Sunday, July 30, 2006

Protes harga minyak: Perhimpunan dihentikan setelah diberi amaran tiga kali

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak dan barang-barangan dihentikan apabila pihak polis memberi amaran sebanyak tiga kali untuk menyuraikan perhimpunan tersebut dengan kekasaran.

Perhimpunan aman anjuran Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes) mula berhimpun di hadapan Dataran KLCC jam 3 petang, dipengerusikan oleh Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Badrul Hisham Shahrin diikuti dengan ucapan Ketua Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Dalam ucapan itu, beliau telah memaklumkan kepada pihak Polis di Bukit Aman bahawa perhimpunan itu diadakan secara aman bagi menyatakan rasa tidak puashati terhadap kenaikan harga minyak dan barang-barangan.

Menurut beliau, walaupun sudah lima bulan berlalu kenaikan harga minyak tetapi keperitan itu amat terasa ditambah pula dengan kenaikan harga barang-barang keperluan asas manakala bekalan gula pasir pula sering kehabisan.

Katanya, baru-baru ini Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan membuang pekerja seramai 6000 orang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang untung berbilion ringgit juga mahu buang pekerja begitu juga dengan Syarikat Automobil EON dimaklumkan akan membuang pekerjanya.

Ini kerana, tambah beliau disebabkan ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 30 peratus yang dianggap masalah remeh oleh pimpinan kerajaan BN. Ketika berkata demikian, helikopter PDRM kelihatan berpusing di sekitar kawasan perhimpunan.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Penerangan KeADILan, Thian Chua; Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung PSM, R. Arvechaleven; wakil Jim, Suhaimi; Gamis; Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit); Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Muslimat Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan; AJK Lajnah Pengguna PAS Pusat, Athirah Aiman Al-Jundi dan beberapa pimpinan PAS lain.

Badrul Hisham Shahrin mengajak pendemo melaungkan `Polis-polis jangan pukul', 'Polis baik rakyat baik', 'Polis beli minyak mahal', 'kami pun beli minyak mahal'. Ketika slogan ini dilaungkan kelihatan beberapa anggota polis tersenyum.

Wakil pelajar Malaysia, Hanif turut berucap mengatakan, sebagai rakyat Malaysia kita berhak menuntut hak kita yang dirampas.

"Pihak kerajaan jangan sekali-kali merampas hak rakyat, walaupun kami mahasiswa tetapi kami tetap merasai keperitan akibat kenaikan harga minyak. Kos pengajian turut naik," katanya.

Menurut beliau, apabila negara mengalami kerugian rakyat yang terpaksa menanggung segala-galanya tetapi apabila negara mendapat keuntungan semuanya dikaut oleh pimpinan BN.

Timbalan Setiausaha Agung KeADILan, Zahir Hassan yang ditangkap dan dibelasah di hadapan isteri dan anaknya dalam perhimpunan yang sama pada 28 Mei lalu turut berucap.

Beliau mengucapkan tahniah di atas keperihatinan mereka yang datang berhimpun bagi menyatakan bantahan di atas kenaikan harga minyak.

Ketika beliau berucap, Pegawai Polis (Ahmad) memberi amaran supaya perhimpunan itu disuraikan dengan alasan tidak ada permit.

Bagaimanapun, ucapan diteruskan dengan giliran Mohamad Sabu yang menyatakan kebimbangan terhadap maruah negara yang bertambah teruk ekoran kejadian mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disembur gas pemedih mata di Kelantan.

Beliau berkata, bagaimana imej negara Malaysia kalau mantan PM boleh disembur dengan gas pemedih mata manakala nasib rakyat boleh dihentam sahaja.

"Kita nak perhimpunan aman, kita tidak mahu negara seperti Israel yang tidak tahu menghormati demokrasi. Kita mahu kebebasan media dan kita juga mahu kebebasan bersuara dan rakyat berhak untuk menentukan corak pemerintahan negara," katanya.

Pihak Polis memberi amaran sekali lagi; "Sila bersurai jika tidak kami akan mengambil tindakan untuk menyuraikan perhimpunan."

Bagaimanapun, Mohamad Sabu melaungkan slogan; "Rakyat-rakyat naik minyak, rakyat sudah naik minyak, hidup rakyat".

Ketika itu kenderaan seperti bas, kereta turut menyokong bantahan tersebut apabila mereka memberi isyarat membunyikan kenderaan masing-masing.

Ketika Thian Chua berucap, Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung orang ramai yang berada di perhimpunan tetapi pendemo tetap tidak berganjak daripada kawasan perhimpunan tersebut.

Enam trak FRU dan satu trak `water cannon' dibantu pula dengan polis bantuan serta polis cawangan khas (SB) berada di hadapan Dataran KLCC.

"Saya mohon semua bertenang dan kita akan bersurai secara aman," katanya menenangkan keadaan orang ramai.

Perhimpunan disuraikan jam 3.50 petang tadi setelah menerima tiga kali amaran daripada pihak polis manakala FRU pula mengepung kawasan perhimpunan bagi menakut-nakutkan pendemo. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com