Tuesday, June 06, 2006

Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayob

"Muktamar Pemuda PAS : Menerajui Kebangkitan"
Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke 47
Sekolah Integrasi Faizin, Guar Chempedak, Kedah.
5 Jun 2006.

Photobucket - Video and Image Hosting

MUQADDIMAH

Assalamu alaikum warahmatulLahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, kita memanjatkan jutaan syukur kepada Allah SWT kerana dapat bersidang pada malam ini di Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Ke 47 di Sekolah Rendah Agama Integrasi Al-Faizin, Guar Cempedak, Gurun, Kedah. Salam dan selawat juga kita panjatkan kehadrat Rasulullah SAW yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam dengan berkembangnya agama suci, Islam ke segenap pelusuk dunia.

Kita bermuktamar pada tahun ini sebagai satu sesi muhasabah utama setelah melalui separuh pertama penggal pilihan raya dan untuk mengatur rancangan rapi untuk persiapan separuh kedua yang bermula sekarang sebelum datang pilihan raya ke-12 pada 2007/2008.

Muktamar kali ke 47 ini adalah satu forum terbaik untuk kita menilai segala pencapaian dan gerakerja sepanjang setahun yang lalu. Telah banyak bidang sudah kita terokai dan kita cubai, telah banyak waktu dan kesempatan yang kita penuhi. Daripada pertemuan, perbincangan, diskusi dan interaksi kita di kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan sehinggalah kita menjelajah ke setiap lorong, denai, kota dan desa di seluruh pelusuk negara membawa visi dan misi serta agenda besar perjuangan pemuda.

Kita telah bersama dengan golongan bangsawan, cendikiawan, budayawan, karyawan, seniman dan sehinggalah kepada golongan petani, nelayan dan peneroka. Bahkan kita telah bersama membawa obor perjuangan ini dengan penuh kasih sayang kepada golongan yang dipandang rendah dan jijik oleh masyarakat; penagih dadah, pemabuk, pelacur dan remaja-remaja yang terjebak dengan gejala sosial. Namun, secara peribadi saya mengakui bahawa gerakerja kita belum berada di tahap maksimum dan saya sendiri belum berpuas hati dengan pencapaian yang telah kita lakukan. Semua ini perlu kita atasi bersama pada sesi ini.

Saya berjanji untuk bekerja lebih kuat dan bijak bersama pemuda-pemuda sekalian untuk mempraktikkan ungkapan amat bermakna Pak Nasir dalam karya agongnya Fiqh al-Da’wah:

“Janganlah sekali-kali pendakwah menjadikan diri mereka “manusia suci” takut menyentuh dan tersentuh. Manusia yang berdosa diluar sana sedang menanti sentuhan tangan kalian, ayuh keluarkan mereka dari dosa dan maksiat barulah kalian bergelar pendakwah sebenarnya”.

Saya berharap muktamar ini akan menjadi medan untuk kita memberikan pandangan, teguran, kritikan serta cadangan membina bagi mengukuhkan lagi gerakerja kita untuk meneraju kebangkitan perjuangan.

KEDAH DESTINASI BARU

Kita sangat berbangga pada malam ini kerana dapat kembali semula ke Alor Setar setelah hampir 20 tahun tidak bermuktamar di negeri Jelapang Padi ini. Ini adalah kali ketiga Dewan Pemuda PAS Pusat bermuktamar di Kedah selepas Kongres Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-5 di Dewan Persatuan Guru-guru Se-Kedah, Sungai Korok, Alor Setar pada 3 Januari 1962 dan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-25 di Dewan Persatuan India Kedah (KIA), Alor Setar pada 12 April 1984. Hari ini kita bermuktamar untuk kali ketiga di sekolah milik kita sendiri.

Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang bertungkus-lumus untuk menjayakan muktamar ini. Saya juga merakamkan tahniah atas kejayaan PAS Kedah membina Kompleks PAS Kedah di KM 13, Jalan Alor Setar-Sungai Petani yang menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS kali ini, selepas berjaya menubuhkan Muassasah Darul Ulum. Inilah semangat yang perlu ada kepada semua Dewan Pemuda PAS Negeri dengan menunjukkan kesungguhan sekali gus meyakinkan rakyat tentang keupayaan kita untuk memerintah.

Perkembangan positif yang berlaku dalam kepemimpinan PAS Kedah, dan peningkatan kekuatan prasarana serta sokongan rakyat akan menjadi asas yang kukuh untuk PAS Kedah bergerak ke hadapan menjelang pilihanraya akan datang. Saya penuh yakin bahawa Kedah akan terus menjadi kubu PAS setelah Kelantan dan Terengganu, termasuk menjadi negeri ketiga yang diperintah oleh PAS. Kita mendoakan agar baton perjuangan yang ditinggalkan oleh Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor akan diteruskan dengan lebih bersemarak lagi.

ISLAM KUASA BARU DUNIA

Para muktamirin sekalian,

Tahun 2006 seperti mengubat sejuta luka umat Islam setelah diuji begitu berat sejak kebelakangan ini. Bermula dengan kejutan bencana tsunami, diikuti dengan tragedi-tragedi pembunuhan umat Islam di seluruh dunia termasuk Selatan Thai, sebelum gempa bumi menggegarkan Bam di Iran dan Balakot di Pakistan. Di sebalik duka umat Islam, Allah SWT menganugerahkan kegembiraan kepada kita apabila penjenayah besar, Ariel Sharon 'dikakukan' oleh Allah SWT, diikuti kemenangan besar Harakah Muqawamah Islamiyyah (Hamas) di Palestin yang mengiringi kejayaan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Kini, demokrasi yang dijaja oleh Barat mula memakan tuannya sendiri. Barat berbangga dengan demokrasi yang mereka taja dan melaungkan kepada dunia supaya mengambil demokrasi sebagai pendekatan pembebasan politik moden. Negara-negara Blok Komunis yang dahulunya dianggap diktator satu demi satu runtuh bermula dengan kejatuhan Soviet Union pada 1990 sehingga tiada lagi pendukung Blok Timur di Eropah dan Asia Tengah. Eropah Timur juga mula menerima demokrasi sebagai satu ideologi politik tunggal abad ini, justeru menjadikan Amerika Syarikat – “pendukung demokrasi utama” – sebagai kuasa unipolar.

Amerika kemudiannya berubah menjadi diktator di pentas dunia setelah kehilangan pencabarnya. Mereka meratah dan menjajah bangsa-bangsa kerdil melalui serangan politik, ekonomi dan sosial sehingga tidak apa lagi yang dunia boleh banggakan melainkan semuanya berkiblatkan Washington. Percaturan politik yang diatur di White House, kelicikan kapitalis yang dikawal dari New York dan agenda hedonisme Hollywood telah meruntuhkan jati diri dan kedaulatan semua bangsa dan negara. Kini tidak ada lagi negara yang boleh menentukan sendiri dasar luar mereka, bahkan untuk menentukan sendiri nilai mata wang pun tidak mampu!

Meluat dengan keangkuhan 'Syaitan Besar' itu, dunia kini mengharapkan kebangkitan kuasa baru untuk mengimbangi kegilaan kuasa Amerika. Di mana-mana orang mengharapkan dunia kembali kepada dwipolar. Di Amerika Latin, satu demi satu negara yang dikuasai badut-badut Amerika jatuh ke tangan pemimpin sosialis kerana menentang penjarahan IMF yang meruntuhkan ekonomi negara mereka. Demokrasi digunakan rakyat untuk membenamkan kezaliman! Kebangkitan semula Rusia bagi mengiringi China sebagai kuasa politik dan ekonomi kini menjadi harapan pendukung sosialis dalam mematahkan regim Barat.

Kebangkitan semula Blok Timur yang mengejutkan Amerika berlaku serentak dengan kebangkitan Islam di Timur Tengah. Usaha-usaha Amerika untuk memburukkan Islam melalui isu keganasan gagal meruntuhkan imej Islam, sebaliknya merangsang kesedaran umat. Kejayaan AK Party di Turki kini diikuti oleh Hamas dan Ikhwanul Muslimin serta kejayaan Dr Mahmood Ahmadinejad menguasai politik Iran begitu mencemaskan Barat. Ketika populasi umat Islam semakin meningkat di Eropah, Amerika Utara dan Australia, kuasa besar dunia itu kini terhimpit dengan kebangkitan serentak Islam dan sosialis yang memungkinkan kewujudan kuasa tripolar.

