1 Juta umat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada jam 9 pagi, 23 Julai 2006 (Ahad).

Tiada alasan bagi kita untuk membiarkan akidah yang kita pasakkan dalam roh kita ini dipelakukan seperti bahan mainan. Kita tidak tega membiarkan pendakwah-pendakwah yang memusuhi Islam merosakkan akidah umat Islam. Kita harus bangkit dan berjuang bagi mempastikan cita-cita mereka untuk merosakkan akidah umat Islam tidak kesampaian. Kita pohon semoga Allah memberikan hidayah pada Ketua Hakim Negara dan Hakim-hakim lainnya yang terlibat dalam kes Lina Joy ini dan seterusnya menolak permohonan wanita yang telah dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Allahuakhbar!!! Allahuakhbar!!! Allahuakhbar!!!

Hidup! Hidup! Hidup Islam!

Herman Samsudeeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Maklumat Terkini Berkenaan Demontrasi Aman Kg. Baru Pada 21 Julai'06

ASSALAMUALAIKUM W.W

Sukacita dimaklumkan, bahawa didalam mesyuarat khas Dewan Pemuda PAS Wilayah pada pukul 9 malam tadi, telah diputuskan agar gerakkan rakyat juga harus disemarakkan bagi menyokong keamanan rakyat Palestine dan Lubnan yang kini bertali arus diserang oleh kebinatangan Israel.

Justeru itu, pada esok hari (21 Julai 2006) akan ada 2 isu besar yang akan dicanangkan kepada para demontrans dan rakyat iaitu ISU PEMURTADAN UMAT ISLAM DIMALAYSIA DAN BANTAHAN TERHADAP SERANGAN GANAS ISRAEL KEPADA RAKYAT PALESTINE SERTA LUBNAN.

Oleh itu, DPPWP menyeru rakyat dan umat Islam bangkit bagi memperjuangkan soladariti dan hak wibawa umat Islam dan ketamadunan manusia masa kini.

Adalah zalim jika kita terus berdiam diri, dan memencil massa di dalam kotak fikiran kita, sedang umat Islam dan manusia lainnya di negara ini serta diseluruh dunia dirundung kedukaan akibat kezaliman tangan-tangan durjana laknatullah.

Pastikan janji temu kita di medan jihad pada esok hari. Kita mungkin belum mampu bermandi darah untuk memperjuangan hak dan akidah kita dipentas antarabangsa. tapi jangan sumbingkan hati kita untuk terus membiarkan kezaliman bermaharajalela.

Ayuh kita datang pada esok hari (21 JULAI 2006) dengan membawa SEPANDUK DAN PLACARD, kita bersolat Jumaat bersama DI MASJID JAMEK KG. BARU, KL, Seusai Solat dan berdoa, KITA BANGKIT BERTAKBIR DAN BERDEMONTRASI, luahkan sokongan kita pada perjuangan rakyat PALESTINE DAN LUBNAN, Dan ZAHIRKAN TENTANGAN KITA PADA MEREKA YANG MEMURTADKAN UMAT ISLAM termasuklah KUMPULAN ARTIKEL 11, dan Pakatan IFC.

Di samping itu, DPPWP menyeru kepada umat Islam seluruh negara khasnya dan seluruh dunia amnya untuk melakukan SOLAT HAJAT bagi memohon pertolongan Allah agar hati kita ditetapkan dalam ketaatan KEPADANYA dan juga kemenangan bagi perjuangan Umat Islam seluruh dunia.

ALLAHUAKHBAR!!! ALLAHUAKHBAR!!! ALLAHUAKHBAR!!!

KHAIBAR! KHAIBAR! YA YAHUD! JAISYU MUHAMMAD! SAWFA YAHUD!

BIRRUH! BIDDAM! NAFDIKKA YA ALLAH!

WASSALAM............

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Thursday, July 20, 2006

Demo Pertahankan Akidah Umat Islam

Tarikh : 21 Julai 2006 (Jumaat)
Masa : Selepas solat jumaat
Tempat : Masjid Kg. Baru

Demontrasi ini diadakan bagi mengisyaratkan kepada pihak-pihak yang berkuasa bahawa Akidah Umat bukanlah perkara main-main. Kes Lina Joy yang bakal berlangsung minggu hadapan akan menjadi pertembungan besar masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Namun, dalam kekalutan itu, usaha memurtadkan Umat Islam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat dan pemimpin negara hingga menyebabkan dakyah-dakyah missionery dari agama lain bebas mempengaruhi umat Islam dengan pelbagai agenda seperti IFC, pluralism dan Liberalisasi dalam agama.

Justeru itu, Umat Islam sendiri perlu bertegas bagi memastikan usaha-usaha mungkar ini dapat dihentikan. Dan Demontrasi ini adalah manifestasi pemikiran dan ketidaksetujuan kita pada apa yang berlaku dewasa ini.

Ayuh kita bersama dengan pimpinan Islam dan Pemuda Islam seperti Salahuddin Ayub, Ust. Idris Ahmad, Mazlan Aliman dan ramai lagi yang akan hadir mengibarkan panji-panji dan slogan kecintaan kita pada ISLAM serta ketaatan kita pada Allah.

Jika kita sayang akidah dan saudara kita, ayuh...jangan bersimpuh diserambi rumah, usah bertengger ditepian jalan...jangan berambu dikehanggatan duniawi...tinggalkan sebentar kerja-kerja dunia dan pejabat kita untuk kita melakukan kerja-kerja jihad.

Demi Allah, tiadalah kerja yang lebih mulia melainkan kerja-kerja mempertahankan akidah dan daulat Islam yang diredhai Allah.

Birruh, Biddam...Nafdikka Ya Allah

Maklumat lanjut sila hubungi: Kamaruzaman-019-2828536-Sila bawa Placard dan Banner yang menunjukkan kecintaan kita pada Islam dan penolakkan kita terhadap aktiviti pemurtadan umat Islam.

Sekian.Wassalam.


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Monday, July 17, 2006

Kes serban: Pemuda PAS Wilayah lapor polis, kenyataan hakim hina Islam

Photobucket - Video and Image Hosting

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membuat laporan polis pada 15 Julai lalu mengenai kenyataan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Abdul Hamid Mohamad dalam penghakiman bertulisnya yang boleh ditafsir sebagai menghina dan memperlecehkan ajaran Islam khususnya sunnah Rasulullah s.a.w.

