Monday, June 13, 2005

UMNO KEMARUK KUASA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR

KENYATAAN MEDIA (13 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 13 Jun 2005 : Pada minggu lepas warga kota ditayangkan dengan sebuah sandiwara remang – remang kotaraya edisi 2005 yang diarahkan oleh pimpinan UMNO Wilayah Persekutuan berhubung kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat bahawa desakan UMNO Wilayah Persekutuan untuk menghadkan kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah satu cadangan Politik semata – mata.

DPPWP meragui strategi yang dilakukan dalam mendesak agar kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur itu dihadkan. Seharusnya UMNO Wilayah Persekutuan memahami bahawa Akta Ibu Kota Persekutuan, 1960 (Akta 190) telah memberikan penjelasan yang cukup berhubung bidang kuasa dan juga tanggungjawab Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk melapor pada Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Cadangan agar Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan diberikan peluang untuk bersama – sama menentukan dasar dan pentadbiran DBKL menunjukan bahawa UMNO sebenarnya kemaruk kuasa. DPPWP tiada masalah jika ahli Parlimen yang mewakili setiap Parlimen di Wilayah Persekutuan diberi ruang untuk terlibat dalam urusan menentukan dasar dan pentadbiran DBKL kerana itu hak mereka sebagai wakil rakyat. Tetapi, biarlah suara semua ahli Parlimen diterima secara sama rata dan bukannya mewakili satu parti politik sahaja.

Tuntutan pimpinan UMNO agar mereka juga dilibatkan dalam soal penentuan dasar DBKL menunjukan bahawa mereka cuba menguasai DBKL dan pentadbirannya. Seandainya ini berlaku maka pastinya Kuala Lumpur ini akan dipergunakan oleh UMNO untuk mengaut segala peluang melalui DBKL demi kepentingan parti UMNO sahaja. Akhirnya DBKL akan menjadi Dewan Bandaraya UMNO pula.

Segala lesen premis, cukai – cukai dan perundangan pastinya akan dikuasai oleh UMNO. Mereka pastinya akan mempergunakan DBKL untuk membina lebih banyak kekayaan melalui pelbagai projek pembangunan DBKL. Segala tender - tender dan peluang projek pembangunan akan diberikan pada kroni - kroni UMNO dan ini akan menafikan hak kontraktor lain yang berkelayakkan yang bukan kroni UMNO.

Perlu diingat bahawa Kuala Lumpur ini merupakan sebuah metropolitan yang dihuni bukan sahaja oleh orang Melayu. PAS juga parti yang dianggotai oleh orang Melayu, tetapi PAS juga prihatin terhadap hak orang bukan Melayu. Apa kata mereka yang bukan Melayu bila mana Parti UMNO yang membawa suara orang Melayu ini menguasai Bandaraya ini. Pastinya mereka akan melihat bahawa berlakunya satu ketidakadilan yang ketara dalam memberikan hak antara kaum.

Justeru itu, DPPWP melihat bahawa UMNO perlu menarik semula cadangan mereka untuk duduk bersama dalam urusan penentuan dasar DBKL. Isu kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur hanyalah satu tipu helah disebalik agenda tersembunyi UMNO sebenarnya.

DPPWP berpendapat bahawa parti politik dari kalangan Kerajaan dan Pembangkang boleh membantu DBKL melalui penyampaian cadangan dan saranan berfakta melalui saluran dan slot perbincangan awam kepada DBKL . Biarlah kuasa membuat keputusan dalam hal – hal dasar itu diuruskan oleh pihak pentadbiran DBKL yang juga punyai Lembaga Penasihatnya sendiri.

Kementerian Wilayah Persekutuan pula seharusnya bijak dalam menguruskan pembangunan Wilayah Persekutuan dan tidak sekadar bergantung pada DBKL. Tidak wujud persoalan bahawa DBKL lebih berkuasa dari Kementerian Wilayah Persekutuan. Apa yang perlu difahami adalah bidang tugas yang seharusnya dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

Sekali lagi DPPWP menegaskan bahawa, pihak DPPWP akan membuat bantahan seandainya UMNO diberikan kuasa dalam menentukan dasar – dasar dan pentadbiran DBKL. Semoga DBKL akan dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk kebaikkan semua kaum secara adil di Wilayah Persekutuan dan bukannya untuk penyokong UMNO semata.

“Mendepani Cabaran, Paksi Kebangkitan Perjuangan”

Riduan Mohd Nor
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com