Demokrasi kuku besi Amerika semakin menggila apabila mereka cuba menyekat kebangkitan kuasa Islam di Iran dan kuasa sosialis di Korea Utara melalui agenda anti-nuklearnya, tetapi menyokong program nuklear Israel dan India bagi mengimbangi pengaruh nuklear Iran dan Pakistan. Fakta ini diperjelas oleh Dhilip Hiro di dalam bukunya “Iran Today” dan tulisan wartawan Seymour Hersh yang memenangi hadiah nobel Pulitzer di majalah New Yoker. Amerika mendesak supaya demokrasi diterima di Iraq dan Afghanistan, tetapi menolak demokrasi yang memenangkan Hamas di Palestin. Amerika melakukan apa sahaja untuk melumpuhkan keupayaan Hamas mentadbir Palestin termasuk menyekat bantuan antarabangsa dan mengarahkan bank-bank membekukan dana Palestin - satu strategi yang tidak ubah seperti tindakan zalim BN terhadap Kerajaan PAS di Kelantan.

Muktamar Dewan Pemuda PAS pada hari ini menegaskan pendirian menyokong program nuklear Iran di atas dasar dan hak mempertahankan diri mereka. Kita menyeru seluruh umat Islam supaya menyalurkan apa sahaja bantuan kepada Hamas bagi menangani tekanan jahat Amerika. Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk bersatu atas aqidah Islam bagi melakukan lonjakan kebangkitan Islam dan meruntuhkan peradaban Barat yang sudah kehilangan punca itu. Jika kita bersedia melupakan perbezaan dan mengutamakan perpaduan untuk mengukuhkan ummah, inilah saat terbaik untuk Islam tampil sebagai kuasa baru dunia yang menawarkan pakej politik, ekonomi dan sosial yang adil kepada masyarakat dunia, sekaligus menolak momokan liar Barat yang menjebakkan Islam dengan keganasan.

POLITIK MALAYSIA YANG CACAMERBA

Di sebalik pengaruh politik Amerika yang semakin terancam, di Malaysia perkembangan politik menjadi semakin tidak menentu ekoran kelemahan pentadbiran kerajaan BN. Bermula dengan isu-isu integriti awam, penyelewengan, tekanan ekonomi rakyat, alam sekitar, kepenggunaan hinggalah kepada masalah politik 'kitchen cabinet' Perdana Menteri. Politik telus yang dicanang oleh Perdana Menteri ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri kini menjadi persoalan rakyat ekoran menularnya isu-isu yang mencabar integriti seperti kegagalan kerajaan menyelesai kes rasuah 18 individu high profile, campur tangan ahli Parlimen BN dalam urusan penguatkuasaan Kastam, keengganan wakil rakyat BN menyokong usul tindakan disiplin ke atas salah laku sahabat mereka, pembelian nombor plat mewah oleh menteri, keretakan MRR2 dan sebagainya. Beberapa menteri yang kontroversi kerana masalah integriti juga dikekalkan dalam rombakan kabinet pada Januari lalu.

Kesempitan demokrasi semakin ketara di sebalik kelunakan Perdana Menteri yang menggalakkan kritikan membina. Pemuda PAS mengutuk keras kegagalan KKDN meluluskan permit penerbitan Suara Keadilan, membisu terhadap permohonan HARAKAH untuk mendapatkan hak menerbitkan akhbar harian, tetapi mengambil masa yang begitu singkat untuk meluluskan permit ganti akhbar yang menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW di Sarawak setelah ia diharamkan. Sikap pilih bulu ini menampakkan kemunafikan kerajaan BN yang kononnya mengharamkan Sarawak Tribune, tetapi memberikan semula permit kepada penerbit yang sama atas nama yang lain.

Sikap ini banyak bertolak daripada amalan acuh tak acuh terhadap Islam sehingga membuka ruang kepada orang bukan Islam, termasuk sembilan menteri untuk mencabar kebebasan Mahkamah Syariah yang dijamin oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Usaha-usaha untuk mempertahankan aqidah tidak menjadi agenda kerajaan Hadhari BN, tetapi tindakan yang diambil untuk menolak cadangan menteri bukan Islam hanyalah untuk kepentingan politik semata-mata. Akibatnya baru-baru ini, secara terbuka beberapa kumpulan NGOs telah bertindak membangkit isu-isu sensitif melibatkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh secara langsung soal kebebasan beragama.

Saya memberi amaran kepada pemimpin BN bahawa rusuhan akan tercetus jika isu-isu seperti ini dibiarkan tanpa tindakan dan tanggung-jawab dari pihak kerajaan. Kerajaan jangan mempersalahkan umat Islam yang mempertahankan maruah agama mereka jika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terus membangkitkan fitnah ini.

Dewan Pemuda PAS bersedia untuk menghadapi kumpulan ini termasuk kesediaan kita untuk menyediakan pentas bagi bersemuka dengan mereka. Kita miliki pasukan peguam dan intelektual yang bersedia untuk berdebat dan berdiskusi bagi memperbetulkan salah faham mereka terhadap isu-isu yang melibat sensitiviti orang Islam di negara ini. Firman Allah SWT:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan bahaskanlah mereka secara yang baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl: Ayat 125)

Kerana kepentingan politik yang sempit juga, Kerajaan BN terus bertindak zalim dengan melanjutkan tempoh tahanan ISA, sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan bersalah. Pemuda PAS mengutuk keras penahanan ini dan mencabar Kerajaan BN mendakwa mereka di mahkamah. Apakah kerajaan Hadhari BN telah terjerat dalam jebak yang dipasang oleh musuh-musuh Islam yang mahu mengaitkan Islam dengan keganasan? Jika dahulu BN secara zalim menganiayai sekolah agama rakyat (SAR) kerana desakan politik antarabangsa, apakah kini mereka masih menjadi alat kuasa asing di negara sendiri?

Rakyat sebenarnya amat gusar dengan kegagalan kerajaan BN yang tidak begitu memberati soal kedaulatan negara, termasuk pencerobohan pengintip tentera negara jiran. Sebaliknya, kerajaan BN mengambil sikap tidak cermat dan bijak dengan membatalkan projek Jambatan Indah yang didakwa oleh bekas Perdana Menteri sebagai menggadai maruah dan kedaulatan negara setelah hanya beberapa hari diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9). BN seolah-olah tidak mengutamakan kepentingan negara, sebaliknya, kepentingan politik kepartian yang sempit dititikberatkan. Lihat sahaja isu salah laku Ahli Parlimen Jasin, yang diutamakan ialah jangan menyokong usul yang dibawa oleh pembangkang, biarkan integriti Parlimen tercemar. Inilah dasar politik tidak matang BN. Demokrasi yang sihat memerlukan kuasa pengimbang supaya tidak berlaku diktator berparlimen di negara ini. Kerana itu kita mengalu-alukan “coming-back” Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai Ketua Pembangkang Negara.

Perletakan jawatan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) kerana mempertahankan prinsip integriti telah dilihat oleh banyak pihak sebagai persaingan kuasa antara team Perdana Menteri dengan team timbalannya yang mengetuai Whip BN. Di mana-mana penganalisis politik memperkatakan dasar-dasar Perdana Menteri yang dipengaruhi oleh 'grand design' menantunya. Kini politik kabinet keluarga Perdana Menteri telah membolehkan keluarga mereka menguasai kekayaan negara bermula daripada perniagaan minyak dan gas, perdagangan hinggalah kepada sukan bola sepak. Dari aspek yang lain, kumpulan-kumpulan anti-Islam mendapat manfaat daripada penglibatan anak Perdana Menteri bersama Sisters in Islam (SIS) yang memperjuangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan membangkitkan isu-isu sensitif bersifat keagamaan dan perkauman.

