Thursday, June 09, 2005

Balai polis, kuarters RM2.5b -- 160 projek infrastruktur PDRM akan dibina segera di seluruh negara - PM

Oleh: FAUZIAH AROF

PUTRAJAYA 8 Jun - Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan 160 projek pembinaan balai dan kediaman anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM2.5 bilion bagi menampung segera kekurangan kemudahan itu di seluruh negara.

Projek perumahan itu akan melibatkan 25,000 unit kuarters mengikut konsep bina, sewa dan serah.

Bagi balai polis pula, ia akan dibina di kawasan-kawasan yang masih tidak mempunyai kemudahan penting tersebut.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja untuk melaksanakan cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Ia dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri memberitahu pemberita selepas mesyuarat itu:

``Kita mengambil keputusan membina pejabat dan kediaman polis dengan segera kerana kemudahan itu tidak mencukupi sehingga menjejaskan penempatan anggota polis di kawasan tertentu.''

Jawatankuasa Kerja itu dianggotai empat orang menteri dan seorang timbalan menteri.

Mereka adalah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamad dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar.

Abdullah memberitahu, kerajaan akan menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) bagi membiayai projek berkenaan.

``Sehubungan itu, kita sedang mencari apakah jenis pelaburan yang boleh diambil bahagian (oleh KWSP dan KWAP),'' jelas beliau.

Abdullah berkata, KWSP dan KWAP boleh membuat pelaburan bijak dan menguntungkan dengan penglibatan dana dalam projek berkenaan.

``Kita menganggarkan pulangan yang bakal KWSP dan KWAP peroleh daripada sewa yang akan dibayar oleh kerajaan adalah lebih baik daripada faedah tiga peratus simpanan tetap di mana-mana bank,'' katanya.

Abdullah berkata, kerajaan akan membayar sewa pejabat polis dan kediaman anggota polis kepada KWSP dan KWAP mengikut tempoh yang dipersetujui sebelum kemudahan itu diserahkan kepada kerajaan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Izuddin Dali.

Ia juga disertai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Jawatankuasa kerja tersebut bertanggungjawab melaksanakan cadangan laporan suruhanjaya berkenaan.

Abdullah memberitahu, projek berkenaan bakal dilaksanakan mengikut pelan pembangunan standard termasuk reka bentuk pejabat dan kediaman bagi menjimatkan kos.

Abdullah menambah, dengan pembinaan projek balai polis dan kuarters itu, ia akan memberi manfaat kepada kontraktor tempatan yang ketika ini tidak mempunyai projek.

``Ini satu kebaikan kepada industri pembinaan kerana ia melibatkan wang yang banyak dan mungkin ada lagi projek lain yang mahu dilaksanakan,'' katanya.

Pada mesyuarat tersebut, Abdullah juga mengarahkan PDRM menyegerakan kajian terhadap peraturan dan peruntukan undang-undang pasukan itu untuk diserahkan kepada jawatankuasa kerja bagi dipertimbangkan.

Menurut beliau, cadangan supaya anggota polis tidak lagi melakukan kerja awam juga sedang dipertimbangkan secara rapi oleh PDRM untuk diserahkan kepada jawatankuasa kerja.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com