Wednesday, May 18, 2005

Siasat kemampuan pegawai kanan polis kumpul harta RM34j

KUALA LUMPUR 17 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, polis perlu menyiasat kemampuan seorang pegawai kanannya yang mempunyai harta berjumlah RM34 juta seperti yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sambil menyatakan rasa terkejutnya dengan kemampuan pegawai kanan berkenaan, Timbalan Perdana Menteri juga mahu mengetahui bagaimana anggota polis terbabit mempunyai harta sebanyak itu.

``Saya memang terkejut mengenai perkara itu dan ia perlu disiasat oleh polis dari mana pegawai itu memiliki harta tersebut.

``Terpulang kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terutama dari segi tindakan dalaman, saya percaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar akan memberi perhatian kepada perkara tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pekerja dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2005 Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Najib diminta mengulas laporan suruhanjaya itu yang menerima aduan daripada seorang pesara pegawai polis yang mendakwa terdapat ramai pegawai mempunyai harta berkali ganda melebihi pendapatan mereka.

Pesara pegawai polis itu juga mendakwa memang diketahui umum bahawa terdapat seorang pegawai kanan polis yang mengisytiharkan hartanya RM34 juta tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pegawai tersebut.

Najib menegaskan, tindakan perlu diambil terutama bagi mencari maklumat dari mana pegawai kanan polis itu mendapat harta kekayaan.

Jelas beliau, tindakan dalaman ini akan dapat meningkatkan moral anggota polis serta keyakinan orang ramai kepada PDRM.

Laporan suruhanjaya itu yang mula dijual kepada umum semalam akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berubah wajah menjadi pasukan idaman pada abad ke-21 - unggul, moden dan dihormati rakyat - menerusi 125 syor suruhanjaya bagi dilaksanakan oleh kerajaan.

Antara syor menarik terkandung dalam buku laporan bertemakan `Kepolisan Abad Ke-21' ialah PDRM menumpukan pada siasatan sahaja manakala tugas pendakwaan dijalankan sepenuhnya oleh Jabatan Peguam Negara.

Laporan itu memfokuskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) melalui sebuah Akta Parlimen. IPCMC akan bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan agensi kerajaan lain.

Aspek membasmi gejala rasuah dalam pasukan PDRM merupakan salah satu daripada keutamaan pembaharuannya.

Suruhanjaya itu menyatakan, amalan rasuah di kalangan anggota polis tidak hanya terbatas kepada kegiatan menerima wang sahaja tetapi juga menerima bentuk-bentuk rasuah yang lain.

Amalan rasuah yang berlaku di PDRM bukan sahaja membabitkan antara anggota polis dengan masyarakat tetapi juga melibatkan anggota dan pegawai di dalam organisasi kepolisan itu sendiri.

Suruhanjaya itu mendedahkan, rasuah di dalam organisasi kepolisan itu membabitkan pengambilan wang sogokan oleh pegawai atasan dari pegawai atau anggota bawahan.

Wang sogokan itu sebagai habuan bagi pertukaran ke tugasan jawatan yang berpotensi untuk mendapat habuan lumayan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com