Dasar Kerajaan BN yang sentiasa menongkah kehendak rakyat seperti menaikkan harga minyak ketika rakyat sedang berhadapan dengan inflasi dan menolak cadangan IPCMC ketika rakyat sedang menuntut ketelusan dalam pentadbiran polis, telah menimbulkan kemarahan rakyat. Tindakan berani rakyat Sarawak mengundi pembangkang baru-baru ini membuktikan perubahan sikap mula berlaku. Dewan Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada PAS Sarawak kerana berjaya mengurangkan majoriti sehingga tinggal 895 undi sahaja di samping peningkatan sokongan masyarakat Dayak kepada PAS. Kita harus belajar daripada perubahan sikap masyarakat Cina di Sarawak yang bersedia mengundi pembangkang apabila hak mereka dicerobohi Kerajaan BN.

Ketika maruah negara sedang tercabar dan integriti Parlimen dipersoal, aqidah umat Islam juga semakin dilonggarkan. Dasar terbaru Kerajaan BN yang membenarkan sukatan antarabangsa digunakan sepenuhnya oleh International Schools akan menyebabkan pengabaian tauhid pelajar, di samping menjejaskan penyemaian rasa cinta kepada negara. Berbalik kepada soal SAR, saya sekali lagi mendesak kerajaan BN supaya mengembalikan geran tahunan kepada sekolah tersebut. Tidak ada gunanya kerajaan memusuhi satu institusi yang begitu berjasa kepada rakyat, tetapi dalam masa yang sama mahu rakyat menguasai semula tulisan Jawi. SAR adalah benteng tulisan Jawi selepas tulisan itu diracun oleh UMNO pada 1967. Jika kerajaan berhasrat mempertahankan warisan bangsa Melayu itu, ia perlu mengembalikan hak SAR.

HIMPITAN EKONOMI RAKYAT

Sidang hadirin sekalian,

Kemahuan kita untuk lebih mendekati rakyat banyak dirangsang oleh kegagalan kerajaan BN dalam menyediakan keselesaan hidup untuk rakyat. Di sebalik RMK-9 yang menelan RM220 bilion, rakyat disajikan dengan bebanan besar ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter yang memberikan kesan tambahan perbelanjaan bukan sahaja terhadap bahan api, tetapi juga barangan pengguna yang lain.

Kenaikan harga minyak telah meningkatkan pendapatan negara melalui PETRONAS. Pada tahun 2005 sahaja, kerajaan mengutip RM31 billion hasil cukai, royalti dan bayaran lain daripada PETRONAS, selain keuntungan bersih institusi tersebut yang melebihi RM50 billion setahun. Mengapa kerajaan tidak menggunakan hasil daripada PETRONAS untuk membiayai rakyat termasuk menanggung kos subsidi minyak? Sebaliknya PETRONAS dipaksa membiayai perkara yang tidak penting seperti membina Menara Berkembar KLCC, membail-out kroni-kroni kerajaan dan membiayai Formula 1.

Kerajaan mulai awal bulan ini telah menaikkan kadar tarif elektrik sehingga 12 peratus untuk memaksa rakyat menanggung kerugian Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berjumlah sekitar RM30 billion. Bebanan hutang TNB ini berpunca daripada perbelanjaan tidak berhemah mereka dalam membeli elektrik daripada IPP dan juga tunggakan hutang kilang-kilang besar, bukannya berpunca daripada rakyat. Sikap jelek Kerajaan BN yang mengalihkan beban ini kepada rakyat sangat memalukan.

Akibat kenaikan harga minyak dan tarif elektrik ini, kadar inflasi telah menokok sehingga melebihi kadar 4 peratus pada tahun ini. Peningkatkan ini tidak selaras dengan pendapatan rakyat yang masih statik sehingga melebarkan lagi jurang kemiskinan di bandar. Dasar Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan kadar faedah akhirnya menghapuskan manfaat Dasar Automotif Nasional (DAN) yang menurunkan harga kereta. Dalam masa yang sama, sesetengah barangan keperluan asas seperti gula dan minyak masak bukan sahaja mengalami kenaikan harga tetapi keputusan bekalan yang mendorong aktiviti negatif seperti penyorokan, penyeludupan dan penjualan pada harga tinggi.

Kelemahan kerajaan dalam mentadbir ekonomi negara turut mengakibatkan krisis dalam industri automotif. Bermula dengan isu pengagihan permit import (AP) yang tidak adil, beranjak kepada isu penjualan AV Agusta oleh Proton dan persaingan Proton-Naza akibat penarafan kereta nasional yang tidak mengikut spesifikasi yang sebenar sehingga membawa kepada campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamed. DAN cuba diperkenalkan setelah lebih 20 tahun projek kereta nasional dilaksana semata-mata untuk mengatasi krisis ini. Dalam masa yang sama, kerajaan seolah-olah menganaktirikan projek automotif yang telah menelan berbillion ringgit wang rakyat semata-mata kerana dasar ingin kembali kepada industri pertanian.

Ketika rakyat semakin terhimpit oleh dasar-dasar ekonomi yang tidak menentu ini, kroni Perdana Menteri khususnya anak dan menantunya telah mengaut keuntungan besar daripada perniagaan yang bermula di Seri Perdana. Penguasaan ke atas ECM Libra oleh keluarga terdekat Perdana Menteri dan keuntungan besar Scomi daripada program penaikan taraf perkhidmatan pengangkutan awam selepas kenaikan harga minyak menunjukkan bahawa salah laku telah berlaku dalam pengurusan kepentingan awam. Penguasaan ECM Libra ke atas syarikat kewangan kerajaan, Aveneu Capital Resources telah membolehkan menantu Perdana Menteri mencipta keuntungan sebanyak RM3.11 juta dalam sekelip mata. Secara mudahnya, dasar-dasar ekonomi yang menghimpit rakyat dan mementingkan kroni ini telah meletakkan RMK-9 hanya indah pada kertas sahaja.

MENCARI MOMENTUM BARU

Para muktamirin sekalian,

Sudah setahun kepemimpinan baru mengambil alih pentadbiran PAS. Mandat tersebut diberikan serentak dengan harapan supaya kepemimpinan muda yang lebih berwibawa dapat melahirkan dampak yang positif kepada PAS terutama dalam mencipta semula keyakinan rakyat. Tetapi selepas satu tahun berakhir, kita masih belum melihat satu anjakan besar dilakukan oleh kepemimpinan baru untuk meletakkan PAS sebagai peneraju politik negara.

Perubahan yang dicanangkan setahun yang lalu kini mula ditagih oleh rakyat dan ahli-ahli ekoran perkembangan politik, ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan. Rakyat dan ahli-ahli mengharapkan supaya PAS tampil menangani kemelut yang ada. Tetapi masih tidak kelihatan satu cetusan dan ledakan besar diambil oleh pemimpin tertinggi PAS untuk memenuhi kesempatan ketika rakyat mula hilang percaya kepada Kerajaan BN.

Kenapa kita berlengah dalam menerajui kebangkitan rakyat? Saya sendiri memimpin Pemuda PAS telah menerokai hubungan, melaksanakan engagement dan berinisiatif untuk menggerakkan tokoh-tokoh negarawan bagi bersama-sama menangani kemelut politik negara. Kesannya sangat positif dan menyakinkan. Kini mereka sedang menunggu sentuhan bijak dan mesra dari pimpinan tertinggi PAS. Rakyat dan negara sedang menunggu satu momentum baru pimpinan kita meneraju dan merangsang tindakan politik bagi menjana kebangkitan massa menjelang pilihanraya umum 2007/2008.

PAS tidak memerlukan slogan-slogan indah untuk menjana perjuangannya, tetapi PAS mengharapkan kepemimpinan baru dapat meledakkan idea-idea dan tindakan yang lebih segar dan kontemporari, pendekatan baru yang lebih strategik serta formula-formula politik yang lebih berkesan untuk melonjakkan kebangkitan rakyat. PAS perlu untuk mencipta kebijakan politik untuk meneraju kebangkitan massa. Kita mesti berani bertindak sebagai mediator dan pendamai untuk menyatukan tokoh-tokoh politik tanah air yang kini semakin berani meluahkan tentangan mereka kepada BN. Kita masih belum melihat apakah idea, pendekatan dan formula baru yang telah diketengahkan sebagai langkah mengukuhkan organisasi PAS serta pengaruhnya di hati rakyat. Kita tidak ada masa lagi untuk "managing the symbols", tetapi sekarang adalah masa untuk "managing the substances".