Di dalam laporan itu, Pemangku Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman Mohamed selaku pengadu berkata, hujah hakim Abdul Hamid dalam keputusan kes tiga yang dibuang sekolah kerana memakai serban memberi gambaran dan perspektif yang salah terhadap kedudukan sunnah Nabi Muhammad

Abdul Hamid dalam keputusan kes tiga pelajar berkenaan berhujah bahawa, "soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah termasuk Abu Jahal memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesarkan dalam masyarakat itu, berbuat demikian. Tambahkan pula ia tidak bertentangan dengan Islam maka Nabi memakainya."

Seterusnya Abdul Hamid juga menyatakan bahawa,"pada tahun 70-an telah muncul gerakan-gerakan dakwah. Mereka menunjukkan kelainan diri mereka dengan cara mereka berpakaian di mana lelaki dan kanak-kanak memakai jubah dan serban. Salah sebuah gerakan dakwah itu telah pun diharamkan. Kita menyaksikan di televisyen, pimpinan utama mereka membuat pengakuan menangis dan bertaubat."

Ketiga-tiga pelajar yang terbabit dalam kes ini adalah Mior Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad johari dan adiknya Syed Ahmad Syakur.

Kamaruzaman yang ditemui kira-kira sejam selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi berkata, beliau amat kesal dengan hujah hakim berkenaan yang tidak sepatutnya dikeluarkan kerana cenderung ke arah memperlecehkan dan memperolokkan sunah Nabi dengan amalan pemakaian serban misalnya mengaitkan kelompok gerakan yang sesat dengan pemakaian serban.

"Meskipun kami menyanjungi prinsip dan kebebasan kehakiman, namun kami juga tidak boleh menerima bahawa seseorang hakim adalah kebal dan boleh menyatakan apa sahaja yang beliau suka khususnya dalam perkara yang menyentuh ajaran Islam," katanya.

Justeru, Kamaruzaman menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap laporannya ini demi menjamin kesucian ajaran Islam terus terpelihara.

"Sekiranya hal ini dibiarkan begitu sahaja tidak mustahil akan lebih ramai lagi pihak tertentu mengambil kesempatan menghina dan merendahkan ajaran Islam sehingga dibimbangi akan mencetuskan huru-hara di dalam negara," katanya.

Jangan bersembunyi, dedah segala dokumen - Mahfuz

Oleh Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Dokumen perundingan antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan mengantikan Tambak Johor itu harus didedahkan keseluruhannya, bukan mengambil sebahagian daripadanya.

Pendedahan itu, termasuklah minit mesyuarat, kertas rundingan serta perkembangan awal mengenai perbincangan kedua-dua belah pihak berhubung pembinaan jambatan itu dari awal.

Desakan itu dibuat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar, ketika diminta mengulas pendedahan beberapa dokumen yang diklasifikasikan semula untuk dijadikan dokumen awam.

"Kita tidak mahu sebahagian dokumen didedahkan dan sebahagian lagi disembunyikan" kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa dokumen itu didedahkan ketika Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, tidak berada dalam negara.

"Apatah lagi, Najib sendiri mengakui tidak tahu menahu tentang dokumen berkenaan. Siapa sebenarnya di sebalik pendedahan tersebut," soal Mahfuz lagi.

Ditanya mengenai kepentingan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dikuatkuasakan, Mahfuz berkata sesetengah daripada dokumen memerlukan OSA, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan negara.

Bagaimanapun, dakwanya terdapat sesetengah pihak yang menyalahgunakan OSA itu bagi tujuan melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu seperti yang berlaku ke atas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz.

"Kita tahu, suatu masa dahulu kertas pertuduhan rasuah terhadap Rafidah telah disediakan Peguam Negara, serta didedahkan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor. Ezam turut didakwa atas kesalahan OSA kerana mendedahkan dokumen berkenaan. Persoalannya, mengapa dokumen tersebut disembunyikan, sedangkan ia melibatkan kepentingan rakyat?" soal beliau.

Justeru, beliau meminta kerajaan mendedahkan dokumen berkenaan bagi membuktikan ketelusan kerajaan.

Forum : Syariah Dan Cabaran Semasa

Pertemuan Satu Juta Umat
“PERTAHAN AQIDAH , TEGAKKAN SYARIAH”

AHAD 23 JULAI 2006
Jam 9 pagi

Di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur

Anjuran :
Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan
TERAS Pengupayaan Melayu

Dengan kerjasama : JAWI

Maklumat lanjut hubungi : 012-8384312

KENYATAAN RASMI PERBINCANGAN KHAS NGO-NGO ISLAM MENGENAI ISU AZLINA JAILANI (LINA JOY) DAN ISU-ISU ISLAM SEMASA

Photobucket - Video and Image Hosting

Perbincangan khas di kalangan wakil-wakil NGO yang beraspirasikan Islam telah berlangsung di Gombak, pada hari Ahad 16 Julai 2006 (2:30 petang hingga 6:00 petang) untuk merangka sikap dan gerak kerja bersama bagi menangani pelbagai isu-isu berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia. Mesyuarat tersebut memutuskan untuk menubuhkan gabungan yang dinamakan Pertubuhan-Pertubuhan (NGO) Pembela Islam (PEMBELA) sebagai rangkaian gerak kerja bersama pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh wakil lebih 50 buah pertubuhan beraspirasikan Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Peguam Pembela Islam (PPI), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Muslim Professional Forum (MPF), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), MUAFAKAT, badan-badan pelajar dan lain-lain Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO). Ia turut dihadiri oleh wakil-wakil taman perumahan, surau, masjid, para peguam, individu-individu yang mendokong aspirasi yang sama, selain para peguam yang terlibat secara langsung mengendalikan kes-kes berkenaan permohonan keluar Islam di negara ini.

Mesyuarat ini digerakkan dari keprihatinan terhadap beberapa kes-kes mahkamah yang melibatkan Islam yang telah timbul akhir-akhir ini seperti kes Muhammad Abdullah@Moorthy, Azlina Jailani (Lina Joy) dan Meor Atiqulrahman. Wujud kebimbangan dan ketidak-puasan hati yang semakin memuncak di kalangan masyarakat Islam di negara kita berkenaan dengan isu murtad serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan perundangan negara.

Photobucket - Video and Image Hosting

Antara perkara penting yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah seperti berikut:

• Menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap masalah murtad di negara kita dan kesal dengan usaha berterusan pihak-pihak tertentu bertujuan menggugat kedudukan Islam di Malaysia melalui saluran perundangan.

