Wednesday, May 18, 2005

Kerajaan setuju tempoh tahanan ISA hanya 30 hari

KANGAR 17 Mei - Kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tempoh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipendekkan kepada 30 hari berbanding 60 hari pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, kerajaan merasakan tempoh itu perlu disingkatkan bagi mengurangkan kos dan kerenah birokrasi.

``Jika tahap profesionalisme polis kita tinggi untuk menjalankan siasatan dalam tempoh yang singkat, saya rasa kita tidak perlu tahan seseorang itu dalam tempoh yang terlalu lama.

``Kita sebenarnya cuba mengimbangi kehendak masyarakat yang tidak mahu seseorang itu ditahan terlalu lama selain kerajaan terpaksa berbelanja lebih terhadap tahanan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun ke-62 keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail.

Radzi dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid mendahului senarai 512 penerima darjah dan pingat kebesaran pada istiadat penganugerahan itu. Kedua-dua menteri terbabit dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bagi penambahbaikan itu memberitahu, syor tersebut bagaimanapun akan diteliti dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pulang dari lawatan di luar negara.

``Segala keputusan mengenai syor tersebut akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet yang akan membincangkannya,'' jelasnya.

Menurutnya, jika syor yang berkaitan dengan ISA itu diterima, beberapa peruntukan undang-undang berkaitannya akan dikaji semula untuk dipinda.

Kajian itu juga, katanya, akan turut melibatkan undang-undang berkaitan tahanan reman di bawah Seksyen 117 yang mungkin turut dipendekkan tempohnya.

Dalam laporan suruhanjaya tersebut yang dikeluarkan semalam mengesyorkan supaya tempoh tahanan ISA dipendekkan.

Menurut laporan itu, ia bagi mengelakkan suspek terdedah kepada penganiayaan.

Untuk itu, Seksyen 73 Akta ISA perlu dipinda. Pada masa ini ia memberi kuasa kepada polis untuk menangkap tanpa waran dan menahan mana-mana individu untuk tempoh tidak melebihi 60 hari.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com