Friday, April 28, 2006

Ulasan Filem Gubra Yang Sesat Lagi Menyesatkan

Oleh :Faisal Tehrani

Gubra ialah sebuah filem bancuhan beberapa kerat mesej iklan Hari Raya Petronas, lawak yang meraban merapek, pembelaan terhadap inter-faith commission, geng sister in Islam, Islam ala Islam Hadhari, dan penyelewengan ajaran Maulana Rumi yang ramai orang mahu percaya diri mereka memahami sebahagian aspek kesufian tetapi berada di dalam kurungan istidraj yang sesat lagi menyesatkan. Sesungguhnya hak dan batil dalam filem ini dibaur-baurkan hingga kita akhirnya tahu bahawa inilah jenis Islam yang ditolak oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika ditawarkan oleh kafir musyrikin, Islam jenis inilah yang membawa Rasulullah berhijrah ke Madinah. Islam jenis inilah yang baginda telah menegaskan andai bulan dan matahari pun diletakkan di kiri kanan baginda, tidak ada apa yang dapat merubah baginda dari menolak Islam jenis ini. Islam jenis gubra.

Inilah sebuah filem untuk meraikan sekularisme dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Kos pembikinan Gubra ialah RM 1 juta, jenis filem 35 mm berwarna dengan lokasi sekitar Ipoh di mana gubra kononnya bermakna gugup atau gelabah.

Menurut pengarah dan penulis filem ini, Yasmin Ahmad: Saya mahu paparkan tentang kisah dan sikap manusia yang biasanya selalu berada dalam keadaan gubra. Kerana gubra ramai di antara kita tidak reti untuk menghargai kasih sayang. Selain itu, mesej yang ingin saya sampaikan melalui Gubra ialah tentang kemaafan (Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005).

Saya tidak memahami apa yang indah dan gelap atau lucunya Gubra. Saya tahu filem, mise en scene dan segalanya. Saya tak pandang semua itu. Sesekali saya malah berasa terhina dengan adengan-adengan filem ini. Lakonan sehebat mana sekalipun telah dimualkan dengan inti yang sungguh menyesak lagi menyesatkan ini. Kerja cahaya atau sinematografi yang handal sekalipun tak dapat menenggelamkan kelucahan dan kekeliruan yang diutarakan.

Saya tidak mahu memanjangkan isu Bilal Li memegang anjing sebelum melaungkan azan Subuh. Diskusinya boleh sahaja panjang memasuki sekian mazhab dan takrif najis mughalazah. Meski sesungguhnya tidak ada keperluan untuk Bilal memegang anjing (dan ya, semua orang dapat menangkap kiasan yang ingin dihantar. Saya juga tidak bodoh).

Tetapi juga, saya kira, tanpa apa alasan sekalipun filem yang dipenuhi dengan ciuman, pelukan, dakapan, elusan, gentelan, pautan, gomolan, belaian, pegangan, ramasan, picitan, urutan, hempukan, goyangan, dukungan, kucupan, rabaan, geleman dan yang seumpama dengannya, konon untuk menggambarkan kasih sayang ini adalah sebuah filem yang meremehkan malah menghina persoalan amar makruf nahi mungkar. Peluk sana cium sini seolah-olah tema kasih sayang ialah peluk cium sesuka hati tanpa batas dan garis panduan.

Ukurlah skala iman anda.Filem ini bukan sahaja mencabar budaya tetapi mencabar duduk letak syariat dengan mempersendakannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Siapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, hendaklah mengubahnya dengan tindakan, jika tak sanggup maka dengan teguran, jika dengan itu tak sanggup maka dengan hatinya, yang demikian itu selemah-lemahnya iman."

Hadis tersebut terang lagi bersuluh menjelaskan bahawa aspek amar makruf nahi mungkar merupakan hal yang wajib bagi setiap Muslim. Apatah pula berada di pihak seorang Bilal yang mewakili institusi keagamaan.

Amar makruf nahi mungkar adalah wajib berdasarkan banyaknya ketentuan hukum dalam kesepakatan para ulama, berdasarkan Alquran, hadis, ijma, dan akhlak yang mulia.

Lihat sahaja ayat 71 surat At-taubah, ayat 104 dan 110 surat Ali 'Imran, Allah jelasnya telah mensyariatkan amar makruf nahi mungkar. Justeru para ulama bersepakat tentang wajibnya amar makruf nahi mungkar, cuna ia berbeza dalam tingkatan wajibnya samada wajib 'ain dan wajib kifayah.

Andai kata wajib 'ain, maka setiap Muslim harus melaksanakan amar makruf nahi mungkar, akan tetapi dengan wajib kifayah, jika ada segelintir melakukannya maka terpenuhlah kewajiban tersebut walau hanya dilakukan oleh sebagian umat Islam. Tetapi semuanya berdosa bila tidak ada seorang pun yang melakukannya. Dalam urusan kemasyarakatan, amar makruf nahi mungkar adalah satu hal yang digalakkan dan keperluan yang luar biasa signifikan supaya keseluruhan kehidupan dapat berjalan dengan baik.