MENERAJU KEBANGKITAN, MELEDAK PERJUANGAN

Sidang perwakilan sekalian,

Prestasi muram PAS di dalam pilihanraya umum yang lalu tidak seharusnya menjadikan kita panik dan berlengah dalam mengurus masa depan perjuangan. Kekentalan semangat, keutuhan keyakinan, pandangan futuristic dan jiwa besar Nabi SAW dalam menjanjikan gelang Maharaja Kisra kepada Suraqah bin Malik semasa perjalanan hijrah yang agung adalah khazanah amat bernilai untuk kita pelajari. Bangsa-bangsa dan negara-negara yang maju hari ini berupaya untuk bangun dengan gagah sebagai kuasa ekonomi dan politik setelah belajar dengan cepat dari kelemahan dan kesilapan masa lalu dan menguasai persekitaran global dengan bijak.

Kebangkitan negara-negara harimau Asia Timur, China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura adalah kerana sikap dan budaya mereka yang kuat bekerja dan tidak mudah mengalah kepada persaingan dunia barat. Walaupun budaya mereka tidak dapat menjajah dunia tetapi kekuatan intelektual dan harta intelek mereka berjaya menakluki pasaran Barat dengan begitu menyakinkan.

Ambil saja contoh China selepas era Deng Ziou Peng yang melakukan perubahan besar terhadap dasar luar yang China yang lebih terbuka dan fleksibel. Menurut Malcom Warner, Macmilan dalam jurnal bertajuk “How Chinese Managers Learn” mengatakan bagaimana China dengan kerjasama Suruhanjaya Eropah telah menubuhkan The China – Europe Management Institute (CEMI) yang melatih secara intensif pengurus-pengurus muda China dalam program dua tahun MBAnya. Apa yang menakjubkan dalam masa tidak sampai 10 tahun China telah berjaya melahirkan pengurus-pengurus muda yang cemerlang melonjakkan China sebagai “The Roaring Tiger”.

Jepun yang kalah dan parah dalam Perang Dunia ke-2 bangkit semula sebagai negara maju. Mereka tidak mendidik rakyat untuk terus meratapi tugu peringatan Hiroshima dan Nagasaki selama-lamanya. Jepun telah memilih untuk menguasai dunia dan membalas dendam mereka kepada Barat dengan dimensi baru iaitu kekuatan ekonomi. Bermula dengan kemahiran meniru kepada penguasaan rekabentuk teknologi tinggi. Konosuke Matsushita, ketua rangkaian syarikat elektronik Jepun dalam satu ucapan menerima kunjungan pengurus-pengurus barat pada tahun 1979 mengatakan dengan yakin bahawa :

“Kami akan menang dan industri di Barat akan kalah. Kami memiliki pasukan kerja yang amat berdisiplin, kuat bekerja dan kami diukur lebih baik daripada anda dalam skop teknologi baru dan keupayaan kami membaca zaman”. (Hamish McRae : World in 2020)

Komentar I I Wibowo dalam bukunya “Belajar Dari China” mempertegaskan China telah berjaya mengubah persepsi dunia terhadap mereka. Dari bangsa yang miskin, ekonomi yang mundur, bandar-bandar yang kotor kepada kuasa baru ekonomi yang digeruni. Jepun bertukar menjadi bangsa pencipta teknologi dan menguasai dunia dengan jenama-jenama Toyota, Honda, Sony dan Mitsubishi. Secara drastik mengubah imej mereka yang kejam, pendek dan kuno kepada bangsa yang maju. Negara-negara Scandinavian seperti Norway, Sweden dan Finland dianugerahkan oleh UNDP sebagai negara paling selamat untuk didiami setiap tahun. Dari bangsa “Viking” – lanun Laut Utara, hari ini mereka menjadi bangsa pendamai, mediator dan memiliki para diplomat terbaik kelas dunia.

Saya menyatakan perkara-perkara di atas tadi sebagai satu motivasi bagi kita melihat bangsa dan negara yang maju berjaya mengubah dan menganjak cara dan budaya kerja mereka dengan begitu menyakinkan. Negara-negara yang saya sebutkan tadi cuma belum “mengucap dua kalimah syahadah” sahaja. Mereka telah mempraktikkan nilai budaya kerja Islam yang melayakkan mereka menjadi bangsa memimpin kecemerlangan hari ini.

Keupayaan kita untuk bekerja lebih kuat dan melaksanakan perancangan yang lebih sistematik akan dapat membawa obor perjuangan PAS ke persada kegemilangan dengan lebih cepat dan berkesan. Setiap isu, pergolakan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku mestilah diteraju kebangkitannya secara bijak.

Dewan Pemuda PAS mahu kepimpinan tertinggi PAS dengan penuh kebijakan, jiwa besar dan pantas meneraju kebangkitan rakyat yang sedang menyemarak sekarang ini. Pimpinan PAS mesti mengheret tangan pimpinan UMNO hari ini ke meja rundingan demi masa depan ummah dan Islam. UMNO mesti disedarkan hari ini dari mimpi yang panjang untuk memahami bahawa dalam isu memorandum 9 orang menteri bukan Islam, siapakah kawan dan lawan mereka sebenarnya. Sikap golongan tertentu yang semakin berani dan kurang ajar terhadap Islam dan ajarannya hari ini memerlukan perpaduan yang seutuhnya, melampaui fahaman politik. PAS mesti bangun untuk memimpin dan mempelopori perpaduan dan kerjasama dari semua pihak yang bersedia untuk mempertahankan kemuliaan Islam.

Begitu juga dalam isu pertelingkahan tokoh-tokoh politik tanahair yang semakin menarik dan mendebarkan. Saya mencadangkan dalam muktamar malam ini agar PAS menjadi mediator, bersegera mencari dan memberikan formula terbaik bagi mereka duduk semeja dan menjana satu kebangkitan menentang segala penyelewengan, rasuah dan salah laku pentadbiran negara yang makin membarah. Inilah yang ditunggu oleh rakyat iaitu PAS berperanan sebagai bahtera penyelamat kepada rakyat tanpa perasaan prejudis dan dendam.

Saya telah cuba membawa Pemuda UMNO duduk semeja dalam isu remaja Melayu yang terlibat dengan gegala sosial yang semakin mencemaskan. Jawapan dari mereka masih kita nantikan. Kini sekali lagi saya mencabar Pemuda UMNO untuk duduk semeja bagi membincangkan masa depan golongan Bumiputera dan isu kedudukan Islam yang semakin berani dicabar. Pemuda PAS tidak akan berputus asa untuk terus berjiwa besar menyatukan pandangan dan pendirian semua pihak untuk kepentingan Islam, meningkatkan martabat bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara.

Saya juga tidak pernah berputus asa untuk terus bekejasama dengan DAP dalam isu-isu rakyat dan kemanusiaan walaupun mereka menolak pendirian kita dalam soal negara Islam. Pemuda PAS yakin dengan janji Allah SWT. Yang penting kita bekerja kuat dan berani mencuba pendekatan-pendekatan baru dan segar. Satu hari esok kita berkeyakinan generasi muda dalam DAP hari ini akan dapat memahami dan menerima dasar perjuangan kita, Insya’Allah.

Kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana mutakhir ini terdapat banyak buku-buku mengenai kebaikan Islam yang ditulis oleh mereka yang bukan Islam. Penulisan Robert Briford, “The Making of Islam”, Olivier Roy dan Prof John Esposito mengambarkan ada ruang yang semakin terbuka untuk Islam terus berkembang dalam dunia intelektual Barat. Tulisan Dr Ved Prakash Upaddhay dalam “Muhammad in the Hindu Scriptures” mendedahkan mengenai peranan dan kebenaran perutusan Nabi Muhammad SAW didalam kitab-kitab Hindu berbahasa Sanskrit.

