Saturday, May 21, 2005

GT Jepun bakal gegarkan Islam Hadhari

20 Mei 2005 (Kuala Lumpur) - Kejuaraan GT Jepun yang bakal berlangsung pada 26 Jun ini semakin hangat dipromosikan. Sebanyak 45 buah kereta melibatkan 90 orang pemandu GT akan beraksi di litar Sepang dalam merebut kejuaraan ini.

Pengurus Pengiklanan dan Pemasaran Sepang International Circuit Sdn. Bhd. Azlan Akil memaklumkan bahawa sebanyak 50,000 tiket telah mula dijual diseluruh Negara. Tiga gadis litar GT Jepun, Mai Akiyama, Kaoru Asami dan Aki Oguchi telah diimport ke Malaysia khusus untuk mempromosikan acara ini.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas kepada Kerajaan Islam Hadhari yang diterajui oleh UMNO atas kejayaan mereka menjuarai sirkit pengimportan Gadis Litar ini. Umum memaklumi bahawa kehadiran gadis-gadis litar ini turut disertai oleh puluhan gadis litar tempatan yang terdiri dari kalangan gadis Melayu, Cina dan India di Negara ini.

Rakyat Malaysia tidak perlu bersusah payah untuk ke Hawaii atau pantai Malibu di Amerika untuk melihat wanita – wanita berpakaian bikini. Kini Malaysia mulai mengorak langkah ‘Hadharinya’ dengan mengunakan wanita seksi sebagai agen promosinya.

DPPWP melihat bahawa inilah yang cuba dicorakkan oleh Kerajaan UMNO-BN untuk memajukan rakyat dewasa ini. Litar berprestij dengan label antara yang terbaik didunia ini bakal menjadi saksi kerakusan nafsu dan kehilangan identiti pemimpin UMNO di Malaysia.

UMNO yang ghairah dengan slogan ‘Hidup Melayu’ bakal menjadi terpencil ditengah tempikan penonton di Litar Sepang kelak. Maruah umat Melayu pastinya akan luluh digilis desingan enjin – enjin motokar GT Jepun ini. Amat malang bagi kita bila Kerajaan UMNO-BN membiarkan Negara kita dijajah kembali oleh Negara Jepun melalui trek GT Jepun ini. Jika dulu mereka hadir menjajah tanahair dan kebebasan datuk nenek kita, kini mereka kembali menjajah pemikiran dan budaya warisan yang ada dalam diri kita sendiri.

Lantaran dari itu DPPWP berharap agar pertandingan GT Jepun ini dikaji semula penganjurannya kerana ianya tidak menepati kondisi budaya rakyat Malaysia. Walaupun namanya GT Jepun, tetapi ianya diadakan di Malaysia dan penganjur seharusnya peka terhadap kehendak moraliti rakyat Malaysia.

DPPWP mengecam tindakkan Kementerian Pelancongan Malaysia (MOT) yang menjadi teman sejawat dalam menaja penganjuran GT Jepun ini kerana telah menyalahgunakan peruntukan dari dana awam untuk mempromosikan program ini. Secara umumnya program perlumbaan motokar ini tidak salah dari segi syariat kerana ianya dapat mempamerkan persaingan teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan.

Tetapi kegilaan penganjur yang mengunakan wanita seksi dengan perbelanjaan jutaan ringgit bagi mempromosikan program ini dilihat sebagai satu pembaziran. Bukan dari segi material sahaja, tetapi dari segi akhlak dan imej bangsa Malaysia sendiri. Mengapa perlu kita promosikan budaya Jepun dan keseksian gadis Litar mereka di Negara ini?

