12 beradik tak sanggup berpisah
Oleh Baharom Bakar
ROSLIZA (kanan) bagaikan ibu memberi makan dan minum kepada adiknya Mohd Johan Alami (dua dari kanan), Mohd Arif Halim dan Mohd Harun Firdaus sambil diperhatikan abang dan kakaknya di rumah mereka di Kampung Taman Rahmat, Merchang,Marang, semalam. – Gambar oleh Saifullizan Tamadi
MARANG: "Walaupun kehilangan tempat bergantung dan terpaksa makan nasi berlaukkan garam sekalipun, kami 12 beradik tidak akan berpisah, apatah lagi menyerahkan adik kami yang masih kecil untuk dipelihara keluarga angkat.
"Biarpun hanya tinggal di sebuah rumah kecil ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan terpaksa mengikat perut, kami sepakat tetap tinggal bersama untuk meneruskan kehidupan. Kami tak sanggup berpisah," kata Rosliza Mohamed, 25, yang dianggap pengganti ibu mereka, Mala @ Mardiah Bakar, 48 yang meninggal dunia, akhir bulan lalu.
Mala, ibu kepada 12 beradik berusia lima hingga 31 tahun dari Taman Rahmat, Merchang, di sini, meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, akhir bulan lalu.
Semasa hidupnya, Mala adalah ibu tunggal selepas berpisah dengan suaminya, Mohamed Yusoff, 50-an, lebih empat tahun lalu terpaksa berkerja sebagai atendan pam minyak bagi menampung perbelanjaan anak-anaknya.
Rosliza, anak keempat daripada 12 beradik dan memiliki ijazah dalam jurusan ekonomi tetapi masih menganggur, berkata walaupun kehidupan agak perit tidak semewah ketika ibunya masih hidup, tetapi bersyukur kerana dua abangnya iaitu Azmi, 31 dan Zainaldin, 27, sudah bekerja walaupun gajinya tidak seberapa.
"Seorang lagi abang, Suhardi, 28, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat swasta di Muar, Johor, sudah berhenti kerja dan sedang mencari kerja yang sesuai di sini.
"Walaupun saya memiliki ijazah, sehingga kini belum mendapat sebarang pekerjaan biarpun sudah memohon beberapa jawatan yang bersesuaian," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima sumbangan berupa makanan dan wang tunai disumbangkan Skuad Kebajikan Kelab My Friend NSTP Ajil oleh Pengerusi kelab, Ahmad Azmi Abu Bakar.
Selain tiga abangnya iaitu Azmi, Suhardi dan Zainaldin, Rosliza juga mempunyai lapan lagi adik iaitu Zulkifli, 22, Alias, 20, Nursyahida, 18, Nor Suraya, 15, Mohd Azam, 14, Mohd Harun Firdaus, 9, Mohd Johan Alami, 7 dan Mohd Arif Halim, 5 tahun.
Zulkifli adalah seorang pelatih di Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec), Alias kini belajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, Norsyahida, 18, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Nor Suraya, 15, tingkatan empat dan Mohd Azam, 14, tingkatan dua di sekolah yang sama.
Mohd Harun Firdaus, 9, dan Mohd Johan Alami, 7, masing-masing pelajar tahun tiga dan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merchang manakala yang bongsu, Mohd Arif Halim berusia lima tahun.
Rosliza berkata, selain bantuan kewangan daripada abangnya, wang simpanan arwah dan bantuan kebajikan disalurkan JKM sebanyak RM250 sebulan digunakan untuk perbelanjaan harian.
"Walaupun ada antara penduduk yang bersimpati dengan nasib kami dan meminta mengambil adik untuk dijadikan anak angkat, tetapi kami tidak sanggup berpisah.
"Saya hanya memohon dan merayu agar ada pihak tertentu menawarkan pekerjaan kepada saya untuk menampung kehidupan keluarga," katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home