• Menegaskan bahawa persoalan status keIslaman dan permohonan untuk keluar dari Islam adalah persoalan yang harus diadili oleh para Hakim yang memahami perundangan Islam di Mahkamah Syariah; dan bukan di Mahkamah Sivil terutama apabila ia melibatkan para Hakim bukan Islam

• Masalah murtad perlu dipandang secara jujur dan serius oleh semua pihak terutama kerajaan. Kami percaya masalah ini boleh ditangani tanpa menimbulkan sebarang kekecohan sekiranya ia ditangani dengan bijak. Pihak kami bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi mengatasi masalah ini.

• Menegaskan masalah murtad dan kedudukan istimewa Islam adalah perkara yang amat sensitif di kalangan umat Islam di negara ini dan memperingatkan sebarang cubaan menggugat kedudukan ini akan mengguris perasaan ramai pihak dan bakal mengganggu keharmonian dan kerukunan masyarakat berbilang bangsa.

• Menyatakan rasa kesal di atas beberapa komentar yang tidak sepatutnya dibuat dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Islam mengenai Rasulullah(saw) dan sunnah memakai serban.

Mesyuarat juga telah menubuhkan jawatankuasa bertindak yang akan menjalankan gerakan menangani masalah murtad dan mengukuhkan kedudukan Islam dalam perundangan negara. Kami mengalu-alukan sumbangan semua pihak untuk menangani masalah ini dari semua sudut.

Photobucket - Video and Image Hosting

PEMBELA bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengadakan majlis penerangan, dialog termasuk dengan bukan Islam dan pertemuan dengan pemimpin kerajaan bagi mencari penyelesaian bagi masalah murtad. Kami juga dalam proses menyediakan memorandum kepada para pemimpin kerajaan mengenai masalah murtad.

Sebarang sumbangan dan pertanyaan boleh ditujukan kepada:

Pertubuhan-Pertubuhan (NGO) Pembela Islam (PEMBELA)
d/a Sekretariat Abim Pusat,
Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel: 03-6188 0300
Faks: 03-6189 6700
Email: abim@po.jaring.my

Kes Lina Joy usaha terancang hapuskan Islam

Oleh Baharuddeen Abu Bakar

Cabaran murtad begitu serius sebab ia menyentuh secara langsung akidah umat Islam. Ia dirancang, digalakkan, dipelihara, dan dibayai oleh musuh Islam di dalam dan di luar negeri yang menyamar sebagai aktivis hak asasi manusia.

Ajaran Islam tentang murtad telah lama dilaksanakan (kecuali hukumannya) dan adalah kekal dalam sistem undang-undang Malaysia.

Kes Lina Joy yang menukar namanya hampir 20 tahun dahulu, tetapi tidak memohon murtad, dibangkitkan sekarang. Beliau memohon supaya agamanya, Islam, yang disebut di kad pengenalannya dibatalkan. Iaitu secara tidak langsung mencabar ajaran Islam tentang murtad.

Begitu juga dengan Ayah Pin; ajaran krakpotnya didalangi pihak tertentu yang jelas tidak boleh menerimanya, tetapi semata-mata untuk mencabar Islam.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, dan Sikh Malaysia (Majlis Bukan Islam) ataupun Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, and Sikhism (MCCBCHS) melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001, menuntut, antaranya beberapa desakan yang anti-Islam: Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke mahkamah syariah.

Hujah mereka kerana hak ini diberi di bawah Artikel 11 Perlembagaan.

Mereka mendesak sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan mahkamah syariah tetapi dikendalikan mahkamah sivil.

Langkah terbaru, mereka mendesak kerajaan menubuhkan satu badan berkanun, Inter-Faith Commission (IFC) khas untuk menukar ajaran mana saja agama yang dirasa menyekat hak asasi manusia termasuk ajaran Islam tentang murtad. Badan ini boleh memutuskan permohonan oleh seorang Islam yang hendak murtad.

Menurut deraf rang undang-undang IFC yang dikemukakan penganjurnya - Majlis Bukan Islam dalam Majlis Peguam - IFC akan berkuasa melaksanakan beberapa norma undang-undang antarabangsa. Seolah-olah ia adalah undang-undang Malaysia, bagi memutuskan aduan pencabulan hak mengenai agama. Ini bererti aduan tidak akan diselesaikan mengikut agama seseorang atau undang-undang sivil Malaysia sedia ada.

Antara norma-norma antarabangsa itu adalah Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948.

Semua norma antarabangsa itu belum disahkan Malaysia. IFC menuntut supaya agama mestilah mengikut ketentuan norma antarabangsa di atas. Norma antarabangsa itu tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam.

Bagi orang Islam, peraturan untuk kehidupan mereka bukan lagi Islam tetapi norma-norma antarabangsa yang dicipta manusia. Apa sahaja ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa hendaklah dihapuskan. Ini bermaksud, Allah mesti tunduk kepada norma antarabangsa. Ini menjejaskan akidah seorang Muslim.

Orang Islam bebas murtad

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia menyatakan ‘setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama … (artikel 18)’. Bermaksud status sebagai seorang Muslim bukan ditentukan Tuhan tetapi ditentukan manusia. Berdasarkan norma antarabangsa, Islam tidak berhak menghalang penganutnya keluar daripada Islam kerana itu dibenarkan norma antarabangsa.

Firman Allah, bermaksud: "Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (An-Nahl: 106)

Mendakwahkan agama lain kepada orang Islam

Bukan sahaja deraf undang-undang IFC itu mempermudahkan orang Islam keluar Islam, ia juga membolehkan agama lain didakwahkan kepada orang Islam, dan perbuatan murtad akan menjadi perkara biasa.

Deraf undang-undang IFC berkata, hanya had-had di bawah Artikel 11 (5) terpakai bagi mendakwahkan sesuatu agama kepada seseorang yang bukan menganut agama itu. Artikel 11(5) berkata, mendakwahkan sesuatu agama kepada pengikut agama lain hanya tertakluk kepada "peraturan umum berkaitan keselamatan, kesihatan dan moraliti umum". Di sini jelas Islam menjadi sasarannya.

Artikel 11(4) tidak termasuk dalam deraf undang-undang IFC. Artikel 11(4) berkata Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang bagi "menghalang atau menghadkan penyebaran mana-mana doktrin agama atau kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam". Kesan pembuangan bahagian artikel ini membolehkan agama lain disebarkan di kalangan orang Islam. Dan IFC akan membenarkan orang Islam murtad walaupun dihalang pihak berkuasa syariah.