Objektif Kementerian Pelancongan Malaysia yang dinyatakan dalam Laman Web MOT adalah;

Membangunkan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia berteraskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ke arah mengukuhkan perpaduan negara, memelihara dan mengawal keperibadian kebangsaan serta memperkayakan kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi; dan
Memajukan industri pelancongan menjadi suatu industri utama dalam ekonomi negara dengan mendorongkan perkembangannya yang berasaskan kepada unsur-unsur Kebudayaan Kebangsaan

Justeru itu, DPPWP melihat bahawa MOT telah lari dari matlamatnya untuk mempromosikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan gagal membangunkan produk kebudayaan tempatan sebagai sumber untuk menjana tarikan pelancong.
Apa salahnya jika MOT mengunakan pemuda dan pemudi tempatan untuk mempamer kesopanan dan budaya bangsa Malaysia yang seharusnya menjadi contoh dan kebanggaan di seantero pelusuk dunia. Tidak seharusnya pihak MOT menyerap masuk kebudayaan yang tidak bermoral dalam masyarakat tempatan. Lihat sahaja galeri foto yang mempromosikan GT Jepun ini, semuanya mempamerkan susuk tubuh wanita yang hanya sekadar menutup dada dan bahagian dibawah pusat.

Jika dilihat dalam pengalaman penganjuran acara serupa ini di Litar Antarabangsa Bahrain, sejarah F1 yang lalu mencatatkan sedikit kelainan bila mana tiadanya gadis litar yang seksi dan arak atau Champagne yang menghiasi litar serta podium utama. Mengapa Malaysia yang gah melaungkan imej Negara Islam berani menongkah arus kebudayaan sendiri dengan mempromosikan sesuatu yang bukan dari kehendak semasa rakyat.

Tindakkan ini seolah – olah menyuntik racun dalam saluran kehidupan rakyat. Apa gunanya Kerajaan membazirkan wang mewujudkan pusat – pusat rawatan masalah sosial dan juga mempromosikan budaya bangsa, tetapi dalam masa yang sama memberikan peruntukkan untuk aktiviti yang merosakkan anak bangsa.

Malaysia tidak perlu bersaing dengan Singapura atau Negara lain dalam hal yang membazir seperti ini. Dalam keadaan ekonomi Negara yang kurang stabil, seharusnya produk pelancongan Negara diperhebatkan melalui sumber dalaman dan bukannya diimport dari luar Negara.

Dana awam yang terlalu banyak dibazirkan untuk pengurusan Litar Sepang dan program – programnya juga perlu dinilai. Adakah berbaloi Kerajaan membazirkan wang USD 95 juta setahun bagi menyara aktiviti yang tidak memberikan manfaat untuk semua lapisan rakyat.

Kos penyelenggaraan Litar Sepang yang bernilai jutaan ringgit ini, seharus digunakan oleh pihak Kerajaan untuk mendirikan rumah – rumah kos rendah untuk rakyat. Ianya juga boleh digunakan untuk melengkapkan prasarana infrastruktur bagi masyarakat diluar Bandar.

Apakah kerana ingin memuaskan hati dan memenuhi minat Pimpinan dan anak – anak pimpinan BN dalam dunia permotoran Kerajaan perlu mengorbankan jutaan ringgit wang rakyat. Datuk Mokhzani Tun Mahathir yang dilihat sebagai juara pengurusan Sepang International Circuits (SIC) seharusnya sedia untuk memikirkan masalah rakyat yang rumah – rumah mereka dirobohkan di RTB Pengkalan Merbau di Pekan Sungai Tong, Terengganu dan banyak lagi termasuklah di Kuala Lumpur ini.

Kita tidak mahu mereka meraikan tetamu GT Jepun ini dengan layanan Kelas satu dan dalam masa yang sama membiarkan rakyat duduk merempat di surau – surau dan tepian jalan kerana tiada rumah.

DPPWP menyeru kepada rakyat Malaysia agar memikirkan perkara ini dan membuat anjakan paradigma dan perubahan dalam memastikan nasib mereka terbela tanpa mengira status dan taraf hidup. Jangan biarkan yang kaya terus berpesta dan yang miskin terus menderita, budaya bangsa dipencilkan, budaya luar diperagungkan.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com