Thursday, June 09, 2005

Nota Kaki: Orang tua kita terlalu ‘dipengaruhi’ usia

Oleh Mustapa Omar
musomar@nstp.com.my

MINORU Saito, pelaut warga Jepun berusia 71 tahun itu mencatatkan nama sebagai pelaut tertua mampu belayar mengelilingi dunia secara solo tanpa henti, apabila dia tiba di pelabuhan Miura, dalam wilayah Kanagawa, Isnin lalu.

Dia yang berada di atas kapal layar Shuten-dohji II selama 244 hari, belayar sejauh 50,000 kilometer dalam masa lapan bulan dari Jepun ke Amerika Selatan, Afrika dan Australia, sebelum belayar pulang ke Jepun. Ini adalah pelayaran ketujuhnya.

Dua tahun lalu, Yuichiro Miura menjadi pendaki tertua menawan puncak Everest dalam usia 70 tahun dan beberapa tahun sebelumnya, seorang wanita Jepun berusia 72 tahun menjadi wanita tertua menawan puncak Cho Oyu yang tingginya 8,201 meter.

Rakyat Malaysia juga sudah banyak mencipta sejarah. Datuk Azhar Mansor belayar secara solo mengelilingi dunia, M Magendran dan N Mohandas serta Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin dan Ahmad Redzuan Rozal berjaya menawan Everest.

Begitu juga dengan Datuk Abdul Malik Mydin yang berjaya merenangi Selat Inggeris, manakala Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir menjadi wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo.

Cuma bezanya, warga Jepun yang mencipta sejarah itu sudah boleh digelar datuk atau nenek yang usianya lebih 70 tahun, sedangkan orang kita yang mencipta sejarah itu adalah di kalangan orang muda yang penuh bertenaga.

Azhar melakukannya ketika berusia 40 tahun, Magendran, 33; Mohandas, 35; Muqharabbin dan Redzuan kedua-duanya 22 tahun, Abdul Malik, 28 dan Sharifah Mazlina, 39. Semuanya berusia bawah 40 tahun.

Ternyata umur tidak menghalang kita daripada menghadapi cabaran, tetapi orang Jepun nampaknya lebih ke depan dalam soal ini. Bagaimanapun, tidak bermakna generasi tua kita tidak aktif, cuma cara kita berbeza.

Kalau kita ke taman tasik setiap pagi, kita boleh temui golongan tua ini berjalan atau berlari-lari anak untuk menyihatkan badan. Kebanyakan mereka ini ialah pesara yang menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadat serta bersama keluarga.

Jika kita berjalan di tepi pantai pada waktu petang, khususnya di Pantai Timur, mungkin kita boleh temui golongan tua yang bermain dam atau bersembang di warung kopi sambil menunggu tibanya waktu Maghrib. Itu kebiasaan warga tua kita, tidak gemar melakukan sesuatu yang mencabar di hujung usia.

Di Jepun atau mungkin juga di Eropah, warga tuanya lebih aktif. Malah, jika kita amati kebanyakan daripada pelancong Jepun atau Eropah terdiri daripada warga tua. Mereka ini bekerja keras ketika muda untuk mengumpul wang dan apabila sudah bersara, menghabiskan masa dengan melancong ke luar negara.

Seorang teman yang terbabit menguruskan agensi pelancongan memberitahu saya, sebahagian besar pelancong Jepun dan Eropah yang menyertai pakej kendaliannya berusia lebih 60 tahun dan mereka ini gemar berkunjung ke tempat yang mencabar seperti taman negara.

Selain kisah warga tua di Jepun, ada juga cerita menarik mengenai gangster tua di Taiwan yang meninggal dunia baru-baru ini. Kematiannya juga mencipta sejarah apabila untuk pertama kalinya lebih 10,000 samseng dari seluruh Asia, berkumpul di Taipei bagi menghadiri majlis pengebumiannya.

Sememangnya agak sukar untuk mengumpulkan samseng, terutama membabitkan anggota kumpulan yang bermusuhan, tetapi majlis pengebumian Hsu Hai Ching atau lebih dikenali oleh pengikutnya sebagai 'Wen Ge' (Abang Nyamuk) berjaya menemukan samseng, khususnya dari Taiwan, Macau, Jepun dan Hong Kong.

Hai Ching, 93, meninggal dunia awal bulan lalu, tetapi hanya dikebumikan hampir sebulan kemudian. Apapun, dia memang cukup berpengaruh sehingga kumpulan samseng terkenal di Taiwan seperti The Bamboo Union, The Pine Union, The Four Seas dan The Heavenly Way Gang, saling berdamai sempena majlis pengebumian itu.

Pengajaran yang kita dapat daripada kisah ini ialah umur bukan penghalang bagi kita daripada bergiat aktif dan mencipta sejarah. Sekurang-kurangnya Saito dan Miura membuktikan warga tua masih mampu melakukan yang terbaik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com