Penolakan orang bukan Islam terhadap perjuangan PAS hari ini yang diterjemahkan melalui keputusan dalam setiap pilihanraya umum tidak akan mematahkan semangat dan keyakinan Dewan Pemuda PAS untuk terus mendekati mereka. Kegagalan hari ini tidak bermakna kita terus kecundang pada hari esok. “Ekspedisi Kasih Sayang” yang kita telah laksanakan masih lagi belum mampu menjinakkan kepercayaan mereka terhadap perjuangan kita. Medan perjuangan kita menjanjikan masa depan yang lebih menarik untuk terus melangkah mendekati golongan peribumi di Sabah dan Sarawak. Pemuda PAS akan merancang pendekatan yang lebih strategik bagi memastikan seruan perjuangan kita menembusi setiap rumah dan penempatan mereka. Firman Allah Taala:

“Kalau apa yang engkau seru itu suatu faedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana nescaya mereka akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah: Kalau kami sanggup, tentulah kami pergi bersamamu. Mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang yang berdusta.” (Surah al-Taubah: Ayat 42)

Perubahan politik dunia yang semakin memihak kepada Islam tidak boleh dibiarkan berkembang sendiri tanpa perancangan daripada gerakan Islam. Pemuda PAS mesti mengambil langkah perkasa untuk memastikan kita berada tepat pada tempat dan waktunya untuk kemenangan mengunjungi kita. Tindakan yang paling asas harus diambil segera ialah memantapkan organisasi, mengukuhkan perkaderan ke arah kepemimpinan dan keahlian yang kompeten, merangsang gerakerja politik serta memacu usaha-usaha ijtimai’ah ke arah penguasaan masyarakat sivil.

Menjana Kekukuhan Organisasi

Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang seolah-olah mereka satu binaan yang kukh.” (Surah al-Sof: Ayat 4)

Kecemerlangan dan kelestarian organisasi adalah prasyarat utama kemenangan Islam. Sesuatu kebenaran tidak akan terserlah tanpa perancangan yang tersusun. Pemuda PAS mesti mengambil tanggungjawab ini untuk mengembangkan lagi budaya pengurusan dalam organisasi PAS supaya ia benar-benar terarah kepada hasrat kita untuk mendaulatkan agama Allah SWT di muka bumi ini.

Lebih 15 tahun lalu kita telah meningkatkan keupayaan organisasi melalui management by objectives (MBO), dan budaya ini telahpun diterima dengan baik dalam PAS. Tetapi dengan kemodenan dan cabaran organisasi semasa, kita harus mengimplementasikan model-model pengurusan terbaru bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi Pemuda PAS di semua peringkat. Kita mahu budaya total quality management (TQM) diterapkan dalam semua peringkat organisasi untuk memastikan gerak kerja kita benar-benar tersusun mengikut keperluan dan tuntutan kontemporari.

Mulai tahun hadapan, jika diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, perwakilan kita tidak lagi berasaskan negeri, tetapi daripada kawasan-kawasan. Inilah langkah strategik yang telah kita atur supaya organisasi di peringkat terkecil dapat diperkukuhkan keupayaannya, selain menonjolkan lebih ramai pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih baton kepemimpinan daripada kami. Peningkatan peranan kawasan ini pada asasnya bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan organisasi kawasan dengan rangsangan untuk menambah keahlian, mengukuhkan cawangan, meningkatkan kualiti kepemimpinan dan meluaskan jaringan Pemuda PAS kepada rakyat.

Namun begitu, perubahan perwakilan ini tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak ada perubahan sikap dan paradigma di kalangan kita. Setiap ahli Pemuda PAS di semua peringkat khususnya dari bawah perlu memiliki ciri-ciri pejuang kearah melahirkan pemimpin berkualiti yang kita sasarkan melalui Unit Kerja Jamah (UKJ). Kita mensinergikan peranan Lajnah Tarbiyyah dan Kepemimpinan, Akademi Kepemimpinan Pemuda (AKP) dan UKJ bagi memastikan satu rancangan pembangunan mapan dapat dilaksanakan kepada ahli-ahli di peringkat cawangan.

Pemuda PAS tidak mahu imej positif hanya terbina di peringkat Pusat sahaja, tetapi kemalapan melanda organisasi terkecil. Penyusunan semula sistem keahlian Pemuda PAS melalui gerakan bersepadu di peringkat cawangan akan dibuat untuk memperkasakan akar umbi parti yang bukan sahaja boleh menjadi jentera utama pilihan raya peringkat Unit Peti Undi (UPU), tetapi menjadi nadi sebenar Pemuda PAS yang bergerak berasaskan kekuatan kuantiti dan kemantapan kualiti.

Hasrat melahirkan organisasi sempurna ini mesti dilihat secara yang lebih luas melalui pertumbuhan sikap dan pemikiran ahli-ahli khususnya yang berada dalam barisan kepemimpinan di semua peringkat. Anjakan asas yang harus dibuat ialah membina keupayaan minda untuk meyakini bahawa Islam adalah bakal memerintah. Walaupun memerintah bukanlah matlamat akhir kita, tetapi ‘minda memerintah’ mesti disemai supaya gerak kerja kita meyakinkan rakyat bagi mengambil-alih pemerintahan. Pemikiran ‘pembangkang’ yang mewujudkan kecenderungan untuk sentiasa berkonfrontasi dengan kerajaan sehingga mematikan keupayaan untuk bekerjasama (cooperative) secara konstraktif dengan pihak kerajaan hendaklah diseimbangkan.

Pada masa ini Dewan Pemuda PAS telah mengambil langkah proaktif melalui pengwujudan hubungan dengan jabatan-jabatan kerajaan bagi membolehkan kita menyalurkan secara terus pandangan-pandangan kita untuk kebaikan rakyat dan negara. Kita mahu menerapkan pemikiran yang lebih melihat penyelesaian masalah (solution) daripada sekadar membangkitkan punca-punca masalah. Kita tidak mahu terjerat dalam pepatah "it easy to oppose, but not easy to propose", sebaliknya kita mahu menyalurkan pemikiran-pemikiran yang bernas dan bermanfaat kepada negara. Dalam ertikata yang lain Pemuda PAS mesti melahirkan pemimpin yang berwatak dan berjiwa negarawan sebagai persiapan memimpin parti dan negara. <> Kedua, anjakan juga mesti melibatkan soal memahami persekitaran berasaskan prinsip-prinsip usul dan qaidah fiqh. Sikap terbuka, semasa, setempat dan memahami keperluan berasaskan objektif syarak (maqasid al-syari’ah) sangat penting untuk kita bergerak dengan lebih berkesan sesuai dengan keperluan zaman. Sifat murunah (fleksibel) Islam harus dimanfaatkan dalam dunia politico-dakwah, di samping sentiasa tegas dalam soal-soal prinsip. Pemikiran yang terlalu jumud, tidak memahami keperluan setempat dan menolak ijtihad kontemporari akan menggagalkan kita dalam menerokai ruang-ruang dakwah yang semakin rencam, sekali gus menyukarkan kita menelah sesuatu yang futuristik.

Ketiga, cara kita bekerja juga harus dikemaskinikan supaya segala kekangan ditukar menjadi kesempatan dalam memartabatkan Islam. Kita amat sedar akan sekatan-sekatan yang ada serta halangan yang bersifat masa, kewangan, keupayaan material dan lain-lain. Budaya bekerja bersungguh-sungguh amat digalakkan oleh Islam, tetapi bukanlah bekerja secara semborono.

Kita tidak perlu terlalu banyak mengadakan aktiviti sehingga menyempitkan masa dan kewangan kita, tetapi kita mesti mempunyai fokus kerja yang jelas, kumpulan sasar yang tepat serta aktiviti yang cekap dan berkesan. Penjimatan sumber dan mengurangkan kekangan melalui perlaksanaan bijak aktiviti-aktiviti akan lebih melonjakkan keupayaan organisasi kita. Bukan bekerja keras, tetapi bekerjalah dengan pintar!

