Sunday, June 05, 2005

Wilayah Persekutuan mahu pemimpin dekati rakyat

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) - PAS Wilayah Persekutuan menegaskan pemimpin yang benar-benar berkemampuan mendekati rakyat lebih diperlukan berbanding mempunyai bilangan yang ramai namun kurang proaktif.

Wakilnya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, PAS hari ini memang mempunyai ramai pemimpin tetapi di antara mereka tidak ramai yang benar-benar rapat dengan rakyat.
Sebagai contoh katanya, krisis dalaman yang berlaku dalam Dewan Muslimat berlarutan lebih empat tahun lamanya, namun ia tidak diendahkan pimpinan atasan.

"Mana perginya keutamaan untuk mengatasi kemelut dalaman. Jika kemelut dalaman pun tak dapat nak diselesaikan bagaimana mungkin kemelut negara boleh diselesaikan," tegasnya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden di Muktamar PAS Pusat kali ke 51 petang ini.

Menurut Nuridah, Wilayah Persekutuan melihat pimpinan sendiri pun masih mempunyai kelompongan, yang mana mereka hanya pandai menegur ahli sedangkan di kalangan mereka sendiri bermasalah.

"Mereka tegur ahli supaya pentingkan parti tetapi pimpinan sendiri tidak dibaiki," kata beliau lagi. Lebih malang lagi ujar Nuridah, kemelut pimpinan berlarutan sehingga pada pemilihan kali ini didapati berlakunya budaya kempen yang kurang sihat seperti fitnah memfitnah.

Budaya ini katanya ditakuti akan terus menjadi amalan pada masa akan datang sekiranya tidak dibendung segera. Beliau juga menggesa saf pimpinan baru yang dipilih pada muktamar ini menyelesaikan kemelut tersebut dengan segera.

Bagi Wilayah katanya, PAS perlu diperkasakan semula bermula dari bawah hinggalah kepada saf pimpinan. Selain itu dalam ucapan yang sama, Nuridah menyifatkan tema ucapan dasar Presiden PAS, seperti satu sajak yang kabur yang hanya mampu difahami oleh penyajaknya sahaja.

Sedangkan isi kandungan sebenarnya mungkin sukar difahami seluruh lapisan masyarakat. Oleh itu katanya, tema yang sepatutnya diberi perlu mudah.

"Macam nak buat iklan, jika iklan itu menarik, tepat dan padat ianya mudah difahami tetapi jika ia kurang menarik sukarlah mendapat sambutan. Nuridah juga berkata, pihaknya sekali lagi mahu PAS dan seluruh pimpinan memfokuskan tema tersebut seperti yang disaran Dewan Pemuda PAS Pusat. - /mj

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com