Monday, June 06, 2005

Ali Rustam setuju syor beri kondom percuma

Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID

MELAKA 5 Jun - Kerajaan negeri Melaka menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah dalam usaha mengurangkan kadar jangkitan HIV di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan itu amat wajar dilaksanakan dan tidak menyalahi atau bertentangan dengan hukum agama.

``Kita sokong cadangan itu dan wajar dilaksanakan kerana ia amat baik, tidak salah kita mencuba sesuatu kaedah yang baik demi mencapai kebaikan atau kesejahteraan dalam hidup,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kementerian berkenaan yang bertujuan mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek berkata, sebagai permulaan, kementerian itu akan menjalankan projek perintis selama enam bulan di bawah Program Pengurangan Kesan Buruk, membabitkan 1,200 penagih dadah, terutama mereka yang mengambil dadah melalui suntikan, dengan memberikan mereka jarum suntikan, kondom dan dadah gantian yang dipanggil methadone.

Ia akan dilaksanakan di 10 klinik kerajaan dan 10 klinik swasta di empat zon ditetapkan di utara, selatan, tengah dan timur bermula Oktober setelah semua kakitangan perubatan terlibat diberikan latihan secukupnya.

Pendirian kerajaan Melaka itu berbeza dengan kerajaan Selangor dan Terengganu yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil menegaskan cadangan itu bukan sahaja tidak sesuai, malah didapati tidak berkesan seperti dibuktikan di negara-negara Barat yang telah mencuba melaksanakan kaedah berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Terengganu, Ramli Noh pula berkata, cadangan itu sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa terlebih dahulu kerana ia melibatkan hukum.

Mohd. Ali berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan kelak, ia perlu dijalankan lebih teratur dan benar-benar mencapai objektifnya serta tidak disalahgunakan oleh pasangan terutama mereka yang beragama Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam negeri mencadangkan agar dadah gantian methadone diberi kepada penagih berbanding suntikan yang melibatkan perbelanjaan lebih tinggi.

``Penggunaan methadone lebih baik dan membantu mengurangkan kesan dadah yang teruk kepada penagih, kalau beri jarum, kita bimbang penagih akan lebih teruk kerana terlalu bergantung kepada suntikan semata-mata,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com