Friday, June 10, 2005

Akademi Fantasia bawa akhlak buruk kepada belia - Salahuddin

Dasar-dasar Baru Kebudayaan dan Kesenian dan juga Arkib Negara perlulah mempunyai suatu tindakan yang proaktif, yang progresif ke arah membentuk minda dan tingkah laku mereka bagi kita menyalurkan kepada masyarakat input-input yang positif ke arah kita melahirkan kepimpinan untuk masa depan negara.

Dalam membahaskan perkara itu, ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin bin Ayub menyatakan kebimbangannya dengan mengambil contoh rancangan-rancangan televisyen yang mempamerkan tentang betapa buruknya akhlak dan perilaku rancangan-rancangan seperti Akademi Fantasia, seperti Malaysian Idol dan seumpamanya.

"Saya cukup bimbang kalau apa yang berlaku dalam kes sebagai contoh, Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah Kementerian Pelajaran, yang memberikan nasihat, yang memberikan pandangan, pakar-pakar mereka bertungkus-lumus mengadakan sesi-sesi perbincangan untuk meninggikan martabat dan meninggikan nilai Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia tetapi pandangan itu sekadar bagai angin yang lalu yang tidak pernah diberikan perhatian oleh RTM yang masih kekal menggunakan perkataan 'infotainmen'."

Beliau berharap agar dasar-dasar baru ini akan didengari, lantas dikekalkan dan diberikan nilai tambah, yang diberikan martabat supaya masa depan kesenian dan kebudayaan kita terus berada dalam acuan kita sendiri.

Dalam membincangkan usul yang sama, ahli parlimen Kuala Terengganu, Dato' Razali bin Ismail berkata bahawa pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan perlu mengambil insiatif dalam mengawal kemasukan gejala-gejala negatif apabila didapati bahawa lambakan daripada 31 buah negara menerusi filem-filem luar berjumlah 7,529 filem dan hampir 3,000 daripadanya datang daripada Hollywood yang menghidangkan di antaranya adegan-adegan panas di ranjang.

Dato' Razali juga menyentuh mengenai cabaran lain dengan kehadiran hampir lebih seratus saluran televisyen dan menjelang tahun hadapan apabila dua lagi saluran televisyen satelit Channel 9, 8TV, MITV ini akan menyebabkan hampir 200 saluran televisyen yang akan memberikan kesan yang begitu hebat, mencorak dan mempengaruhi minda dan pemikiran cita rasa rakyat Malaysia.

"Dalam konteks ini, satu cabaran yang besar bagaimanakah dasar-dasar Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan ini harus menangani dan menapis segala macam unsur hiburan-hiburan yang kadang-kadang dilihat sebagai hiburan yang bersandarkan kepada 'the sensuous culture' iaitu budaya nafsu syahwat itu," tambahnya lagi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com