Tuesday, May 30, 2006

GMI berjaya tingkat kesedaran kezaliman ISA

Oleh Anis Nazri
Harakahdaily

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak boleh dianggap gagal kerana tidak berjaya berkempen untuk memansuhkan akta drakonian itu, tetapi perlu melihat tahap kesedaran orang ramai mengenainya.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata walaupun akta itu terus digunakan untuk menentang kebangkitan rakyat, kesedaran rakyat hari ini mengenai akta zalim itu makin meningkat berbanding dahulu.

"Keadaan itu menunjukkan rakyat mula faham dan sedar tentang kezaliman akta yang menahan tanpa bicara. Jika dahulu, hanya kaum Cina yang menentang kezaliman ISA, tetapi sekarang semua kaum turut sepakat menentangnya," kata beliau ketika ditemui selepas majlis sempena lima tahun GMI di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Sabtu, 27 Mei lalu.

Katanya lagi, kempen GMI di seluruh negara juga berjaya mengubah pendirian isteri-isteri tahanan daripada berdiam diri kepada bangkit bersama-sama menentang penahanan suami mereka.

Perubahan itu, jelas beliau merupakan antara kejayaan GMI yang mengadakan pelbagai 'roadshow' penerangan bagi membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat, di samping usaha untuk menekan kerajaan memansuhkan akta ISA.

Dalam pada itu, beliau menaruh harapan tinggi kepada PAS sebagai parti politik pembangkang terbesar di negara ini untuk sama-sama menentang akta ini yang jelas 'haram'.

"Sebagai parti Islam, isu ini tidak boleh dipandang begitu sahaja tetapi perlu diperjuangkan secara serius. Bukan tidak ada pimpinan PAS yang menyokong kempen kita, tetapi tak ramai. Kita harap lebih ramai lagi pimpinan PAS yang mendokongi dan terlibat dalam program-program yang GMI anjurkan," jelas beliau.

Beliau turut meminta PAS agar menjadikan isu ISA sebagai salah satu agenda utama dalam perjuangan mereka menentang kezaliman.

Majlis malam itu dihadiri oleh bekas-bekas tahanan ISA; Ketua Penerangan PAS Gombak, Saari Sungib; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor; Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Ustaz Badrul Amin Baharun, dan Hishamuddin Rais.

Antara pimpinan PAS yang hadir, Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabky Yusoff; dan AJK Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com