Keempat, kepelbagaian dan keanekaan adalah ciri asas masyarakat kita. Kumpulan sasar kita sangat luas. Tetapi pada hari ini kita masih lagi bekerja dalam lingkungan yang sempit dan kecil. Kita masih berada dalam ruang dakwah yang sama. Pemuda PAS mesti melihat keluar daripada kepompong kita. Sasaran utama kerja kita ialah selain daripada ahli-ahli PAS, penyokong dan peminat politik PAS.

Kita masih belum benar-benar serius dalam mendekati remaja, orang bukan Islam, golongan marhaen, kumpulan feminin, artis, kelompok masyarakat sivil dan sebagainya yang merupakan kumpulan terbesar dalam masyarakat. Percubaan untuk mendekati mereka telah dibuat, tetapi masih belum keluar daripada garis asas iaitu penyokong PAS. Kepelbagaian yang ada mesti merencamkan strategi kita.

Untuk tempoh yang singkat ini, jika kita semua bersedia untuk berganjak daripada pemikiran lama kepada budaya kerja baru, saya penuh yakin kecemerlangan organisasi dapat kita zahirkan sesuai dengan kehendak Rasulullah SAW yang menegaskan:

“Sesungguhnya Allah Ta‛āla mencintai seseorang dikalangan kamu apabila dia melakukan satu pekerjaan, dilakukannya dengan itqān (cemerlang)." (Riwayat al-Tabrani)

Melahirkan Pelapis Kepemimpinan

Para hadirin sekalian,

Pemuda PAS boleh berbangga dengan peranannya sebagai ‘kilang’ yang menghasilkan pemimpin PAS semenjak 50 tahun yang lalu. Tetapi kita bimbang jika tidak ada satu usaha yang tersusun untuk melahirkan pelapis-pelapis kepada kepemimpinan Pemuda PAS, satu krisis kepemimpinan akan berlaku dalam organisasi kita untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Kita tahu bahawa pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi kita mahu pemimpin yang datang adalah mereka yang berkualiti dan bergerak mengikut acuan kita. Kerana itu program pembangunan dan perkaderan kepemimpinan mesti diberikan perhatian oleh Pemuda PAS di semua peringkat mulai sekarang. Satu sistem yang boleh melahirkan pemimpin yang berwibawa perlu diwujudkan.

Kita telah mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan AKP pada 2003. Saya ingin memberikan khabar gembira di dalam Muktamar Pemuda pada malam ini bahawa pusat latihan rasmi AKP akan dibina dalam masa terdekat di negeri Kelantan, Insya’Allah. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah berusaha kearah kejayaan ini.

Penumpuan untuk melahirkan para pemimpin yang ditarbiyyah dalam manhaj kita amat penting untuk mengelakkan berlakunya penembusan (panetrasi) kepemimpinan daripada pihak luar atau pemimpin bidang terjun yang akhirnya akan mengancam budaya dan gerakerja organisasi kita. Langkah yang lebih berhati-hati perlu diambil supaya kita dapat menangani pemikiran songsang yang cuba menyerang jamaah kita dengan menafikan sunnah Rasulullah SAW yang bergerak melalui jamaah kepada momokan songsang yang mendakwa Islam tidak mensyariatkan bai'ah, wala', intima’, jama’ah dan seumpamanya, sebaliknya hanya menekankan soal ummah. Walhal, juara yang mencanang pemikiran songsang ini sendiri menyeru orang ramai intima’ dengan 'jamaah' mereka!

Secara khusus, pentarbiyyahan yang berlaku pada hari ini adalah masih berasaskan pendekatan 20 tahun yang lalu. Kita tidak mengatakan model sedia ada tidak baik, tetapi ia mesti dilengkapkan berasaskan keperluan-keperluan semasa. Dalam kata lain, tarbiyyah perlu disemak semula untuk diberikan nilai tambah yang sesuai dengan keperluan yang semakin mendesak pada hari ini. Tarbiyyah adalah saluran terbaik untuk membina atau menganjakkan paradigma Pemuda PAS ke arah yang lebih berdaya saing. Mekanisma ini mesti dimanfaatkan dengan memberikan pengertian baru kepada tarbiyyah supaya ia menjadi lebih kontemporari, serasi dengan masa, selesa dan memenuhi cita rasa mad’unya.

Pemuda PAS mulai tahun ini akan mewujudkan pelan tindakan tarbiyyah yang menyeluruh bagi memastikan proses pentarbiyyahan tidak berhenti sekadar usrah dan tamrin sahaja. Tetapi tarbiyyah mestilah dibuat secara komprehensif melibatkan semua peringkat parti dalam semua aspek kehidupan. Pelan tindakan tarbiyyah ini mestilah bermula daripada pembinaan pemuda cawangan (ansar) sehinggalah kepada qiyadah, dengan memberikan tumpuan kepada nilai-nilai tambah tarbiyyah seperti peningkatan kemahiran pengurusan organisasi, keupayaan komunikasi, uslub dakwah dan juga kefahaman terhadap keluasan gerak kerja Islam.

Pemerkasaan Pemuda PAS tidak boleh meminggirkan pelajar sebagai satu sumber manusia yang penting. Peningkatan tarbiyyah, latihan kepemimpinan, kemahiran kerja serta keupayaan kemanusiaan mesti disalurkan kepada mereka supaya mereka menjadi satu gelombang dalam melahirkan kepemimpinan berwibawa.

Tumpuan tarbiyyah adalah untuk melahirkan kepemimpinan dan ‘amilin yang memiliki kefahaman Islam yang jelas, kesungguhan bergerak kerja, komitmen dalam mempertahan dan memperjuangkan Islam, keluasan ilmu, keterbukaan pemikiran, ketrampilan budaya kepemimpinan dan mendukung nilai akhlak Islam. Hal ini amat penting untuk membolehkan kita berhadapan dengan Pemuda-pemuda UMNO yang pada hari ini telah mendukung agenda Islam Hadharinya. Pemuda PAS mesti mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada Pemuda UMNO dalam semua aspek. Kita tidak boleh lagi berbangga semata-mata kita memperjuangkan Islam, kerana UMNO juga bercakap dan mengamalkan Islam walau secara sempit, tetapi berupaya mengelirukan rakyat.

Kompetensi pemimpin dan ahli akan menentukan apakah perkara-perkara yang saya gariskan dalam ucapan pada malam ini menjadi kenyataan atau sebaliknya. Saya berhasrat untuk meningkatkan peranan AKP sebagai mekanisme dalam mewujudkan kompetensi pemimpin dan ahli supaya mereka boleh bersaing dengan keupayaan yang setara dengan saingan kita dan cabaran global. Saya juga menyeru para pemimpin dan ahli Pemuda PAS supaya membudayakan “pembelajaran sepanjang hayat” (continious learning) mengambil inisiatif dalam meningkatkan keupayaan masing-masing termasuk penguasaan ke atas ilmu-ilmu alat seperti ekonomi, pentadbiran, bisnes, kewangan, kerajaan dan sebagainya. Peningkatan budaya ilmu boleh membantu kita melakukan revolusi minda ke arah melahirkan pemimpin yang memiliki pemikiran bersistem.

Penghijrahan minda dan ilmu amat penting bagi kita supaya pemimpin Pemuda PAS lebih berketrampilan, berpengetahuan dan menguasai ilmu dalam multi disiplin. Bagi memenuhi ciri-ciri kepemimpinan kompeten, saya suka menggariskan sepuluh bidang yang seharusnya dikuasai oleh pemimpin Pemuda Islam. Pertama, menguasai asas ekonomi termasuk memahami laporan-laporan ekonomi kerajaan, pengurusan kewangan kerajaan, pendapatan negara, pengawalan inflasi dan sebagainya. Kedua, perniagaan dengan menguasai bagaimana perniagaan beroperasi, membuat keputusan dan juga proses perakaunannya. Ketiga; kita juga perlu menguasai maklumat tentang institusi-institusi kewangan termasuk bank, insurans, unit amanah, tabung simpanan pekerja dan lain-lain.

