Thursday, June 09, 2005

Akta zalim, hina al-Quran, isu Petronas antara usul BA

Oleh Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Hrkh) - Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kesebelas akan bermula pada 20 Jun ini dan berakhir pada 12 Julai 2005.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan mengemukakan dua usul pada mesyuarat tersebut.

Usul pertama beliau mengenai pelaksanaan undang-undang lapuk, yang dilihat sebagai tindakan melampau dan mengambil kesempatan bertujuan mengekalkan kuasa pihak kerajaan, seperti Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Cetak.

Manakala usul kedua Salahuddin pula berhubung tindakan biadab pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) yang menghina kesucian al-Quran dalam layanan mereka terhadap tahanan Muslim di Pusat Tahanan Guantanamo.

Beliau meminta pihak AS mendedahkan sepenuhnya sebab-sebab tragedi tersebut dan meminta Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengambil tindakan membebaskan semua tahanan Muslim di pusat tahanan tersebut dan Abu Gharib ekoran pencerobohan AS di Afghanistan dan Iraq.

Dalam mesyuarat kali ini juga, ahli Parlimen pembangkang turut mengemukakan soalan bertulis untuk dijawab menteri-menteri.

Salahuddin mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan penggunaan wanita sebagai objek iklan, terutama iklan lucah dan melampau.

Beliau turut meminta Perdana Menteri menyatakan sikap kerajaan terhadap laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meminta Menteri Kewangan menyatakan secara terperinci keuntungan kasar dan keuntungan bersih yang diperolehi Petronas setiap tahun sejak ia ditubuhkan.

Beliau juga meminta Menteri Pertahanan menyatakan perbelanjaan yang telah digunakan untuk mempertingkatkan mutu senajata sedia ada dan kos bagi membeli senjata baru setiap tahun mulai 2000.

Beliau juga mengemukakan soalan kepada Menteri Kesihatan berhubung kos sebenar yang digunakan bagi menyediakan kemudahan 'hardware' dan 'software' dalam menjadikan Hospital Selayang sebagai Hospital Tanpa Kertas Pertama di Malaysia.

Sementara itu, Haji Abdul Fatah Harun (Rantau Panjang) meminta Perdana Menteri menyatakan kesan terhadap kakitangan kerajaan termasuk guru-guru mewajibkan tanda tangan Akujanji kepada mereka.

Beliau juga meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah wang berbagai deposit yang tidak dituntut balik di mahkamah-mahkamah di seluruh Malaysia dan memohon penjelasan mengapa kerajaan tidak memindahkan wang tersebut kepada Amanah Raya supaya ia boleh dicairkan.

Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) meminta Menteri Kewangan menjelaskan sama ada Lofsa dan Bank Negara telah menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya tehadap CIBT atas kehilangan RM7.6 bilion.

Beliau juga meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan sejauh mana pemohonan Kerajaan Kelantan untuk memperluaskan kawasan pertanian di bawah KADA.

Dr Mohd Hayati Osman (Pendang) mengemukakan soalan berhubung tanah rezab Melayu yang telah diambil kerajaan untuk pembangunan di seluruh negara sejak Akta Tanah Negaa dipinda serta nilai pasarannya.

Beliau juga meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan komitmen kerajaan dalam menghasilkan kenderaan kurang pencemaran alam seperti menggunakan suria, ethanol, elektrik dan hidrogen serta nilai belanja R & D untuk program ini setahun.

Sementara itu, Dato' Kamarudin Jaffar (Tumpat) meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah rizab minyak dan gas negara di kawasan-kawasan laut berhampiran Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan kawasan-kawasan lain.

Beliau juga meminta Perdana Menteri menyatakan sebab-sebab Petronas menarik diri dari projek LNG Iran.

Beliau turut meminta Menteri Kewangan menyatakan sebab-sebab KWSP membuat keputusan melabur sebahagian dananya di luar negara. - lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com