Walaupun PBB mengisytiharkan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, badan itu tidak berhasrat dan tiada percubaan di mana-mana pun di dunia ini dibuat dengan tujuan mendirikan satu badan saperti IFC.

Seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC. Permohonannya akan ditentukan oleh ahli-ahli IFC yang di antaranya adalah orang bukan Islam. Ini adalah campur tangan amat nyata dalam hal ehwal agama Islam.

Jabatan Pendaftaran Negara tidak berhak menolak permohonan seseorang untuk menukar nama daripada Islam kepada bukan Islam dengan alasan itu adalah suatu percubaan untuk murtad. Jika permohonan ditolak ini menjejaskan keharmonian dan kebebasan beragama. Perkara ini terkandung di dalam seksyen 19(3) deraf undang-undang IFC.

Badan kerajaan berkenaan boleh diheret ke mahkamah sebab tidak menghiraukan keputusan IFC.

Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal-ehwal agama Islam

IFC jelas sebuah suruhanjaya anti-Islam. Ini adalah campur tangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam secara terang (tanpa berselindung). Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan - Freedom of Religion - tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk kepentingan sendiri.

Orang bukan Islam berhak menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campur tangan dalam urusan Islam. Campur tangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sendiri.

Kes Lina Joy, bukan sekadar nama

Pada mulanya Lina Joy memohon kepada Mahkamah Tinggi, secara langsung dan tanpa segan silu, bahawa Perlembagaan memberi hak kepadanya menolak Islam. Permohonan itu gagal; malangnya Mahkamah Tinggi tidak membuat keputusan yang berasaskan syariah semata-mata tetapi berikut definisi Melayu. Seorang Melayu didefinisikan Perlembagaan sebagai orang Islam dan oleh yang demikian Lina Joy sebagai orang Islam tidak boleh menolak agamanya.

Kemudian beliau cuba mencapai tujuan yang sama dengan permohonan supaya beliau dibenarkan tidak menyebut agama dalam kad pengenalan.

Permohanannya kepada Jabatan Pendaftaran ditolak, kemudian beliau mengambil tindakan undang-undang supaya mendapat pengisytiharan bahawa beliau berhak tidak disebut agamanya dalam kad pengenalannya. Apabila permohonan ke Mahkamah Tinggi ditolak beliau merayu ke Mahkamah Rayuan.

Masalah ini ada implikasi yang mendalam kepada akidah, syariah dan juga kuasa badan berkanun pentadbiran Islam di Malaysia. Permohonan itu tidak boleh dipandang ringan dan masyarakat Islam bersyukur mahkamah sivil memahami implikasinya dan membuat keputusan yang berani, prihatin dan sedar dan menyelamatkan keadaan di Malaysia di mana cabaran demi cabaran dibuat oleh musuh Islam dalam negara umat Islam ini.

Permohonan seperti itu bertujuan menutup murtad, dan juga supaya membuat beberapa aktiviti yang dilarang syariah; antaranya selain murtad adalah supaya seorang Islam boleh dikahwinkan dengan orang bukan Islam di gereja atau kuil. Lebih serius lagi, seorang Islam boleh murtad tanpa permohonan dibuat kepada Majlis Agama.

Permohonan beliau dibuat di bawah Akta Pendaftaran yang menghendaki agama disebut sebagai satu-satunya ciri pengenalan seorang. Akta tersebut tidak diluluskan Parlimen dengan tujuan memudahkan murtad dengan yang tidak dapat dielakkan oleh badan pentadbiran Islam. Permohonan itu merupakan satu penyalahgunaan sebab percubaan dibuat bagi mencapai tujuan yang tidak diingininya.

Parlimen adalah bagi mengesahkan ciri-ciri pengenalan peribadi dan bukanlah mengkaburkannya dengan tidak menyebut agama.

Lebih serius lagi percubaan dibuat secara tidak langsung untuk murtad dengan tidak menyebut agama sahaja, dan juga mengelakkan majlis agama yang berkuasa dalam hal ini yang juga mengasaskan hujah mahkamah menolak permohonan itu.

Selepas gagal di Mahkamah Tinggi beliau membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan selepas gagal di mahkamah itu pun beliau membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Persekutuan dan keputusan mahkamah itu ditangguh.

Dalam kesnya Lina Joy mencabar kuasa Jabatan Pendaftaran Negara bahawa jabatan itu tidak diberi kuasa mensyaratkan seorang yang hendak tukar nama Islam asalnya disebabkan murtad hendaklah dapat kebenaran dari Mahkamah Syariah dahulu.

Lina Joy juga berhujah bahawa kesnya adalah kes sivil sahaja iaitu menukar nama menurut hak yang diberi undang-undang sivil; beliau tidak menyentuh tujuan sebenar yang tersirat dalam permohonan itu. Itulah sebabnya peguam kanan, Haji Sulaiman Abdullah, bagi Majlis Agama menyifatkan tindakan itu sebagai murtad dari pintu belakang.

Bukan Islam mahu orang Islam kahwin bukan Islam tanpa masuk Islam

Memorandum Majlis Bukan Islam juga mendesak: “Pendaftar Perkhawinan (sivil) tidak boleh berdaftar perkhawinan seorang Islam. Hendaklah ditegaskan oleh undang-undang bahawa adakah seorang itu Islam atau pun tidak hanya bergantung kepada apa sahaja seseorang itu mengaku adalah agamanya. Jika orang itu berkata, ia bukan Islam, itu mencukupi.”

‘Perkahwinan’ kepada orang bukan Islam adalah punca kes Lina Joy. Jika agama tidak disebut dalam kad pengenalan, seorang Islam boleh dikahwinkan dengan orang bukan Islam di mana-mana sama ada di gereja atau di kuil; itulah sebabnya Lina Joy hendak agamanya tidak disebut dalam kad pengenalannya dan dengan itu menutup kes murtadnya.

'Sisters Against Islam'

Sebagai satu badan yang mementingkan perempuan lebih dari apa sahaja pun, Sisters in Islam menunjukkan bahawa mereka tidak ada apa sahaja batasan pun termasuk ajaran Islam; Lina Joy sebagai perempuan yang mahu berbuat sesuka hatinya, jadi Sisters in Islam pun menyokongnya.

Sisters in Islam juga diberi peranan dalam kes Lina Joy dan mereka telah berhujah bahawa Lina Joy hendaklah diberi hak keluar dari agama walaupun ia bertentangan ketara dengan ajaran Islam.

