Friday, June 09, 2006

Kritikan pedas ke atas pimpinan PAS

Oleh Nyza Ayob dan Saidatul Amani

ALOR SETAR, 8 Jun(Hrkh) - Sidang Muktamar PAS hari ini dihidangkan dengan kritikan yang pedas kepada pimpinan PAS lebih-lebih lagi setelah muktamar terdahulu menyaksikan perubahan dalam saf kepimpinan PAS Pusat.

Dalam sesi perbahasan ucapan dasar, perwakilan Melaka, Ashraf Mukhlis berkata, meskipun perubahan berlaku dalam saf kepimpinan kira-kira setahun lalu, PAS Melaka tidak nampak sebarang perubahan dalam pendekatan mahupun tindakan yang dibuat.

Ini kerana banyak isu yang dibawa oleh PAS selama ini diambil secara sambil lewa oleh pimpinan PAS Pusat, katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting

Isu minyak tidak mampu dipertahan?

Walaupun isu kenaikan harga minyak dan tarif elekftik sangat popular tetapi pimpinan PAS tidak mampu untuk mempertahankan isu itu sehingga mendapat satu natijah yang sangat besar kepada Islam dan rakyat, ujarnya.

Beliau turut kesal dengan sikap pimpinan PAS yang selama ini mengadakan hubungan dengan pimpinan gerakan antarabangsa tetapi hubungan itu gagal untuk diterjemahkan dalam PAS sendiri.

"Kita dapat melihat tidak ramai pimpinan gerakan Islam di seluruh negara yang menjadi kebanggaan PAS hadir untuk meraikan perasmian muktamar tahunan PAS semalam. Dimana wakil gerakan Hamas, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang kita agung-agungkan begitu juga dengan wakil jemaah Islami Pakistan," katanya.

Tambah beliau, ini kerana setiap kali pertubuhan tersebut mengadakan muktamarnya, pimpinan PAS tidak pernah ketinggalan menghantar wakil di peringkat tertinggi untuk menghadirinya.

Bukan sahaja pimpinan gerakan antarabangsa tetapi lebih malang parti yang sama dengan PAS di negara ini terutama daripada Barisan Alternatif dan NGO turut tidak hadir meraikan perasmian muktamar.

Peranan Lajnah Pendidikan dipertikai

Ashraf yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Melaka turut mempersoalkan peranan Lajnah Pendidikan PAS Pusat yang tidak dapat memberi kesan yang baik kepada rakyat.

Menurut beliau, lajnah itu sangat penting kerana banyak isu pendidikan seperti isu penggunaan bahasa Inggeris dalam matematik dan Sains, isu seks di peringkat sekolah dan gejala sosial malangnya isu itu tidak ditangani dengan serius.

Beliau berkata, lajnah itu sanggup pergi ke Sudan sedangkan dalam negara banyak isu yang melibatkan anak orang Islam dan anak orang melayu tidak ditangani sebaiknya.

"Apakah lajnah ini mahu melihat anak bangsa Melayu musnah bangsanya dan bahasa Melayu yang sememangnya diiktiraf di dunia sepatutnya diambil sebagai satu medan penting," tegasnya.

Beliau menjelaskan, jumlah bahasa dunia sebanyak 6000 bahasa manakala penuturnya berjumlah 50 juta orang termasuk penggunaan 20 bahasa iaitu bahasa Melayu.

Katanya, jumlah penutur bahasa Melayu sebanyak 280 juta dan bahasa Melayu di tempat kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol.

Tambah beliau, sepatutnya dengan data yang begitu hebat lajnah Pendidikan perlu gunakan untuk menarik perhatian rakyat supaya dapat menekan kerajaan dan gagalkan pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam Sains dan matematik.

Menurutnya, PAS Melaka mencadangkan Lajnah pendidikan mengadakan hubungan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah berumur 50 tahun tetapi berasa bimbang dan kecewa kerana terpaksa berjuang sendiri untuk terus memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan ilmu.

Photobucket - Video and Image Hosting

PAS Perak turut serta hentam pimpinan

Perwakilan dari Perak, Misbahul Munir Masduki menegaskan kekuatan PAS adalah menguasai rakyat hingga ke akar umbi.

"Pimpinan harus ingat rakyat wajar didekati khususnya golongan marhain. Penderitaan mereka harus dirasai.Mereka hanya mahu didampingi. Kita seharusnya menunjukkan simpati dan hulur sumbangan supaya mereka merasai kehadiran PAS,"katanya.

Dalam ucapannya Misbahul juga menyentuh perubahan dalam pimpinan yang berlaku dalam muktamar yang lalu yang dilihatnya tidak membawa perubahan yang besar untuk parti.

"Perwakilan buat perubahan memilih pimpinan muda tetapi sekarang kita tidak melihat anjakan besar untuk menuntut perubahan besar kepada rakyat.

Tunggu Pak Lah berubah tetapi pimpinan PAS tidak berubah?

"Kita tunggu perubahan Pak Lah, tapi kita yang diamanah perwakilan tidak nampak perubahan untuk dilihat 'repackaging, rebranding' jangan hanya ritorik semata-mata,"katanya.

Katanya lagi, lajnah-lajnah dalam parti masih melakukan program tradisi tanpa menilai tambah.Program-program yang diadakan katanya mesti melangkaui kelompok terpinggir dan terasing.

"Golongan alim ulama searusnya turun dari masjid bertemudengan rakyat, hulurkan senyuman dan jangan jadi diri kita suci untuk disentuh,"katanya.

Beliau juga mempersoalkan adakah jumlah ukuran sebenar dinilai melalui program yang banyak serta jumlah kehadiran sesuatu program.

PAS perlu stamina tinggi untuk perjuangan panjang

Katanya, PAS perlu stamina yang tinggi untuk perjuangan yang panjang. Isu yang diketengahkan PAS juga perlu diurus sebaiknya untuk mewujudkan gelombang kesedaran rakyat

Justeru beliau menyarankan supaya PAS menyediakan satu mekanisma supaya setiap ahli PAS dari peringkat pimpinan hingga ahli biasa mendapt bermanfat untuk rakyat.

Dalam pada itu beliau juga menyentuh tentang pimpinan dalam parti yang lebih cintakan kuliah tetapi tidak suka menghadiri mesyuarat.

"Kita mesti bezakan kepentingan, hinggakan mesyuarat dan program parti diabaikan kerana mengikuti kuliah,"katanya.

Sementara itu, beliau juga menegaskan 'penyakit kedua' dalam PAS yang cepat mengkagumi kemenangan orang lain.

"Apabila kita mendengar kemenangan dan kehebatan kumpulan tertentu, kita segera berkejar ke tempat tersebut seperti kita kagum dengan kemengan Hamas.Tapi kita hanya mengkagumi semata-mata tetapi apabila kita balik ke medan perjuangan kita tidak berbuat apa-apa.

"Kita jangan jadi parti kain rentang,lambang semata-mata dan jaguh di kandang sendiri tetapi tidak melakukan sebarang tindakan. Beku di markas sendiri.Peranan markas PAS juga mesti diubah dan menjadi pusat komuniti sosial," tegasnya./wann

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com