Wednesday, May 18, 2005

Parlimen perlu adakan persidangan khas bahas laporan

KUALA LUMPUR 17 Mei - Parlimen perlu mengadakan persidangan khas selama tiga hari bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan semalam.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu memanggil persidangan khas itu bagi memberi ruang kepada Parlimen menetapkan mekanisme mengenai penambahbaikan pasukan polis bagi menjadi badan kelas pertama dunia.

``Pelaksanaan segala cadangan yang dikemukakan oleh suruhanjaya itu memerlukan keazaman politik, jadi dengan itu Parlimen perlu diberikan pengiktirafan untuk membincangkan perkara tersebut.

``Ini kerana sebarang kegagalan dalam pasukan polis adalah kegagalan juga bagi Parlimen yang sepatutnya mempunyai ruang untuk membuat pemantauan,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan suruhanjaya tersebut yang telah mengemukakan sebanyak 125 syor bagi merubah wajah PDRM sebagai pasukan idaman pada abad ke-21 iaitu unggul, moden dan dihormati oleh rakyat.

Laporan yang bertema `Kepolisan Abad Ke-21' itu diedarkan kepada umum mulai semalam.

Menurut Kit Siang, memandangkan sesi Dewan Rakyat akan datang ditetapkan pada 20 Jun hingga 12 Julai depan, maka sidang khas itu boleh diadakan selama tiga hari bermula tarikh berkenaan atau melanjutkan persidangan selepas hari terakhir sesi tersebut.

``Atau sidang khas itu boleh dilakukan sebelum 20 Jun ini,'' katanya.

Beliau menambah, sidang khas itu wajar diadakan kerana laporan suruhanjaya berkenaan turut menyatakan Parlimen mempunyai peranan penting untuk menangani cabaran bagi mewujudkan pasukan polis yang unggul, moden dan dipercayai.

Selain itu Kit Siang menyatakan, sekiranya Perdana Menteri menerima kesemua 125 syor suruhanjaya itu, kerajaan juga mesti menerima tempoh masa yang ditetapkan bagi melaksanakan keseluruhan cadangan tersebut.

Tambahnya, Parlimen juga perlu mempunyai peluang untuk tidak bersetuju ke atas tempoh masa yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) melalui Akta Parlimen.

``Memandangkan laporan suruhanjaya telah melampirkan draf Rang Undang-Undang IPCMC 2005, ia sepatutnya dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.

``Ini membolehkan IPCMC ditubuhkan segera dan dapat beroperasi penghujung tahun ini,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com