Oleh yang demikian golongan ini haruslah digelar 'Sisters Against Islam'.

Apakah kepentingan Bukan Islam dalam kes Lina Joy?

Kes Lina Joy merupakan peningkatan strategi musuh Islam. Era 70-an dan selepas itu, mereka mencari orang yang bakal murtad dalam golongan daif seperti anak luar nikah hasil zina antara Islam dan bukan Islam.

Ada sebuah firma peguam di Pulau Pinang yang asyik mengiklankan pengisytiharan murtad dalam The Star. Mereka mengikut satu atur cara undang-undang yang dipanggil deed poll. Pengisytiharan seperti itu tiada kuasa undang-undang di Malaysia sebab itu adalah cara yang digunakan di England oleh seorang yang hendak mengisytiharkan penukaran namanya.

Selepas itu mereka gunakan cara permohonan tukar nama di bawah Akta Pendaftaran Negara. Beberapa kes murtad diluluskan Jabatan Pendaftaran seperti kes Kartini. Apabila jabatan itu sedar, syarat dibuat bahawa orang Islam yang mohom tukar nama dari nama Islam kepada nama bukan Islam, pemohon hendaklah dapat kebenaran Mahkamah Syariah. Syarat itulah yang dicabar dalam kes Lina Joy.

Dalam mendengar hujah di Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Negara, Tun Ahmad Fairuz memberi peluang kepada Majlis Bukan Islam berhujah bahawa orang Islam berhak murtad. Peranan yang diberi kepada mereka, mungkin ada sebab yang baik, iaitu mendengar semua pihak yang berminat, walaupun sama sekali tidak ada kepentingan dari segi hak mereka mempraktikkan agama mereka seperti disyorkan Artikel 11 Perlembagaan.

Tindakan Mahkamah Rayuan Persekutuan boleh dianggap oleh bukan Islam sebagai pengiktirafan hak mereka dalam kes murtad orang Islam; ruang diberi bagi mereka campur tangan dalam Islam. Ini amat dikesali.

Saturday, July 15, 2006

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG KENYATAAN HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG KES SERBAN

Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) merasa amat kesal dengan kenyataan Yang Arif Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed di dalam penghakiman bertulisnya yang menyatakan bahawa daripada pandangan Islam, amalan memakai serban bukannya satu perkara besar, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak bawah umur.

Hakim tersebut seterusnya dilaporkan berkata :-
‘‘Daripada apa yang saya dapat pastikan, al-Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi.

‘‘Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda?” kata Abdul Hamid dalam penghakimannya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kamaruddin Kamsun.

‘‘Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian,” kata Abdul Hamid.

Katanya, serban bukan hanya dipakai oleh orang Arab. Orang lain yang tinggal di padang pasir seperti kaum Afghan dan Parsi juga memakai serban, katanya.

‘‘Malah, sesiapa sahaja yang pergi ke Mekah akan dapati bahawa sehelai kain, biar atas nama apa sekalipun untuk menutup kepala dan muka daripada panas matahari, cuaca kering dan debu, amat berguna.

‘‘Sekarang ini, berdasarkan reka bentuk dan cara memakainya, serban melambangkan bangsa pemakainya, umpamanya sama ada mereka itu orang Arab Saudi, Afghan, dari Sudan, dari Oman dan sebagainya. Serban telah menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi negara ini.

‘‘Apa yang turut menarik ialah sehingga sekarang ini pun tidak ramai daripada mufti kita dan hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban,” ( Lihat akhbar Utusan Malaysia 13/7/2006 )

DPPP berpendirian apa yang dinyatakan oleh Hakim tersebut boleh ditafsirkan sebagai menghina dan memperleceh ajaran Islam khususnya Sunnah Rasulullah s.a.w. . Meskipun DPPP menyanjungi prinsip kebebasan kehakiman namun DPPP juga tidak boleh menerima bahawa seseorang Hakim adalah kebal dan boleh menyatakan apa sahaja yang beliau suka khususnya dalam perkara yang menyentuh ajaran Islam.

Meskipun DPPP menghormati keputusan Mahkamah tersebut namun Hakim sepatutnya lebih berhati-hati dan mengambil kira hati dan perasaan umat Islam yang membaca penghakiman tersebut apatah lagi kes ini adalah kes yang mendapat perhatian ramai

Adalah satu yang malang Hakim tersebut bercakap seolah-olah beliau sebagai orang yang kononnya pakar dalam ajaran Islam tanpa mengambil kira bahawa di dalam kes tersebut terdapat keterangan pakar agama yang telah memberikan keterangan berhubung kemuliaan pemakaian serban menurut ajaran Islam.

Sehubungan dengan itu DPPP meminta para Mufti untuk meneliti sepenuhnya kenyataan Hakim tersebut dan jika terbukti ianya menghina ajaran Islam tindakan yang sewajarnya perlu diambil ke atas Hakim tersebut demi menjaga kesucian ajaran Islam.

DPPP juga akan mengarahkan seluruh dewan pemuda pas negeri-negeri untuk membuat laporan polis di atas kenyataan Hakim tersebut dan DPP juga tidak menolak kemungkinan untuk membawa perkara ini ke Majlis Raja-Raja agar tindakan yang sewajarnya diambil berhubung isu ini.


Y.B SALAHUDDIN AYUB
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat

Kes Azlina Binti Jelani..Kesannya Terhadap Islam di Malaysia.

Ramai dikalangan umat Islam di negara ini tidak mengetahui apakah sebenarnya kes Azlina Binti Jelani iaitu anak kepada pasangan Melayu Islam bernama Jelani dan isterinya Umi Kalsom.

Kes ini adalah berkaitan permohonan Azlina Binti Jelani untuk mendapat 'pengiktirafan' yang beliau berhak untuk menukar agamanya dari Islam kepada Kristian.Azlina Binti Jelani ini telah 'berkahwin' dengan seorang lelaki beragama Kristian sejak 6 tahun yang lalu.

Permohonan Azlina Binti Jelani untuk tidak dirujuk sebagai orang Islam dalam kad pengenalannya telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara atas alasan soal Islam atau tidak Islam seseorang Islam adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Azlina Binti Jelani anak kepada Jelani dan Umi Kalsom ini sekarang ke Mahkamah Persekutuan atas alasan bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk menganuti agama pilihannya.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyebut setiap orang berhak menganut apa-apa agama pilihannya.Oleh itu Azlina Binti Jelani menghujah melalui peguamnya bahawa seseorang yang telah mencapai usia 18 tahun ke atas adalah berhak menganuti apa-apa agama tanpa sekatan oleh mana-mana undang-undang atau peraturan di negara ini.