Keempat, kita perlu menguasai ilmu pendidikan termasuk memahami sistem pendidikan yang baik dan boleh bersaing pada masa hadapan; kelima, pengetahuan tentang undang-undang dan perlembagaan seperti doktrin pengasingan kuasa dan fungsi check and balance yang menjadi sebahagian daripada sistem perundangan; keenam, pentadbiran, agar prinsip-prinsip pentadbiran baik dikuasai oleh kepemimpinan kita.

Ketujuh, memahami peraturan-peraturan kerajaan; kelapan, memahami bagaimana tugas, tanggungjawab dan akauntabili awam memainkan peranan ke arah membentuk etika pentadbiran; kesembilan, mendalami dasar-dasar dan rancangan awam; dan kesepuluh ialah meningkatkan kemahiran perhubungan awam termasuk dalam mendapat maklum balas rakyat tentang kerajaan dan parti.

Dalam memenuhi keperluan pembinaan kepemimpinan ini, Lajnah Tarbiyyah dan kepemimpinan hendaklah menyemak semula peranannya dengan merangka satu pendekatan tarbiyyah yang lebih holistik, khususnya dalam rangka pembinaan kepemimpinan. Tumpuan yang lebih besar hendaklah difokuskan kepada usaha melahirkan kepemimpinan berwibawa bagi meneruskan perjuangan PAS.

Menguasai Persekitaran Politik

Sidang muktamirin yang dihormati,

Penyertaan kita dalam dunia politik telah berlangsung sebaya dengan usia kita. Kalah menang bukan soal yang besar bagi kita, tetapi yang lebih penting apakah kita telah benar-benar mencaturkan gerakan politik kita sesuai dengan matlamat kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang di dalamnya terlaksana nilai-nilai dan hukum-hukum yang menuju keredhaan Allah SWT.

Penumpuan terhadap kerja-kerja politik yang kita telah fokuskan nampaknya belum disambut dengan baik oleh ahli-ahli kita. Hatta, di peringkat pusat sekalipun, saya masih belum berpuas hati dengan prestasi sebahagian daripada kerja-kerja yang telah kita lakukan. Adalah jelas bahawa kita masih bermain dalam takuk lama di mana kita masih lagi dilihat sebagai ‘penyambut’ isu-isu politik, bukannya pencetus atau pejuang isu-isu rakyat.

Dalam menggerakkan isu-isu semasa untuk meningkatkan kesedaran politik rakyat, kita harus berubah untuk menjadi juara yang sentiasa tangkas dalam membela rakyat. Kita mesti bekerja lebih kuat untuk mengembeleng perjuangan rakyat. Isu-isu besar seperti kenaikan harga minyak, penyalahgunaan kuasa kroni kerajaan, krisis integriti di Parlimen dan sebagainya gagal digerakkan dengan berkesan, selain tidak berupaya membongkar kemungkaran politik BN.

Sebagai langkah pengukuhan, kita telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan gagasan ‘political engagement’ yang dilontar dalam Muktamar yang lalu. Tetapi malangnya, usaha-usaha kami tidak disambut dengan langkah serupa oleh pemimpin Pemuda PAS di peringkat bawah, sehingga usaha murni ini menjadi medan untuk ‘mempromosikan’ sebahagian pimpinan Pemuda PAS sahaja. Hasrat saya ialah untuk melihat gagasan ini sebagai usaha memperkenalkan ‘pasukan’ Pemuda PAS, bukannya individu pemimpin Pemuda PAS. Imej positif, meyakinkan dan mesra rakyat ini adalah rangka baru yang mahu dibentuk kepada Pemuda PAS. Kita mahu melupuskan semua sekali anggapan negatif, kolot dan jumud yang sering dilabelkan kepada kita.

Dalam aspek yang lebih luas, saya mahu memanjangkan perkara ini kepada peranan Pemuda PAS Kelantan sebagai benteng terakhir kita untuk mempertahankan imej Pemuda Islam di negara ini. Soal perpaduan, kesatuan amal, keselarasan fikrah dan komitmen kerja mestilah menjadi agenda terbesar kerana di sinilah terbentuknya gambaran rakyat terhadap pemimpin pelapis kerajaan negeri Kelantan pada masa hadapan. Kita mahu Pemuda PAS Kelantan berperanan sebagai peneraju kepada kebangkitan rakyat yang semakin menyakinkan. Usaha-usaha untuk memperkasa saf jemaah dan menyuburkan perpaduan hendaklah dijadikan agenda besar pemuda sebagai persediaan menghadapi pilihanraya yang semakin hampir. Kemasukan beramai-ramai ahli-ahli Umno di Kelantan baru-baru ini adalah satu motivasi yang merangsangkan lagi gerak kerja kita.

Serentak dengan itu juga, Pemuda PAS masih melihat bahawa Barisan Alternatif (BA) adalah wadah yang penting untuk PAS bergerak sebagai pembangkang yang berkesan. Asas two party system dalam mengukuhkan demokrasi perlu diterima. Kita menyeru pemimpin tertinggi PAS supaya mengambil inisiatif bagi mewajahkan semula BA dengan penampilan yang lebih ceria. Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam apa keadaan pun pada hari ini adalah ikon pembangkang yang mesti digembelengkan. Datuk Seri Anwar tidak seharusnya terus menjadi pemimpin elit, sebaliknya beliau mesti menjadi pemimpin rakyat yang mengetuai gelombang kedua reformasi setelah lebih lima tahun rakyat berjuang untuk menegakkan keadilan buat beliau. Kini rakyat sedang menunggu giliran beliau pula memacu keadilan untuk rakyat.

Serentak dengan itu juga, Pemuda PAS masih melihat bahawa Barisan Alternatif (BA) adalah wadah yang penting untuk PAS berperanan bersama dengan Parti Keadilan Rakyat menjana dan seterusnya memimpin kebangkitan rakyat yang semakin hilang kepercayaan kepada kepimpinan UMNO BN. . Asas two party system dalam mengukuhkan demokrasi perlu diterima. Kita menyeru pemimpin tertinggi PAS supaya mengambil inisiatif bagi mewajahkan semula BA bersama dengan Dato Seri Anuar Ibrahim bersegera menggerakan kemaraan rakyat dengan penampilan yang lebih gagah, ceria dan menyakinkan. Datuk Seri Anwar tidak seharusnya menjadi pemimpin elit, sebaliknya beliau mesti pantas untuk mengambil kesempatan terbaik ini bersama dengan pimpinan BA melaksanan siri “Jelajah BA Bersama Rakyat” yang mesti diledakkan keseluruh pelusuk negara.

Social Engagement

Pengalaman beberapa gerakan Islam seperti Hizbu Refah di Turki, HAMAS di Palestin, Ikhwan Muslimin di Mesir dan Parti Keadilan Sejahtera di Indonesia yang berjaya mendapatkan sokongan rakyat hasil kesungguhan kerja-kerja sosial mereka harus menjadi iktibar dalam merencana gerak kerja kita. Produk Islam yang kita tawarkan tidak dipersoalkan oleh rakyat, tetapi mereka mahu melihat setakat mana Islam boleh membantu mereka dalam menangani keperluan sosial mereka.

Sebagai sebuah gerakan Islam, kerja-kerja sosial merupakan satu ruang dakwah yang perlu dipergiatkan. Usaha memasyarakatkan PAS telah kita buat semenjak awal 1990-an lagi, dan kini kita perlu meningkatkan engagement dengan masyarakat supaya Islam dilihat benar-benar berperanan dalam pembangunan sosial. Saya berbangga apabila Pemuda PAS telah memperlihatkan keprihatinannya kepada kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan sentiasa berusaha mendekati pelbagai golongan termasuk memberikan bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Secara khusus saya merakamkan tahniah kepada Unit Amal yang kini memasuki era “Gen 2” berimej baru yang bukan sahaja membantu mangsa tragedi tsunami dan gempa bumi, tetapi turut terlibat membantu mangsa banjir kilat, perobohan kejam dan zalim setinggan-setinggan sepertimana berlaku di sekitar lembah Kelang dan beberapa kebakaran di seluruh negara. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan PASTI yang sentiasa proaktif dan inovatif didalam mengeluarkan produk-produk baru pendidikan dan dalam menempatkan diri dalam masyarakat. Muktamar Pemuda juga merakamkan ucapan syabas kepada Nisa’ yang berwajah baru dan begitu aktif dalam menghampiri golongan puteri.

