Thursday, May 19, 2005

Penambahbaikan pasukan polis: Jangan bazirkan wang wujudkan jawatankuasa lain

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Kerajaan tidak perlu membazirkan masa dan wang rakyat untuk mewujudkan suatu jawatankuasa lain bagi meneliti syor-syor penambahbaikan yang dikemukakan terhadap pasukan polis semalam kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar.

Sebaliknya beliau menggesa kerajaan terus mencari makanisme terbaik untuk melaksanakan syor-syor tersebut berikutan ia telah dikemukan oleh sebuah Suruhanjaya Diraja yang diyakini.
"Ahli-ahli menganggotai Suruhanjaya berwibawa dan telah dilantik oleh Yang DiPertuan Agong.

"Sekiranya pihak kerajaan masih mahu meneliti laporan mereka dan mungkin menolak sebahagian daripada syor tersebut bermakna kerajaan telah menolak sebuah suruhanjaya yang dipercayai oleh rakyat.

"Malahan wang rakyat juga terpaksa dihabiskan lagi untuk membayai jawatankuasa itu setelah berjuta-juta wang digunakan untuk suruhanjaya ," kata beliau.

Selain itu Mahfuz yang juga Pengerusi Lujnah Pengguna PAS, turut percaya usaha mewujudkan satu lagi jawatankuasa lain untuk meneliti syor-syor daripada Suruhanjaya Diraja itu bertujuan mencari alasan untuk tidak melaksanakan sebahagian daripada syor tersebut.

Kata beliau, apatah lagi Pengerusi jawatankuasa tersebut adalah Perdana Menteri sendiri yang tentunya akan melihat kepentingan politik daripada kepentingan rakyat.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dikeluarkan semalam serta penubuhan pasukan petugas untuk meneliti laporan tersebut yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu Mahfuz berkata, PAS menyambut baik laporan dan syor-syor yang telah dikemukan dalam laporan tersebut kerana ia telah membuktikan bahawa pandangan PAS, parti-parti politik pembangkang dan para Ngo terhadap kredibiliti pasukan polis selama ini adalah tepat.

"PAS bersama-sama pelbagai pihak lain nampaknya lebih ke hadapan berhubung pekara ini dan mendesak tindakan diambil, tetapi ketika itu pihak kerajaan hanya memandang sepi pandangan daripada kita," kata beliau.

Sehubungan Mahfuz berkata, beberapa suruhanjaya bebas lain wajar ditubuhkan selepas ini untuk membaikpulih Suruhanya Pilihan Raya dan dan Badan Pencegah.

"Dua badan tersebut turut mendapat banyak kritikan dan semakin tidak diyakini oleh rakyat sejak kebelakangan ini," kata beliau. - HB/mns.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com