Sekiranya hujah ini diterima dan dipersetujui oleh Mahkamah Persekutuan beberapa kesan besar akan berlaku ke atas kedudukan undang-undang Islam dan orang Islam di Malaysia..

1. Akan berlaku berkecamuk dan pelbagai ragam anutan agama dalam sesuatu keluarga yang asalnya Islam bila seseorang anak telah mencapai usia 18 tahun.

2. Tiada mana-mana undang-undang Islam terutamanya yang berkaitan dengan Jenayah Syariah dapat dikuatkuasakan di Malaysia kerana setiap orang boleh keluar dan masuk agama Islam sesuka hati mengikut masa dan kehendak tertentu.

3. Soal nasab seseorang kanak-kanak dan perwarisan harta orang Islam akan menjadi kacau bilau kerana sukar untuk menentukan pegangan agama Islam seseorang pada sesuatu masa berbanding dengan apa yang diamalkan masakini.

4. Agama Islam itu sendiri akan hilang statusnya sebagai agama Persekutuan atau agama rasmi negara bilamana semua perkara 1,2 dan 3 di atas berlaku.

5. Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri beraja dan Yang Dipertuan Agong di negeri-negeri tidak beraja lambat laun akan lenyap begitu sahaja.

Sekurang-kurangnya itulah kesan atau apa yang akan berlaku seandainya kes Azlina Binti Jelani @ Lina Joy diputuskan berdasarkan hujah-hujah peguam Azlina Binti Jelani yang kita bicarakan disini.

Soalnya ialah apakah kita umat Islam sanggup agama kita diceroboh sedemikian rupa?Atau adakah kita tidak sedar bahawa usaha-usaha memurtad dan mengkristiankan individu seperti Azlina Binti Jelani @ Lina Joy merupakan suatu tindakan bersama, tersusun dan terancang yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya gerakan Kristian antarabangsa?

Benarkah orang Islam di Malaysia khususnya orang Melayu telah tidak ambil peduli lagi dengan apa yang berlaku pada nasib agama Islam tercinta ini?Adakah kita terlalu sibuk memikirkan soal ekonomi tanpa perlu memikirkan soal akidah anak bangsa yang diserang dari segenap penjuru ini?

Jika anda orang Islam,jika anda prihatin,jika anda sayang pada agama mulia ini, apakah yang patut anda lakukan?

Jika anda sesungguhnya seorang Islam, jangan tunggu sehingga seluruh sistem kekeluargaan orang Islam hancur atas nama kebebasan beragama.

*Perbincangan Khas Tindakan NGO-NGO Islam mengenai Isu Lina Joy, AHAD, 16 Julai Jam 2.30 petang di Sekretariat ABIM, Anjung Rahmat, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur.

Monday, July 10, 2006

SEMAKAN ARAH KIBLAT MELALUI KAEDAH ISTIWA' MATAHARI DI KA'BAH 16 JULAI ( 5.28 PETANG)

APAKAH ITU ISTIWA' MATAHARI?

Istiwa utama matahari atau istiwa A'zam di Ka'bah merupakan fenomena di mana matahari akan berada tepat di titik zenit (ghayah) ketika istiwa. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa' matahari (mel syams) akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah, di mana Ka'bah terletak.

Apabila istiwa' utama matahari berlaku, bayang objek tegak di tempat lain akan menunujukkan arah ke Ka'bah. Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi.

PANDUAN MEMBUAT SEMAKAN ARAH KIBLAT :

  1. Dirikan satu objek lurus seperti tiang sebaik-baiknya di tanah lapang.

    Photobucket - Video and Image Hosting

  2. Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakkannya boleh diletak tali yang diikat pemberat dihujung tiang berkenaan.
  3. Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung dari sinar matahari
  4. Penyemakan arah kiblat perlu dibuat tepat mengikut waktunya. Sila rujuk waktu SIRIM (contoh: Waktu di televisyen)

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

  1. Setiap orang Islam digalakkan untuk melakukan semakan ketepatan arah kiblat di tempat kediaman dan ibadah masing-masing bagi mengesahkan ketepatan arah kiblat.
  2. Setelah semakan di buat dan terdapat sebarang kesilapan, sila betulkan mengikut arah yang betul, dan hubungi Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri/Wilayah.
  3. Oleh kerana fenomena ini berlaku sebelah petang di Malaysia, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Dengan itu, arah kiblat ialah yang menghadap ke arah barat

KES SAMAN BALAS TAJUDDIN RAMLI TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kes saman balas Tajuddin Ramli keatas Kerajaan Malaysia berjumlah RM13 billion dan menyifatkan kes ini satu tragedi negara yang tidak terpencil dan penunjuk kepada tanda-tanda ‘kebobrokan yang dahsyat’ diperingkat paling tertinggi di dalam pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional dimana UMNO menjadi teras utamanya.

Menurut Tajuddin, pada 1994 beliau telah diarah oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO untuk membeli 32% saham Syarikat Penerbangan MAS pada harga RM8 atau RM4.30 di atas paras harga pasaran yang melibatkan Tajuddin mengambil pinjaman peribadi RM1.8 billion. Pembelian saham MAS yang dipegang oleh Kerajaan Malaysia ini kononnya ialah untuk menyelamatkan negara yang terjebak dalam kes kerugian dalam urusniaga matawang luar yang sepatutnya tidak boleh dilakukan oleh sebuah Bank Pusat, seperti Bank Negara Malaysia.

Tajuddin telah menjadi Pak Turut, mengikut telunjuk Mahathir dan Daim kerana telah dijanjikan perlindungan di bawah apa yang dipanggil ‘Overiding Agreement’. Perlindungan ini menjamin Tajuddin tidak akan mengalami sebarang kerugian kerana beliau menjalankan suatu “‘Khidmat Negara” iaitu menyelamatkan kerajaan dari krisis kewangan. Tentunya skim sulit ini menjanjikan keuntungan yang besar disamping melonjakkan Tajuddin sebagai model ‘Billionaire Bumiputra’ ciptaan UMNO walaupun ia tidak disebut dalam affidevit saman balas tersebut. Kerajaan menjamin akan membeli semula saham-saham yang telah bertukar tangan melalui pembelian dengan pinjaman bank dengan cagaran Syarikat Tajuddin iaitu TRI Resources Bhd dan Naluri Bhd. Malang tidak berbau, satu krisis kewangan pula telah melanda negara pada 1997 lalu memporak perandakan skim sulit Kerajaan dan Tajuddin.