Apakah yang makruf itu? Makruf adalah segala sesuatu yang dipandang baik oleh manusia dan diredhai oleh Allah SWT, samada ia perbuatan yang wajib maupun sunat, seperti mana ketaatan kepada Allah dan pengamalan perintah Allah. Sebagai contoh menegakkan solat, melakukan puasa, menolong orang yang kesusahan, memberikan derma atau melakukan kebajikan dan lain-lain lagi.

Pun ada bahagian yang sangat penting sebagai kembarnya iaitu hal yang mungkar itu perlu ditegah. Mungkar adalah setiap yang dipandang tidak baik oleh manusia dan tidak dibenarkan oleh Allah SWT. seperti maksiat, menyekutukan Allah, juga melakukan larangan Allah, seperti penzinaan (iya 8 kali, dalam Gubra lapan kali adalah angka ajaib untuk satu penzinaan berulang) makan rasuah, menipu rakyat, dan sebagainya.

Perlaksanaan amar makruf nahi mungkar harus dilaksanakan dengan apa jua cara, ini disesuaikan dengan banyak mana kuasa anda ada.Jika anda bapa dalam keluarga ya ahli keluarga yang melakukan mungkar harus ditegur dan digalakkan melakukan makruf. Jika pemerintah urusan makruf adalah sama pentingnya dengan pencegahan kemungkaran.

Secara fitrah manusia tertarik dengan musuh abadinya iaitu iblis. Dan iblis akan bijak sekali memusing-musing kepala kita hingga kita akan mencari jalan sendiri untuk mengatakan ia benar.

Penegahan mungkar dilakukan dengan kekuatan fizik, juga dengan lidah yang sopan dan bijaksana, atau hanya dengan diam dalam penyesalan terjadinya kemungkaran, atau tidak terwujudnya hal yang makruf.

Hal ini tidak terjadi dalam Gubra, Bilal sebagai satu entiti yang mewakili institusi keagamaan meredhai jiran-jirannya duduk dalam maksiat. Betul Bilal Li tak perlu memulau Temah atau Kiah tetapi Bilal Li juga tidak boleh meredhainya dengan ikhlas tanpa rasa sesal sedikit pun. Tidak pernah dalam filem ini, walau sekali ada gambaran pencegahan di dalam hati yang paling rendah tingkatannya dilakukan. Perhatikan dialog di hadapan rumah pelacuran yang wajar dicemuh ini:

Bilal Li: Assalamualaikum, awal balik pagi ini (nota pengarang: dari melacur).
Temah : Esok pagi nak hantar Shahrin pergi sekolah. Ada pelanggan nak pun terpaksa tolak. Hai abang lambat pergi surau pagi ini? Hah rambut basah tu...
Bilal Li: (Gubra) Ah mana ada...
Temah: Kami balik dulu.


Pelaksanaan amar makruf nahi mungkar diberikan syarat: (1) Bahawa jelas kemakrufan yang tidak dilaksanakan orang dan kemungkaran pula jelas dilakukan, (2) Bahawa pendakwah sedar dengan diri dan jatidirinya sebagai orang yang alim dan sesuai dengan misi amar makruf nahi mungkar yang hendak ditunaikan, (3) Pendakwah dengan itu tahu benar bahwa amar makruf nahi mungkar tersebut membawa manfaat, maslahat, serta tidak membawa mudarat (4) Amar makruf nahi mungkar ditegakkan dengan bijaksana, berterusan dan penuh kesabaran, serta (5) Hal amar makruf nahi mungkar itu ditunaikan dengan ikhlas berorientasi pada keredhaan Allah SWT. Ini dilakukan demi mempertahankan keluhuran Islam dan menegakkan kalimah Allah.

Temah barangkali bernasib baik kerana mendapat hidayah dan kejutan Tuhan kerana disapa penyakit (kemungkinan HIV). Temah mencari Maz, belajar al-Quran, belajar solat dan menginsafi diri tetapi itu semua datang dari Temah. Dan ilham untuk bertaubat tentulah datang dari Allah. Manusia yang diberi hidayah seperti Temah tidak ramai, dia mencari hidayah datang. Tetapi di pihak Maz dan Bilal Li yang tahu agama, tidak ada secuit pun rasa kesal rasa mahu mendorong dan rasa nahi mungkar tersebut ditonjolkan sebelumnya. Tidak ada. Tidak, saya tak minta mereka mengherdik pelacur-pelacur yang baik itu.

Mereka agaknya memang terpaksa melacur sebab tak pas SPM atau tak ada modal untuk berniaga nasi lemak bungkus. Iyalah, kita mahu percaya mereka melacur kerana tiada pilihan lain. Tetapi sebagai sebuah naratif yang bermula dengan Bismillahhirahmanirrahim kita dikejutkan kerana Bilal Li dan isterinya bersikap tak apa dengan kerja maksiat jiran itu. Bukan sahaja tidak menegah tetapi meraikannya.Kita faham sisi kemanusiaan yang ingin disogokkan tetapi fahami pula sisi kemanusiaan yang Islam tawarkan. Ada rangka dan konsepnya. Kenapa merendahkan ayat Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang ini?