Pemuda PAS telah lama bergerak dalam isu kelompok sendiri khususnya hak umat Islam dan orang Melayu. Tetapi kita belum diyakini oleh rakyat terbanyak tentang kemampuan untuk membela kepentingan mereka. Bahkan, ada kajian yang menunjukkan bahawa rakyat melihat PAS masih bermain di gelanggangnya sendiri. Ruang masyarakat masih begitu luas yang belum kita terokai sedangkan ia mempunyai potensi dakwah dan politiknya sangat besar. Kita mesti berganjak daripada takuk lama kepada pendekatan baru yang lebih strategik melalui pemanfaatan segala sumber secara maksimum. Kita tidak mahu Pemuda PAS hanya menjadi “jaguh kampong” hebat di gelanggang sendiri, tetapi kita juga mesti hebat di gelanggang orang lain, dipersada rakyat dengan kompetensi yang ada.

Kebajikan menjadi nadi utama dalam sistem sosial Islam. Kefahaman ahli-ahli terhadap kedudukan kerja sosial sebagai sebahagian daripada ibadat mesti dipertingkatkan. Nilai-nilai ini akan disalurkan melalui pentarbiyyahan bagi mengubah tanggapan bahawa soal agama secara khusus sahaja yang menjadi tuntutan Islam, kepada kesedaran bahawa Islam sangat memberatkan soal kemanusiaan, kebajikan dan kerja sosial. Kita berbangga apabila ahli PAS sanggup berdemonstrasi dalam mempertahankan maruah Nabi Muhammad SAW, tetapi kita kesal apabila ahli PAS tidak menjiwai demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

MERENCANA PERSIAPAN

Para muktamirin yang dihormati,

Ketidakseimbangan politik dunia dan kerakusan politik BN mesti dihentikan segera melalui peningkatan persiapan dan keupayaan kita. Hanya kekuatan kita yang boleh mengimbangi, jika tidak menghentikan kegelojohan politik BN. Saya telah menyentuh beberapa aspek yang perlu diberikan tumpuan oleh Pemuda PAS di semua peringkat khususnya dalam membina kekuatan dalaman parti dan juga merancakkan lagi gerakerja kita di medan politik, dakwah dan gerakan masyarakat sivil.

Pembinaan ahli-ahli yang berupaya menjadi tulang belakang gerak kerja parti sangat penting, terutama bagi melahirkan amilin yang komited dan dinamik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai safwatul mukhtarah dalam parti kita. Para pimpinan Pemuda PAS pula mesti bersedia menjadi pemimpin contoh (al-amin) dalam masyarakat, bukan sekadar pemimpin ahli PAS sahaja.

Bagi merancakkan lagi persiapan kita, penguasaan Pemuda PAS ke atas institusi-institusi masyarakat termasuk surau, persatuan penduduk, khairat kematian, badan kebajikan, NGO dan sebagainya amat penting. Kita bukan sahaja perlu membina jambatan dengan masyarakat sivil, tetapi diyakini oleh rakyat untuk memimpin kepentingan mereka. Tidak cukup bagi kita sekadar membaca khutbah, mengimamkan solat atau memberikan tazkirah, tetapi kita juga perlu berada dalam kepemimpinan masyarakat.

Untuk meneraju kebangkitan rakyat, Pemuda PAS mestilah menjadi peneraju utama politik massa. Melalui pengukuhan berterusan organisasi, pembinaan kepemimpinan dan peningkatan keupayaan (capacity) ahli-ahli, saya yakin kita berkemampuan untuk menggerakkan kesedaran politik rakyat. Pendekatan social engagement yang akan kita ambil akan menjadi senjata penting bagi membolehkan Pemuda PAS sentiasa di hadapan dalam menangani permasalahan rakyat.

Kita bersedia menawarkan pakej politik, ekonomi dan sosial yang adil, telus dan berdaya saing kepada rakyat. Kita telah melihat dan rakyat telah merasai bagaimana bercelarunya kehidupan mereka di bawah Kerajaan BN yang penuh dengan penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan ketidakadilan. Kita mahu berada bersama-sama rakyat untuk membela nasib mereka dan menawarkan keadilan Islam ke arah peningkatan kualiti hidup rakyat. Saya menyeru seluruh Pemuda PAS supaya sentiasa bersedia untuk meneraju politik massa sebagai misi utama kita pada sesi ini.

Tahun 2006 adalah tahun persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-12. Tahun hadapan atau selewat-lewatnya 2008, pilihan raya umum akan diadakan. Persiapan yang benar-benar kukuh perlu disusun bermula daripada UPU hinggalah kepada jentera di peringkat Pusat. Kita berharap cadangan untuk memasukkan Pengarah Pilihanraya sebagai Jawatankuasa Harian di semua peringkat akan menyemarakkan gerak kerja untuk pilihan raya ini.

Secara tradisinya, setiap dua penggal, undi rakyat akan memihak kepada pembangkang dan parti pemerintah berhadapan dengan krisis kepemimpina. Keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini memberikan indikator yang jelas tentang perubahan sikap rakyat terhadap BN. PAS perlu bersiap bagi memanfaatkan kesempatan ini untuk menerajui kebangkitan. Firman Allah SWT:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya. sedang Allah mengetahuinya; Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dijalan Allah akan disempurnakan balasannya kepadamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”Surah al-Anfal: Ayat 60)

AKHIR BICARA

Para hadirin sekalian,

Sebagai mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya mengajak seluruh hadirin untuk mengambil semangat muktamar ini bagi meningkatkan kesungguhan dan keikhlasan kerja kita ke arah mencapai keredhaan Allah SWT. Kita bergerak dalam jemaah ini dengan kesedaran yang sama iaitu untuk melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar, maka janganlah ada dikalangan kita yang berintima' kerana kepentingan-kepentingan lain selain daripada menegakkan agama Allah SWT. Biarlah kita berjuang dengan ikhlas kerana itulah satu-satunya pendekatan yang boleh meningkatan kualiti perlaksanaan Islam di dunia ini. Firman Allah SWT:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah: Ayat 5)

Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita, kita dapat menyempurnakan muktamar pada tahun ini, dan meneruskan agenda untuk menegakkan Islam kemudiannya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada PAS Kedah yang menjadi hos muktamar kita. Kepada Timbalan Presiden PAS yang merasmikan muktamar kita, pada dif jemputan, perwakilan dan pemerhati juga saya mengucapkan Jazakallahu Khairal Jaza' di atas komitmen semua. Semoga Allah SWT merahmati kita semua di atas komitmen ini.

Sekian, Wabillahi al-tawfik wal hidayah wassalamu ‘alaikum warahmatulLahi wabarakatuh./wann

1 Comments:

At 7:05 PM, Blogger Howard Finance said...

Adakah anda memerlukan pinjaman .Kami adalah sah dan menjamin pemberi pinjaman pinjaman. Kami adalah sebuah syarikat dengan bantuan kewangan. Kami memberi pinjaman tabungan kepada individu yang memerlukan bantuan kewangan, yang mempunyai kredit yang buruk atau memerlukan wang untuk membayar bil, untuk melabur dalam perniagaan. Saya mahu menggunakan medium ini untuk memberitahu anda bahawa kami memberikan bantuan benefisiari dipercayai sebagaimana Kami akan gembira untuk menawarkan pinjaman Hubungi kami melalui E-mel: hammers.credit@gmail.com

Perkhidmatan Disediakan termasuk

* Penyatuan Hutang
* Pinjaman Perniagaan
* Pinjaman Peribadi.
* Pinjaman Kereta
* Sewa dan House Pinjaman

Masuk kira semula jika berminat dengan kadar faedah kami sebanyak 4% tahunan. Hubungi kami melalui E-mel: hammers.credit@gmail.com

Sila Nota: Semua individu yang berminat hendaklah menghantar mesej kepada e-mel kami untuk maklum balas segera dan butiran untuk mendapatkan pinjaman.

Selamat sejahtera.

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com