Monday, July 10, 2006

KES SAMAN BALAS TAJUDDIN RAMLI TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kes saman balas Tajuddin Ramli keatas Kerajaan Malaysia berjumlah RM13 billion dan menyifatkan kes ini satu tragedi negara yang tidak terpencil dan penunjuk kepada tanda-tanda ‘kebobrokan yang dahsyat’ diperingkat paling tertinggi di dalam pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional dimana UMNO menjadi teras utamanya.

Menurut Tajuddin, pada 1994 beliau telah diarah oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO untuk membeli 32% saham Syarikat Penerbangan MAS pada harga RM8 atau RM4.30 di atas paras harga pasaran yang melibatkan Tajuddin mengambil pinjaman peribadi RM1.8 billion. Pembelian saham MAS yang dipegang oleh Kerajaan Malaysia ini kononnya ialah untuk menyelamatkan negara yang terjebak dalam kes kerugian dalam urusniaga matawang luar yang sepatutnya tidak boleh dilakukan oleh sebuah Bank Pusat, seperti Bank Negara Malaysia.

Tajuddin telah menjadi Pak Turut, mengikut telunjuk Mahathir dan Daim kerana telah dijanjikan perlindungan di bawah apa yang dipanggil ‘Overiding Agreement’. Perlindungan ini menjamin Tajuddin tidak akan mengalami sebarang kerugian kerana beliau menjalankan suatu “‘Khidmat Negara” iaitu menyelamatkan kerajaan dari krisis kewangan. Tentunya skim sulit ini menjanjikan keuntungan yang besar disamping melonjakkan Tajuddin sebagai model ‘Billionaire Bumiputra’ ciptaan UMNO walaupun ia tidak disebut dalam affidevit saman balas tersebut. Kerajaan menjamin akan membeli semula saham-saham yang telah bertukar tangan melalui pembelian dengan pinjaman bank dengan cagaran Syarikat Tajuddin iaitu TRI Resources Bhd dan Naluri Bhd. Malang tidak berbau, satu krisis kewangan pula telah melanda negara pada 1997 lalu memporak perandakan skim sulit Kerajaan dan Tajuddin.

Menurut Tajuddin kemelut kewangan perniagaannya memberi laluan kepada Danaharta menstruktur semula perniagaan syarikat-syarikatnya mengakibatkan beliau kehilangan TRI Resources Bhd dan Naluri Bhd. Danaharta pula telah menyaman beliau berjumlah RM589 million. Kerajaan Malaysia kemudiannya membeli semula saham-saham Tajuddin di dalam Malaysia Airlines pada harga RM8 walaupun harganya ketika itu ialah sekitar RM3.60. Tajuddin menganggap tragedi ini sebagai satu konspirasi untuk mengambil alih penguasaannya di dalam syarikat-syarikat milik beliau. Pada 26 Jun 2006 Tajuddin menyaman balik Kerajaan Malaysia sebanyak RM13 billion.

Dato’ Sri Najib Tun Razak apabila diminta penjelasan bagi pihak Perdana Menteri yang sedang berada di luar negara telah menjawab bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perjanjian diantara Kerajaan dan Tajuddin Ramli tersebut. Adalah tidak masuk akal seorang Timbalan Perdana Menteri yang ketika kes ini berlaku adalah seorang Menteri Kanan dan Naib Presiden UMNO memberi respon kepada kes ini seperti seorang yang bebal. Bukankah Kerajaan Malaysia mengamalkan konsep “Collective Responsibility?”. Datuk Shahrir Samad, Pengerusi PAC (Parlimentary Audit Committee) pula berkata, kes ini terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya. Sebaik-baiknya Najib dan Shahrir meletakkan jawatan sahaja kalau tidak mampu memberi reaksi yang lebih proaktif dan bertanggungjawab.

Pembetulan sistem Pentadbiran Kerajaan yang bobrok tidak boleh diserahkan kepada mahkamah semata-mata. Kecuali kes saman ini hanya diperbesar-besarkan untuk mengacah dan mengugut Mahathir supaya tutup mulut dan berhenti mengkritik kerajaan ekoran kelantangan beliau menghentam kerajaan kebelakangan ini.