Menurut Tajuddin kemelut kewangan perniagaannya memberi laluan kepada Danaharta menstruktur semula perniagaan syarikat-syarikatnya mengakibatkan beliau kehilangan TRI Resources Bhd dan Naluri Bhd. Danaharta pula telah menyaman beliau berjumlah RM589 million. Kerajaan Malaysia kemudiannya membeli semula saham-saham Tajuddin di dalam Malaysia Airlines pada harga RM8 walaupun harganya ketika itu ialah sekitar RM3.60. Tajuddin menganggap tragedi ini sebagai satu konspirasi untuk mengambil alih penguasaannya di dalam syarikat-syarikat milik beliau. Pada 26 Jun 2006 Tajuddin menyaman balik Kerajaan Malaysia sebanyak RM13 billion.

Dato’ Sri Najib Tun Razak apabila diminta penjelasan bagi pihak Perdana Menteri yang sedang berada di luar negara telah menjawab bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perjanjian diantara Kerajaan dan Tajuddin Ramli tersebut. Adalah tidak masuk akal seorang Timbalan Perdana Menteri yang ketika kes ini berlaku adalah seorang Menteri Kanan dan Naib Presiden UMNO memberi respon kepada kes ini seperti seorang yang bebal. Bukankah Kerajaan Malaysia mengamalkan konsep “Collective Responsibility?”. Datuk Shahrir Samad, Pengerusi PAC (Parlimentary Audit Committee) pula berkata, kes ini terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya. Sebaik-baiknya Najib dan Shahrir meletakkan jawatan sahaja kalau tidak mampu memberi reaksi yang lebih proaktif dan bertanggungjawab.

Pembetulan sistem Pentadbiran Kerajaan yang bobrok tidak boleh diserahkan kepada mahkamah semata-mata. Kecuali kes saman ini hanya diperbesar-besarkan untuk mengacah dan mengugut Mahathir supaya tutup mulut dan berhenti mengkritik kerajaan ekoran kelantangan beliau menghentam kerajaan kebelakangan ini.

Cerita ini nampaknya semacam lucu, tetapi sebenarnya ini menjadi satu petunjuk (pointer) kepada ‘kebobrokan’ yang semakin meratah setiap struktur, institusi dan sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia. Jika tidak dibongkar, dicuci dan diperbetulkan BN yang berteraskan UMNO akan menghumbankan negara ke jurang kehancuran.

Kes ini bukanlah kes terpencil (isolated). Ini hanyalah “tip of the iceberg” (sudut kecil dari apungan gunung ais di lautan besar). Kita percaya yang tersorok dan belum terbongkar masih banyak dan lebih parah dan lebih dahsyat lagi. Tengkorak dan bangkai yang tersembunyi perlu digeledah, dikenal pasti supaya tidak melarat menjadi pekong dan kanser. Pemuda PAS memberi amaran bahawa kami akan terus menjadikan pembongkaran ‘kebobrokan’ Kerajaan BN sebagai agenda terpenting sehingga segala penyakit dikesan, setiap jenayah diadili, setiap pelaku dikesan dan dihukum samada mereka masih berada di dalam kerajaan, syarikat-syarikat tertentu ataupun sudah bersara atau berada di luar kerajaan. Sejajar dengan dasar Pemuda PAS ini, maka kami menyarankan ditubuhkan satu Suruhanjaya Bebas yang turut dianggotai badan-badan bebas dan parti-parti pembangkang bukan sahaja untuk menyiasat kes saman balas Tajuddin Ramli tetapi untuk menyiasat perkara-perkara yang tersenarai tetapi tidak terhad kepada isu-isu berikut :

  1. Penyelewangan KWSP
  2. Penyelewangan Tabung Haji
  3. Jambatan Singapura.
  4. Bekalan Air ke Singapura.
  5. Kes Batu Putih.
  6. Kes Penjualan Pasir ke Singapura
  7. Pembelian-pembelian oleh Kementerian Pertahanan.
  8. Pembelian Kapal Peronda Laut
  9. Wang Royalti Negeri Terengganu.
  10. Penswastaan IPP.
  11. MISC Bailout.
  12. Projek KLCC dan peranan Ananda Krishnan
  13. Tanah KTM di Singapura.
  14. Bank Bumiputra Bailout.
  15. Harta-harta keluarga Pemimpin Barisan Nasional dan Penglibatan
    mereka dalam Perniagaan.
  16. Projek Putrajaya.
  17. Membenarkan Parti-Parti Politik menubuhkan Universiti-Universiti.
  18. Projek Proton Saga.
  19. Pemberian AP.
  20. Projek-projek Lebuhraya.
  21. Projek-projek Dana Selangor, Dana Johor dan sebagainya.
  22. Menyiasat Pentadbiran Kerajaan-kerajaan Negeri yang menghadapi
    kes-kes Muflis (bangkrap).
  23. Projek Empangan Bakun.
  24. Perniagaan matawang asing oleh Bank Negara, dan lain-lain…

Senarai di atas bukanlah merupakan senarai lengkap kerana tidak mungkin dalam satu masa yang pendek dan ruang yang terhad kita dapat memberi senarai yang lengkap untuk setiap salah laku Kerajaan BN dan UMNO. Memadai untuk kita memberi contoh dan garis panduan untuk tindakan selanjutnya.

Walaupun kes ini berlaku ketika rejim Mahathir berkuasa, kita yakin dan percaya kelangsungan beberapa program yang mirip kepada penyalahgunaan kuasa, dasar ekonomi patronage, kronisme dan rasuah masih wujud. BN yang sama masih memerintah dan UMNO yang sama masih berkuasa, yang berbeza ialah pucuk pimpinan sahaja!

DPP Pusat menyarankan, Suruhanjaya ini menjalankan audit yang menyeluruh dan secara global dan juga kepada setiap projek yang dipercayai diselewengkan atau lari dari matlamat asal. Suruhanjaya ini juga harus mencadangkan perubahan undang-undang dan institusi tertentu yang perlu dibaik pulih untuk membolehkan konsep ketelusan kerajaan subur kembali dan menyumbang kepada kekuatan minda rakyat dan sistem demokrasi di negara ini.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada parti-parti pembangkang, NGO, para intellectual dan rakyat yang celik untuk membentras penyelewengan-penyelewengan Kerajaan BN.

