Monday, June 06, 2005

Keadaan keselamatan di Tebing Barat semakin buruk

NABLUS (Tebing Barat): Pejuang Palestin menyerbu dua pejabat Pihak Berkuasa Palestin (PA) semalam untuk menuntut kerja serta perlindungan berikutan keadaan keselamatan yang semakin buruk di Tebing Barat dan Gaza.

Kira-kira 15 anggota Briged al-Aqsa yang menjadi sayap pergerakan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, melepaskan tembakan ke udara di pintu masuk pejabat Gabenor Nablus serta memecah masuk pejabat Kementerian Dalam Negeri di Tebing Barat.

Saksi berkata, seorang pekerja di pejabat gabenor itu cedera ringan dalam kejadian berkenaan. Seorang jurucakap briged itu menyatakan, anggotanya tidak sengaja melepaskan tembakan yang mengenai lelaki itu.

Pejuang itu yang dikehendaki Israel menjerit menuntut kerja dan jaminan keselamatan oleh PA menerusi sebarang perjanjian untuk penyerahan Nablus kepada pihak berkuasa Palestin. Bandar itu kini dikepung serta sentiasa diserang oleh tentera Israel.

Kumpulan itu bimbang perjanjian mengenai pengunduran tentera Israel dari Nablus akan turut mensyaratkan mereka meletakkan senjata dan ia pasti amat berisiko jika Israel terus memburu mereka.

Pejuang itu berundur dari bangunan terbabit apabila polis Palestin tiba di tempat kejadian, kata saksi.

Israel sudah pun berundur dari dua bandar Tebing Barat, Jericho dan Tulkarm serta berjanji untuk keluar dari tiga lagi bandar lain dalam usaha membantu Mahmoud meraih sokongan penduduk Palestin yang memberi sokongan kuat kepada pergerakan Hamas serta menangani kumpulan pejuang.

Mahmoud dan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon mengadakan perjanjian gencatan senjata secara lisan pada Februari lalu. Bagaimanapun, Mahmoud didakwa gagal mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

Di Semenanjung Gaza, pejuang Fatah yang menuntut supaya diserapkan dalam pasukan polis Palestin, mengadakan sekatan jalan raya menuju ke sempadan Mesir untuk hari kedua semalam.

Kumpulan itu bagaimanapun bersurai selepas pegawai Palestin bersetuju mengkaji masalah mereka dan menubuhkan jawatankuasa khas mengenainya, lewat semalam. Mahmoud sebelum ini menyatakan kesediaan PA untuk menyerapkan anggot kumpulan pejuang ke dalam pasukan keselamatan. – Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com