Thursday, June 09, 2005

Datuk Bandar KL persoal cadangan had kuasa

Oleh Masrina Mohd Yunus

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan (gambar) semalam mempersoalkan cadangan Umno Wilayah Persekutuan supaya kuasanya dalam mentadbir dan mengurus bandar raya dihadkan.

“Saya tidak faham kenapa ada pihak mempertikaikan hak mentadbir bandar raya. Lainlah jika saya melanggar batas undang-undang dan kuasa, barulah cadangan mengehadkan kuasa itu boleh diterima pakai,” katanya.

Malah, katanya, selepas enam bulan dilantik sebagai Datuk Bandar, beliau menggunakan tidak sampai 0.1 peratus kuasa dan haknya seperti yang dibenarkan dalam Akta Ibu Kota Persekutuan, 1960 (Akta 190).

“Masih banyak batasan dalam membuat keputusan kerana semua keputusan besar perlu menerusi Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dianggotai wakil parti politik, jabatan profesional dan pemimpin masyarakat,” katanya selepas merasmikan pejabat Signature Office Sdn Bhd di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Umno Wilayah Persekutuan yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkaji semula fungsi Datuk Bandar yang dikatakan mempunyai terlalu banyak kuasa.

Ruslin berkata, Datuk Bandar perlu mempunyai kuasa sewajarnya untuk mentadbir Kuala Lumpur sejajar matlamat menjadikan ibu kota sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Katanya, Datuk Bandar berfungsi seperti Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai tanggungjawab menguruskan negara seperti terkandung dalam akta berkenaan, antara lain membawa maksud menjadi suatu perbadanan tunggal mentadbir bandar raya.

“Jika diteliti menerusi definisi akta, memang Datuk Bandar memiliki kuasa, tetapi sebenarnya dari segi perjalanan operasi ia masih perlu menerusi orang ramai, pihak pengurusan dan lembaga penasihat. Oleh kerana itu, tidak boleh kata hanya Datuk Bandar yang berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam membuat keputusan kecil seperti memastikan jalan raya dan longkang bersih, tidak perlukah merujuk lembaga penasihat.

“Jika sekat itu semua, saya tidak perlu lagi kerja, tak perlulah ada Datuk Bandar lagi,” katanya.

Beliau berkata, bandar raya seperti Weifang, China; Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Esfahan, Iran, menikmati autonomi secukupnya untuk menguruskan bandar raya dengan baik.

“Saya melawat bandar raya terbabit baru-baru ini dan Datuk Bandar diberikan hak yang lebih komprehensif untuk menguruskan bandar raya. Bandar raya berkenaan amat progresif,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, cadangan untuk mengurangkan kuasa Datuk Bandar perlu dikaji secara menyeluruh termasuk dari segi undang-undang kerana memerlukan kelulusan Parlimen.

“Saya akan membincangkan lebih lanjut dengan Abdullah kerana beliau bertanggungjawab melantik saya sebagai Datuk Bandar,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com