YB. Salahuddin Ayub
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Saturday, July 08, 2006

Lebih 2,500 berarak bantah kekejaman Israel

Oleh Wan Nordin & Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Hrkh) - Lebih 2,500 umat Islam di sekitar ibu kota telah berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat untuk melahirkan bantahan atas tindakan kejam pengganas-pengganas dari tentera Israel yang mengganasi selatan Gaza dalam usaha mereka memerangi kerajaan Hamas yang dipilih oleh rakyat Palestin.

Perarakan tersebut yang diketuai oleh Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, sebelum ini telah menuju ke pejabat Pesuruhjaya British yang turut sama diiringi oleh pimpinan PAS, KeADILan dan NGO Islam dan bukan Islam.

Antaranya Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob, Ustaz Badrul Amin

Laungan 'hancur Israel' terus bergema di ruang udara Jalan Ampang hingga ke Jalan Tun Razak yang menyaksikan jalan raya turut sesak dengan lautan manusia yang berhimpun mengutuk kekejaman Israel dan keangkuhan Amerika mempertahan negara sekutunya.

Bantah keganasan rejim Zionis.. Terik matahari tidak menghalang kira-kira 2,500 orang berarak ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat 7 Julai, bagi menyatakan bantahan kepada keganasan rejim Zionis Israel. Pemimpin PAS dan NGO Islam yang menganjurkan perhimpunan ini, menyerahkan nota bantahan kepada wakil diplomatik Kedutaan Amerika.Meskipun dalam cuaca panas terik dan dengan kehadiran pasukan polis yang siap sedia dengan 'water cannon' serta kira-kira 70 anggotanya, peserta perhimpunan tetap meneruskan langkah menuju ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia dan kemudiannya ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Tiada siapa yang dapat menghalang kumpulan manusia yang dipimpin oleh Mohamad Sabu dan Dr Hatta yang mara dengan slogan 'hidup Islam' 'down kuffar' dan diselang-seli dengan suara keras mengutuk kekejaman Israel.

Photobucket - Video and Image Hosting

Dr Hatta yang memulakan ucapan ketika berhimpun berkata, perhimpunan itu diadakan sebagai satu solidariti PAS, rakyat Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kekejaman yang berlaku di bumi Palestin.

Kekejaman yang dilakukan rejim zionis terhadap rakyat Palestin langsung tidak diendahkan Amerika Syarikat sebagai sekutu kuat Israel yang hanya menghalalkan pembunuhan rakyat Palestin sejak dahulu hingga kini, katanya.

"Kami mengutuk keras penahanan sembilan menteri Palestin, 20 anggota Parlimen Hamas yang dipilih dalam pilihan raya secara sah, dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza," katanya.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan pengecut beliau turut menyelar sikap lepas tangan pemimpin Persidangan Negara Islam (OIC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"PAS menyeru Abdullah yang kini sedang berada di Australia, yang sedang main golf balik ke Malaysia segera memanggil satu sidang tergempar OIC membincangkan secara serius soal tindakan kejam Israel yang tidak menghormati hak asasi manusia di Palestin itu," kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob yang berucap selepas itu di hadapan Kedutaan Amerika.

Dalam perhimpunan itu, PAS dan NGO lain turut menyampaikan memorandum kepada kedutaan Amerika, bagaimanapun rombongan PAS dihalang dari memasuki pejabat kedutaan.

Memorandum tersebut hanya berjaya diserahkan oleh Dr Hasan Ali bersama Dr Mahfodz Mohammad, Presiden Abim, Yusri Mohammad dan Dr Zulkifli Ahmad kepada wakil kedutaan yang menunggu di luar pintu pagar kedutaan.

Dr Hasan yang mengulas isu halangan itu mengutuk tindakan biadap kedutaan Amerika dalam melayan kunjungan PAS dan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun Dr Hasan memberi komitmen akan mengadakan semula perhimpunan aman dan penyerahan memorandum bagi menyatakan lagi rasa marah dan kesal rakyat Malaysia terhadap kebiadapan Amerika dan Israel.

Perhimpunan aman yang berakhir pada jam 3.00 petang itu tidak dicemari sebarang insiden ganas mahupun provokasi. - mks.

Melayu belanja RM4 bilion untuk arak, judi - Mufti Perak

Oleh Sahar Abdul Majid

KOTA KINABALU, 7 Julai (Hrkh) - Mufti Perak, Dato' Seri Harussaini Zakaria yang dilihat satu-satunya Mufti yang lantang menyuarakan hak dan kepentingan umat Islam, sekali lagi mendedahkan bagaimana orang Melayu di negara ini sudah tidak lagi mempedulikan soal halal haram apabila membelanjakan RM4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi.

Beliau yang dipetik sebagai berkata, daripada jumlah itu, 1 bilion untuk minum arak dan 3 bilion lagi untuk berjudi.

"75 peratus yang tikam ekor merupakan orang-orang Melayu," kata Mufti berkenaan yang disiarkan oleh Harian Ekspres sebuah media tempatan di sini.

Beliau menyebutkan data itu berdasarkan statistik yang diperolehi dari sebuah majalah yang dibacanya baru-baru ini tetapi tidak menyebut nama majalah tersebut.

Harussaini mendedahkan perkara itu ketika ditanya oleh media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dermasiswa Fisabilillah, di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) sambil menyatakan angka tersebut membuktikan betapa amalan sekularisme sudah menular dalam masyarakat Islam.

Beliau berkata, aktiviti ini sudah cukup menggambarkan masyarakat Islam tidak lagi menghiraukan soal halal haram.

Selain masalah sekularisme, beliau menambah, umat Islam juga ketika ini sedang diancam oleh fahaman Liberalisme, Pluralisme, Hedonisme dan soal khilafiah.

Memandangkan masalah ini mengancam umat Islam, Mufti Perak mendakwa telah pernah mengajukan perkara ini kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan meminta dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu untuk dibincangkan dalam mesyuarat mereka tetapi ianya ditolak begitu sahaja.

Harussaini juga berasa kesal dengan tindakan Jakim itu apatah lagi apabila jabatan berkenaan menganggapnya suatu yang tidak perlu dibincangkan.

"Jakim patutnya buat ulasan, buat kajian...mesti dijelaskan tentang sejauhmana bahayanya dan apa tindakan yang sepatutnya dibuat seperti menasihat kerajaan," katanya. - mks.