Monday, July 17, 2006

Jangan bersembunyi, dedah segala dokumen - Mahfuz

Oleh Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Dokumen perundingan antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan mengantikan Tambak Johor itu harus didedahkan keseluruhannya, bukan mengambil sebahagian daripadanya.

Pendedahan itu, termasuklah minit mesyuarat, kertas rundingan serta perkembangan awal mengenai perbincangan kedua-dua belah pihak berhubung pembinaan jambatan itu dari awal.

Desakan itu dibuat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar, ketika diminta mengulas pendedahan beberapa dokumen yang diklasifikasikan semula untuk dijadikan dokumen awam.

"Kita tidak mahu sebahagian dokumen didedahkan dan sebahagian lagi disembunyikan" kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa dokumen itu didedahkan ketika Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, tidak berada dalam negara.

"Apatah lagi, Najib sendiri mengakui tidak tahu menahu tentang dokumen berkenaan. Siapa sebenarnya di sebalik pendedahan tersebut," soal Mahfuz lagi.

Ditanya mengenai kepentingan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dikuatkuasakan, Mahfuz berkata sesetengah daripada dokumen memerlukan OSA, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan negara.

Bagaimanapun, dakwanya terdapat sesetengah pihak yang menyalahgunakan OSA itu bagi tujuan melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu seperti yang berlaku ke atas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz.

"Kita tahu, suatu masa dahulu kertas pertuduhan rasuah terhadap Rafidah telah disediakan Peguam Negara, serta didedahkan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor. Ezam turut didakwa atas kesalahan OSA kerana mendedahkan dokumen berkenaan. Persoalannya, mengapa dokumen tersebut disembunyikan, sedangkan ia melibatkan kepentingan rakyat?" soal beliau.

Justeru, beliau meminta kerajaan mendedahkan dokumen berkenaan bagi membuktikan ketelusan kerajaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com