Saturday, May 14, 2005

Tambatan ringgit dedah negara kepada inflasi

MALAYSIA masih mampu mempertahankan nilai kadar tambatan ringgit RM3.80 kepada setiap dolar Amerika Syarikat (AS) kerana asas kukuh ekonomi termasuk rizab asingnya yang tinggi.

Bagaimanapun, pakar kewangan percaya tindakan mengekalkan nilai tambatan paras sama sejak diperkenalkan pada September 1998 mendedahkan negara kepada pelbagai risiko terutama tekanan inflasi.

Pakar Ekonomi Standard Chartered Bank (StanChart), Joseph Tan, berkata melihat kepada kelemahan nilai dolar AS, nilai sebenar ringgit kepada mata wang itu sepatutnya berada antara RM3.30 sehingga RM3.50.

“Nilai mata wang dolar AS berkurang sejak tiga tahun lalu, dan sehingga kini ia susut lebih 15 peratus berbanding ringgit.

“Lebih baik jika nilai ringgit dibiarkan ditentukan oleh pasaran, atau sekurang-kurangnya nilai tambatan diturunkan kepada RM3.30 hingga RM3.50 berbanding AS$1 dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita pada taklimat media, di Kuala Lumpur, semalam.

Tan yang berpangkalan di StanChart Singapura berkata, walaupun ramai meragui kemampuan Malaysia mempertahankan dasar tambatan ringgit, hakikatnya negara memiliki nilai rizab mata wang asing yang tinggi.

Katanya, sebagai negara pengeksport minyak, Malaysia mendapat manfaat daripada harga minyak yang tinggi di pasaran global sekarang.

“Langkah kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek prasarana juga mampu meningkatkan kadar pertumbuhan yang diunjurkan antara lima hingga enam peratus tahun ini,” kata Tan.

Bagaimanapun, beliau berkata, spekulator turut mengenal pasti bahawa nilai ringgit ketika ini berada di bawah nilai dan keadaan diburukkan dengan kemasukan ‘wang panas’ secara besar-besaran.

Kemasukan ‘wang panas’ itu berikutan jangkaan ringgit akan dinilai semula sejajar tinjauan semula mata wang Reminbi, China.

Katanya, jika ‘wang panas’ mengalir keluar secara besar-besaran ia akan menyebabkan lebihan cairan dan memaksa perubahan menaik kepada kadar faedah, sekali gus meningkatkan inflasi.

“StanChart mengunjur inflasi akan meningkat kepada tiga peratus tahun ini jika kerajaan tidak mengetatkan dasar kewangan,” kata Tan.

Beliau menganggar ada kira-kira RM100 bilion ‘wang panas’ yang memasuki sistem kewangan negara sejak 12 bulan lalu.

Kira-kira 50 hingga 60 peratus wang berkenaan dialirkan ke dalam aset pendapatan tetap, manakala bakinya ke pasaran ekuiti, kata Tan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com