Cerita ini nampaknya semacam lucu, tetapi sebenarnya ini menjadi satu petunjuk (pointer) kepada ‘kebobrokan’ yang semakin meratah setiap struktur, institusi dan sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia. Jika tidak dibongkar, dicuci dan diperbetulkan BN yang berteraskan UMNO akan menghumbankan negara ke jurang kehancuran.

Kes ini bukanlah kes terpencil (isolated). Ini hanyalah “tip of the iceberg” (sudut kecil dari apungan gunung ais di lautan besar). Kita percaya yang tersorok dan belum terbongkar masih banyak dan lebih parah dan lebih dahsyat lagi. Tengkorak dan bangkai yang tersembunyi perlu digeledah, dikenal pasti supaya tidak melarat menjadi pekong dan kanser. Pemuda PAS memberi amaran bahawa kami akan terus menjadikan pembongkaran ‘kebobrokan’ Kerajaan BN sebagai agenda terpenting sehingga segala penyakit dikesan, setiap jenayah diadili, setiap pelaku dikesan dan dihukum samada mereka masih berada di dalam kerajaan, syarikat-syarikat tertentu ataupun sudah bersara atau berada di luar kerajaan. Sejajar dengan dasar Pemuda PAS ini, maka kami menyarankan ditubuhkan satu Suruhanjaya Bebas yang turut dianggotai badan-badan bebas dan parti-parti pembangkang bukan sahaja untuk menyiasat kes saman balas Tajuddin Ramli tetapi untuk menyiasat perkara-perkara yang tersenarai tetapi tidak terhad kepada isu-isu berikut :

  1. Penyelewangan KWSP
  2. Penyelewangan Tabung Haji
  3. Jambatan Singapura.
  4. Bekalan Air ke Singapura.
  5. Kes Batu Putih.
  6. Kes Penjualan Pasir ke Singapura
  7. Pembelian-pembelian oleh Kementerian Pertahanan.
  8. Pembelian Kapal Peronda Laut
  9. Wang Royalti Negeri Terengganu.
  10. Penswastaan IPP.
  11. MISC Bailout.
  12. Projek KLCC dan peranan Ananda Krishnan
  13. Tanah KTM di Singapura.
  14. Bank Bumiputra Bailout.
  15. Harta-harta keluarga Pemimpin Barisan Nasional dan Penglibatan
    mereka dalam Perniagaan.
  16. Projek Putrajaya.
  17. Membenarkan Parti-Parti Politik menubuhkan Universiti-Universiti.
  18. Projek Proton Saga.
  19. Pemberian AP.
  20. Projek-projek Lebuhraya.
  21. Projek-projek Dana Selangor, Dana Johor dan sebagainya.
  22. Menyiasat Pentadbiran Kerajaan-kerajaan Negeri yang menghadapi
    kes-kes Muflis (bangkrap).
  23. Projek Empangan Bakun.
  24. Perniagaan matawang asing oleh Bank Negara, dan lain-lain…

Senarai di atas bukanlah merupakan senarai lengkap kerana tidak mungkin dalam satu masa yang pendek dan ruang yang terhad kita dapat memberi senarai yang lengkap untuk setiap salah laku Kerajaan BN dan UMNO. Memadai untuk kita memberi contoh dan garis panduan untuk tindakan selanjutnya.

Walaupun kes ini berlaku ketika rejim Mahathir berkuasa, kita yakin dan percaya kelangsungan beberapa program yang mirip kepada penyalahgunaan kuasa, dasar ekonomi patronage, kronisme dan rasuah masih wujud. BN yang sama masih memerintah dan UMNO yang sama masih berkuasa, yang berbeza ialah pucuk pimpinan sahaja!

DPP Pusat menyarankan, Suruhanjaya ini menjalankan audit yang menyeluruh dan secara global dan juga kepada setiap projek yang dipercayai diselewengkan atau lari dari matlamat asal. Suruhanjaya ini juga harus mencadangkan perubahan undang-undang dan institusi tertentu yang perlu dibaik pulih untuk membolehkan konsep ketelusan kerajaan subur kembali dan menyumbang kepada kekuatan minda rakyat dan sistem demokrasi di negara ini.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada parti-parti pembangkang, NGO, para intellectual dan rakyat yang celik untuk membentras penyelewengan-penyelewengan Kerajaan BN.

YB. Salahuddin Ayub
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com