Wednesday, June 07, 2006

Fahaman 'Ummah Centric' agen Umno?

Oleh Ali Bukhari Amir

GUAR CHEMPEDAK, 6 Jun (Hrkh) - Fahaman 'ummah centric' yang menular di universiti baru-baru ini boleh dikenapasti dengan fahaman dakwah yang tidak meletakkan wala' dan ketaatan kepada jemaah dan ia disifatkan sebagai agen Umno kerana ia juga meletakkan parti itu sebagai jemaah.

“Mereka anggap Umno sebagai jemaah walhal parti itulah yang menghalalkan arak, judi, penzinaan dan sebagainya. Jika Umno mereka dokong sebagai jemaah, tak usahlah mereka menyebut diri mereka sebagai jemaah,” kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Idris Ahmad dalam ucapan membahaskan ucaptama Ketua Pemuda Pas Salahuddin di sini semalam.

Menurut Idris, beliau mula tertarik kepada isu Ummah Centric ini setelah beliau menonton sebuah VCD yang menampilkan ucapan seorang pimpinan pertubuhan dakwah di Malaysia yang dirakamkan secara tertutup baru-baru ini.

“Apabila ditanya siapakah pemimpin kumpulan ini, kata mereka, nanti akan ada pemimpin kami. Mereka sedang berusaha memasuki kampus-kampus dan ini melemahkan kita. Sudahlah kita lemah sekarang ini, maka dengan kehadiran fahaman ini, kita menjadi semakin lemah.

“Apabila kita sebut mereka adalah agen Umno, maka dia menulis semula surat di Harakahdaily bertajuk, Hamas patut belajar daripada PAS. Dalam kaset-kaset mereka, disebutkan bahawa selain al-Quran dan hadis, buku Ustaz Harun Taib perlu dibaca,” kata Idris.

Sebab itu, kata Idris, golongan itu sekarang tidak menggunakan istilah amal jamaie, tetapi amal tajammuh.

“Mereka juga menggunakan saluran majalah. Sekarang sudah bertembung idea-idea mereka di alam siber. Dulu, mereka menyerang salah seorang pimpinan kita. Apabila saya jawab, sekarang mereka serang saya pula. Kita boleh menang kalau berdebat, tapi akhirnya akan melambatkan kerja-kerja dakwah.

“Di universiti, kita kena awasi. Apabila tiada ketaatan kepada jemaah, maka pelajar-pelajar kita yang pernah mengikuti siri-siri ceramah mereka bertanya semula kepada kita, sama ada mereka perlu letakkan wala’ kepada PAS sebagai sebuah jemaah atau ummah?” tambah beliau.

Idris kemudiannya menyeru para perwakilan dan pemerhati dapat memantau perkembangan mereka di Universiti Teknologi Malaysia, Johor termasuk di beberapa universiti yang lain. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com