Wednesday, May 18, 2005

Lesen perikanan laut dalam dibeku

KUCHING 17 Mei - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membekukan pengeluaran lesen perikanan laut dalam sehingga kajian dan penilaian prestasi pemilik lesen yang sedia ada diselesaikan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian pada masa ini sedang menyusun dan menilai semula permit yang telah dikeluarkan sebelum ini, termasuk lesen bagi projek usaha sama perikanan laut dalam.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hati dengan sistem dan cara industri perikanan laut dalam negara dikendalikan pada masa ini, beliau berkata Malaysia telah kehilangan berbilion ringgit akibat hasil tangkapan ikan laut dalamnya yang akhirnya gagal mendarat dalam negara.

``Saya dapati tidak sampai separuh daripada 800 lesen itu betul-betul aktif dan sebahagian besar pemilik menyewa bot daripada negara asing dengan 90 peratus pekerjanya adalah orang asing terutamanya daripada Thailand,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muhyiddin yang berada di Sarawak untuk lawatan dua hari sejak semalam telah melawat Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu Tanjung Manis, Bahagian Mukah yang sedang dalam pembinaan; Projek Delta Padi Paloh di Belawai dan mengadakan dialog bersama kira-kira 500 warga tani di sini.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 800 lesen perikanan laut dalam dengan 146 daripada lesen di Sarawak, dan menurutnya tindakan membeku serta merombak pemberian lesen itu dilaksanakan kerana kerajaan mahu hanya mereka yang benar-benar layak, berupaya dan mempunyai modal sahaja mengusahakannya.

Muhyiddin berkata, pengeluaran lesen perikanan laut dalam pada masa depan akan mempunyai syarat yang lebih ketat seperti pendaftaran bot di Malaysia, syarikat berdaftar dengan jumlah pemilikan modal serta saham yang mencukupi manakala bagi projek usaha sama, ia mestilah memberi faedah kepada pemilik tempatan.

``Kita perlu periksa sekiranya projek usaha sama itu menguntungkan atau ia sekadar pada nama sahaja, sedangkan secara amnya ia seperti perniagaan Ali Baba. Saya tidak mahu penyelewengan begini berterusan,'' katanya dan menambah bahawa industri perikanan laut dalam Malaysia masih jauh di belakang berbanding dengan Thailand dan Filipina kerana ia diusahakan oleh mereka yang tidak berpengalaman dan tidak mempunyai modal.

Sambil mengakui bahawa masalah yang timbul sekarang berlaku akibat kelemahan dalam sistem pemberian lesen yang pada satu masa dulu amat longgar, beliau berkata ia kini merupakan dilema sektor perikanan negara.

``Dulu siapa nak lesen, kita beri walaupun orang itu tiada pengalaman dan modal sehingga akhirnya kita pergi ke Siam cari bot serta anak kapal, dan mereka pajakan bot dengan syarat segala hasil tangkapan mereka kawal, ini dilema sektor perikanan,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com