Sunday, June 12, 2005

Sistem jam kredit untuk semua universiti diselaras

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi akan menyelaraskan sistem pemindahan jam kredit bagi membolehkan pelajar membuat pemindahan kredit dari satu universiti ke universiti lain.

Menterinya, Datuk Dr Shafie Salleh, berkata pada peringkat permulaan ia akan dilaksanakan antara fakulti di dalam sesebuah universiti sebelum diperluaskan di semua universiti di negara ini.

“Melalui penyelarasan sistem pemindahan kredit di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), ia akan membolehkan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran atau mengambil kursus di universiti lain, membuat pemindahan jam kredit tanpa masalah.

“Misalnya, pelajar yang mengambil sesuatu mata pelajaran dengan tiga jam kredit di Universiti Malaya boleh membuat pemindahan kredit mata pelajaran yang sama di Universiti Malaysia Sabah.

“Perkara ini akan dibincangkan di Majlis Pengajian Tinggi Negara (MPTN) sebelum keputusan dibuat bila ia boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pameran Kerjaya dan Pendidikan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Pameran anjuran bersama oleh Jobs.DB.com dan IFFM Sdn Bhd itu akan diadakan di Komtar, Pulau Pinang pada 13 dan 14 Ogos depan, diikuti Johor Bahru (24 dan 25 September) dan PWTC (25 hingga 27 November).

Penganjur menjangkakan lebih 300 gerai pameran akan dibuka oleh lebih 150 syarikat dari pelbagai bidang bagi memberi peluang kepada pelajar dan graduan mengintai peluang pekerjaan, menjalani temuduga secara terus serta mengikuti latihan dan seminar yang disediakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan kini mempertingkat kapasiti mengajar di Fakulti Perubatan di semua universiti awam bagi memastikan kegagalan 128 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003 mendapatkan tempat mengikuti kursus perubatan dalam negara tidak berulang.

Katanya, kemudahan asas di Fakulti Perubatan seperti alat mengajar kini bertambah baik dan dipertingkat sementara lebih ramai pensyarah diambil sejak tahun lalu bagi menampung jumlah pelajar yang bertambah.

Beliau berkata, pengumuman mengenai kemasukan pelajar ke universiti tahun ini akan dibuat sebelum akhir bulan ini oleh kerana sesi baru 2005/2006 hanya bermula Julai.

Tahun lalu, setelah rungutan orang ramai, kerajaan mengambil langkah menganugerahkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kepada pelajar cemerlang berkenaan untuk belajar di luar negara.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, beliau sudah meluluskan cuti tanpa gaji kepada pensyarah ekonomi, Prof Madya Dr Terence Gomez, dari Universiti Malaya (UM) yang meletak jawatan sebelum ini selepas universiti berkenaan tidak meluluskan cuti beliau untuk dipinjamkan selama dua tahun di Institut Kajian Pembangunan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRIRD).

“Saya hanya nampak permohonan itu semalam dan memutus untuk meluluskannya,” katanya.

Shafie berkata, beliau juga menolak peletakan jawatan Gomez yang bererti pakar ekonomi itu boleh kembali ke UM selepas menamatkan tugas dua tahun di Geneva.

Mengenai sebab UM menolak permohonan cuti Gomez sebelum ini, Shafie berkata, mengikut peraturan pensyarah universiti hanya boleh mengambil cuti sabatikal bagi maksimum lapan bulan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com