Ya Islam memang luhur agamanya, mak cik bertudung labuh boleh menawarkan rendang ayam buat pesakit sebelah katilnya yang muak mengunyah daging babi seperti di dalam Gubra. Siapa nafikan? Ya Malaysia memang indah kerana kita dibina dengan berbagai warna, bangsa, bahasa, masakan dan lain-lain lagi. Tetapi memaksakan Islam memahami semua persoalan itu seumpama Islam sebuah agama yang tidak cukup adalah sesuatu yang salah. Islam yang harus difahami, dihayati dan diamalkan.Islam turun untuk kita, kita yang mesti fahamkan Islam bukan menceramahkan pula Islam yang mesti memahami kita.

Sungguh ini sebuah filem yang kacau dan sungguh kerana Yasmin serta pelbagai lagi manusia karyawan filem kita terperangkap oleh definisi Barat. Kononnya filem hanyalah gambar bergerak. Dan elemen-elemen kekaguman (untuk gubra) yang penuh kepalsuan ditawarkan juga seperti pesakit yang nampak punggungnya, atau Orked yang selamba meraba puting tetek Alan yang berbulu, atau watak Arif lakonan Adlin Aman Ramli menari dengan hanya memakai tuala hampir terlucut, atau pujian jururawat India bahawa alat kelakian Pak Atan sungguh utuh dan gemilang.Ini filem Malaysia, relaks, cool...itulah yang hebatnya, agaknya?

Tidak, filem lebih dari itu. Filem bukan cuma naratif, bukan cuma gambar yang bergerak. Filem adalah ar-Risalah seperti yang dinukilkan oleh Dr Abu Hassan dari Universiti Malaya dalam bukunya yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Filem haruslah kembali ke jati diri kita, kepada tradisi penceritaan yang berakar pada bangsa. Bukan caca marba tidak ketentuan bahasa.

Kasihan, dalam Gubra mereka mahu percaya mereka hidup dalam kebenaran tetapi orang yang berilmu melihat mereka dalam kebodohan. Seperti mana kumpulan Sisters In Islam terpekik setiap kali apabila timbul segala isu yang mereka rasa harus dimanfaatkan untuk kepentingan diri. Kita tahu mereka bahlol lagi jahil tetapi mereka rasa mereka maju, moden dan Tuhan memang memandang mereka mulia, oh ya dan mereka percaya bisikan iblis: Tuhan memandang semua orang sama.

Dan tepekkan satu kata-kata Maulana Rumi yang lari konteks setelah dikerat-kerat bait-bait terdahulunya yang lebih enam ribu itu iaitu lampu ada pelbagai tetapi cahayanya sama. Ya, gereja, masjid dan tokong ialah rumah ibadat yang sama. Tuhan satu. Tuhan sama sahaja.

Begitu? Bagaimana dengan konteks ayat Quran, untuk Kamu agama kamu untuk kami agama kami? Cuba buka tafsir terlebih dahulu dan fahami surah al-Kafirun. Inilah asas jati diri orang Islam yang telah diterap dan diturunkan awal sejak di Mekah lagi. Surah dengan 6 ayat ini adalah surah mengenai jati diri.Dan ya, boleh juga buka surah Taubah kerana ada juga jati diri orang munafik untuk kita lebih berwaspada dan hati-hati supaya tidak jadi seperti mereka.

Kalau tak reti agama jangan syarahkan agama dalam filem.Jangan rosakkan orang.

Gubra seperti tajuknya. Filem yang kacau, gugup dan ketidaktentuan hala seperti mana kefahaman dan diri pembikinnya.Dan memang ramai pengekor dan orang yang tak ketentuan jiwa menyokongnya.

Saya tidak hairan, bila pengarahnya ditanya wartawan tentang adengan Bilal memegang anjing, "Entah, tawakal sahajalah."

Ya konsep tawakalnya begitu.Tawakal gubra.

Allah memang pengasih dan penyayang. Tetapi Allah juga ada nama-nama lain, ada sifat-sifat lain yang Allah boleh sahaja menghukum, baran dan mengingatkan dengan keras. Allah memang Maha Pengampun tetapi Dia juga tidak memberi belas kasihan. Kerana itu ada neraka sebagai tempat diazabkan. Baca asmaul husna biar habis, faham Islam biar selesai, bukan satu bahagian sahaja. Amar makruf tetapi nahi mungkar diabaikan.

Justeru, kalian memang Gubra. Janganlah membaca Rumi untuk satu bait, kemudian mendabik dada, khatamlah dahulu Mathnawi dan Diwan, dan fahamilah hubungannya dengan Tabrizi baru boleh mengeluarkan hujah di dalam filem anda. Jangan cemari ajaran kesufian dengan pendirian sesat anda ini.

Hayy Allah !

Wallahu'Alam, moga kita dikurniakan Jalan Yang Lurus yang selalu kita minta dalam solat kita itu. Moga kita dilindungi oleh sebarang kesesatan yang nyata dan juga tidak nyata.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com