Sunday, June 05, 2005

Roboh Masjid: Roboh rumah RTB: BN berusaha hapus imej PAS

Oleh Basiron Abdul Wahab

TEMERLOH, 31 Mei (Hrkh) - Tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu merobohkan masjid dan rumah di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kemaman baru-baru ini dipercayai untuk menghapuskan imej kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, sebaik sahaja kembali berkuasa kerajaan BN berusaha sedaya upaya mengubah imej Terengganu daripada imej PAS yang mentadbir Terengganu selepas memenangi pilihan umum 1999.

“Kita percaya apa yang mereka lakukan mempunyai kaitan dengan usaha menghapuskan imej PAS yang masih kuat dipegang rakyat negeri ini,” kata Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Muda Abdullah.

Muda berkata, RTB adalah antara projek kerajaan PAS dalam usaha mengagihkan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah selagi RTB itu wujud selagi itu perasaan benci di dalam hati pemimpin BN tidak akan padam.

Justeru mereka bertindak di luar batasan sehingga sanggup merobohkan rumah dan masjid yang dibina hasil titik peluh orang kampung.

“Dahulu kita lihat dasar merobohkan rumah rakyat ini dilakukan oleh kerajaan rejim zionis Yahudi Israel, yang meroboh rumah penduduk Arab di Palestin bagi membina penempatan Yahudi, tetapi di Terengganu Kerajaan Terengganu Hadhari meroboh rumah rakyatnya sendiri untuk membina Taman Teknologi yang akan menempatkan beruk, monyet, pokok dan sebagainya.

“Bagi kerajaan BN, menjaga kepentingan haiwan dan tumbuhan-tumbuhan lebih penting daripada menjaga rakyatnya sendiri yang tidak bertanah,” kata Muda ketika di temui di Pejabat Badan Perhubungan Negeri, dekat sini.

Menurut beliau, pencerobohan masjid juga pernah berlaku dalam sejarah tamadun dunia seperti pencerobohan Masjid Babri di India, tetapi ia dilakukan oleh penganut agama berbeza. Di Terengganu yang menganut fahaman Hadhari, masjid dirobohkan oleh penganut Islam sendiri.

Walaupun berlaku pencerobohan masjid di Selangor tahun lalu, tetapi ia tidak melibatkan penggunaan jentera berat tetapi di Terengganu jentera berat diguna bagi tujuan memusnahkanya masjid manakala di Palestin, Israel menggunakan pendekatan serupa iaitu menggunakan jentera berat untuk memusnahkan rumah masyarakat Arab.

Jelas Muda, penduduk RTB Kampung Bujal itu tidak melakukan apa-apa kesalahan malah mereka mendapatkan kebenaran untuk membina rumah oleh kerajaan terdahulu malah tempoh lesen tol hanya akan tamat pada akhir tahun ini tetapi kerajaan sudah sabar untuk memusnahkan rumah dan masjid di kampung itu.

Muda juga kesal kerajaan kerajaan BN mengenepikan semua saluran perundingan malah tidak ada pegawai yang sanggup menerima memorandum bantahan penduduk yang mahu kerajaan menimbang rayuan rakyat.

“Ia adalah suatu kezaliman yang tiada taranya dalam sejarah negeri dan Malaysia amnya terhadap rakyat oleh sebuah kerajaan negeri antara yang termiskin di Malaysia. Rakyat dan pemimpin BN tidak wajar melihat kezaliman berlaku di hadapan mata tanpa mengambil apa-apa tindakan.

“Pemimpin Umno seharusnya membuat siasatan dan menghukum mana-mana pihak yang bertindak melampau batas dan selaras dengan kehendak Islam Hadhari itu sendiri. Di mana kemajuan tamadun apabila masjid dirobohkan?

“Saya kira Perdana Menteri seharusnya menggantikan pemimpin Umno Terengganu dengan segera sebelum ia menjadi lebih buruk dan sombong dengan tokoh yang lebih sesuai,” cadang Muda. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com