Monday, July 17, 2006

Kes serban: Pemuda PAS Wilayah lapor polis, kenyataan hakim hina Islam

Photobucket - Video and Image Hosting

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membuat laporan polis pada 15 Julai lalu mengenai kenyataan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Abdul Hamid Mohamad dalam penghakiman bertulisnya yang boleh ditafsir sebagai menghina dan memperlecehkan ajaran Islam khususnya sunnah Rasulullah s.a.w.

Di dalam laporan itu, Pemangku Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman Mohamed selaku pengadu berkata, hujah hakim Abdul Hamid dalam keputusan kes tiga yang dibuang sekolah kerana memakai serban memberi gambaran dan perspektif yang salah terhadap kedudukan sunnah Nabi Muhammad

Abdul Hamid dalam keputusan kes tiga pelajar berkenaan berhujah bahawa, "soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah termasuk Abu Jahal memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesarkan dalam masyarakat itu, berbuat demikian. Tambahkan pula ia tidak bertentangan dengan Islam maka Nabi memakainya."

Seterusnya Abdul Hamid juga menyatakan bahawa,"pada tahun 70-an telah muncul gerakan-gerakan dakwah. Mereka menunjukkan kelainan diri mereka dengan cara mereka berpakaian di mana lelaki dan kanak-kanak memakai jubah dan serban. Salah sebuah gerakan dakwah itu telah pun diharamkan. Kita menyaksikan di televisyen, pimpinan utama mereka membuat pengakuan menangis dan bertaubat."

Ketiga-tiga pelajar yang terbabit dalam kes ini adalah Mior Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad johari dan adiknya Syed Ahmad Syakur.

Kamaruzaman yang ditemui kira-kira sejam selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi berkata, beliau amat kesal dengan hujah hakim berkenaan yang tidak sepatutnya dikeluarkan kerana cenderung ke arah memperlecehkan dan memperolokkan sunah Nabi dengan amalan pemakaian serban misalnya mengaitkan kelompok gerakan yang sesat dengan pemakaian serban.

"Meskipun kami menyanjungi prinsip dan kebebasan kehakiman, namun kami juga tidak boleh menerima bahawa seseorang hakim adalah kebal dan boleh menyatakan apa sahaja yang beliau suka khususnya dalam perkara yang menyentuh ajaran Islam," katanya.

Justeru, Kamaruzaman menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap laporannya ini demi menjamin kesucian ajaran Islam terus terpelihara.

"Sekiranya hal ini dibiarkan begitu sahaja tidak mustahil akan lebih ramai lagi pihak tertentu mengambil kesempatan menghina dan merendahkan ajaran Islam sehingga dibimbangi akan mencetuskan huru-hara di dalam negara," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com